Isnin, Februari 20, 2006

Ayu Utami & Saman

.


Tajuk : SAMAN
ISBN : 9799023173
Penulis : Ayu Utami
Penerbit : KPG (Kepustakaan Populer Gramedia)
Penerbitan : 2001, INDONESIA
Halaman : 197

Ayu Utami adalah satu nama besar dalam sejarah sastera Indonesia. Seorang gadis muda yang tiba-tiba mencipta nama bila novel sulung beliau meletup di pasaran di tahun 1998. Ada sebab novel pertama beliau bertajuk Saman ini begitu mendapat tempat di hati pembaca.

Ayu Utami lahir di Bogor tahun 1968, besar di Jakarta, mendapat pendidikan di Universitas Indonesia dalam bidang pengajian sastera. Seorang penulis muda yang mewakili genarasi baru Indonesia, mula menyinggung masalah sosial dan politik negara Indonesia, lama sebelum jatuhnya regim Soeharto.

Novel pertama Ayu Utami, Saman, telah memenangi Sayembara Roman Dewan Kesenian Jakarta pada tahun 1998 dan juga dianugerahkan Prince Claus Award (2000) atas sumbangannya membuka lembaran baru bagi penulisan sastera modern di Indonesia.

Novel Saman ini bagai satu penemuan baru bagi sastera Indonesia. Utami membicarakan soal yang taboo dalm masyarakat Melayu, khusunya di Indonesia pada masa itu. Saman sering disebut sebagai contoh karya dengan ciri "keterbukaan baru" dalam membicarakan tentang seks dan wanita. Banyak bahagian dalam novel ini menceritakan perilaku seksual yang hampir sepenuhnya bertentangan dengan norma masyarakat Indonesia. Seks dalam novel ini bukan lagi sebagai isu pinggiran yang menambahkan perisa cerita. Ianya menjadi isu sentral yang mendasar dalam novel ini. Saman cuba bercerita dengan jujur tentang isu seks dari sudut pandangan seorang wanita.

Novel Saman membicarakan seks dengan terbuka dan provokatif, luarbiasa bagi masyarakat semasa dan juga menerima seks di luar dari ikatan perkahwinan. Ayu Utami sendiri, ketika diwawancara pernah berkata yang beliau memilih untuk tidak mahu berumahtangga.

Novel Saman juga cuba menolak stereotype terhadap wanita, malah menjadikan watak empat wanita iaitu Shakuntala, Laila, Yasmin, dan Cok sebagai watak utama dalam novel ini. Ia banyak menyentuh soal gender dan juga persoalan politik dengan terbuka.

Novel ini diterbitkan beberapa minggu sebelum Jeneral Soeharto dijatuhkan, bagai memberi gambaran dan laluan kepada kepada perubahan kepada senario politik negara. Keterbukaan dan berterus terang dalam novel ini diteruskan di luar novel melalui perubahan besar dalam negara.

Novel ini mungkin sesuai untuk pembaca yang dewasa. Benar-benar dewasa maksud saya. Ianya bukan novel murahan seperti Mona Gersang tetapi ia cuba menggarap isu-isu besar yang melangkau batas-batas politik dan sosial, budaya dan juga iman.




Petikan ulasan di kulit belakang novel ini...

Saya kira susah ditandingi penulis-penulis muda sekrang. Penulis tua pun, belum
tentu bisa menandingi dia...............Umar Kayam

Pada beberapa tempat yang merupakan puncak pencapaiannya, kata-kata bagaikan bercahaya seperti kristal.........Ignas Kleden

.....di dalam sejarah sastra Indonesia tak ada novel yang sekaya novel ini....Lebih kaya daripada Para Priyayi Umar Kayam dan Ziarah Iwan Simatupang......Faruk H. T.

Superb, splendid....Novel ini dinikmati dan berguna sejati hanya bagi pembaca yang dewasa. Bahkan amat dewasa. Dan jujur. Khususnya, mengenai dimensi-dimensi politik, antropologi sosial, dan teristimewa lagi agama dan iman......Y.B. Mangunwijaya

Dahsyat...memamerkan teknik komposisi yang --sepanjang pengetahuan saya-- belum pernah dicoba pengarang lain di Indonesia, bahkan mungkin di negeri lain...... Sapardi Djoko Damono

Integritas penulisnya tinggi....Saya tidak kuat melanjutkannya. Melanjutkan membaca ini rasanya saya jadi tapol lagi........Pramoedya Ananta Toer

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails