Khamis, November 08, 2007

Travelog Haji - Muhd Kamil Ibrahim



Travelog Haji; Mengubah Sempadan Iman
Muhd Kamil Ibrahim,
PTS Islamika
Harga: RM 26.00
ISBN 983-192-355-3
178 halaman




Kali pertama saya bertemu penulis buku ini sewaktu Pesta Buku Kuala Lumpur 2007. Kami berjanji bertemu di gerai PTS. Sewaktu Pesta Buku itulah juga beliau bertemu dengan Puan Ainon Mohd, tokeh PTS dan menyatakan hasrat untuk merakamkan catatan perjalanan beliau ke Tanah Suci. Hari ini, tidak sampai setahun dari tarikh itu, buku Travelog Haji, Mengubah Sempadan Iman ini sudah berada di pasaran. Lebih mengejutkan, buku yang baru sahaja dilancarkan Ramadan yang lalu, ini sudah habis di pasaran!

Apakah rahsia di sebalik kejayaan buku ini? Ada banyak sebab sebenarnya.

Penulis buku ini Professor Muhd Kamil Ibrahim merupakan seorang Professor Perakaunan di UiTM. Dalam kerjaya, beliau dianggap seorang high flyers, yang sentiasa berjaya dan mendapat apa yang dihajati dalam hidup. Sepanjang hidup beliau sentiasa berjaya dalam pelajaran, menghabiskan pelajaran lebih awal dari orang lain. Beliau merupakan antara Professor termuda UiTM bila dilantik ke jawatan itu dalam usia 39 tahun. Apa lagi yang beliau tidak miliki. Namun jauh di sudut hati Muhd Kamil sedar beliau punya kekurangan peribadi yang sangat personal.

Beliau dengan terus terang mengaku kekurangan dari segi ilmu dan amalan agama. Muhd Kamil mungkin mewakili ramai dari kita, jahil dari sudut ilmu dan amalan agama. Kita ramai yang jahil agama tetapi tidak mahu mengaku, malah ada yang jahil tetapi berlagak alim, menipu diri dan menipu orang ramai. Berlainan dengan penulis buku ini, beliau mengaku jahil tetapi tidak malu belajar semula di usia yang bukan lagi muda. Beliau belajar mengenal huruf Al-Qur’an sewaktu sudah bergelar Professor. Beliau mula mengenal ibadah khusus seperti solat dan puasa.

Muhd Kamil bercerita di dalam buku ini, bahawa ibadah haji bukan bermula hanya bila menjejakkan kaki di tanah suci. Travelog Haji ini bukan bermula setelah memakai ihram. Ibadah haji sudah bermula apabila kita mula memasang niat untuk menunaikan haji. Niat itu mesti diikuti dengan persiapan jasmani dan rohani, jiwa dan raga. Perjalann Haji juga tidak berakhir tatkala sampai ke tanahair, tetapi ia sebenarnya baru akan bermula apabila pulang dengan gelaran Haji.

Saya pernah cuba menulis travelog umrah di blog ini. Namun saya tidak punya kekuatan untuk menamatkan cerita saya. Perjalanan ke Tanah Suci, saya anggap satu perjalanan yang sangat personal sifatnya. Banyak perkara yang tidak mungkin dapat dikongsi. Hanya mereka yang punya keberanian, niat yang tulus dan ikhlas boleh menulis kisah perjalanan tersebut.

Itulah kekuatan Muhd Kamil Ibrahim, penulis buku ini. Travelog Haji ditulis dengan sepenuh jiwa. Perjalanan itu ditulis dengan penuh jujur, rasa ikhlas dan tulus, kadang-kadang terasa penulisnya sangat merendah diri, walaupun beliau sebenarnya cerdik dan punya bekalan ilmu yang cukup untuk mengerjakan ibadah Haji.

Buku ini ditulis secara bersahaja, menyelitkan banyak panduan praktikal dan berguna kepada yang akan menunaikan ibadah haji. Ia boleh meruntun jiwa dan menarik-narik jiwa yang belum berfikir mahu ke sana. Ianya juga bakal menggamit kenangan bagi yang sudah menunaikan Haji.

Buku ini begitu berkesan di hati. Buku ini ditulis oleh penulisnya setelah memohon di depan Baitullah untuk merakamkan kisah perjalanan di Tanah Suci.

Terima kasih Prof Kamil kerana mencatatkan nama jiwarasa di permulaan buku ini. Rasa sungguh terkejut dan terharu. Terima kasih kerana menulis buku ini.

Selamat ke Tanah Suci saya ucapkan kepada sepupu saya Wan Ainon Mior Othman dan sepupu Suri, Nor Azean Mohd Nor. Kedua mereka kami hadiahkan buku ini sebagai bekalan. Kami gembira kerana mereka telah selesai membaca buku ini. Moga mendapat haji mabrur.

1 ulasan:

依之汉 berkata...

Saya setuju dengan pandangan tuan. Apabila saya membaca buku ini, terasa diri saya ini juga jahil dalam pengetahuan agama. Lihatlah, orang tuapun boleh mendapat hidayah, apatah lagi anak muda seperti saya ini?

Saya beli siri kedua buku ini. Cuma tak sempat habis baca lagi. Yang pasti, nikmat pergi haji hanya yang pernah pergi sahaja dapat merasainya dengan betul.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails