Jumaat, September 12, 2014

10 Buku Berkesan di Jiwa


Apabila diminta menyenaraikan 10 judul buku yang paling memberi kesan pada diri, saya termenung lama.Fikiran melayang ke rak buku di rumah dan  terbayang wajah buku-buku yang saya sayang. Memilih 50 pun sudah sukar apalagi 10 kerana sungguh banyak buku-buku yang telah meninggalkan kesan yang bukan sedikit dalam hidup saya. Ada buku yang datang ketika saya masih kanak-kanak yang baru mengenal huruf dan aksara. Ada buku yang menjadi teman ketika remaja dan baru mengenal dunia ada yang menemankan saya dalam setiap takah di sepanjang perjalanan dalam hidup.

Saya beruntung mempunyai Mak dan Abah yang sangat cintakan ilmu dan bahan bacaan. Gerobok buku Mak dan Abahlah yang menjadi tempat awal saya mengenali buku.  Mak dan Abah sering membawa pulang buku-buku dari perpustakaan sekolah untuk kami baca. Mak membawa buku-buku  seperti karya Enid Blyton dan buku cerita kanak-kanak yang banyak di khutub khanah sekolah rendah. Abah pula membawa pulang karya sastera negara, novel dan antologi cerpen yang banyak di khutub  khanah sekolah menengah tempat Abah mengajar.

Antara buku yang saya rasakan banyak memberi kesan pada pemikiran saya juga penerokaan saya mencari banyak buku-buku lain ialah buku-buku seperti di bawah. Maaf tidak dapat menahan diri untuk menyenaraikan lebih dari 10.  Senarai ini hanya sebahagian dari diri saya. Banyak yang lain yang mungkin saya lupa terapi ianya tetap menjadi sebahagian dari jiwa dan rasa saya.

1. Soal Jawab Agama A Hasan Bandung (Jilid 1 & 2)
Buku ini merupakan kumpulan soalan yang ditujukan kepada A Hasan Bandung tentang masalah fekah. Buku ini telah memberikan pendedahan yang mengejutkan saya tentang pemikiran dan gerakan Kaum Muda di nusantara. Membaca ketika masih di sekolah rendah buku ini telah menemukan saya berpuluh jika tidak beratus lagi buku lain tentang gerakan salafi  yang kini diberi gelaran Wahabi.  Akhir tahun 70an rasanya bacaan sebegini memang sukar ditemui dan saya hanya temui di gerobok buku milik Abah. Empat puluh tahun kemudian saya mencari semula buku ini di Pustaka Indonesia sebagai koleksi peribadi. Buku ini mencetuskan minat saya untuk membaca buku-buku tentang pemikiran Islam, politik nusantara dan tokoh-tokoh seputarnya.

2. Nadra Tragedy Haja Mahiden
Buku yang saya baca ketika cuti sekolah sementara masuk ke universiti. Buku ini yang menceritakan secara dramatik peristiwa berkaitan Peristiwa Natrah yang membawa saya mencari buku-buku mengenai tokoh-tokoh yang terlibat seperti Burhanudin Helmi, Taha Kalu dan Prof Ahmad Ibrahim. Buku ini mencetuskan minat mendalam terhadap sejarah tanahair, tentang jihad dan juga minat terhadap subjek undang-undang.

3. 7 Habits of Highly Effective People Stephen R Covey
Kalau kita hanya ada satu buku pengembangan diri yang perlu dibaca saya syorkan buku ini. Buku ini saya baca semasa masih di awal tahun di universiti. Buku ini sering disebut mempunyai  nilai spiritual yang menghampiri nilai Islam. Sampai sekarang saya masih ingat info dalam buku itu dan sering saya kongsikan di tempat kerja.
4.Kuartet Buru ( Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Rumah Kaca dan Jejak Langkah) oleh Pramoedya Ananta Toer
Membaca Karya wajib Pramoedya Ananta Toer ini bagai membaca seluruh sejarah Indonesia dan nusantara. Watak Minke dan Nyai Ontosoroh akan selalu timbul dan hilang sepanjang kehidupan.

5.Mute Solliloquy Pramoedya Ananta Toer
Buku yang memperkenalkan saya kepada karya Pramoedya Ananta Toer. Saya beli  murah dilonggok di kedai buku Popular di Parkson Ipoh. Kisah para tahanan di Pulau Buru ini begitu berkesan sehingga basah pipi bila membacanya. Terutamanya bila membaca surat-surat beaiu kepada isteri dan anak-anak. Buku ini berjaya menjadikan saya peminat tegar Pram yang memiliki hampir kesemua karya beliau.

6. 1515 Faisal Tehrani
Karya pertama Faisal Tehrani yang saya baca dan semenjak itu saya mengumpul dan membaca kesemua karya beliau. Karya Oksidentalisme yang mengjungkirbalikkan sejarah kedatangan Portugis dengan menaikkan watak Nyemah Mulya. Buku ini mendorong saya mencari semula buku-buku lain yang merungkai jati diri seorang Melayu.

7. Filsafat Pendidikan Islam SM Naquib Alattas oleh Wan Mohd Nor Wan Daud
Buku terbaik menceritakan tentang falsafah pendidikan SMN Naquib Al-Attas. Buku ini bagai prelude atau gerbang untuk membaca dan memahami karya-karya SMN Alattas. Saya paling suka bab perbandingan pemikiran SMN Alattas dengan tokoh lain seperti Seyyed Hossein Nasr dan Fazlur Rahman di hujung buku.

8. Haji oleh Ali Shariati. Buku pertama Ali Shariati yang saya  baca ketika di perpustakaan universiti. Buku yang mengubah persepsi terhadap ibadah haji yang sepatutnya dinamis dan banyak menonjolkan simbolisme manusia dan Islam.  Buku ini membawa saya meneroka karya Ali Shariati yang lain juga penulis Iran yang lain seperti Murtadha Mutahhari.

9. Wajah Peradaban Barat Adian Husaini. Buku terbaik Adian Husaini yang menceritakan secara detail kelahiran faham barat seperti liberalisme agama dan pluralisme agama.

10 Naratif Ogonshoto Anwar Ridhwan
Ini karya magnum opus Anwar RIdhwan yang tak jemu dibaca berulangkali. Watak dan plot cerita yang aneh, pelik, melucukan dan menghairankan. Rasa mahu baca semula.

11. Hujan Pagi A Samad Said
Pada saya ini novel terbaik Pak Samad. Kisah seorang wartawan akhbar yang hidup di alamnya sendiri.

12. Lamunan Puitis Sebuah Trilogi Shahnon Ahmad
Karya Pak Shahnon di saat akhir beliau menjadi wakil rakyat. Tiga kisah yang indah penceritaannya. Sejuk membacanya bagai membaca kisah hidup penulisnya

13. How To Read A Book Mortimer  J Adler
Buku wajib untuk peminat buku tentang falsafah membaca.

14. Life of Pi Yann Martel
Kisah kehebatan tukang cerita. Sukar untuk kita mempercayai yang mana betul yang mana tidak. Ditambah pula kisah kecelaruan pluralisme agama.

15. 120 Malay Movies Amir Muhammad
Buku yang mengumpulkan 120 filem Melayu lama dan diberi ulasan dengan mengambil peristiwa yang berlaku sezaman. Satu karya hebat tentang filem Melayu. Buku ini menimbulkan rasa hormat saya akan kehebatan pengarah filem Melayu dahul yang banyak menghasilkan filem yang mendahului zaman.

16. What Your Teacher Didn’t Tell You Farish A Noor. Antara penulis yang saya minat dan siri tulisan dalam buku ini melihat sejarah, seni dan budaya dari perspektif yang berbeza.

17. Tetralogi Laskar Pelangi (Laskar Pelangi,  Sang Pemimpi, Edensor dan Maryama Karpov
Kisah impian anak-anak menyusuri zaman penuh keindahan.

18. Sophies World Jostein Gaarder
Kisah sejarah falsafah barat melalui pengembaraan Sophie  yang terperangkap di dalam dunia lain seperti cerita Alice in Wonderland. Buku yang saya baca di tahun 90an ini berjaya mencetuskan minat saya untuk menyelongkar dunia falsafah barat

19. Enrique Mengundang Jauh HM Tuah Iskandar
Kisah menjejak semula jejak pengembaraan Enrique Panglima Awang mengelilingi dunia ini memukau dan membuka keyakinan diri juga kekuatan bangsa Melayu. Walaupun fiksyen tapi ianya membuka ruang untuk saya meneroka buku-buku lain berkisar jati diri bangsa Melayu, sejarah tamadun bangsa juga sejarah tamadun Islam.

20 Kembara Sastera Nisah Haron. UK dan Dublin. Kisah pengembaraan rakan peminat buku Nisah Haron ke bumi Inggeris sangat mengujakan kerana disitulah tempat yang jadi impian saya untuk pergi.

Jumaat, Disember 14, 2012

Hati Tertinggal di Bumi Kenyalang


Tahun 2009, saya mendapat berita yang agak mengejutkan bila diminta berpindah ke Kuching Sarawak.  Terkejut kerana tidak pernah bermimpi untuk bertugas di Kuching, Sarawak. Tidak banyak yang saya tahu tentang Sarawak. Pernah sekali datang bercuti. Itu pun terlalu singkat untuk menyelami denyut dan rentak hidup di bumi Kenyalang. Lalu berita penukaran tempat kerja dari Pulau Mutiara ke Bumi Kenyalang disambut dengan perasaan bercampur. Tidak tahu apa yang akan ditemui.

Namun, syukur juga kepada Allah, kami bertiga dapat hidup bersama di Kuching tidak seperti sebelumnya. Dahulu saya di Bukit Mertajam dan keluarga di Ipoh. Setiap lekuk dan selekoh Lebuhraya Juru- Ipoh tentu mengenali kereta saya yang menyusup terbang bagai tidak jejak ke bumi ketika berulang-alik setiap hujung minggu. Kuching berjaya menemukan kami sebagai sebuah keluarga.

Hari demi hari Bumi Kenyalang berjaya memikat hati saya. Saya terpaut dengan keramahtamahan orangnya. Dalam masa yang singkat kami jumpa ramai kenalan yang kemudiannya menjadi sahabat. Bumi Kenyalang banyak meninggalkan kenangan manis. Kami berdua mendapat panggilan untuk menunaikan haji ketika di Kuching dan menjalani kursus haji d Masjid Bahagian Kuching. Syukur dengan Nikmat Allah, sekembali dari Tanah Suci,  kami lebih kerap menyapa jemaah di Masjid Darul Barakah BDC. Kami bertemu ramai kawan-kawan baru yang kemudiannya sudah menjadi bagai saudara baru yang sukar dicari ganti.

Lalu, bila bos menelefon memberitahu untuk bersiap berpindah kembali ke Malaya, saya rasa tersentak. Bagai kehilangan tali hayat mengenangkan keindahan dan kedamaian hidup di bumi Kenyalang. Saya mula terkenangkan serata ceruk Sarawak yang pernah saya kunjungi. Teringatkan orang Kenyah, Kayan dan Penan di Ulu Baram. Terkenangkan rakan-rakan di Bintulu, Sibu dan Miri, selain dari Kuching. Terkenang juga kunjungan ke bumi Indonesia terutamanya Kalimantan Barat. Akan dapatkah mengalami semula perjalanan jauh dari Kuching ke Kota Pontianak yang memakan 10 jam perjalanan darat. Begitu juga daerah Sintang dan Sanggau juga Singkawang dan Serukam.

Baru saya sedar jiwa sudah terpaut dengan keramahan bumi Sarawak. Jika tidak kerana Mak dan Abah jauh di Perak, kami mungkin memilih kekal di Kuching sehingga persaraan.  Saya juga baru sedar, banyak lagi ceruk bumi Sarawak yang belum diterokai, dan banyak juga perkara yang belum sempat saya perbuat.

Hampir empat tahun di Sarawak. Ria dalam duka. Gembira kerana pulang ke Malaya, hampir dengan keluarga. Duka kerana meninggalkan satu episod yang paling menarik dalam hidup kami sekeluarga.  
Tersedar juga bahawa nikmat dan bahagia dalam hidup itu adalah milik Allah. Kita merancang, tetapi kita tidak tahu Allah sebaik-baik perancang dan ada yang lebih baik tersedia untuk kita di masa hadapan.  

Berlabuhnya matahari di akhir tahun ini bermakna berakhirlah satu episod di bumi Kenyalang. Sedih meninggalkan memori dan kenangan di Bumi Kenyalang. Gembira meneroka yang baru dan moga kami bertemu bahagia di Negeri Serambi Mekah.

Khamis, Januari 26, 2012

Penyeberang Sempadan - SN Anwar Ridhwan



Penyeberang Sempadan


oleh SN
Paperback, 451 halaman
Penerbit  Utusan Publications & Distributors
ISBN139789676125460
Tahun 2012
dibeli di Popular City Square Johor Bharu.
Novel ini datang ke dakapan pembaca dengan harapan yang tinggi. Ditulis oleh seorang penulis yang baru diangkat sebagai seorang Sasterawan Negara. Lalu, novel ini perlulah memenuhi hasrat pembaca yang mahu membaca novel yang berkualiti dan bermutu tinggi.
Secara keseluruhan, novel ini ditulis dengan baik. Jika tidak, mana mungkin ianya memenangi tempat pertama Hadiah Sako bagi Novel Nasional 2011.  Ia mengambil latar masa dan tempat yang menarik. Zaman rusuh ketika melawan penjajah kolonial memang dekad yang penuh warna-warna. Hatta, karya sastera nasional, sepanjang sejarahnya, banyak yang berjaya merakamkan dekad tersebut dengan begitu berjaya sekali.

Walaupun tidak sehebat Naratif Ogonshoto, novel ini masih juga menarik dibaca. Seperti membaca sebuah travelog. Jika pernah membaca memoir tokoh Indonesia,Tan Malaka, Dari Penjara Ke Penjara, ada banyak persamaan. Tan Malaka melalui perjalanan yang hampir sama dan melewati zaman yang sama. Yang membezakannya, Tan Malaka tetap dengan prinsip perjuangan menentang kapitalisme dan kolonialisme barat hingga ke akhir hayat. Watak utama novel ini pula bagai seorang pejuang yang kebingungan mengikut arus. Pertengahan novel ini ada juga seakan-akan kisah perjalanan seperti travelog Enrique Mengundang jauh tulisan HM Tuah Iskandar yang mencari jati diri Melayu di benua Eropah.


Novel ini mungkin sesuai untuk mereka yang lahir di zaman pasca komunis. Satu pengenalan yang baik buat anak muda yang tidak faham dengan bahaya komunis dan tidak biasa dengan perintah darurat. Buat yang mereka yang sudah akrab dengan tulisan golongan kiri, terutama tulisan  para pejuang API dan Rejimen 10 PKM, data-data yang dikutip dan diceritakan di dalam novel ini mungkin tidak begitu memikat. Bagai tidak terlihat jiwa pejuangnya kerana senang benar bertukar pegangan. Penulis pula mencari jalan selamat dengan kelihatan cuba untuk tidak memihak atau menghukum ideologi yang bertentangan di zaman itu. 


Novel ini akan jadi lebih menarik jika lukisan gejolak jiwa seorang pejuang diberi warna yang lebih. Kenapa pejuang kiri dahulu memilih jalan gerila dan berganding dengan PKM sebenarnya sangat menarik untuk diceritakan, dicerekakan bahkan boleh dijadikan skrip filem yang menarik. Memoir golongan kiri seperti Memoir Ahmad Boestamam Merdeka dengan Darah dalam Api, Memoir Shamsiah Fakeh, Dari Awas ke Rejimen ke-10, Memoir Ibrahim Chik dan sebagainya boleh dirujuk.


Wacana tentang ideologi yang bertentangan juga tidak dihuraikan secara mendalam di dalam novel ini. Alangkah bagusnya jika penulis dapat mengembangkan wacana antara ideologi seperti yang telah digarap dengan baik oleh Faisal Tehrani dalam Tuhan Manusia. Alangkah bagus jika penulis dapat menjawab soalan mengapa kebanyakan Melayu yang menyertai perjuangan komunis di zaman itu dari latarbelakang agama yang kuat. Saya tidak fikir golongan kiri di zaman itu memilih komunisme kerana tertarik dengan ideologinya, sebagaimana kita melihat fahaman komunisme sekarang. Konteks dan latar politik dunia perlu dilihat untuk memberi gambaran adil dan saksama.


Konflik diri dan sindrom yang menghantui watak utama mengingatkan saya pada watak utama novel Hujan Pagi karya SN A Samad Said. Cubaan yang baik tetapi tidak boleh menandingi kehebatan Hujan Pagi dengan watak pengarang Lokman dan halusinasinya.


Perjalanan watak utama di hujung novel bagai membaca memoir Kassim Ahmad dalam Mencari Jalan Pulang. Watak utama novel ini mungkin lebih berjaya berbanding Kassim Ahmad yang masih mencari-cari jalan pulang, tapi masih belum berjumpa, kerana mencari di tempat yang salah.


Jika tidak kerana penghabisan novel ini yang melengkapkan pencarian watak utama, saya mungkin memberi tiga bintang sahaja untuk novel ini. Saya masih belum tertarik dengan buku ini sehinggalah di pertengahan novel. Di tengah-tengah novel saya sudah mula berprasangka mungkinkah novel ini akan mengikut jalur-jalur seperti yang sering dipaparkan dalam akhbar Utusan, yang kebetulan adalah penganjur sayembara ini. Kisah cereka di muka hadapan, yang kita tahu ke mana arah penamatnya, kerana skripnya sudah lama ditentukan di belakang tabir.

Mujur, penulis menamatkan novel ini dengan cara selamat dan saya beri 4 suku bintang untuk novel ini.

Sabtu, Februari 26, 2011

Dah lagu tu. Nak lagu mana lagi!!











 Sampul album Phoenix Bangkit M Nasir. Lirik lagu Dah Lagu Tu! dan Lukisan Bayu Uomo Radjikin




Dah Lagu Tu !
(lagu dan lirik M Nasir)

Istanamu telah lama didakap debu
Serinya pula telah hilang
Aku datang tepat waktu
Tapi kau masih ragu kesan luka lalu

Raja-raja dulu telah fana dimakan zaman
Kini tinggal kau tanpa pilihan
Kecuali mahu membiarkan
Hidup di awang-awangan
Mengharapkan yang tak mungkin menjelma

Dah lagu tu nak lagu mana lagi
Biar bagaimanapun kau cuba menghindari
Aku berikan padamu kembang penawar luka
Tiada lagi hari sedihmu

Raja-raja dulu telah fana di makan zaman
Kini tinggal kau tanpa pilihan
Kecuali mahu membiarkan
Hidup di awang-awangan
Mengharapkan yang tak mungkin menjelma

Sanggupkah kau melepaskan cinta
Dan menantikannya untuk selamanya
Aku berikan padamu kuntum penawar luka
Tiada yang lebih dari itu

Dah lagu tu nak lagu mana lagi
Biar bagaimanapun kau cuba menghindari
Aku berikan padamu kembang penawar luka
Tiada hari seindah ini


Lama rasanya saya tak mendengar semula lagu-lagu M Nasir dan menghayati lirik-liriknya. Dahulu, lagu-lagu M Nasir menjadi antara sumber inspirasi saya untuk meneroka mencari maklumat dan ilmu. Lirik-lirik lagu nyanyian M Nasir, khasnya lagu-lagu dalam album Phoenix Bangkit membawa pendengar meneroka ke merata dunia dan merentas zaman. Kisah Jalaludin Rumi dan Mathnawi dilahirkan dalam lirik lagu Bila Rumi Menari. Kisah Pandawa dan Kurawa yang diangkat dari epik Mahabrata digubah dengan begitu indah dalam lagu Langgam Pak Dogo. Lagu Raikan Cinta menggali semula sejarah Siti Hajar dan Nabi Ismail. Lagu Masirah pula mengimbau kisah Muhammad ad Durrah, kanak-kanak berumur 12 tahun yang dibunuh Isarael.

Lagu Dah lagu tu! adalah antara lagu yang saya minati. Mendengar lagunya membuahkan rasa rindu pada leluhur. Rindu pada zaman dahulu. Zaman raja-raja dahulukala. Lagu ini sarat dengan pengaruh muzik Sunda. Tiupan seruling oleh Mohar bisa membuai rasa. Ditambah pula getar petikan kecapi Sunda oleh Zarul Al-Bakri yang berselang seli oleh ketukan gendang Sunda oleh Ramli Jawa.

Iramanya mendayu-dayu diperkemaskan lagi dengan lirik yang mempunyai kisah dan makna yang sangat menarik. Lagu ini terbit di awal tahun 2000 ketika suasana politik dalam negara masih panas bahangnya. Ia mengisahkan kisah seorang Maharaja yang sudah lama duduk di puncak kekuasaan. Lamanya di tampuk sehingga sukar mahu melepaskan takhta. Lebih menarik lagi, tajuk lagu itu `Dah Lagu tu' adalah dialek dari negeri sebelah utara. Mujurlah orang Melayu sudah ramai yang tidak memahami bahasa Melayu dan tidak memahami maksud yang tersirat di sebalik lirik lagu ini. Jika tidak, sudah tentu ada kelompok yang mahu menjerit mahu membakar album Phoenix Bangkit karya M Nasir ini.

Kini, putaran hidup bermula lagi. Pemimpin-pemimpin dunia di negara Arab sudah diminta turun dari puncak kuasa. Siapa sangka pemimpin yang pernah dijulang sebagai hero dan penyelamat bangsa boleh diturunkan dengan hina dan paksa. Bukan sedikit jasa dan budi mereka dahulu, lalu dijulang oleh rakyat ke tampuk kuasa. Namun, begitulah adat, bila sudah lama duduk di kerusi empuk, kadang-kadang lupa nasib  rakyat yang hidup berlantaikan tanah berbumikan langit. Lama sangat di tampuk, tidak sedar rupanya orang sudah tidak berkenan lagi.

Jangan cepat sangat bersorak melihat mereka diseret ke bawah oleh rakyat, tanpa mahu mengambil iktibar. Ini pesan untuk semua. Pemimpin besar dan kecil. Bukan raja-raja sahaja boleh jatuh. Pemimpin kecil juga boleh jatuh jika tidak menjunjung amanah. Memimpin itu amanah yang akan ditanya nanti. Harus diingat, yang menjawab nanti bukannya mulut kita, tetapi mulut mereka yang kita pimpin.

Sabtu, Oktober 02, 2010

Bertamu ke Rumah Allah 10/10/10


Tahun 2006 kami bertuah dapat menunaikan umrah ke Tanah Suci bersama Mak dan Abah. Pengalaman tersebut benar-benar menawan hati kami untuk kembali lagi dan segera menunaikan fardu haji. Kami sudah berdaftar dengan Tabung Haji seawal tahun 2000.

Dengan keizinan Allah, kami mendapat khabar baik yang nama kami telah tersenarai untuk menunaikan haji awal tahun ini setelah kami berhijrah ke Kuching, Sarawak. Rasa bersyukur kerana semenjak pindah ke Kuching, banyak benar rahmat dan rezeki Allah yang kami terima. Ketenangan hidup di Kuching menjadi penawar hati yang berjauhan dengan keluarga dan teman di semenanjung.

Sepertimana bakal haji yang lain, kami mengikuti kursus haji di Kuching. Setiap pagi minggu kami berdua ke Masjid Bahagian, Kuching untuk mengambil bekal ilmu dan pengetahuan untuk dibawa ke Mekah. Ustaz Jogi Hj Suhaili, Imam Besar Masjid Jamik Kuching menjadi pembimbing utama dan dibantu oleh Ustaz Fauzi dan Ustaz Ibrahim Hailee. Pengalaman yang sangat menarik kerana kursus haji juga menjadi kursus belajar bahasa Melayu Sarawak buat kami berdua.  Ramai bertemu kenalan baru, walaupun ramai dari mereka sebenarnya belum dapat pengesahan untuk pergi haji tahun ini. Namun kami mungkin tidak bersama dengan rakan semasa kursus haji kerana kami memilih untuk berangkat dari Kelana Jaya.

Alhamdulillah seminggu selepas Hari Raya Aidil Fitri kami mendapat pengesahan tarikh untuk berangkat ke Tanah Suci.  Alangkah gembiranya hati saya  kerana impian untuk ke Tanah Suci sebelum usia mencecah 40 tercapai. Lebih gembira kerana akan menyambut hari ulangtahun kelahiran di Tanah Suci.  Bolehlah kami sambut dengan nasi Arab di sana. :)

Insya Allah kami akan pulang ke Semanjung pada 6/10/10. Ingin pulang ke kampung meminta doa restu orang tua di Sg Siput dan di Padang Rengas juga untuk menitip Ayshah.

Berat hati untuk meninggalkan Ayshah bersama Atuk dan Opah di kampung. Mujur, pembantu rumah kami yang baru sempat datang sebelum kami berangkat. Bolehlah tengok-tengokkan si kecil.  Moga rindu Ayshah terubat juga dengan kehadiran sepupunya di kampung, Abang Imran, Kak Nyah dan Yob Am. Kelmarin Ayshah demam dan ponteng sekolah tadika. Bibik Ayshah beritahu kami, Ayshah ada sebut yang dia nak ikut Mama dan Dedi pergi Mekah. 

Moga Allah permudahkan perjalanan kami dan urusan kami pergi dan pulang. Mohon teman-teman juga doakan keselamatan kami yang pergi dan mereka yang tinggal. Doakan kami mendapat haji mabrur dan pulang sebagai insan yang lebih baik. Kami berdua ingin menyusun jari memohon kemaafan di atas segala kekurangan dan kesilapan sepanjang perkenalan dan persahabatan. Mohon doa dari teman-teman  supaya perjalanan kami pergi dan pulang sentiasa di bawah lembayung rahmat dan keselamatan Allah. Doakan kami mendapat haji mabrur dan pulang sebagai insan yang lebih baik dari hari ini.

Kami akan mendaftar diri di Kelana Jaya tengah malam 9/10/10 untuk berangkat pada 10/10/10 awal pagi. Penerbangan KT05 antara penerbangan awal ke Jeddah dan kami akan mengerjakan haji Tamatuk. Kami akan pulang ke tanahair pada 25/11/10. Insya Allah jika ada jodoh kita bertemu kembali.

 www.jiwarasa.blogspot.com

Posted by Picasa

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails