Khamis, Disember 28, 2006

Wajah Peradaban Barat


Wajah Peradaban Barat; Dari Hegemoni Kristen ke Dominasi Sekular-Liberal
Penulis Adian Husaini
Pengantar Prof Wan Mohd Nor Wan Daud
Penyunting Wisnu Pramudya
Penerbit Gema Insani, Jakarta
2005, 416 halaman

Harga RM65.00 Kinokuniya KLCC
6 Oktober, 2006

Buku ini saya beli di Kinokuniya, KLCC, sewaktu pulang dari satu mesyuarat di Ampang. Seronok ke kedai buku dalam bulan puasa. Terasa ada banyak masa, sehingga tidak sedar waktu solat Jumaat sudah masuk. Itulah juga kali pertama saya solat di Masjid KLCC. Bukan di dalam masjid, tetapi di luar, di tepi pancuran air dan di bawah terik mentari.

Buku ini menarik minat saya, kerana kebetulan semasa itu saya sedang membaca buku Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud iaitu buku Filsafat dan Praktik Pendidikan Islam Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Buku ini ada kaitan dengan buku tersebut kerana banyak juga memetik kata-kata dan pemikiran Prof Syed Naquib Al-Attas. Adian Husaini adalah penuntut ISTAC yang sedang menyiapkan tesis PHD beliau di ISTAC. Buku yang padat dnegan sumber dan maklumat ini kebanyakannya digali dari khazanah perpustakaan ISTAC.

Buku ini cuba menghuraikan fakta dan sejarah bagimana peradaban barat yang bermula dengan agama dan kerajaan Kristian telah bertukar menjadi dominasi sekular liberal. Sejarah Kristian Eropah telah menyaksikan kehilangan kuasa Gereja di Zaman Pertengahan. Gereja dipaksa menjadi sekular dengan hilangnya kuasa dalam bidang politik. Dari bidang sosial politik, sekularisasi menjalar ke bidang pemahaman agama. Proses sekularisasi agama ini kini berjangkit ke dunia Islam.

Buku ini mengkaji sejarah kerajaan Kristian bermula sejak zaman Konstantin tahun 313, diikuti dengan runtuhnya kerajaan Rom pada tahun 476. Zaman Pertengahan menyaksikan kemuncak kekuasaan kerajaan Kristian sehingga lahir institusi Gereja yang terkenal zalimnya iaitu Inquisition. Musuh-musuh gereja telah disiksa dan dibakar hidup-hidup. Semuanya ini dilakukan dengan menggunakan nama Tuhan.

Berbagai kezaliman dan penyelewangan kuasa ini menyaksikan penentangan dari penganut agama Kristian sendiri. Lahir Martin Luther dan penentangan dari Protestant terhadap hegemoni Katolik.

Trauma dari kezaliman inilah yang melahirkan faham sekularisme dalam politik di dunia Barat. Trauma Barat terhadap sejarah agama mereka sehngga mereka membenci institusi agama. Mereka berpendapat agama harus dipisahkan dari politik dan negara. Agama adalah wilayah peribadi dan politik adalah wilayah publik, agama adalah suci dan politik adalah kotor.

Sejarah inilah yang telah mengubah pandangan barat terhadap agama mereka sehingga akhirnya agama Kristian itu sendiri berubah untuk disesuaikan dengan kehendak zaman dan pengaruh sekularisasi. Ini ditambah pula dengan masalah kesahihan teks Bible dan makna yang terkandung di dalamnya yang diragui sendiri oleh penganutnya. Masalah teologi agama Kristian yang bertentangan dengan akal dan ilmu pengetahuan juga menambah lagi penentangan terhadap Gereja.


Penulis telah menghurai cara Barat memandang Islam dalam satu bab yang panjang. Pemikiran yang tidak seimbang, provokatif, sering menyembunyikan fakta telah melahirkan Islamofobia di dunia barat. Idea Francis Fukuyama, Samuel Huntington dan Bernard Lewis dibincangkan. Fukuyama berpendapat bahawa liberalisme tidak akan mucul jika Kristian tidak melakukan sekularisasi.

Adian juga menulis satu bab yang menarik tentang invasi pemikiran barat dalam pemikiran Islam, bermula dengan faham sekularisme dan sekularisasi. Turut disentuh ialah hermeneutika, iaitu kaedah pengkajian teks Bible yang mahu dipaksa kepada orang Islam dalam memahami Al-Qur’an. Hermeneutika sering menggunakan kaedah pemahaman literal, alegori, interpretasi literal ataupun anagogi dalam memahami makna dari Bible. Ini sudah tentu berbeza dengan kajian pemahaman Al-Qur’an yang memerlukan kepakaran dalam bidng Tafsir yang merangkumi pemahaman AL-Qur’an dan Sunnah, asbabun nuzul, nasikh wal-mansukh, serta ilmu linguistik Arab seperti ilmu nahu, saraf dan retorik.

Adian tidak lupa menulis tentang bidang kegemaran beliau iaitu pluralisme agama. Idea pluralisme agama John Hick dan WC Smith dibincangkan dengan panjang lebar.

Perbincangan tentang Barat dalam buku ini cukup lengkap dan merupakan kajian yang bagus mengenai Oksidentalisme. Buku ini sangat sesuai dijadikan rujukan dalam mengenal wajah sebenar peradaban barat, agar kita dapat menyaring yang baik. Memahami peradaban barat bukan bermaksud membenci barat, tetapi akan dapat membantu kita memahami permasalahan yang melanda masyarakat yang teruk dilanda pemikiran dan peradaban barat.

Jangan kita cepat benar tersilau dan terpukau sebelum kita kaji dan faham wajah peradaban barat yang sebenar.

Isnin, Disember 18, 2006

The Upper Hand



The Upper Hand: Winning Strategies from World-class Negotiators
Penulis: Michael Benolier, Linda Cashdan
Format: Paperback, 256 halaman
Penerbit: Adams Media Corp, September, 2006
ISBN: 1593377355
Harga RM49.50 MPH Kinta City Ipoh

Perundingan adalah sebahagian dari rutin hidup. Setiap hari kita akan berunding dengan ramai orang. Kadang-kala ianya menuntut komitmen yang sangat tinggi, perlukan kajian, kesabaran dan juga kecerdasan akal untuk membuat keputusan.

Buku ini saya beli di MPH, Kinta City. Hari Ahad. Kebetulan hati sebelumnya saya baru sahaja menghadiri satu majlis menandatangani jual beli sebuah projek. Banyak masa dan fikiran yang telah kami habiskan sebelum kedua pihak bersetuju untuk memeterai perjanjian. Sudah berapa ratus jam sudah dihabiskan di meja rundingan untuk mencari kata sepakat. Itupun, di saat akhir ada juga pihak yang menarik diri atas sebab-sebab yang mereka sendiri ketahui.

Buku The Upper Hand ini ditulis oleh Micahel Benoil, Pengarah Centre for Negotiation, Maryland USA. Beliu mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang perundingan dan pernah memberi khidmat konsultan kepada syarikat multinasional ternama. Beliau juga seorang pensyarah MBA di The John Hopkins University.

Buku ini menarik hati saya kerana penulis telah menemuduga 25 orang Master Negotiator, pakar dalam perundingan dalam bidang bisnes, politik, undang-undang dan diplomasi Penulis telah menemuramah Shimon Peres dan Saeb Erakat, tokoh yang mewakili Israel dan Palestin dalam Perjanjian Oslo. Penulis juga menemuramah bekas Setiausaha Kerajaan US James Baker dan juga Senator Bob Dole.

Buku ini antara lain berkongsi tentang kemahiran dan teknik-teknik yang diperlukan dalam perundingan. Bila masanya untuk bertindak tegas dan bila masanya pula mahu bertolak ansur. Saya paling gemar bila membaca kisah pakar perundingan dalam mencapai kata sepakat dalam perundingan. Bukan semua perundingan berakhir dengan baik. Ada yang tidak berjaya. Bukan semua teknik perundingan boleh digunakan dalam semua keadaan. Ada masanya kita juga harus mengikut gerak hati dalam membuat keputusan.

Saya harap saya boleh guna sebanyak mungkin tips di dalam buku ini dalam kerja sehari-hari. Mungkin saya boleh gunakan tips dalam buku ini semasa berunding dengan kesatuan sekerja nanti tentang perjanjian kolektif yang mereka tuntut.

Ada buku lain yang bagus tentang perundingan?



Rabu, Disember 13, 2006

Kenapa bantah?

.



Tajuk: Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik

Penyusun: Professor Emeritus Dr Abdullah Hassan
ISBN :ISBN 983-42179-0-0
Penerbit: Persatuan Penterjemah Malaysia
2006


Buku ini memuatkan lapan artikel yang ditulis oleh cendekiawan Melayu yang menyuarakan dengan tegas bantahan terhadap dasar penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajarakan Sains dan Matematik.

Seingat saya, inilah kali pertama saya baca kenyataan yang terang-terang menentang dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sebelum ini bukan tidak ada bantahan, tetapi mungkin tidak terang-terang, hanya batuk kecil, berdehem menegur pemimpin. Kalau ada bantahan pun mungkin segelintir pemimpin pembangkang atau pejuang bahsa yang condong pembangkang, yang sudah tentu akan dianggap sebagai kenyataan berkepentingan politik dan hanya disiar dia akhbar tabloid. Akhbar perdana seperti biasa tidak akan menyiarkan sebarang bantahan terhadap polis kerajaan, walaupun ianya merugikan bangsa dan negara.

Buku ini memuatkan tulisan beberapa orang cendekiawan ternama tanahair. Ternyat begitu banyak mudarat kepada negara jika dasar ini diteruskan juga.

Artikel pertama ditulis oleh Prof. Shaharir bin Mohamad Zain yang mengemukan data empirical bagi membuktikan bahawa pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu selama ini telah berjaya menghasilkan cendekiawan Melayu dalam berbagai bidang. Bahasa Melayu tidak menjadikan mereka terkebelakang, malah mereka telah berjaya mengharumkan nama ke merata dunia. Beliau mengkaji pencapaian cendekiawan negara dalam sains dan teknologi yang menggunakan Bahasa Melayu dalam pembelajaran.

Disertakan juga satu memorandum kepada kerajaan tentang pendirian bersama para professor seluruh malaysia terhadap dasar pendidikan sains dan matematik sekolah dalam bahasa inggeris.


Profesor Emeritus Abu Bakar Abd Hamid pula menjawab lapan soalan yang sering ditanyakan tentang mengapa tindakan mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan adalah bertentangan dengan aspirasi negara dan perlu dibantah.

Prof. Dr. Awang Sariyan, menulis tentang kesan dasar ini kepada sosiobudaya bangsa dan negara.

Datuk Dr. Hassan Ahmad menulis tentang hubungkait antara perjuangan bahasa dan bangsa dan nasionalisme negara.

Nor Hashimah Jalaluddin, telah membuat kajian tentang penerimaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah. Seramai 971 orang pelajar bumiputera dan bukan bumiputera telah terlibat dalam kajian ini. 43 orang guru dari 6 buah sekolah di selatan dan tengah negara ikut terlibat. Hasil dari kajian ini benar-benar menggusarkan saya.

Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, penyusun buku ini berpendapat bahawa `bahasa adalah wahana yang memindahkan himpunan memori bangsa daripada satu generasi kepada satu generasi. Apabila bahasa Melayu luput daripada benak Melayu, maka jati dirinya turut berubah.’

Terima kasih Alang dan Mak Yang yang sudi menghadiahkan buku ini bersama kertas kerja Kongres Bahasa Ketujuh yang telah mereka hadiri. Saya teriam buku ini di dalam beg kertas bersama kerats kerja Kongres Bahasa. Saya terima juga sebuah buku tebal yang menghimpunkan kertas kerja terpilih dari kongtes bahasa pertama hingga keenam. Tebal bukunya setebal Kamus Dewan.

Ahad lepas saya ke Kinta City. Sementara menunggu waktu tayangan filem Cinta, kami ke kedai buku MPH. Terkejut juga saya bila saya tengok dan kedua buku ini sudah ada dijual di rak. Sangka saya hanya boleh didapati dalam bentuk ebook di laman web Kongres Bahasa.

Himpunan kertas kerja Kongres Bahasa mungkin agak mahal berharga RM80 tetapi buku Mengapa Kami Bantah harganya tidak sampai RM20. Ianya juga boleh dibaca dalam bentuk ebook di SINI

Buku ini wajib dibaca oleh orang Melayu dan mereka yang masih sangsi akan keupayaan Bahasa Melayu menjadi Bahasa ilmu. Buku ini juga menafikan tuduhan bahawa mereka yang menentang dasar ini adalah pembenci bahasa Inggeris. Yang ditentang bukan bahasa Inggeris, malah para penulis bersetuju kurikulum pengajaran bahsa Inggeris perlu diperkemaskan lagi dan mungkin ditambah masa pengajarannya.

Tindakan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sebenarnya adalah satu jenayah kepada undang-undang dan perlembagaan negara yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Ianya terang-terang mengenepikan kontrak sosial yang dimeterai dan dipegang bersama semenjak negara merdeka.

Masih belum terlambat untuk berhenti dan mengkaji semula. Ubahlah sebelum terlambat. Jangan sampai kita dilaknat anak cucu kemudian hari dek kealpaan kita hari ini.

Rabu, November 29, 2006

Hujung minggu di Kotaraya

.



Hujung minggu lepas saya ke JB. Ada persidangan di Persada International Convention Centre Johor. Pusat persidangan baru di selatan tanahair. Besar dan cantik, setanding dengan KL Convention Centre. Bersebelahan dengan Puteri Pacific dan tak jauh dari Kompleks Beli Belah Kotaraya. Sudah lama tak ke JB, sehingga tak sedar sudah ada pusat persidangan yang sangat besar dan bertaraf antarabangsa. Lapanganterbang Senai sudah nampak sangat ceria, lebih ceria dari Lapanganterbang Bayan lepas.

Kompleks Kotaraya juga sudah banyak berubah, sudah banyak kedai-kedai baru. Seperti biasa kalau ke JB saya tak akan lupa singgah di sebuah kedai buku di situ. Kedainya sederhana besar, tetapi saya sudah banyak kali terjumpa dan beli buku yang bagus di situ. Johor Central Store nama kedainya. Kali ini saya tak beli banyak buku. Saya hanya beli 3 buah buku. Ketiga-tiganya novel. Yang pertama novel terkenal Ayat-Ayat Cinta tulisan Habiburrahman El Syirazi. Khabarnya buku ini heboh di Indonesia kerana mendapt sambutan laris dan di luar jangkaan.

Saya juga beli novel terbaru penulis Singapura, Isa Kamari, bertajuk Atas Nama Cinta. Novel ini cuba mengangkat kembali tragedi Natrah yang pernah menggemparkan Tanah Melayu suatu masa dahulu.

Saya juga beli buku Diary Seorang Petualang, buku terjemahan tulisan Naguib Mahfouz. Saya perasan yang di kedai ini banyak dijual buku-buku terbitan Pustaka Nasional dari Singapura.

Ada satu lagi yang menarik di Kotaraya. Di sudut tepi, Kompleks Kotaraya ini ada sebuah masjid. Rasa saya inilah satu-satunya masjid yang terletak dalam kompleks membeli-belah di Malaysia. Jumaat lepas saya berpeluang menunaikan solat Jumaat di situ. Jamaah melimpah ruah sehingga ke kaki lima kedai. Yang menariknya, setiap kali azan berkumandang, akan kedengaran ke seluruh Kotaraya. Kedai-kedai yang sedang memainkan lagu-lagu akan memperlahankan suara bagi menghormati azan.



Masjiid An Nur Kotaraya adalah masjid yang dibina oleh Johor Corp. Imam bertugas juga dilantik oleh Johor Corp. Kesemuanya berkelayakan ijazah, bertaraf eksekutif dan bergaji tetap dengan Johor Corp. Khutbah dan mutu bacaan Imam pada hari Jumaat itu juga sangat bagus dan menarik perhatian saya. Masjid yang berhawadingin itu comel sahaja saiznya, mungkin boleh memuatkan tidak lebih dari seribu orang.

Usaha Johor Corp ini patut disokong dan diikut oleh badan korporat yang lain, terutama yang memiliki kompleks beli-belah terkemuka. Bayangkan bagaiman mudahnya mahu membeli-belah bila ada tempat solat yang selesa untuk pengunjung kompleks. Meminta badan korporat membina masjid di kompleks mungkin satu permintaan yang tidak munasabah. Cukuplah jika disediakan tempat solat yang bersih, dan sederhana besar.



Sebelum pulang saya juga beli beberapa keping CD terbitan Yayasan Warisan Johor, lagu keroncong anak Johor, dokumentasi irama zapin dan tempat bersejarah di sepanjang sungai Johor. Tak lupa juga saya beli sebuah buku tentang sejarah Irama Zapin di Nusantara. Semuanya saya beli di sebuah kedai kecil di Persada yang menjual produk keluaran Yayasan Warisan Johor.

Khamis, November 23, 2006

Musyawarah Buku

.

Musyawarah Buku
Menyusuri Keindahan Islam dari Kitab ke Kitab
Khaled M Abou El Fadl
Serambi, Indonesia 2002
223 halaman

Dibeli di Fajar Ilmu Baru RM19.80


Bayangkan jika anda dapat berdialog dengan buku-buku klasik. Kitab-kitab lama yang ditulis oleh para pemikir zaman dahulu. Bagaimana agaknya perasaan para penulis buku agung ini apabila karya mereka dilarang dari dibaca oleh pemerintah masa itu. Bayangkan bagaimana rasanya jika anda dapat menyelami perasaan penulis yang telah dipecat jawatan mereka, difitnah kerana menulis sesuatu yang bercanggah dengan kepercayaan pemerintah.

Inilah yang cuba disampaikan oleh penulis buku ini Khaled Abou El-Fadl dalam buku yang bertajuk Musyawarah Buku - Menyusuri Keindahan islam Dari Kitab Ke Kitab. Buku ini adalah terjemahan dari buku berbahasa Inggeris bertajuk Conference of Books - In Search of Beauty in Islam.

Penulis buku ini membawa pembaca mengembara dan bermesra dengan karya-karya klasik dan penulisnya. Pembaca dikenalkan dengan tokoh seperti Ibn al Mulaqqin yang difitnah dan dipenjara. Beliau dilarang mengajar dan koleksi bukunya dibakar.

Kisah sedih para pemikir dan penulis buku agung banyak ditulis dalam buku ini. Buku ini bagai sedang berdialog dengan para ulama dan pemikir masa lalu seperti Imam Ibnu Hambal, Imam Ghazali, Al-Jahiz, Ibn Rusyd dan al-Juwainy. Penulis mengenang bagaimana terasingnya umat Islam dengan karya klasik dan tradisi ilmu. Khazanah klasik Islam tidak dikaji dan didampingi.



Penulis buku ini, Khaled Abou El Fadl adalah seorang Professor Undang-Undang di Undang-Undang UCLA, Amerika Syarikat. Seorang lulusan Yale dan Princeton setelah mengambil pengajian Islam di Kuwait dan Mesir. Sebagai pemastautin Amerika Syarikat, Khaled banyak menulis isu-isu berkenaan Islam dalam konteks modern. Tulisan dan pendapat beliau sering dianggap sebagai suara liberal Islam di Amerika.

Khaled terkenal sebagai seorang pejuang hak asasi manusia termasuk hak asasi wanita. Ini tergambar dalam tulisan beliau di dalam buku ini. Saya tertarik dengan tulisan beliau yang cuba menggali karya klasik Islam dalam berhujah tentang masalah aurat dan hukum menutup muka bagi wanita.

Khaled sangat memusuhi mereka yang berfikiran kolot dan tertutup. Dia menentang pemikiran wahabisme yang dikatakannya sebagai produka dari kolonialisme. Khaled menentang sikap radikalisme dan fundamentalsime di kalangan umat Islam. Beliau menentang wahabisme dan menyeru ke arah keterbukaan pemikiran dalam menghadapi persoalan semasa.

Khaled menentang golongan yang mengabaikan dan merendahkan warisan intelektual Islam dan melahirkan pendekatan terhadap Islam secara anti sejarah.

Kesimpulan yang saya boleh ambil dari buku ini ialah bagaimana dalam setiap zaman, ada sahaja golongan yang memusuhi buku dan ilmu. Buku dilayan bagai orang salah, diharam dan penulisnya diasingkan dari masyarakat. Banyak karya-karya besar dimusuhi masyarakat, telah dimusnahkan dan dibakar. Inilah masalah yang masih melanda umat sehingga hari ini. Ilmu dan buku dimusuhi dengan mengharamkan, atau menapis sesetengah buku tanpa diberitahu sebab, atau menghentam penulisnya tanpa membaca karya tersebut. Jarang-jarang kita mendengar perdebatan ilmiah tentang apa yang cuba dibawa seorang penulis. Kita sibuk berbincang tentang batang tubuh penulis.

Buku ini mengandungi 22 catatan pendek yang sebahagian besarnya pernah termuat dalam majalah The Minaret dari tahun 1994 hingga 2000. Termuat juga di hujung buku ini bibliografi terpilih tokoh-tokoh yang disebut namanya di dalm buku ini.

Dengan tulisan dan gaya bahasa yang menarik, buku ini menarik untuk dibaca, memberi nafas baru dan pandangan yang segar. Inilah musyawarah untuk merenung keadaan umat masa kini, melihat keindahan di zaman dahulu dan melihat ke hadapan ke arah peradaban yang lebih sempurna.




Khamis, November 16, 2006

Filsafat Pendidikan Islam Prof Naquib Al-Attas

.


Penulis : Wan Mohd Nor Wan Daud
Cetakan : I, Julai 2003
Jumlah Halaman : 552
Penerbit : Pustaka Mizan
Harga : Rp 75.000
ISBN : 979-433-331-3


Buku ini adalah buku yang sudah lama saya beli. Sudah beberapa kali saya baca tetapi terhenti di bab-bab yang awal. Membaca buku ini bukan seperti membaca novel atau buku bukan-fiksyen lain. Perlukan tumpuan. Adakalanya perlu diulangbaca perenggan-perenggan tertentu, agar lebih faham maksud yang ingin disampaikan.

Kehadiran buku Prof Wan Mohd Nor Wan Daud ini bagai satu anugerah, kerana berjaya menyimpulkan pemikiran Prof Naquib di dalam satu buku. Saya berjaya menghabiskan buku ini mungkin juga kerana keberkatan bulan Ramadan. Kali pertama juga saya membaca buku seperti membaca buku rujukan sekolah, lengkap dengan pen, pensil dan penanda buku sebagai pembaris. Habis saya gores dan conteng buku ini. Suri Jiwa senyum menyindir melihat kelakuan saya. Dia tahu yang saya sebenarnya sangat sayang untuk mengotorkan buku.

Buku tulisan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud ini telah berjaya mengumpulkan dan menerangkan idea Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas selama hayat beliau sehinggalah berjaya mewujudkan ISTAC. Membaca buku ini bagai membaca semula riwayat hidup Al Attas berhubung dengan idea dan pemikiran beliau.

Tiada orang lain yang lebih layak untuk bercerita tentang pemikiran Prof Naquib melainkan Prof Wan. Prof adalah orang kanan Prof Naquib yang merancang dan membantu beliau dalam pengurusan ISTAC dari awal penubuhannya. Prof Wan mendapat Phd dari Universiti Chicago di bawah seliaan pemikir terkenal Prof Dr Fazlur Rahman.

Kepada sesiapa yang pernah membaca buku Prof Naquib mungkin sudah biasa dengan buku-buku beliau yang kelihatan nipis tetapi mempunyai idea-idea yang besar. Secara jujur, saya sudah beberapa kali membaca buku-buku beliau tetapi masih belum berjaya memahami sepenuhnya apa yang beliau tulis. Buku ini telah berjaya menyampaikan pemikiran Prof Naquib dengan begitu baik sekali.

Prof Naquib Al-Attas adalah seorang pemikir Islam yang dikenali di seluruh dunia. Beliau adalah pelopor kepada konsep islamisasi ilmu yang kemudiannya dipopularkan oleh Ismail Faruqi. Beliau telah membentangkan konsep ini dalam Persidangan Dunia Pertama tentang Pendidikan Islam di Mekah pada tahun 1977. Persidangan ini akhirnya juga berjaya membuahkan cadangan penubuhan UIA yang ada sekarang.

Konsep Islamisasi Ilmu pengetahuan adalah berdasarkan andaian bahawa ilmu pengetahuan itu tidak bersifat neutral atau bebas nilai. Walaupun umat Islam digalakkan mengambil ilmu walaupun dari barat, kesedaran perlu ada bahawa ilmu itu itu juga datang dengan nilai-nilai dan pandangan dunia masyarakat tersebut. Ilmu dari barat sarat dengan nilai-nilai barat yang tidak kesemuanya bersesuaian dengan masyarakat Islam. Inilah pentingnya Islamisasi Ilmu.

Saya sangat tertarik dengan pendapat Prof Naquib yang mengatakan bahawa punca kemunduran umat adalah masalah adab dan ta'dib. Keruntuhan adab menyebabkan dunia menghadapi kemusnahan yang teruk. Keruntuhan adab berlaku bila kita tidak berlaku adil dengan menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya. Ketidakadilan mengakibatkan kekeliruan ilmu. Ini diburukkan lagi dengan lahirnya pemimpin yang tidak berkelayakan dari segi akhlak, akal dan rohani. Pemimpin sebeginilah yang meneruskan kekeliruan ilmu dan keruntuhan adab untuk kekal berkuasa.

Kekeliruan ilmu inilah yang memerlukan kepada islamisasi ilmu. Ilmu perlu ditafsir semula melalui sudut pandang Islam. Kekeliruan ilmu dalam memahami nilai-nilai dari Barat mengakibatkan umat Islam menerimapakai metodologi, pemikiran dan amalan barat tanpa saringan. Konsep hak asasi manusia sebagai contoh dipandang melalui sudut fikir barat yang berteraskan idelogi sekular, dualisme dan humanisme.

Pemikiran dan sumbangan Prof Naquib telah diiktiraf di seluruh dunia. Buku beliau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, Persia, Turki, Urdu, Jerman, Itali, Rusia, Bosnia, Albania, Jepun, Korea India dan Indonesia. Beliu juga telah dianugerahkan berbagai penghargaan di peringkat antarabangsa sebagai seorang pemikir dan intelektual Islam yang berjasa.

Kemuncak pencapaian Prof Naquib ialah kejayaan beliau merealisasikan pemikiran dengan penubuhan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC). Beliau telah merancang dan merekabina sendiri bangunan ISTAC serta merancang dan menyediakan kurikulum. Prof Naquib juga telah mengumpulkan buku dan manuskrip dari seluruh dunia untuk melahirkan perpustakaan ISTAC yang kini adalah antara perpustakaan terbaik dalam pengajian Islam.

Malangnya, sumbangan dan pemikiran beliau tidak dihargai di negara sendiri. Prof Naquib telah disingkirkan dari ISTAC yang beliau ilhamkan sendiri. Kini ISTAC menjadi sebahagian dari UIA. Mungkin inilah yang Al- Attas maksudkan dengan kekeliruan ilmu dan keruntuhan adab. Akhirnya ISTAC menerima bahana dari ketololan dan kecelaruan pemikiran manusia dalam menilai ilmu dan ilmuan.

Ada satu bab menarik yang membincangkan tentang pemikiran Fazlur Rahman, Seyyed Hossein Nasr, Ismail Al Faruqi dan lain-lain berhubung konsep islamisasi ilmu. Saya juga tertarik dengan penjelasan panjang lebar Prof Wan tentang golongan sofis dan neo-sofis, golongan cerdik pandai yang menggunakan ilmu untuk menyesatkan manusia.



Falsafah & Amalan Pendidikan Islam
Pengarang : Wan Mohd Nor Wan Daud
ISBN : 983-100-241-5
Harga : RM40.00
Halaman : 413
Tahun : 2005




An Exposition of the Original Concept of Islamization
Wan Mohd Nor Wan Daud
507 pages
Published: 1998
Publisher: ISTAC
ISBN / EAN: 9839379100
Price: RM78.

Buku yang saya baca ini adalah terjemahan dalam Bahasa Indonesia. Buku asalnya diterbitkan di Malaysia tahun 1998. Ianya diterjemahkan di Indonesia, bukan di Malaysia; pada tahun 2003. Tahun 2005 barulah buku ini dterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia oleh Penerbit UM, itupun berdasarkan terjemahan Indonesia. Ini pun satu jenis keruntuhan adab juga!

Saya berjaya habiskan buku ini menjelang 1 Syawal. Terasa puas yang amat.

Tanpa rasa ragu, inilah buku terbaik yang saya baca bagi tahun ini.


Jumaat, November 10, 2006

The Big Read


5 April 2003, BBC telah melancarkan The Big Read dalam usaha mencari 100 buku paling popular di Britain. Pencalonan dibuka selama dua minggu dan sebanyak 7,000 judul buku telah dicalonkan. Seramai 140,000 orang telah mengundi menjadikan The Big Read satu projek pengundian terbesar dalam sejarah buku di UK. Undian telah dijalankan melalui laman web, sistem pesanan ringkas dan telefon.

Keputusan buku paling popular dari nombor 22 ke nombor 100 telah diumumkan, Baki 22 lagi buku yang paling popular telah disiarkan dalam bentuk siri televisyen The Big Read yang telah disiarkan oleh BBC 2 dari 18 Oktober hingga 13 Disember, 2003.

21 buah buku yang paling popular layak masuk ke peringkat akhir untuk memilih buku yang terbaik. 21 buah buku itu telah dibahagikan kepada 3 buku setiap siri dan disiarkan selama 7 minggu. Seorang celebriti dijemput bagi setiap buku, untuk berkempen dan bercerita kenapa buku itu patut jadi buku paling pupular sepanjang zaman.

Projek BBC Big Read sangat berjaya sehingga melampaui apa yang pernah dibanyangkan oleh penerbit rancangan BBC. Kejayaan program ini menyaksikan timbulnya kesedaran baru di kalangan masyarakat untuk mencari dan membeli buku yang tersenarai dalam Top 100. Projek ini telah memberi kesan kepada industri buku yang menyaksikan kenaikan mendadak jualan buku di UK.



Setelah tiga tahun berlalu program itu masih memberi kesan. Alangkah terkejutnya saya bila berjumpa buku ini di kedai buku Popular, di Ipoh Parade. Terus saya ambil tanpa fikir panjang! Kesemua seratus buku yang diundi sebagai paling popular telah disenaraikan dalam buku ini. Setiap buku diceritakan sedikit latarbelakang cerita dan pengarang. Diceritakan juga cerita-cerita pelik mengenai buku-buku ini. Ada buku yang pernah ditolak penerbit buku, kerana dianggap tidak bermutu.

Senarai buku terbaik ini mungkin tidak akan menepati citarasa semua orang kerana ianya dipilih berdasarkan populariti bukan kualiti buku tersebut. Saya sendiri ada pilihan yang lain, kalau diminta memilih buku yang terbaik. Namun usaha ini sudah cukup untuk memberi gambaran buku-buku yang digemari masyarakat di UK.

Buku ini akan menjadi teman akrab bagi peminat buku dan boleh jadi panduan buat sesiapa yang mahu mencari buku yang sesuai untuk dibaca.


Bilalah agaknya kita di sini boleh buat program sebegini?

Sabtu, November 04, 2006

Hadiah Buku

.




Dah lama sangat saya tidak terima buku sebagai hadiah. Seingat saya, kali terakhir saya dan adik terima hadiah buku semasa sekolah rendah, dari Mak dan Abah. Kali ini saya terima hadiah buku yang tersimpan kemas dalam sebuah kotak yang cantik. Terima kasih Suri atas ingatan. Suri hadiahkan saya buku Life of Pi karya pemenang Man Booker Prize 2002, Yann Martel dan buku Winning tulisan Jack Welch.




Kedua buku itu memang dalam senarai impian saya. Selalu saya pegang dan belek bila ke kedai buku, tetapi sering saya pulangkan balik ke rak. Saya tahu saya boleh beli bila-bila masa di kebanyakan kedai buku.

Hadiah kali sini sangat-sangat berharga dan akan dikenang lama. Terimakasih Suri Jiwa.

Tunggu Teduh Dulu







Judul : Tunggu Teduh Dulu
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Penerbitan Selain
Genre : Novel dewasa
Mukasurat : 678 halaman
Cetakan : 2004
Harga : RM49.90


Ini novel lama. Tulisan Faisal Tehrani. Sudah dicetak tahun 2004. Saya baru beli dari ujanailmu.com, bersama beberapa buku lain. Suri yang baca dahulu.

Bukunya tebal. Relatif mahal untuk novel Melayu. Kulitnya warna putih bersih. Kisah seorang wanita muda. Salsabila Fahim namanya. Kisah betik dan ladang miliknya. Kisah tiga cinta dan persahabatan. Tentang keluarga dan kasih sayanag. Ketabahan, kesungguhan dan cabaran. Kisah berkembara dalam hidup. Berteduh ketika ribut.

Kata Salsabila dalam prolog buku ini:

Cerita ini bukan cerita cinta tiga segi. Ia lebih daripada itu. Ia cerita pengorbanan manusia kepada Tuhan, cerita tentang takdir yang sangat manis setelah dikecap. Ini kisah saya, bukan kisah mereka sahaja. Ini cerita bagaimana saya menunggu teduh dalam ribut. Ini cerita mengenai hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Penciptanya. Ini cerita bahawa hakikat seluruh alam semesta ini berasal daripada Allah dan akan kembali kepada-Nya, tidak dapat tidak. Itulah titik hubungan kita di muka bumi ini, titik hubungan kita dengan insan lain dan juga segala tindakan.



Buku ini mudah dibaca. Gaya penulisannya terus, bagai air mengalir laju. Tidak sesukar membaca 1515 atau Perempuan Politikus Melayu. Mudah tak bererti buruk. Bahasanya cantik. Penuh bunga bahasa. Boleh dipetik buat santapan jiwa.

Suri tak berenggang dengan buku ini. Best katanya. Saya sambung selepas Suri. Selesai baca di pengakhir bulan Ramadan. Aida sambung dan habis baca dalam tiga hari!

Suri nak jadi Salsabila. Aida pun suka Salsabila. Saya pun suka Tunggu Teduh Dulu. Saya suka betik . Betik masak, bukan yang muda.
Risau juga saya. Salsabila suka betik muda! :)


Selasa, Oktober 31, 2006

Salam Syawal




Salam Syawal kepada semua.

Seronok betul bercuti panjang. Cuti seminggu terasa nikmatnya bila boleh buat macam-macam benda (selain kerja pejabat). Saya berjaya menghabiskan beberapa buah buku sepanjang bulan Ramadan hingga ke Hari Raya. Antara yang paling berkesan ialah buku Fisafat Pendidikan Islam menurut Prof Naquib Al-Attas tulisan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud. Nanti saya tuliskan dalam posting yang akan datang.

Kegembiraan bertemu sanak saudara, juga keenakan lemang dan rendang, laksa johor masakan suri, memanglah kenikmatan tiada tara.

Selain dari keseronokan menjamu selera dengan hidangan kuih raya, ada juga keseronokan lain yang terhidang di media. Antara yang menarik hati ialah kisah seorang ahli majlis perbandaran yang terhalang dari menyiapkan istana idaman. Struktur istana sudah mula kelihatan menyergam megah. Siapa yang tidak rasa bangga bila punya mahligai indah yang dikelilingi oleh rumah-rumah buruk dan laih.

Khabarnya mahligai indah dibina tanpa kelulusan majlis perbandaran. Lalu ramailah pula yang naik angin dan membantah. Marah kerana si tuanpunya rumah didakwa menggunakan kuasa sebagai ahli majlis perbandaran untuk membina mahligai tanpa izin. Ramai yang geram kerana majlis didakwa bersikap tegas dan tanpa kompromi dengan rakyat biasa. Ramai juga yang geram kerana mereka tak ada duit nak buat mahligai seindah itu.

Tak tahulah. Salah tetaplah salah. Sepatutnya buatlah ikut aturan. Agaknyalah kalau diminta kelulusan dan dibayar cukai, tentu akan dipertimbangkan untuk kelulusan.Lalu tiada lagi isu yang timbul. Hilanglah kisah menambun harta.

Kenapalah kebanyakan mereka yang menyertai politik, mesti berlumba-lumba mahu menimbun harta dan membina mahligai. Memang tak salah jika mampu, tapi kalau diikutkan gaji, memang tak mampu. Selalunya, kebanyakan yang menyertai politik mesti ada perniagaan sendiri, kalau tidakpun diusahakan oleh adik-beradik terdekat. Kenapa bila jadi orang politik mesti masuk bisnes? Yang ironinya, lagi kuat sumpah dan janji mereka untuk berkhidmat demi rakyat, agama, bangsa dan negara, lagi bersungguh usaha mengaut harta dan melebarkan empayar bisnes.

Kadang-kadang saya garu kepala bila tengok kenalan yang dulunya kerja budak pejabat, tapi jadi kaya raya bila masuk politik. Tiba-tiba sudah jadi ahli perniagaan berjaya! Padahal dahulu di dalam kelas punyalah bodoh, tak boleh diajar. Mengira pun tak berapa reti. SPM pun setakat lepas.

Yalah. Mungkin itu rezeki mereka. Masyarakat pun sudah boleh terima bila ahli politik jadi kaya raya. Sudah begitu adatnya. Kalau ahli politik menjadi miskin, mungkin jadi kemusykilan. Takkan tak dapat peluang apa-apa, kata mereka.

Bidang politik sudah jadi bagai satu kerjaya mencari kesenangan hidup. Tidak lebih dari kerjaya lain seperti doktor dan loyar. Lalu tidak salah menjadi kaya jika menjadi orang politik. Jauh benar bezanya orang politik zaman ini dengan orang politik zaman sebelum merdeka. Itulah agaknya yang dikatakan oleh Prof Naquib mengenai punca kemunduran masyarakat. Bukan kurang harta atau ilmu, tetapi kurangnya adab.

Bilakah agaknya kita dapat berjumpa dengan ahli politik yang kaya sebelum masuk politik, tetapi menjadi miskin bila jadi ahli politik. Bukan miskin kerana gagal bisnes, tetapi miskin kerana ikhlas berhabis duit menolong orang susah dan memerlukan.

Bolehkah kita jumpa ahli politik yang masih duduk di rumah teres dan pergi kerja naik bas, walaupun sudah bergelar yang berhormat? Ada lagikah pemimpin seperti Abu Bakar yang menghabiskan semua harta untuk agama, seorang kaya yang jadi miskin kerana agama?

Ada lagikah contoh pemimpin ulung seperti dipuisikan oleh Taufik Ismail dalam Lima Syair Tentang Warisan Harta?

Selasa, Oktober 17, 2006

Salam Aidil Fitri








Foto ekadmalaysia.net.

Sedar tak sedar kita sudah sampai ke penghujung bulan Ramadan. Hari Jumaat ini hari akhir bekerja bagi kebanyakan orang sebelum bercuti panjang. Rasa baru sahaja Ramadan yang mulia menjenguk kita, sudah mahu berangkat pulang! Rasa belum puas bermesra kita sudah akan berpisah, dan hanya akan bertemu semula setahun lagi. Itupun jika panjang usia.


Bermula Jumaat ini juga akan sesaklah jalanraya menuju ke kampung halaman. Masing-masing sedang sibuk buat prsaipan untuk pulang berhari raya. Halaman rumah di kampung akan jadi meriah dan ceria dengan kepulangan anak-anak dari rantauan. Halaman rumah yang selama ini sepi akan penuh dengan kereta-kereta berplet luar.

Jiwa Rasa juga akan pulang ke kampung petang Jumaat ini. Pulang ke kampung di Sungai Siput dan di rumah Suri Jiwa di Padang Rengas. Seperti tahun-tahun lepas, bandar di raja Kuala Kangsar akan sesak menjelang Hari Raya. Tak ubah seperti kesesakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Kepada semua rakan-rakan pengunjung blog ini, saya ucapkan Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin. Walaupun belum pernah bersua, tetapi keakraban tetap terasa, bagai sudah kenal lama. Pohon maaf dari saya andai ada tulisan di sini yang menyinggung jiwa dan rasa.


Selamat pulang ke kampung. Berhati-hati di jalan raya dan di musim raya.


Salam Aidil Fitri untuk semua.


Selamat Pulang Ke Fitrah

Isnin, Oktober 16, 2006

Malam Seribu Bulan






“Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.”

(Surah al-Qadr, ayat 1 - 2)


Selamat mencari malam seribu bulan.

Jumaat, Oktober 13, 2006

Bacalah Al-Qur'an




Nuzul Quran disambut sebahagian besar rakyat Malaysia dengan penuh gembira. Siapa yang tidak gembira kalau diberi cuti. Meskipun tidak mengerti kenapa bercuti. Kalau tidak kerana cuti, mungkin lebih ramai yang tidak tahu apa itu Nuzul Qur'an.

Nuzul Qur’an pada 17 Ramadan setiap tahun adalah tarikh ulangtahun Al-Qur’an mula-mula diturunkan. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 kelahiran Nabi Muhammad. Nabi didatangi Malaikat Jibril yang menurunkan wahyu yang pertama dari Allah.

Al-Qur'an adalah sebuah kitab yang istimewa kerana ianya datang dari Allah, bukan tulisan dan ilham manusia. Ianya diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun. Ianya adalah mukjizat nabi, yang dijamin ketulenannya sehingga hari Kiamat. Teks asal Al-Qur'an dio dalam Bahsa arab tidak berubah walaupun sudah 1400 tahun lebih diturunkan.

Kepada yang Muslim, bercerita tentang Al-Qur'an mungkin sesuatu yang membosankan. Semua orang dah tahu, Al-Qur’an itu sangat penting untuk umat Islam, mulia darjatnya. Dari kecil lagi kita sudah diajar membaca dan mengenal huruf-huruf Al-Qur’an. Bermula dengan Muqaddam. Bila sudah tamat belajar membaca Al-Qur’an, sudah dianggap dewasa, yang perempuan boleh berkahwin, yang lelaki, kalau sudah berkhatan pun sudah boleh berangan kalau hendak kahwin. Ramai juga yang belajar Al-Qur’an kerana terpaksa. Dipaksa oleh orangtua Kalau dikumpul cerita-cerita lucu semasa belajar Al-Qur’an semasa kecil, boleh buat buku berjilid-jilid.

Itu cerita dulu-dulu masa kecil. Apa yang malang, cerita-cerita itu berhenti setakat itu kepada sebahagian besar umat. Bagi sesetengah orang, membaca Al-Qur'an terhenti apabila sudah khatam. Lalu Al-Qur’an dibiarkan sepi di sudut paling tinggi dalam almari perhiasan di rumah.

Sesekali ianya akan dibuka untuk menghalau syaitan atau jika ada kematian di rumah. Itu sahajalah tugas Al-Qur’an. Sesekali bila anak nak ambil peperiksaan, pergilah berjumpa orang alim untuk dibacakan Al-Qur’an buat air penerang hati.

Al-Qur’an sudah tidak dibaca, apalagi dikaji.dan diteliti untuk mengambil makna darinya. Orang kita lebih senang membaca buku karya pemikir-pemikr agung dunia, dikaji diterjemah dan diwacanakan. Jarang sekali perkara yang sama dilakukan terhadap Al-Qur'an, karya yang maha Agung dari Allah, Tuhan yang mencipta kita.

Apa yang lebih mlang, ada segelintir umat islam sendiri yang memandang sepi akan Al-Qur’an, memandang rendah orang yang suka merujuk hujah kepda Al-Qur'an. Mereka yang sering merujuk kepada al-Qur’an digelar golongan yang bodoh, fundamentalis dan jumud.

Golongan yang gemar merujuk kepada terjemahan dan tafsir Al-Qur’an yang muktabar dianggap golongan literis yang hanya faham makna selapis dari AL-Qur’an. Kepada mereka Al-Qur’an tidak boleh dibaca selapis sahaja, kerana banyak maksud dan lapis makna kepada Al-Qur’an. Kini ada kecenderungan dari segelintir umat Islam yang gemar menafsir Al-Qur'an dengan akal rasional semata-mata tanpa merujuk kepada tafsir bil - Qur'an yang terdahulu.

Tidak dinafikan, Al-Qur’an tidak sepatutnya difahami secara literal dari terjemahannya semata-mata. Ianya perlu dikaji dengan mendalam, perlu belajar ulumul Qur’an, sains Al-Qur’an yang merangkumi asbabun nuzul, bahasa dan nahu, ilmu tafsir dan jenis-jenisnya dan lain-lain ilmu.

Bayangkan betapa jauhnya kita dari Al-Qur’an, jika kita masih membaca Al-Qur’an tetapi tidak memahami dan mengkaji Al-Qur’an. Bayangkan berapa ramai pula yang langsung tidak membaca Al-Qur’an!

Sempena Nuzul Qur'an eloklah kita kembali membaca dan mengkaji Al-Qur'an. Kepada rakan-rakan yang bukan Islam yang minat membaca, cubalah bacaAl-Qur'an slein dari buku-buku lain, Kini Al-Qur'an mudah didapati di internet. Bacalah, kerana Al-Qur'an adalah sumber utama untuk memahami Islam dan umat Islam.

Rabu, Oktober 04, 2006

Buku dan Kenangan


Kadang-kadang pengalaman mencari buku boleh menemukan kita berbagai-bagai perkara yang tak terduga. Adakalanya buku yang dicari tidak berjumpa, sebaliknya bertemu dengan yang lain.

Khamis lepas saya ke Ipoh Parade. Seperti biasa, saya akan singgah di Popular atau menjenguk sebuah kedai buku terpakai di tepi gedung Parkson. Novel Hut nama kedainya. Di situlah tempat saya menambah koleksi majalah-majalah lama yang dijual murah. Saya sering mencari majalah luar negara seperti Foreign Affairs, Harvard Business Review, Muscle & Fitness atau Mens Fitness yang agak mahal harganya jika dibeli yang terkini di pasaran. Foreign Affairs edisi lama sebagai contoh akan dijual semurah RM10 bergantung kepada tarikh terbitan. Saya juga akan mencari Harvard Busieness Review yang juga dijual dalam lingkungan harga yang sama.

Koleksi bukunya juga agak banyak, tetapi harus pandai mencari. Kebetulan hari itu saya punya banyak masa. Saya duduk di lantai dan menggeledah rak paling bawah yang menempatkan banyak buku-buku berbahasa Melayu. Ada banyak buku-buku lama. Di celah-celah buku itu, saya terlihat sebuah buku yang terus menarik perhatian saya.

Buku tebal bertajuk Pertentangan, Antologi Cerpen Melayu Selepas Perang Dunia Kedua! Buku ini saya sudah baca ketika baru di Tingkatan Satu, lebih dari 20 tahun lepas! Walaupun sudah lama tetapi hingga sekarang saya masih ingat lagi visual di kulit depan buku ini.

Bagaimana mungkin saya boleh lupa. Buku ini saya baca setiap hari sewaktu kelas prep di waktu petang. Setiap petang saya akan ke perpustakaan dan mencari buku ini. Membaca dua tiga cerpen sebelum mengulangkaji pelajaran. Sesudah selesai, saya ingat bagaimana saya cuba sorokkan buku ini di rak, supaya besoknya saya boleh sambung semula. Seingat saya juga buku-buku di perpustakaan sekolah masa itu juga agak kurang buku-buku fiksyen. Maklumlah, sekolah berasrama penuh yang mengajar sepenuhnya aliran sains tulin. Mungkin mereka menganggap tiada yang minat dengan karya sastera di sekolah itu.

Buku inilah yang mengenalkan saya dengan karya penulis-penulis Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 yang terkenal dahulu. Ianya memuatkan cerpen tulisan A Samad Said, A Samad Ismail, Usman Awang, Keris Mas, Ajikik dan lain-lain. Buku itu juga mengenalkan saya dengan karya penulis Awam Il-Sarkam, yang sedap disebut namanya. Saya pernah berangan-angan mahu guna nama pena seperti itu.

Buku ini telah memberi kesan yang sangat besar kepada saya dalam menghargai sumbangan orang sastera kepada negara. Penulis ASAS 50 adalah mereka yang menggunakan sastera sebagai alat untuk memperjuangkan kemerdekaan. Tema di dalam karya mereka sarat penuh dengan saranan mengangkat darjat bangsa. ASAS 50 menulis tentang penderitaan orang miskin, tentang buruh dan petani. Mereka menulis tentang perjuangan membebaskan diri dari kesempitan hidup, kemiskinan dan penderitaan. Sesuai dengan slogan `Seni untuk Masyarakat' penulis ASAS 50 menulis tentang manusia dan kemanusiaan.

ASAS 50 adalah pertubuhan sebelum merdeka yang giat memperjuangkan Bahasa Melayu sehingga diangkat sebagai bahasa rasmi negara. Mereka berjuang agar Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah. Hasil dari perjuangan merekalah juga lahirnya Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai mercutanda memperjuangkan Bahasa Melayu.

Bagai tak percaya saya boleh `berjumpa semula' dengan buku ini. Berjumpa semula bersama kenangan semasa persekolahan. Terbayang wajah-wajah comel rakan sekolah juga guru-guru. Lalu satu-satu imej sekitar sekolah muncul. Segera tersingkap bayang rak-rak buku dalam perpustakaan, meja dan kerusi serta suasana dalam perpustakaan sekolah. Teringat pula akan kelas, dewan makan, asrama, bas sekolah, pekan Taiping dan semua kenangan 20 tahun lepas.

Tiba-tiba saya jadi nostalgik. Begitulah ajaibnya buku. Boleh datang menyingkap kenangan.

Terkejut berjumpa, terkejut lagi bila tiba waktu membayar harga buku ini. Walaupun di belakang buku ini tertulis tanda harga RM3, ianya jadi milik saya dengan harga RM2 selepas diskaun! Begitulah harga sebuah buku dan kenangan.

Khamis, September 28, 2006

Dari Beirut ke Jerusalem









Saya telah tidak berlaku adil kepada buku ini. Buku From Beirut To Jerusalem tulisan Dr Ang Swee Chai ini telah lama terperap di rak buku saya. Tertulis di dalamnya tarikh buku ini dibeli - 03.03.03, Pustaka Mukmin, Jalan TAR. Sudah lebih tiga tahun. Saya pernah baca 10 helai pertama buku ini dahulu, tetapi entah mengapa, tidak berdaya untuk meneruskan bacaan. Mungkin tak kena dengan keadaan masa itu, atau mungkin juga terhenti kerana kesuntukan masa.

Setelah selesai membaca buku Hizbullah, buku ini saya cari semula dari rak buku di rumah. Mungkin peristiwa serangan Israel ke atas Lebanon memberikan semangat saya untuk membaca dan mencari kisah dan fakta mengenai perjuangan rakyat Palestin. Saya mula membaca semula buku ini dan kemudiannya bagai tidak mahu berhenti membaca catatan benar kisah yang dilalui oleh Dr Ang Swee Chai.

Saya mula kagum dan hormat pada seorang wanita kecil bernama Ang Swee Chai ini. Dr Ang adalah seorang wanita Cina yang lahir di Pulau Pinang, dibesarkan di Singapura dan kini menetap di Britain. Seorang pakar Ortopedik yang boleh sahaja hidup mewah dengan menjadi pakar ortopedik sepenuh masa. Namun Dr Ang telah memilih jalan yang jarang diambil oleh seorang wanita Kristian seperti beliau.

Pada suatu musim panas, sewaktu di London, Dr Ang telah membaca berita mengenai bagaimana tentera Israel telah berjaya menyerang Lubnan. Sebagai seorang penganut agama Kristian, Dr Ang percaya telah datang panggilan kepad beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat. Beliau lalu mendaftar sebagai sukarelawan perubatan ke Lubnan.

Dr Ang nekad, walaupun risau dengan keselamatan sendiri. Takut-takut bertemu `pengganas’ Palestin di Lubnan. Keputusan nekad itulah juga yang telah mengubah seluruh prasangka buruk beliau terhadap perjuangan rakyat Palestin selama ini. Sebagai seorang penganut agama Kristian, beliau telah diajar bahawa usaha mendirikan negara haram Isarel adalah sebahagian dari ajaran agama yang mesti diyakini.

Pengalaman menyaksikan peristiwa berdarah di Sabra Shatilla telah mengubah tanggapan beliau. Peristiwa Sabra Shatilla yang berlaku di pertengahan bulan September, 1982 menyaksikan rakyat Palestin dibunuh beramai-ramai. Ianya berlaku sejurus selepas pejuang Palestin melucutkan senjata dan menyerahkan nyawa dan keselamatan mereka kepada pasukan pengaman antarabangsa. Askar Israel telah menceroboh Beirut di malam 15 September 1982, melanggar gencatan senjata, mengepung lebih tiga ribu rakyat Palestin yang majoritinya kanak-kanak dan perempuan. Mereka dibunuh dengan kejam, yang perempuan diperkosa.

Dr Ang Swee Chai bersama 22 rakan-rakan dari pasukan perubatan anatarbangsa, telah ditangkap askar Phalangist yang berada di bawah pengawasan tentera Israel. Malam itu Dr Ang menyaksikan kanak-kanak dan perempuan dikerah ke sebuah stadium. Sejurus kemudian, terdengar bunyi tembakan terus menerus selama setengah jam.

Peristiwa Sabra Shatilla telah menelanjangkan sikap sebenar Zionis Israel. Tersingkaplah wajah sebenar syaitan bertopeng manusia. Sabra Shatilla juga telah mengubah Dr Ang Swee Chai menjadi seorang pembela perjuangan rakyat palestin. Beliau dengan berani telah menawarkan diri menjadi saksi dalam Suruhanjaya Kahan yang ditubuhkan Israel untuk menyiasat kejadian tersebut. Walaupun beliau tahu ianya tidak dapat mengubah keadaan. Suruhanjaya Kahan akhirnya mendapati Menteri Pertahanan masa itu, Ariel Sharon bersalah kerana mengambil tindakan secara bersendirian, membenarkan pembunuhan berlaku.

Semenjak peristiwa itu Dr Ang Swee Chai telah berulang alik ke Lubnan. Beliau dan suami, Francis Khoo telah menubuhkan Medical Aid for Palestinians (MAP) pada tahun 1984, sebuah pertubuhan untuk mengutip dana bagi memberi bantuan kesihatan kepada pelarian Palestin di Lubnan. Bagi Dr Ang, beliau ada tanggungjawab untuk memberi gambaran sebenar di Lubnan. Penderitaan rakyat Palestin bukan sahaja disebabkan oleh Yahudi dan sokongan Amerika. Ianya disumbang juga oleh kebodohan dan kejahilan dunia yang tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Tajuk buku ini; From Beirut To Jerusalem menggambarkan impian setiap rakyat Palestin di Beirut, yang mahu pulang ke tanah tempat kelahiran sebelum menghembus nafas terakhir.

Ahad, September 24, 2006

Salam Ramadan








Foto ekadmalaysia


Bagai tak terasa, kita sudah masuk bulan Ramadan semula. Begitu cepat masa berlalu sehingga kadang-kadang, bagai tidak sempat untuk menikmati setiap saat-saat suka dan duka dalam hidup ini.

Ramadan berkunjung lagi, memberi peluang kepada kita untuk meningkatkan iman dan menambah pahala ibadah. Peluang yang diberi setahun sekali perlu direbut dengan meningkatkan amalan, memperbetulkan niat, memperhebatkan tekad dan meningkatkan semangat untuk hidup sebagai seorang Muslim.

Dari kecil kita dididik, bulan puasa adalah bulan menahan diri dari makan, dan waktu berbuka adalah kenikmatan yang ditunggu-tunggu. Masa kecil dahulu, peluang berbuka puasa di masjid memang ditunggu-tunggu, walaupun hidangannya serba sederhana. Kini, berbuka puasa sudah terlalu komersial. Hotel-hotel kecil dan besar, berebut-rebut menarik pelanggan untuk pesta berbuka puasa secara mewah.

Rasanya, setelah sekian lama dididik bepuasa, keseronokan menyambut puasa bukan hanya kerana tak sabar menunggu waktu berbuka. Ramadan patut disambut sebagai pesta ibadah, bukan sekadar berpesta dan berlumba makan. Berpuasa di siang hari dan memakmurkan rumah Allah di malam hari.

Dalam sejarah, bulan Ramadan juga adalah bulan jihad, juga bulan kemenangan bagi umat Islam. Banyak perang dalam sejarah Islam berlaku dalam bulan Ramadan. Umat Islam menghadapi Badr Al-Kubra dalam bulan Ramadan. Umat Islam bersedia untuk Perang Khandak dalam bulan Ramadan. Peristiwa penting pembukaan Kota Mekah juga berlaku dalam bulan Ramadan.

Tradisi ini berterusan sehingga zaman selepas Nabi. Salahudin Al-Ayubi berjaya mengalahkan tentera Salib dalam bulan Ramadan. Tariq bin Ziyad dan tentera Islam mendarat di Gibraltar, dalam usaha membebaskan Andalusia juga dalam bulan Ramadan.

Ramadan adalah bulan perjuangan. Berjuang menentang musuh di luar atau di dalam. Kenikmatan Ramadan akan dirasai oleh mereka yang ikhlas dalam berjuang.


Selamat menyambut Ramadan!







Rabu, September 20, 2006

Teater Lantai T Pinkie






Bukan selalu warga negeri Perak dapat tengok teater, apa lagi teater karya Sasterawan Negara.

Hujung minggu lepas berlangsung Teater Muzikal Lantai T Pinkie di Taman Seni Budaya, Ipoh, Perak. Teater Lantai T Pinkie ini adalah karya Sasterawan Negara A Samad Said. Teater muzikal ini diarahkan oleh Rosminah Tahir, diterbitkan oleh Rohaya Atan dan merupakan pementasan yang kelima selepas dipentaskan di Istana Budaya, baru-baru ini.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Lantai T Pinkie berlatarbelakangkan kisah wanita joget dekad lima puluhan. Ia memaparkan kisah suka duka perempuan joget di Singapura, selepas Perang Dunia Kedua. T Pinkie adalah nama salah seorang perempuan joget yang cantik dan diminati ramai. Teater ini memaparkan gejolak rasa perempuan joget yang terpaksa melayan kerenah lelaki yang berkunjung ke kelab malam Bunga Joget Moden.



Menonton teater ini memang menghiburkan, dengan lakonan pelakon terkenal seperti Vanida Imran, Jalaludin Hasan, Khatijah Tan dan lain-lain. Rasa seakan dibawa ke zaman tersebut ditambah pula dengan lagu-lagu yang membuai rasa hasil karya Pak Ngah.

Walaupun teater ini mengisahkan tentang wanita joget, saya rasa ada tema-tema penting yang cuba dibawa oleh naskhah ini. Ianya terselit di celah-celah skrip yang berbunga-bunga dan berlapis-lapis. Kisah bangsa yang dijajah hingga kisah zaman konfrontasi. Secara jujur, saya belum meneliti skrip Lantai T Pinkie ini. Mungkin saya perlu membaca semula skrip drama ini untuk memahami apa yang tersirat.





Beruntung saya dapat berjumpa dengan Datuk A Samad Said. Buku Lantai T Pinkie yang saya beli malam itu, siap ditandatangan. Saya sempat berbual dan bergambar dengan Pak Samad. Saya bagitahu yang saya sudah menonton VCD kisah hidup beliau dan saya kagum dengan teknik pembacaan beliau. Buku bacaan Pak Samad penuh bergaris dan bertanda. Supaya senang ingat, kata beliau. Beruntung juga saya dapat bertemu dan berbual dengan Helmy Samad, orang kuat Wira Bukit. Kata Helmy, ada banyak lagi buku karya Pak Samad yang akan dikeluarkan oleh Wira Bukit. Saya doakan Wira Bukit terus maju.

Leka kami berbual sehingga terlupa bergambar dengan pelakon teater. Mujur Surijiwa sempat bergambar dengan Pinkie buat kenangan.

Sabtu, September 16, 2006

Selamat Hari Lahir, Malaysia!




Image Hosted by ImageShack.us



Hari ini 43 tahun lepas telah lahir sebuah negara bertuah yang kita semua kenali sebagai Malaysia. Tanah Melayu yang merdeka di tahun 1957 kemudiannya telah bersatu hati dan bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Malaysia. Maka tertubuhlah Malaysia pada 16 September, 1963.

Jalan ke arah kemerdekaan seterusnya penubuhan Malaysia bukan menuntut pengorbanan yang sikit. Tidak sikit yang kurang senang dan menyimpan rasa curiga. Malaysia terpaksa menghadapi Konfrontasi di awal penubuhannya. Lahirnya Malaysia pada tarikh ini juga adalah berkat pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu.

Alangkah molek jika ulangtahun penubuhan Malaysia ini kita hayati bersama dengan mengenang sejenak pengorbanan mereka yang terdahulu. Pejuang yang menang juga yang kecundang, yang besar dan juga yang kecil.

Saya tiba-tiba terbayang wajah seorang tokoh yang mungkin kecil di mata kita namun tidak kecil sumbangannya kepada negara.


Abdul Majid Salleh 2004
Memoir Abdul Majid Salleh dalam PKMM dan Kesatuan Buruh.
ISBN 967-942-673-4


Abdul Majid Salleh adalah antara bekas aktivis Parti Kebangsaan Melayu Malaya PKMM. Beliau aktif dalam Kesatuan Buruh yang menjadi sayap PKMM. Abdul Majid menjadi ahli kepada cawangan PKMM yang pertama ditubuhkan di Malaya iaitu cawangan Simpang Empat, Kampar, Perak.

Kerana kelantangan melawan penjajah British, beliau telah ditahan di bawah Akta Darurat 1948 dan meringkuk di dalam tahanan selama 7 tahun.

Kata Abdul Majid, perjuangan PKMM menghadapi kesukaran kerana menghadapi tentangan dari orang Melayu sendiri. Sikap orang Melayu yang menganggap penjajah British sebagai pembela mereka. Nasib baik ada British, kalau tidak tentu huru-hara' kata mereka. Tidak mereka sedar yang British menyedut khazanah negara dibawa pulang. Siapa sahaja yang menentang British dituduh penderhaka, termasuk PKMM. Setia betul orang Melayu dengan tuan mereka. Mereka yang melawan British sering dituduh komunis.

Kini Abdul Majid aktif dalam Pas, pernah menjadi YDP kawasan Gopeng dan calon parlimen Gopeng. Begitulah adat pejuang, sekali berjuang, sehingga ke akhir hembusan nafas terakhir akan terus berjuang.

Dulu saya sering nampak kelibat beliau di Masjid Negeri Ipoh, terutama hari Jumaat. Dah tua orangnya. Tak siapa sangka dia seorang pejuang. Kecil dan kurus orangnya. Semenjak saya pindah ke Bukit Mertajam, lama benar saya tidak nampak beliau. Mungkin sudah uzur. Kalau beliau masih adapun, umurnya kini sudah 83 tahun.

Seperti tokoh pejuang lain yang digelar penderhaka dan dicop komunis oleh bangsanya sendiri, hari-hari terakhir beliau akan berlalu tanpa sedar. Tiada kalungan bunga, tiada kata puji dan puja, apalagi pingat kebesaran. Kalau tidak ada kata nista sudah dikira mujur.

Kalaupun kita tidak gemar dengan sikap yang mereka ambil dahulu, janganlah kita lemparkan hina dan nista. Jangan kita lupa, nikmat udara bebas dan merdeka yang kita hirup hari ini, adalah hasil juang mereka. Setidak-tidaknya kita perlu hormat akan kesungguhan beliau menghadapi jerih payah perjuangan.

Begitulah kisah orang kecil dalam sejarah Negara. Namanya tiada dalam lembaran sejarah kerana sejarah itu ditulis oleh orang yang menang dan orang yang kalah memang tiada tempat dalam catatan sejarah. Kalau tidak kerana memoir yang ditulis ini, mungkin hilang terus secebis kisah perjuangan. Ramai lagi insan lain seperti Abdul Majid, yang sedang menghabiskan sisa-sisa hidup di bumi bertuah ini. Ramai juga yang telah pergi meninggalkan kita, tanpa kita sedar dan peduli. Hanya doa kaum keluarga dan rakan taulan mengiringi pemergian mereka.

Mungkin pesanan Abdul Majid Salleh di helaian akhir bukunya ini boleh kita renungkan.

Wahai anak cucuku dan segala keturunanku!
Ambillah ini sebagai tauladan
Jangan sekali-kali di mendirikan mahligai di atas pusara orang lain
Jangan! Jangan!
Ditakuti kamu tidak selamat
Tidak selamat di dunia dan di akhirat.



Kini Malaysia sudah kita warisi. Ke mana haluannya di tangan kita. Sayangkan negara bukan hanya dengan kibaran bendera, tetapi harus diikat dengan sumpah janji untuk mempertahankan kedaulatan negara dan membina kekuatan negara atas dasar-dasar mulia.

Selamat Hari Lahir Malaysia yang ke 43!

Selasa, September 12, 2006

Kenapa kita mundur? - Amir Shakib Arslan






Our Decline Its Causes and Remedies
Amir Shakib Arslan
Foreword by Rashid Rida
Islamic Book Trust
Kuala Lumpur
2004

Buku ini adalah buku lama. Sudah ditulis di tahun 1930-an. Ianya diterbitkan semula oleh Islamic Book Trust pada tahun 2004. Tulisan asalnya dalam Bahasa Arab.

Amir Shakib Arslan (1869-1946) adalah rakan baik tokoh reformis Mesir, Rashid Rida. Beliau adalah seorang ahli politik, ahli sejarah juga penulis berbangsa Druze yang berasal dari Lubnan. Beliau adalah penyokong kuat idea-idea Muhammad Abduh dan Jamaludin Afghani.

Buku ini sebenarnya adalah tulisan beliau sebagai menjawab surat dari Sheikh Muhammad Bisyooni Umran dari Indonesia, yang diterima di tahun 1928. Sheikh Umran ingin tahu apakah penyebab kemunduran umat Islam, khususnya bagi umat Islam di Tanah Jawa dan Tanah Melayu. Sheikh Umran telah menulis surat kepada editor majalah Al Manar, Rashid Rida agar mengajukan soalan ini kepada Shakib Arslan.

Shakib Arslan dianggap tokoh yang paling sesuai menjawab soalan ini berdasarkan pengalaman beliau yang luas dalam memperjuangkan Islam. Shakib kuat mempertahankan kerajaan Khilafah Uthmaniyyah sebagai benteng terakhir umat Islam. Beliau juga mempelopori kemudian menyokong kesatuan Arab dan Islam. Seperti Jamaluddin Afghani, beliau menentang keras penjajahan barat. Arslan menyokong perjuangan Umar Mukhtar melawan Itali di Libya dan antara pelopor awal perjuangan membebaskan Palestin dari penjajahan.

Arslan menangguh menjawab soalan Sheikh Umran ini sehingga beliau pulang dari menziarahi Sepanyol. Tulisan ini ditulis setelah beliau melihat sendiri tinggalan tamadun Islam di Andalusia dan melihat bagaimana Perancis cuba untuk mengubah agama kaum Berber di Maghribi kepada Kristian.

Tulisan Arslan sangat tajam dan menikam umat Islam. Dalam buku ini Shakib Arslan menyalahkan umat Islam yang tidak mahu menyumbang harta benda kepada Islam. Kata beliau, Negara Eropah adalah pengamal sebenar ajaran Islam. Negara dan rakyat Jerman, Itali, Inggeris telah membelanjakan berbilion untuk kelengkapan perang dan kehilangan berjuta nyawa di medan perang. Inilah pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka yang sudah tidak ada pada orang Islam. Umat Islam diseru berkorban harta dan nyawa tetapi, umat Islam sudah jadi kedekut dan tidak mahu berpisah dengan wang mereka. Tidak mahu berkoraban walaupun itu adalah suruhan agama.

Arslan mempersoalkan, berapa peratuskah dari pendapatan seorang Muslim, yang boleh disumbangkan untuk kerja-kerja Islam. Arslan bertanya kenapa 400 juta umat Islam tidak boleh melawan sumbangan yang diberikan oleh hanya 20 juta Yahudi kepada Israel.

Arslan juga menyalahkan kemunduran Islam kepada dua golongan iaitu ultra modern dan konservatif. Merka ini telah memberikan nama buruk kepada Islam dengan tafsiran sempit mereka terhadap agama. Golongan ultramodern mahu menjaga hati tuan penjajah, dan golongan konservatif pula mahu menjaga status dalam masyarakat.

Yang satu mendakap Barat dan segala budaya buruknya tanpa tapis, yang satu lagi berpegang pada fahaman rigid terhadap Islam yang tidak menerima sebarang perubahan. Sikap kedua golongan ini adalah disebabkan kejahilan mereka terhadap agama Islam dan juga peredaran zaman.

Arslan juga menghentam pembelot kepada agama, mereka yang bersekongkol dengan penjajah Barat dalam menjajah Negara umat Islam. Mereka ini rela berbuat apa sahaja untuk menggembirakan tuan mereka. Mereka menyalahkan Islam sebagai penyebab kemunduran dan berkempen menyatakan bahawa kedatangan penjajah adalah untuk menolong umat Islam.

Tulisan Shakib Arslan ini sangat-sangat relevan dengan keadaan di zaman ini. Walaupun ditulis sudah lebih 70 tahun, dan negara umat Islam sudah bebas dari penjajahan, namun tanpa sedar, umat Islam masih lagi terjajah pemikiran mereka. Inggeris sudah lama kita halau, namun anak didik yang ditinggalkan mereka, lebih Inggeris dari Inggeris. Golongan sebegini akan berbuat apa yang tidak berani penjajah lakukan.

Kalau kita sendiri tidak mahu berubah, kita akan terus dibelenggu kemunduran.


Selasa, September 05, 2006

Hizbullah : The Party of God




Hizbullah: Party of God - An Islamic Movement Perspective
Essays and Features on the Hizbullah, edited by Abdar Rahman Koya
Paperback
166 pages
ISBN 983954148X


Buku ini adalah himpunan artikel yang pernah keluar dalam majalah Crescent International. Ianya telah dikumpul dan diedit oleh Abdur Rahman Koya dari The Other Press. Ada banyak artikel yang ditulis oleh editor majalah tersebut, termasuk tulisan Zafar Bangash. Walaupun ada beberapa tulisan lama yang ditulis seawal tahun 1997, ianya masih relevan kini kerana menceritakan tentang sejarah tertubuhnya sebuah organisasi yang digeruni lawan dan dihormati kawan.

Termuat juga di dalam buku ini beberapa teks ucapan Sheikh Sayyid Hassan Nasrallah, termasuk ucapan beliau pada 14 Julai, 2006, dua hari selepas Lebanon dibom Zionis. Diselitkan juga kronologi peristiwa yang berlaku dari tahun 1967 hingga 2006 berakiatan dnegan Hizbullah.

Lahir dari sebuah gerakan gerila di awal tahun 80-an, Hizbullah telah berkembang menjadi satu organisasi politik yang sangat kukuh. Hizbullah bukan sekadar sebuah pasukan gerila, malah ianya sebuah gerakan Islam popular yang hidup dan bernafas di tengah-tengah masyarakat. Gerakan Islam seluruh dunia harus membaca dan mengkaji bagaimana Hizbullah berjaya memikat hati segenap golongan masyarakat, Syiah dan Sunni juga masyarakat Kristian dan Druze Lubnan.

Hizbullah popular bukan semata-mata kerana mengangkat senjata. Ianya adalah organisasi yang benar-benar berjuang untuk rakyat. Hizbullah mempunyai rangkaian hospital yang lengkap, malah mempunyai kelengkapan dan mutu perkhidmatan yang lebih baik dari hospital kerajaan. Kos bersalin di Hopsital kendalian Hizbullah, sebagai contoh, adalah lebih murah dari kos di hospital kerajaan. Hizbullah juga mempunyai berpuluh-puluh klinik yang memberi perkhidmatan kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama.

Semasa perang di Beirut di tahun 90-an, Hizbullah telah membekalkan bekalan air bersih kepada penduduk Lubnan. Dari tahun 90-94 lebih dari 20 juta liter air telah berjaya dibekalkan kepada penduduk Beirut. Hizbullah juga mempunyai unit khusus yang membaiki dan membina semula rumah yang rosak akibat pengeboman pengganas Zionis.

Kekuatan Hizbullah sebenarnya bagai sebuah negara dalam sebuah negara. Mereka mempunyai stesyen TV sendiri, Al Manar yang sentiasa berperanan mengiringi pejuang Hizbullah dalam peperangan menentang Zionis. Rakaman gambar kekejaman Zionis telah menjadi satu lagi senjata utama dan kekuatan parti Hizbullah.

Hizbullah sangat mengambil berat akan kehidupan harian rakyat Lebanon. Peruntukan besar disediakan untuk membantu penduduk fakir dan miskin, juga anak-anak yatim. Hizbullah juga aktif dalam bidang pendidikan dengan mempunyai rangkaian institusi pendidikan peringkat asas dan lanjutan.

Kita juga tidak boleh nafikan kekuatan sebenar Hizbullah adalah kekuatan dalaman mereka, ruh perjuangan Islam untuk membebaskan diri dari penjajahan rejim Zionis.



Buku ini saya beli dari www.ibtbooks.com bersama dua buku lain iaitu Islam and the Problem of Israel tulisan Ismail Raji al-Faruqi juga buku Our Decline: Its Causes and Remedies tulisan Amir Shakib Arslan.

Selasa, Ogos 29, 2006

Akulah Angin Engkaulah Api

.



Akulah Angin Engkaulah Api - Hidup dan Karya Jalaluddin Rumi, adalah buku tulisan Annemarie Schimmel. Tajuk asalnya ialah I Am Wind You Are Fire, ditulis tahun 1992, diterjemah dan diterbitkan oleh Penerbit Mizan di tahun 1993. Buku yang saya miliki ini adalah edisi baru tahun 2005.

Prof Dr Annemarie Schimmel (1922-2003) adalah seorang German yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya mengkaji dan menulis tentang Islam. Beliu menghabiskan 40 tahun dari hayat beliau mengkaji dan mendalami karya Jalaluddin Rumi. Schimmel sangat mengkagumi ketokohan Muhammad Iqbal dan Jalaluddin Rumi. Schimmel mula mengenal Rumi melalui Diwan Syams Tabriz terjemahan RA Nicholson. Beliau sendiri menterjemahkan karya Rumi dan Hallaj seawal tahun 1940.

Schimmel memang bukan orang pertama yang mengkaji karya Rumi. Karya Jalaludin Rumi mula dikenali oleh dunia barat apabila ianya mula diterjemahkan oleh Reynold Alleyne Nicholson. Nicholson telah selesai menterjemahkan Mathnawi ke dalam bahasa Ingggeris di tahun 40-an, dengan mengambil masa 15 tahun. Namun Nicholson sering juga dikritik kerana berlebih-lebihan cuba mengkaitkan karya Rumi dengan idea Ibnu Arabi dalam terjemahan beliau.

Jalaluddin Rumi seterusnya mula dikenali ramai di kalangan peminat sastera dunia barat setelah Coleman Barks menyesuaikan karya beliau dengan gaya puisi kesusateraaan barat. Di tangan Coleman, sisi Islam Rumi bagai cuba di`natural'kan. Lalu lahirlah karya Rumi yang saya anggap sekular yang sudah kurang roh Islamnya.

Dari terjemahan sebeginilah, Rumi sering disalahanggap sebagai menyamakan semua agama. John Hick, tokoh pluralisme agama, sering memetik kata-kata Rumi `Lampu-lampu itu berbeda, tapi cahayanya sama, datang dari sumber yang sama'. Petikan ini sering digunakan untuk mengukuhkan pendapat pendokong pluralisme agama bahawa, menganut agama apapun tak mengapa, kerana kononnya semuanya diterima dan boleh ke syurga.

Sebenarnya kata-kata Rumi itu adalah membenarkan dan menghuraikan ayat Al-QUr'an seperti dalam ayat berikut;

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi.... (Al-Maidah : Ayat 44)

Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Mariam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayat dan cahaya yang menerangi... (Al-Maidah : Ayat 46)



Rumi sebenarnya membenarkan agama yang dibawa oleh Nabi Isa dan Nabi Musa yang kemudiannya disempurnakan oleh Nabi Muhammad sebagai Nabi terakhir. Itulah akibatnya apabila karya Rumi tidak dibaca sebagai karya Sufi yang berdasarkan Al-Qur'an dan Hadith. Tinggallah karya Rumi, hanya sekadar puisi.

Pendekatan Schimmel bagaimanapun sedikit berbeza dengan tokoh dari barat yang lain. Schimmel cuba melihat Maulana Rumi sebagai seorang tokoh tasauf dan ulamak Islam. Beliau cuba mengkaji kepuitisan puisi Rumi dengan merujuk kepada AlQur'an dan Hadits. Schimmel ada menyebut bahawa, karya Rumi sebenarnya boleh dilihat bagai sebuah tafsir kepada kitab suci Al-Qur'an. Karya Rumi memang sarat dengan unsur tasauf. Mathnawi karya Rumi, banyak mengandungi komentar beliau terhadap Ayat Al-Qur'an. Apa lagi Fi Hi Ma Fi Hi yang banyak mengandung pesanan-pesanan agama yang bagus.

Buku ini merupakan kajian Schimmel terhadap kisah hidup Rumi. Schimmel sendiri menyelusuri jalan ke Konya, bandar Jalaluddin Rumi dikebumikan, untuk melihat sendiri alam sekeliling yang menjadi inspirasi bagi Rumi. Schimmel juga seakan dapat menafsirkan perhubungan Rumi dan Syams Tabriz dengan begitu baik sekali.

Schimmel sering berulang ke Konya, sewaktu beliau menjadi Profesor Sejarah Agama di Universiti Ankara, Turki. Keempatan itu diambil Schimmel untuk menyaksikan tarian berputar (semah). Pengalaman spiritual itu membuatkan jiwa Rumi mekar di dalam diri Schimmel, menjadi sumber kekuatan kepada Schimmel untuk menulis berpuluh-puluh buku mengenai Rumi.

Ketika menjadi profesor Sejarah Agama di Universitas Ankara, Turki, Schimmel sering mengadakan kunjungan ke Konya, tempat dimakamkannya sang Maulana. Pada acara peringatan hari lahir Rumi, 17 Desember 1954, dia diberi kehormatan untuk menyampaikan kuliah pembuka. Kegiatan itu baru mulai diselenggarakan kembali setelah lama dilarang oleh pemerintahan Turki.


Kandungan buku ini;

1. Perjalanan Menuju Rumi -- 11
2. Jalan Menuju Konya -- 27
3. Ekspresi Puitis -- 62
4. Suaru Hari, Musim Semi di Konya -- 87
5. Mutiara yang Tersembunyi -- 119
6. Ekor Keledai dengan Sayap Malaikat -- 145
7. Al Quran, Nabi dan Wali -- 181
8. Kacang Polong di Tangga Spiritual -- 220
9. Shalat: Anugerah Ilahi -- 254
10. Manifestasi Cinta -- 270
11. Mereka pun Mulai Menari -- 304



Prof. Dr. Annemarie Schimmel yang lahir pada tahun 1922 telah pergi pada tahun 2003 meninggalkan kajiannya yang mendalam terhadap karya-karya Rumi, untuk tatapan kita semua.

Isnin, Ogos 21, 2006

Israk Mikraj



Free Image Hosting at www.ImageShack.us


Hari ini 27 Rejab, pernah berlaku sebuah peristiwa besar dalam sejarah Islam.

Israk Mikraj adalah satu kejadian luarbiasa yang berlaku kepada Rasulullah. Israk Mikraj adalah peristiwa ajaib, miracle, yang sukar dipercayai akal. Kalaulah Islam itu menggunakan akal semata-mata sudah tentu ramai yang tergelincir dari agama.

Israk Mikraj tahun ini disambut di celah-celah kedurjanaan Zionis di Palestine, bumi berlakunya Israk, iaitu di Masjidil Aqsa, di mana Nabi diangkat ke langit.

Sampai bila agaknya masjid yang ke-3 mulia di sisi Islam ini akan teguh berdiri. Sudah kedengaran adanya rancangan jahat Zionis untuk meruntuhkan masjid ini dan dibina `Solomon Temple'. Sampai bila rakyat Palestin dapat menanggung azab menderita di tanah air sendiri?


Tulisan saya tentang Israk Mikraj di blog ini, dua tahun lepas. Peristiwa Israk Mikraj

Selasa, Ogos 15, 2006

Gubra Filem Yang Gabra


Image Hosted by ImageShack.us


Akhirnya filem Gubra dinobatkan sebagai filem terbaik Festival Filem Malaysia yang ke 19. Saya menonton siaran langsung ini di celah-celah siri kegemaran The Apprentice.

Kebetulan saya baru sahaja menonton vcd Gubra. Masa ditayangkan di pawagam dahulu, saya tidak sempat tonton, kerana sibuk buat persiapan mengerjakan Umrah. Dengar cerita Faisal Tehrani ada tulis komentar panjang lebar tentang filem itu di blog beliau.

Filem Gubra ini adalah sambungan filem Sepet. Saya pernah menonton Sepet dan saya suka filem itu secara keseluruhannya, walaupun ada beberapa adegan yang saya rasakan tidak perlu ada dan tidak sesuai dipertontonkan. Sepet adalah mengenai cinta antara dua insan berlainan bangsa.

Saya boleh terima filem Sepet kerana tertarik dengan jalan ceritanya. Tetapi filem Gubra tidak berjaya memikat saya. Kalau Sepet adalah kisah cinta dua insan. Gubra yang menyambung kisah itu cuba menjangkau ke daerah toleransi agama menurut fahaman pengarahnya.

Saya cuba bersangka baik bila filem ini dimulakan dengan adegan si bilal memegang anjing dalam perjalanan ke surau. Memang kita biasa dengar riwayat di mana seorang itu masuk syurga kerana memberi minum seekor anjing. Begitu juga bila ditonjolkan keintiman keluarga bilal dengan jirannya seorang pelacur, Kata hati saya, mungkin si bilal pernah menegur kerja munkar si pelacur tetapi tidak ditunjukan di dalam filem. Itu memang contoh teladan yang baik, hatta kepada seorang pelaku maksiat.

Namun, babak-babak seterusnya, saya benar-benar rasa `terganggu' apabila menonton fiem ini. Banyak sangat adegan berpeluk cium, bergomol di atas katil. Ditambah pula apabila dipertontonkan tingkah laku sebuah keluarga yang saya anggap pelik.

Banyak adegan yang sepatutnya kelakar tetapi tidak menggelikan hati saya. Banyak dialog bahasa tonggang langgang. Nak kata Bahasa Melayu bukan, bahasa Inggeris pun bukan. Tapi itu bukan salah pengarah, memang itulah kenyataan pahit yang terpaksa kita telan, bahawa bahasa kita sudah rosak. Kita tidak boleh melengkapkan satu ayat dalam Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang sempurna.

Paling mengganggu fikiran saya adegan sembahyang berbagai agama di akhir filem. Babak itu digambarkan seolah-olah bersambung seperti satu doa yang panjang. Saya terasa bagai sedang didakyahkan oleh seorang pendokong pluralisme agama. Bagai sedang disogokkan dakyah bahawa semua agama adalah sama, semuanya menuju kebenaran. Faham pluralisme agama menganggap semua agama adalah benar, penganut agama apa pun adalah Muslim dan semuanya akan masuk syurga. Yang berbaza hanya nama agama, jalan berbeza tetapi semuanya menuju matlamat yang satu. Inilah yang cuba digambarkan di akhir filem ini melalui petikan kata Maulana Jalaluddin al-Rumi "The Lamps may be different but the light is the same".

Minta maaf, ilmu agama saya mungkin sedikit, saya bukan sekolah agama, tetapi saya rasa ianya bertentangan dengan konsep syahadah yang saya faham. Konsep Syahadah yang kita ulangi setiap hari menyeru kita berpegang kepada tauhid Rububiyyah juga tauhid Uluhiyyah yang menafikan Tuhan-Tuhan lain. Mengesakan Allah bermakna menolak tuhan-tuhan yang lain.

Saya boleh menerima toleransi agama, malah ianya memang dituntut Islam, agar kita saling hormat-menghormati rakan-rakan kita yang berlainan agama. Garis pemisah antara toleransi agama dan pluralisme agama sangat tipis. Kita harus tahu membezakan antara toleransi agama dan pluralisme agama.

Kalaulah ini wajah filem Melayu Muslim, saya rasa sangat sedih dan kecewa. Filem ini mungkin menang anugerah filem terbaik, tapi saya rasa seperti seorang yang tewas. Bagai menang sorak kampung tergadai. Rasa hancur luluh jiwa, berat rasa beban tidak upaya bertongkat lagi.
-------------------------

Baru saya tahu rupanya perkataan gubra dan gabra adalah dua perkataan yang berlainan di dalam Kamus Dewan. Gubra bermaksud gugup, manakala gabra bermaksud keadaan tidak tentu arah, kelam kabut.

Rabu, Ogos 09, 2006

Semalam di Bumi Kenyalang



Saya tersenyum bila membaca catatan perjalanan Nisah Haron ke negeri Sabah. Kali pertama katanya, walaupun sudah sampai ke negara lain yang lebih jauh.

Begitulah kita. Ramai yang dah pergi melancong ke seluruh dunia tetapi banyak lagi negeri di tanahair yang belum sempat kita terokai. Bagi yang berada di Semenanjung, ramai lagi yang belum sampai ke tanah Borneo. Berbagai-bagai telah dilakukan untuk menggalakkan rakyat Malaysia terutamanya dari Semenanjung untuk datang berziarah ke Sabah dan Sarawak. Dahulu ada khidmat Feri Malaysia yang agak berjaya juga menjadi pengangkutan alternatif selain penerbangan MAS. Namun hayatnya tidak panjang, mungkin tidak mampu menanggung kos penyelanggaraan yang tinggi.

Kini sudah ada penerbangan tambang murah, Air Asia. Kalau pandai membeli, anda boleh dapat tambang yang sangat murah. Kalau tak kerana Air Asia mungkin lama lagi agaknya baru saya dapat menjejak kaki ke Bandar Kuching. Hampir kami terlupa tarikh penerbangan ini, kerana kami sudah lama beli tiket di talian. Waktu itu ada promosi jualan, banyak tiket yang dijual murah.

Itulah kali pertama saya menggunakan perkhidmatan Air Asia. Mulanya agak cuak juga. Kerap sudah mendengar rungutan dari rakan-rakan. Saya sangat berpuashati dengan layanan mereka. Business model yang digunakan sangat berjaya. Kos penjualan berjaya dikurangkan dengan hanya menyediakan perkhidmatan asas kepada pengguna. Tiada tiket dan numbered seats , tiada boarding bridges, tiada onflight meals. Pekerja melakukan muti-skilling tanpa mengurangkan mutu layanan.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
LCT Sepang

Pertama kali juga saya ke Terminal Tambang Murah di Sepang. Tidak mengecewakan, walaupun sedikit jauh dari KLIA. Saiznya sama besar dengan lapanganterbang Jeddah. Kemudahan asasnya mencukupi.

Penerbangan kami tiba di lapanganterbang Kuching sebelum tengahari. Baru diubah usai lapanganterbang ini. Macam mini KLIA rasanya.

Kami mengambil teksi ke Bandar Kuching. Tak jauh. Tak sampai pun 30 minit. Sebelum ke sini saya sudah minta rakan sekerja dari Tabuan Laru tolong tempah bilik hotel. Sangat strategik lokasinya. Dekat dengan Waterfront dan Main Bazaar. Layanan pekerja hotel juga sangat memuaskan hati. Kami dibenar daftar masuk awal.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Rumah Panjang, Kampung Budaya

Petang itu kami dibawa ke Kampung Budaya Sarawak. Mesti pergi untuk pelancong ke Sarawak. Perjalanan dari hotel ke Kampung Budaya di Santubong lebih kurang 30 minit. Ada beberapa rumah panjang yang didirikan di dalam kawasan ini yang mempamirkan keadaan sebenar rumah suku kaum di Sarawak.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Rumah panjang, Kampung Budaya

Akhir sekali, kami disajikan dengan persembahan tarian etnik Sarawak. Sungguh mengasyikkan.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Kampung Budaya

Dalam perjalaan balik, kami sempat singgah di sebuah rumah yang menjual kek lapis. Bermacam jenis dan warna. Kalau ke Kuching jangan lupa makan mee kolok. Macam mee segera, tapi sedapnya tak terkata. Malamnya, rakan saya belanja makan di TopSpot, tempat makan di tingkat atas sebuah tempat letak kereta bertingkat. Seronok betul tengok berbagai makanan laut dan sayuran yang tersusun.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Koridor Old Courthouse
Besoknya kami habiskan waktu berjalan di sekitar Bandar Kuching. Banyak muzium di sini. Kami ke Muzium Sarwak, Muzium Islam dan Courthouse. Kalau mahu mencari cenderahati atau kraftangan Sarawak, pergilah ke Main Bazaar. Macam-macam barangan yang mahu dibeli.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Waterfront dari atas kapal
Petangnya sebelum berangkat pulang, kami menaiki Sarawak River Cruise, menyusuri waterfront dan melihat pemandangan di sepanjang sungai.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Senja di Sg Sarawak
Perjalanan singkat kami ke Kuching sangat menghiburkan. Dua hari di Bandar Kuching memang tidak mencukupi. Kami terpesona dengan keramahan orangnya dan kebersihan bandarnya. Lain kali pasti kami akan datang semula.
30-31 Julai, 2006

Khamis, Ogos 03, 2006

Memartabatkan Persuratan Melayu



Memartabatkan Persuratan Melayu
Baha Zain
DBP 2006
75 mukasurat
RM9

Buku ini merupakan Ucap Utama Baha Zain, Timbalan Presiden PENA yang disertakan juga kertas bahasannya oleh Mohamad Saleeh Rahamad dan Prof Madya Zainal Abidin Borhan. Ianya telah disampaikan di Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 yang telah berlangsung di Tanjung Piai, Pontian Johor. Perhimpunan ini dianjurkan bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) di Kukup Golf Resort dan Tanjung Piai Resort, Pontian, Johor.

Saya selalu baca dalam blog rakan-rakan penulis muda yang sering mengenang kembali perjumpaan di Tanjung Piai ini. Ramai yang nostalgik. Maklumlah, 300 orang penulis muda dari seluruh negara telah berhimpun. Khabarnya Perhimpunan ini mendapat pujian ramai kerana dedikasi pihak penganjur memastikan program berjalan lancer. Pihak penganjur juga dipuji kerana berjaya menerbitkan empat buah buku, iaitu Idealisme Penulis Muda (antologi esei), Memartabatkan Persuratan Melayu (ucap utama Baha Zain), Idealisme & Intelektualiti Dalam Karya dan Karya Sasterawan 2005 (antologi puisi dan cerpen).

Tidak hairanlah mengapa perhimpunan ini dikenang oleh para peserta sehingga kini. Namun, molek juga rasanya peserta perhimpunan sesekali melihat kembali isi kandungan dan perbincangan seminar. Naskhah ucaputama yang saya tatap ini adalah satu ucapan besar dan penting yang sepatutnya dikongsi dengan orang lain, bukan disimpan dalam fail para peserta perhimpunan tersebut.

Baha Zain dalam ucapannya telah membawa khalayak menyelusuri perjuangan pembela Bahasa Melayu dengan melihat kembali peristiwa 13 Mei, 1969 dan langkah penyusunan semula masyarakat. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu begitu gigih dilaksanakan dalam tahun 70an. Peranan dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diperkukuhkan melaui Fasal 152 Perlembagaan negara, Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pelajaran. Lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia adalah salah satu kejayaan dalam memrtabatkan penggunaaan Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu melalui tragedi sedih menyayat hati apabila khidmatnya sebagai bahasa ilmu tidak diperlukan lagi bermula sesi persekolahan 2003. Maka bermulalah babak sedih perjuangan sebuah bahasa. Bahasa Melayu sudah tidak layak menjadi bahasa ilmu apabila diharamkan jadi bahasa pengantar pelajaran sains dan matematik. Bahasa Melayu dianggap sebagai penghalang untuk kita maju dengan lebih cepat.

Ucapan hebat ini sepatutnya boleh menggerakkan jiwa-jiwa yang menghadiri Perhimpunan Tanjung Piai untuk mengatur langkah sekurang-kurangnya menyedarkan khalayak pembaca akan kewajiban yang patut digalas semua. Bayangkan jika 300 penulis muda tersebut menulis tentang perjuangan memartabatkan bahasa melalui pelbagai media. Bayangkan jika mereka benar-benar tulus dan ikhlas menulis terus menerus menyuarakan hasrat dan keyakinan pada Bahasa Melayu.

Kalau dahulu SN Usman Awang bersama rakan-rakan berjuang sehingga sanggup mengusung Keranda 152, sebagai lambang matinya sebuah bahasa. Bagaimana pula dengan pejuang bahasa sekarang? Masih adakah yang sanggup bergolok bergadai semata-mata mahu mempertahankan khazanah bangsa?

Pejuang bahasa Melayu perlu bijak mengatur langkah. Sekadar menulis di ruangan sastera di akhbar hujung minggu bukan berjuang namanya. Menangis, mengeluh dan meratap sudah tak berkesan lagi. Tenaga perlu digembeling untuk melahirkan gerak kerja yang tersusun dan merakyat. Kumpulan pelobi perlu wujud untuk menyampaikan hasrat kepada golongan pembuat keputusan di setiap peringkat.

Ucapan Baha Zain ini patut dijadikan dokumen penggerak kepada pencinta Bahasa Melayu untuk terus berjuang. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ucapan ini patut dijadikan sebuah manifesto bagi pejuang Bahasa Melayu. Lihat bagaimana Marx & Engel berjaya merobah masyarakat dengan manifesto mereka yang pada saya hanya catatan-catatan idea yang penuh retorik.

SN Usman Awang dan penggerak persuratan Melayu dahulu berjuang menaikkan Sastera untuk Masyarakat dan menolak Sastera untuk Sastera. Soal saya, sastera penulis sekarang pula untuk apa?

Hujung minggu ini akan berlangsung Seminar Persuratan & Peradaban Nasional di Port Dickson. Seminar ini anjuran PENA dan DBP dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Khabarnya seminar ini akan membincangkan dengan serius, nasib bahasa Melayu dan tulisan Jawi juga halatuju persuratan Melayu.

Saya teringin mahu sertai, tetapi terikat dengan urusan kerja. Lagipun saya bukannya seorang penulis, manakan layak mahu berlanggar bahu dengan tokoh-tokoh sastera negara. Harapan saya seminar itu dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk memartabatkan persuratan Melayu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails