Selasa, Mei 15, 2007

Setitis Embun Semarak Api

.
.
Setitis Embun Semarak Api
Shahnon Ahmad
Cetakan Pertama 2006
Alaf 21
508 halaman


Saya asyik membaca buku ini. Buku tulisan SN Shahnon Ahmad. Setitis Embun Semarak Api tajuknya. Buku ini saya beli dari ujanailmu.com.

Buku ini dikatakan sebagai autobiografi SN Shahnon Ahmad. Ianya menceritakan kisah diri Shahnon Ahmad sebagai seorang penulis dan sasterawan, juga sebagai seorang anak dan seorang suami, Beliau bercerita tentang pengalaman beliau di dalam parti polirik juga kisah cinta beliau semasa muda.

Ada yang mengatakan buku ini bukan autobiografi tetapi lebih kepada buku proses penulisan ktreatif SN Shahnon Ahmad. Sebenarnya buku ini adalah gabungan keduanya. Pengalaman peribadi beliau dan juga kisah bagaimana menghasilkan karya-karya.

Pembaca buku ini akan tenggelam dalam keasyikan bila membaca bagaimana beliau menghasilkan karya besar seperti Ranjau Sepanjang Jalan atau Srengenge.

SN Shahnon bercerita tentang kekecewaan beliau apabila novel SHIT telah dikecam hebat hanya kerana ianya berani mendedahkan kebusukan seorang yang busuk. SN Shahnon dikatakan sebagi penulis lucah. Kata beliau tugas sasterawan ialah menulis apa yang benar di dalam masyarakat. Jika masyarakat itu sendiri sudah lucah, maka lucahlah juga yang ditulis. Sensitiviti penulis perlu bertolak dari masyarakt, bukan daripada kekosongan. SN Shahnon menyindir golongan penulis yang menulis yang muluk sedangkan mereka sedar yang jelas kelihatan di dalam masyarakat adalah keadaan yang tidak beradab, tak senonoh, keji dan lucah. Wabak gejala sosial yang melanda negara dalah satu realiti, satu kenyataan; bukab satu khayalan atau pembohongan.



Kepada seorang sasterawan yang hanya didendangi alunan romantisme dan belaian bayu sepoi-sepoi bahasa, realiti yang terpampang di depan mata ni tak bermakna apa-apa lagi. Hilang segala idealisme yang dulunya menebal. Mereka tetap dengan romantisme dan belaian bayu mereka sahaja. Mereka memang wujud dalam realiti itu tapi ia langsung tidak menyusah dan memedihkan hati mereka. Mereka terus bernafas lega dan indah dalam realiti yang serba songsang itu. Mereka masih tersenyum walaupun terus berada dalam realiti yang penuh onak dan duri. Mereka sebenarnya terlalu kaya dengan imaginasi dan sensitiviti yang tak terjalin pada realiti yang berpijak pada bumi nyata, yang mengelilingi tubuh dan rohani mereka.(halaman 390-391)



SN Shahnon juga bercerita tentang karya-karya beliau yang tidak pernah dibukukan. Beliau juga bercerita tentang kekecewaan apabila `Awan Terus Bermendung Tapi Hujan Tak Juga Turun.' Beliau maksudkan ilham yang banyak tetapi tidak ditumpahkan kepada penulisan karya. Novel Al-Syiqaq yang merupakan kisah hidup Shahnon sepatutnya ada sambungan tetapi terhenti begitu sahaja.

SN Shahnon juga menulis dan merakamkan monolog beliau dengan alam, dalam siri beruzlah. Beliau bermonolog dengan pokok, sungai, hujan, bukit, api, angin, embun air dan api. Saya rasa, monolog ini adalah period SN Shahnon `merajuk' dengan manusia yang dikatakannya sudah lupa diri dan melakukan munkar di muka bumi.

Buku ini terkandung 100 tulisan ringkas SN Shahnon Ahmad yang setiap satunya sangat menarik dan bervariasi sifatnya. Buku ini adalah naskhah wajib untuk peminat karya SN Shahnon Ahmad juga kepada para penulis.


Hati saya tersentuh bila SN Shahnon menulis di Mukadimah;


Tolong doakan ke hadrat Allah supaya saya diberi olehnya segala kemudahan sewaktu hendak berhijarh ke alam barzakh kelak seterusnya aman damai dalam penerusan perjalanan ke padang mahsyar.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails