Sabtu, Mei 14, 2005

Fatehpur Sikri

.



sebahagian kecil dari kompleks Fatehpursikri

Delhi Jaipur Agra 4 May, 2005


Kami meninggalkan hotel awal-awal pagi kerana perjalanan dari Jaipur ke Agra agak jauh iaitu 240km. Kami melalui kembali Jaipur dan singgah di Hawa Mahal atau Wind Palace. Istana yang dibina tahun 1799 oleh Raja Sawai Pratap Singh ini mempunyai 953 tingkap untuk maharani melihat perarakan di bazaar di bawah.

Kami meinggalkan Jaipur dan meneruskan perjalanan ke Agra. Perjalanan memakan masa 5-6 jam kerana had laju dibenarkan hanya 60km/jam. Kata pemandu pelancong kami, ianya untuk keselamatan pengguna lalulintas, terutama kanak-kanak, orang-tua dan binatang ternak yang sering melintas jalan. Hampir 40 km ke Agra kami menempuh sebuah kota lama dipanggil Fatehpur Sikri. Fatehpur Sikri adalah sebuah kota yang dibina oleh Akbar untuk mengenang seorang ulama sufi iaitu Sheikh Salim Chisti.

Tahun 1568, Akbar, Raja ketiga dari dinasti Mongul telah membina empayar yang besar di utara India. Namun pada umur 26 tahun dan 12 tahun memerintah, beliau tidak mempunyai waris. Akbar pergi berjumpa dengan Sheikh Salim Chisti mengadu hal. Setahun kemudian beliu dikurniakan seorang anak lelaki yang beliau namakan Salim sempena nama Sheikh Salim Chisti. Salim kemudiannya mewarisi takhta ayahnya sebgai Raja Jahangir.


Fatehpur Sikri yang mula dibina pada tahun 1571 dan siap 15 tahun kemudian, adalah sebuah kota yang besar yang telah diiktiraf sebagai salah sebuah tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Di sini terletaknya makam Sheikh Salim Chisti yang dianggap keramat oleh masyarakat setempat. Makam tersebut terletak di perkarangan Masjid Jamik yang mula-mula sekali dibina oleh Akbar di Fatehpur Sikri.

Di sini jugalah Akbar memulakan fahaman baru yang cuba menyatukan agama Islam, Hindu , Kristian dan lain-lain menjadi satu agama baru diberi nama Din Ilahi. Rupanya kisah pembawa bid’ah dalam agama ini bukan benda baru, ianya akan berlaku di setiap zaman.

Fatehpur Sikri ini bagaimanapun, telah ditinggalkan oleh Akbar 15 tahun kemudiannya mungkin kerana kesukaran mendapatkan bekalan air.

Setelah selesai melawat Fatehpur Sikri, kami meneruskan perjalanan ke Agra, bandar Taj Mahal. Agra sebuah bandar besar yang agak berlainan ddengan bandar Jaipur. Kami sampai ke Hotel penginapan di Hotel Agra Ashok untuk makan tengahari dan check-in.

Petangnya, kami pergi membeli belah di sebuah lagi gedung milik kerajaan Uttar Pradesh. Melihat cadar, kain sari dan pashmina, rupee mengalir lagi.

Besok hari yang kami tungu-tunggu, untuk menyaksikan sendiri kemegahan Taj Mahal.


Lihat gambar di sini.

Jumaat, Mei 13, 2005

Amber Palace & City Palace

.




Amber Palace & City Palace

Jaipur 3 May 2005

Bercerita tentang makanan, setiap kali makan di India kami dihidangkan dengan jus mangga. Kalau di Malaysia, jus mangga India Agak mahal harganya. Sarapan pagi kami dihidangkan dengan roti capati atau roti nan, bersama kuah dal. Yang pelik, roti di sini tidak sesedap roti canai di Malaysia.

Agenda pagi ini, mendaki ke istana lama Amber Palace di puncak bukit Amber. Lebih menarik bila kami dibawa menaiki gajah yang dihias indah. Rasa gayat bila berbuai di atas gajah. Sepanjang jalan, ramai penjaja jalanan yang memujuk kami membeli barangan mereka. Tanpa kami minta juga,ada orang telah merakamkan gambar kami di atas gajah.

Sesampai di atas, kami terpegun dengan kemegahan istana lama yg dibuat dari batu marmar dan permata. Malangnya batu permata telah diangkut oleh penjajah Inggeris balik ke Britain. Amber Palace adalah lambang kekuasaan Raja Rajput semenjak kurun ke 11. Kerajaan Rajasthan dahulukala telah mengambil pendekatan berbaik dengan kerajaan Islam Mongul. Ianya bermula dengan Raja Bihar Mal mengahwinkan anaknya dengan Raja Akbar dan Raja Rajasthan dilantik menjadi wakil kerjaan Mongul di bahagian utara India.

Istana lama ini mula dibina oleh Raja Man Singh 1, pada tahun 1592 dan disiapkan oleh Mirza Raja Jai Singh and Sawai Jai Singh, selam tempoh 2 kurun. Ianya adunan kosep rekabina Mongol dan Hindu, dibuat dari batu merah dan marmar putih.

Bilik musim sejuknya atau Jai Mandir, penuh dengan ribuan cebisan cermin di siling dan dindingnya. Apabila lilin dinyalakan, cahaya lilin akan terpancar di siling dan dinding dan kelihatan seperti bintang gemerlapan. Ianya akan menerangkan dan memanaskan bilik.

Bilik musim panasnya yang dipanggil Sukh Niwas pula, dilengkapi paip yang terletak di atas pintu bilik. Di muka pintu pula digantung rumput panjang. Paip yang disalirkan dengan air itu mempunyai lubang-lubang kecil yang akan mengalirkan air ke rumput. Bila angin bertiup akan mengwujudkan suasana nyaman di bilik itu.

Sebaik kami mahu turun dari Amber Palace, kami didatangi oleh penjaja. Terkejut kami bila melihat foto kami semasa menaiki gajah sebentar tadi. Terkejut, tapi kami beli foto-foto itu dengan harga RS50 lebih kurang RM 4.50 sekeping.

Sebelum pulang makan tengahari di hotel kami singgah di sebuah gedung menjual batu permata Jaipur. Boleh gila dibuatnya melihat batu-batu yang cantik. Ada orang senyum meleret dapat sebentuk cincin.

Petangnya kami ke Rajasthali Government Emporium, sebuah gedung milik kerajaan negeri Rajasthan. Di sini, kain tekstil berbagai jenis boleh didapati,dari kain sari, cadar, lapik meja, kain pashmina, sarung kusyen. Rupee kami mengalir laju di sini.

Kami kemudiannya ke Janta Mantra, sebuah balai cerap yang dibina oleh Sawai Jai Singh. Ada 15 binaan yang boleh menentukan waktu dan bulan hanya dengan sinar matahari.

Tidak jauh dari situ terletaknya City Palace yang mula dibina oleh Raja Sawai Jai Singh, istana yang masih didiami oleh Maharaja Rajasthan. Sebahagian istana telah dibuka kepada umum sebagai muzium dan hotel eksklusif.

Sebelum pulang, kami singgah untuk beli-belah lagi di sebuah gedung. Geram rasanya, bila harga barang di sini lebih murah, sedangkan kami sudah banyak membeli sebelumnya. Apa lagi, borong sakanlah kami.

Malamnya sewaktu makan malam,kami dihiburkan dengan persembahan alat muzik tradisional Rajasthan, juga persembahan ghazal.

Esok, akan ke Agra sejauh 240km, atau 6 jam perjalanan.


Lihat gambar di sini

Selasa, Mei 10, 2005

Jaipur Kota Merah Jambu

.




Jaipur Pink City 2 Mei, 2005 2/7


Kami tinggalkan Heritage Village Resort selepas sarapan pagi. Perjalanan menaiki bas ke Jaipur mengambil masa 5 jam kerana had laju bagi bas hanya 60km sejam. Itupun setelah siapnya Lebuhraya Delhi Jaipur. Kata pemandu pelancong kami, lebuhraya itu dibina oleh Samy Vellu.

Perjalanan itu telah membuka mata saya melihat taraf hidup masyarakat India. Jarang benar saya dapat melihat rumah yang sempurna. Kebanyakannya kelihatan seperti bangsal atau rumah yang belum siap. Melihat orang mandi di paya adalah pemandangan biasa. Binatang ternak kelihatan begitu mesra dengan penduduk, kelihatan berkeliaran di merata tempat tanpa gangguan. Sering kelihatan berendam bersama manusia di paya.

Sepanjang jalan kami melihat tanah kosong yang gersang. Mungkin kerana sudah selesai musim menuai dan tibanya musim luruh. Kami melihat beberapa batang sungai yang kini sudah gersang tanpa air. Masyarakat di sini bergantung hidup dengan hasil tani.

Bandar Jaipur terletak dalam negeri Rajasthan, antara negeri penyumbang sumber kekayaan India. Penduduknya seramai 4 juta yang terlibat dengan infustri kraftangan terutama seni kerjatangan batu marmar dan permata. Batu batu permata dan akid dari seluruh India dibawa kesini untuk diproses secara manual oleh penduduk di sini.

Kami sampai di KK Royal Days Resort hampir pukul 3 petang. Selepas checked in dan makan tengah hari kami dibawa bersiar-siar di sekeliling bandar Jaipur. Bilik hotelnya cantik. Dari jendela bilik kelihatan kubu saujana mata memandang di atas bukit mengelilingi kota Amber.

Kami dibawa melihat dari jauh Amber Fort, istana lama kerajaan Rajasthan yang tersergam megah di atas bukit. Ianya dikelilingi oleh kubu. Kota Amber diasaskan pada kurun ke 11. Istana indah dibina oleh Raja Rajput seperti Raja Jai Singh dan Raja Man Singh,

Kami dibawa menaiki bas menyusuri jalan kecil di Bandar Jaipur. Terkenal dengan panggilan Pink City kerana kesemua bangunan di sini berwarna merah jambu. Ianya dibina oleh Raja Jai Singh di tahun 1800-an. Kami terpegun melihat kepadatan penduduk di sini. Tak berani saya memandu di sini. Jalan yang kecil, penuh dengan beca dan binatang ternak berkeliaran.

Kami juga melihat Jaipur baru dengan bangunan yang dibina oleh Raja Ram Singh yang mula memerintah pada tahun 1854. Kami singgah di Albert Hall yang diasaskan oleh Prince of Wales pada tahun 1876.

Sebelum pulang ke hotel, kami dibawa ke sebuah gedung menjual karpet dan kraftangan. Melihat proses membuat karpet secara manual. Proses yang sukar dan harganya pun lumayan. Termenung bila ditunjukkan dengan contoh karpet berharga berpuluh ribu ringgit.

Balik ke hotel, selepas makan malam, kami dihiburkan dengan tarian tradisional Rajasthan. Nyenyak tidur kami malam tu. Tak sabar menanti hari kedua di Jaipur.


Lagi gambar di sini

Ahad, Mei 08, 2005

Delhi Jaipur Agra - Hari 1

.
Image Hosted by ImageShack.us
Buku ini jadi teman setia sepanjang perjalanan


Berjalan ke utara India merupakan satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan. Sebelum ini saya hanya mengenal Agra dan TajMahal. Tetapi perjalanan kami ke Delhi, Agra dan Jaipur telah menemukan saya dengan sebuah kawasan yang kaya dengan sejarah dan rekabina bangunan lama yang sungguh mengkagumkan juga budaya masyarakatnya yang unik dan menarik. India adalah sebuah negara yang sangat besar dengan penduduk melebihi 1 bilion orang, kaya dengan budaya dan adat yang pelbagai.

Perjalanan kami selama 7 hari bermula dari ibunegeri India iaitu Delhi kemudian menaiki bas ke Bandar Jaipur sejauh lebih 200km di utara. Bandar Jaipur terkenal sebagai Bandar Merah Jambu juga kota kerajaan Rajasthan dahulukala. Perjalanan seterusnya sejauh 230km ke Bandar Agra menyaksikan kehebatan kerajaan Mongul dan Taj Mahal sebelum meneruskan perjalanan sejauh lebih 200km kembali ke Delhi. Delhi Agra Jaipur juga sering dipanggil Segitiga Emas kerana kedudukannya ketiga-ketiganya yang bagikan segitiga.

Perjalanan kami dari KLIA bermula dengan khabar dengan penangguhan penerbangan MAS selama hampir 2 jam. Menurut kata tour guide kami, tak pernah berlaku sebelum ini. Sepatutnya kami tiba di Delhi pukul 9 malam selepas 6 jam, tetapi kami sampai di hotel hampir pukul 12 malam.

Malam di Delhi kami disambut dengan kalungan bunga bersama hujan renyai, menaiki bas melalui pinggir Bandar Delhi ke hotel penginapan kami di Manesar.

Terpegun saya melihat cantiknya Heritage Village Resort, hotel yang mendapat inspirasi dari perkampungan Punjab, Haryana juga istana kerajaan Rajasthan. Resort ini berkeluasan 12 ekar dan bentuk bangunannya bagaikan sebuah istana lama.


Free Image Hosting at www.ImageShack.us


Keindahan hotel ini bagai mengucapkan selamat datang pada kami untuk menghayati kehidupan masyarakat di sini. Ianya satu perhentian sebelum memulakan perjalanan kami keesokan harinya ke detinasi seterusnya, Bandar Jaipur di negeri Rajasthan.

Akan saya kongsi pengalaman saya seterusnya di sini nanti. Banyak yang nak dicerita. Cerita membeli belah barangan tekstil dan kraftangan, juga buku-buku yang menarik, kisah kerenah masyarakat di sana atau mungkin juga kisah makanan di sana. Arghhh... India yang sungguh unik dan menarik!

Lagi gambar di sini

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails