Selasa, Mei 10, 2005

Jaipur Kota Merah Jambu

.




Jaipur Pink City 2 Mei, 2005 2/7


Kami tinggalkan Heritage Village Resort selepas sarapan pagi. Perjalanan menaiki bas ke Jaipur mengambil masa 5 jam kerana had laju bagi bas hanya 60km sejam. Itupun setelah siapnya Lebuhraya Delhi Jaipur. Kata pemandu pelancong kami, lebuhraya itu dibina oleh Samy Vellu.

Perjalanan itu telah membuka mata saya melihat taraf hidup masyarakat India. Jarang benar saya dapat melihat rumah yang sempurna. Kebanyakannya kelihatan seperti bangsal atau rumah yang belum siap. Melihat orang mandi di paya adalah pemandangan biasa. Binatang ternak kelihatan begitu mesra dengan penduduk, kelihatan berkeliaran di merata tempat tanpa gangguan. Sering kelihatan berendam bersama manusia di paya.

Sepanjang jalan kami melihat tanah kosong yang gersang. Mungkin kerana sudah selesai musim menuai dan tibanya musim luruh. Kami melihat beberapa batang sungai yang kini sudah gersang tanpa air. Masyarakat di sini bergantung hidup dengan hasil tani.

Bandar Jaipur terletak dalam negeri Rajasthan, antara negeri penyumbang sumber kekayaan India. Penduduknya seramai 4 juta yang terlibat dengan infustri kraftangan terutama seni kerjatangan batu marmar dan permata. Batu batu permata dan akid dari seluruh India dibawa kesini untuk diproses secara manual oleh penduduk di sini.

Kami sampai di KK Royal Days Resort hampir pukul 3 petang. Selepas checked in dan makan tengah hari kami dibawa bersiar-siar di sekeliling bandar Jaipur. Bilik hotelnya cantik. Dari jendela bilik kelihatan kubu saujana mata memandang di atas bukit mengelilingi kota Amber.

Kami dibawa melihat dari jauh Amber Fort, istana lama kerajaan Rajasthan yang tersergam megah di atas bukit. Ianya dikelilingi oleh kubu. Kota Amber diasaskan pada kurun ke 11. Istana indah dibina oleh Raja Rajput seperti Raja Jai Singh dan Raja Man Singh,

Kami dibawa menaiki bas menyusuri jalan kecil di Bandar Jaipur. Terkenal dengan panggilan Pink City kerana kesemua bangunan di sini berwarna merah jambu. Ianya dibina oleh Raja Jai Singh di tahun 1800-an. Kami terpegun melihat kepadatan penduduk di sini. Tak berani saya memandu di sini. Jalan yang kecil, penuh dengan beca dan binatang ternak berkeliaran.

Kami juga melihat Jaipur baru dengan bangunan yang dibina oleh Raja Ram Singh yang mula memerintah pada tahun 1854. Kami singgah di Albert Hall yang diasaskan oleh Prince of Wales pada tahun 1876.

Sebelum pulang ke hotel, kami dibawa ke sebuah gedung menjual karpet dan kraftangan. Melihat proses membuat karpet secara manual. Proses yang sukar dan harganya pun lumayan. Termenung bila ditunjukkan dengan contoh karpet berharga berpuluh ribu ringgit.

Balik ke hotel, selepas makan malam, kami dihiburkan dengan tarian tradisional Rajasthan. Nyenyak tidur kami malam tu. Tak sabar menanti hari kedua di Jaipur.


Lagi gambar di sini

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails