Kadang-kadang pengalaman mencari buku boleh menemukan kita berbagai-bagai perkara yang tak terduga. Adakalanya buku yang dicari tidak berjumpa, sebaliknya bertemu dengan yang lain.
Khamis lepas saya ke Ipoh Parade. Seperti biasa, saya akan singgah di Popular atau menjenguk sebuah kedai buku terpakai di tepi gedung Parkson. Novel Hut nama kedainya. Di situlah tempat saya menambah koleksi majalah-majalah lama yang dijual murah. Saya sering mencari majalah luar negara seperti Foreign Affairs, Harvard Business Review, Muscle & Fitness atau Mens Fitness yang agak mahal harganya jika dibeli yang terkini di pasaran. Foreign Affairs edisi lama sebagai contoh akan dijual semurah RM10 bergantung kepada tarikh terbitan. Saya juga akan mencari Harvard Busieness Review yang juga dijual dalam lingkungan harga yang sama.
Koleksi bukunya juga agak banyak, tetapi harus pandai mencari. Kebetulan hari itu saya punya banyak masa. Saya duduk di lantai dan menggeledah rak paling bawah yang menempatkan banyak buku-buku berbahasa Melayu. Ada banyak buku-buku lama. Di celah-celah buku itu, saya terlihat sebuah buku yang terus menarik perhatian saya.
Buku tebal bertajuk Pertentangan, Antologi Cerpen Melayu Selepas Perang Dunia Kedua! Buku ini saya sudah baca ketika baru di Tingkatan Satu, lebih dari 20 tahun lepas! Walaupun sudah lama tetapi hingga sekarang saya masih ingat lagi visual di kulit depan buku ini.
Bagaimana mungkin saya boleh lupa. Buku ini saya baca setiap hari sewaktu kelas prep di waktu petang. Setiap petang saya akan ke perpustakaan dan mencari buku ini. Membaca dua tiga cerpen sebelum mengulangkaji pelajaran. Sesudah selesai, saya ingat bagaimana saya cuba sorokkan buku ini di rak, supaya besoknya saya boleh sambung semula. Seingat saya juga buku-buku di perpustakaan sekolah masa itu juga agak kurang buku-buku fiksyen. Maklumlah, sekolah berasrama penuh yang mengajar sepenuhnya aliran sains tulin. Mungkin mereka menganggap tiada yang minat dengan karya sastera di sekolah itu.
Buku inilah yang mengenalkan saya dengan karya penulis-penulis Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 yang terkenal dahulu. Ianya memuatkan cerpen tulisan A Samad Said, A Samad Ismail, Usman Awang, Keris Mas, Ajikik dan lain-lain. Buku itu juga mengenalkan saya dengan karya penulis Awam Il-Sarkam, yang sedap disebut namanya. Saya pernah berangan-angan mahu guna nama pena seperti itu.
Buku ini telah memberi kesan yang sangat besar kepada saya dalam menghargai sumbangan orang sastera kepada negara. Penulis ASAS 50 adalah mereka yang menggunakan sastera sebagai alat untuk memperjuangkan kemerdekaan. Tema di dalam karya mereka sarat penuh dengan saranan mengangkat darjat bangsa. ASAS 50 menulis tentang penderitaan orang miskin, tentang buruh dan petani. Mereka menulis tentang perjuangan membebaskan diri dari kesempitan hidup, kemiskinan dan penderitaan. Sesuai dengan slogan `Seni untuk Masyarakat' penulis ASAS 50 menulis tentang manusia dan kemanusiaan.
ASAS 50 adalah pertubuhan sebelum merdeka yang giat memperjuangkan Bahasa Melayu sehingga diangkat sebagai bahasa rasmi negara. Mereka berjuang agar Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah. Hasil dari perjuangan merekalah juga lahirnya Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai mercutanda memperjuangkan Bahasa Melayu.
Bagai tak percaya saya boleh `berjumpa semula' dengan buku ini. Berjumpa semula bersama kenangan semasa persekolahan. Terbayang wajah-wajah comel rakan sekolah juga guru-guru. Lalu satu-satu imej sekitar sekolah muncul. Segera tersingkap bayang rak-rak buku dalam perpustakaan, meja dan kerusi serta suasana dalam perpustakaan sekolah. Teringat pula akan kelas, dewan makan, asrama, bas sekolah, pekan Taiping dan semua kenangan 20 tahun lepas.
Tiba-tiba saya jadi nostalgik. Begitulah ajaibnya buku. Boleh datang menyingkap kenangan.
Terkejut berjumpa, terkejut lagi bila tiba waktu membayar harga buku ini. Walaupun di belakang buku ini tertulis tanda harga RM3, ianya jadi milik saya dengan harga RM2 selepas diskaun! Begitulah harga sebuah buku dan kenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan