Jumaat, Januari 27, 2006

The Al Hambra


Akhirnya buku Al Hambra tulisan Washington Irving telah selamat saya terima. Terimakasih hellikonia, kerana tolong belikan dan hantar. Sudah bertahun saya mencari buku ini di merata rak kedai buku di KL, tapi tak ketemu. Rupanya ada dijual di Muzium Kesenian Islam!


Washington Irving terkenal dengan kisah Sleepy Hollow dan Rip Van Winkle. Beliau jatuh cinta dengan Al-Hambra, tinggal beberapa minggu di situ, lalu mula menulis tentang keindahan Alhambra pada tahun 1828. Beliau juga menulis buku Conquest of Granada yang saya simpan dalam PDA saya dalam bentuk ebook.


Sebenarnya saya sudah lama mencari buku ini, kerana kekaguman saya kepada sejarah kegemilangan kerajaan Islam Andalusia. Apapun yang berkenaan dengan Andalusia menarik perhatian saya. Sejarahnya, senibinanya, bahasanya, orangnya, hatta muziknya. Seingat saya banyak kali juga saya menulis di sini tentang Andalusia, terutamanya tentang muziknya yang jika dikaji, mungkin berasal dari orang Islam.

Sejarah kegemilangan Islam di Sepanyol dirintih oleh Tariq bin Ziad & Musa b Nusair pada tahun 710. Islam tersebar ke seluruh Sepanyol hingga ke selatan Perancis. Kerajaan Islam memerintah selama 700 tahun di Sepanyol. Islam gemilang, ketika dunia dan Eropah melalui Zaman Gelap. Budaya ilmu subur di bawah pemerintahan Islam. Beribu buah perpustakaan telah wujud di Andalusia.

Al-Hambra adalah istana peninggalan pemerintah Islam terakhir iaitu Abu Abdillah ataupun Boabdil. Ianya dari perkataan Arab Al-Hamra bermaksud `merah', kerana warna bangunannya yang kemerah-merahan. Ianya diserahkan oleh Boabdil kepada Raja Ferdinand dan Isabelle pada 2 Januari, 1492. Tahun yang sama Christopher Columbus memulakan pelayaran menjelajah dunia.

Bermulalah zaman penghapusan orang Islam yang dipanggil Spanish Inquisition. Orang Islam dipaksa menukar agama kepada Kristian Katolik. Mereka yang enggan diusir ke Maghribi. Ada yang enggan berhijrah dan mengaku menukar agama kerana takut dibunuh tetapi masih mengamalkan cara hidup Islam dan digelar orang Morisco. Akhirnya pada tahun 1616 umat Islam benar-benar terhapus apabila beratus ribu Morisco ini diusir keluar.

Al-Hambra kini tinggal jadi batu nesan, mengenangkan Umat Islam tentang keagungan Islam di masa silam. Islam akan berkembang, jika penganutnya berpegang teguh kepada syiar dan syariatnya, berpaut kuat dengan Al_Qur'an dan Sunnah Nabi. Sejarah Andalusia dan Al-Hambra jadi peringatan kepada umat Islam, agar jangan tersilau dengan kilauan harta dan kemewahan dunia, hingga meninggalkan suruhan agama. Akhirnya umat Islam menjadi hina.

Bacalah buku Islam in Andalus bagaimana umat Islam dibunuh dan diusir keluar dari Sepanyol. Atau buku Moorish Spain tulisan Stanley Lane Poole, yang juga masih belum saya ketemu.
Selamat menghayati Maal Hijrah 1427

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails