Rabu, Februari 28, 2007

Istana Pagar Ruyung Terbakar!




Rakan sekerja saya baru telefon dari Padang. Berita yang menyedihkan. Istana Pagar Ruyung yang baru kami lawati awal bulan ini, sudah hangus dibakar api! Kebakaran bermula jama 8 malam semalam.

Khabarnya, semalam telah berlaku lintar pintas, mengakibatkan keseluruhan Istana itu terbakar. Yang tinggal hanya pondok kecil di tepi Istana, tempat menyimpan beras Istana.







Foto Media Indonesia




Lagi berita di sini..

Antara News
Media Indonesia
Blog Priyatna

Selasa, Februari 27, 2007

6 Keganjilan

.

Dalam banyak-banyak orang Prof Kamil memilih saya untuk menjawab Tag 6 keganjilan. Kalau orang lain mungkin juga saya fikir dua tiga kali. Bukan tidak sporting, tetapi saya sering bergelut dengan masa. Nak tulis tentang buku di blog pun terpaksa bergelut dengan beban kerja yang banyak. Saya sangat hormat pada Prof Kamil, seorang Professor Perakaunan yang pernah menghadiahkan buku tulisannya tentang CSR di Malaysia kepada saya. Atas rasa segan dan hormat pada Prof Kamil, saya cuba jawab.

1. Bila tiba waktu makan, saya akan sibuk mencari bahan bacaan untuk dibaca semasa makan. Saya tidak begitu berkira. Apa sahaja boleh saya saya jadikan bahan bacaan. Suratkhabar, buku, majalah, brosur. Apa sahaja, asalkan ada benda untuk dibaca. Suratkhabar lama pun OK. Kalau tiada bahan bacaan, saya akan rasa gelisah. Kalau di pejabat, saya sengaja keluar makan di tempat yang tidak ramai orang, supaya saya boleh makan seorang sambil membaca.

2. Bila perut mula memulas, saya juga akan berbuat perkara yang sama. Sanggup menahan sakit perut, bahan bacaan akan dicari dahulu sebelum ke kamar mandi. Di dalam kamar mandi juga ada rak majalah yang jadi tempat saya letak majalah, buku dan suratkhabar. Kalau saya sudah masuk ke kamar kecil, jangan ditunggu!

3. Saya suka beli dan baca buku, tapi bila saya tengok semula koleksi buku saya, kebanyakan buku yang saya beli tidak ada kaitan dengan bidang kerja atau kelayakan akademik saya. Saya boleh kira buku perakaunan atau buku pengurusan di rak buku saya, yang kebanyakannya adalah buku-buku lama.

4. Saya ada tabiat yang ganjil iaitu mengigit jari apabila saya marah atau geram. Ini tabiat saya dari kecil. Sampai kematu jari-jari tangan saya. Tapi yang bagusnya, saya akan kelihatan cool dan jarang marah, mungkin kerana kemarahan sudah hilang selepas menggigit jari. Mungkin ini tips yang bagus untuk dicuba oleh mereka yang baran. Saya juga suka menggigit kuku apabila rasa excited atau teruja, terutama ketika membaca buku.

5.Nama saya juga bol;eh dikira ganjil untuk seorang Melayu. Ganjil tetapi glamor. Nama itu sebenarnya membawa tuah dan boleh buat orang tersenyum bila says suakan kad nama saya.Itu sebab saya tidak mahu guna nama sebenar di blog. Saya tak mahu orang bicara tentang nama, bukan tulisan saya.

6. Ada satu lagi keganjilan semasa kecil. Kata Abah masa kecil saya kuat menangis. Setiap malam. Sehingga diceritakan bahwa pusat saya tersembul keluar kerana kuat menangis. Orang-orang tua di kampung akan mengingati saya sebagai budak yang kuat menangis di tengah malam dahulu. Ada yang teringin nak tengok pusat tersembul saya yang dianggap ganjil dahulu. Untuk pengetahuan, pusat saya sudah normal sekarang, jadi tak payahlah gatal-gatal nak intai tengok pusat saya.


Saya masih berhutang satu Tag dari mamanaim . Akan menyusul. :)

Sabtu, Februari 24, 2007

Fajar Ilmu Baru lebih luas



Hari Jumaat saya ke KL, menghadiri kes di Mahkamah Perusahaan. Selesai urusan, saya berjalan kaki ke Wisma Yakin, ke Fajar Ilmu Baru. Sudah lain toko buku ini. Tuanpunya toko buku ini sedang dalam proses memperbesarkan toko. Baru seminggu diperbesarkan, tetapi masih belum selesai. Memang patut diperbesarkan, kerana koleksi buku-buku di sini memang sudah banyak. Sebelum ini banyak buku yang tersusun di lantai kerana kekurangan tempat. Kini terasa luas dan boleh bergerak dengan lebih selesa.

Saya beli beberapa buku yang memang pernah saya tengok dan simpan keinginan mahu beli dahulu.



1. Wacana Islam Liberal- editor Charles Kurzman, sebuah buku yang dianggap memulakan wacana dan debat tentang Islam liberal secara serius di Indonesia.

2.Al Milal wa Al-Nihal - buku terkenal karya Sharastani tentang sejarah agama dan falsafah.

3. Kitab Salahuddin - novel sejarah terkenal tulisan Tariq Ali, terjemahan buku Book of Saladin. Novel ini adalah fiksyen berasaskan kisah Salahudin Al Ayubi. Tariq Ali telah menulis novel tetralogi berasaskan sejarah Islam. Saya masih mencari buku Bayang-Bayang Pohon Delima tulisan beliau.

4. Soal Jawab A Hasan

5. Menyambut Sang Juru Selamat - Ali Syariati

6. Al-Huda - Jurnal Kajian Ilmu-Ilmu Islam



Kalau mahu mencari buku agama, buku pemikiran dan politik, falsafah dan sufi yang bermutu tinggi, carilah di Fajar Ilmu Baru.

Sekadar nota, mungkin ada yang bertanya. Saya tiada sebarang kepentingan dalam kedai buku ini. Tiada kaitan persaudaraan atau bisnes dengan pemilik kedai buku ini. Saya tidak dapat komisyen kerana bercerita tentang kedai buku di blog ini. Begitu juga dengan kedai buku lain yang pernah saya tulis di sini. Sesetengah dari mereka langsung tidak mengenali saya. Kalau ada kaitan pun mungkin minat yang sama menghargai dan menghormati buku bermutu tinggi.

Saya tulis di sini sekadar untuk berkongsi pengalaman dengan semua yang mencintai buku dan ilmu. Marilah kita jadikan kedai buku salah satu tempat yang wajib kita lawati.

Khamis, Februari 22, 2007

Pram dari Dekat Sekali - Koesalah S Toer

.



Judul : Pramoedya Ananta Toer dari Dekat Sekali
(Catatan Pribadi Koesalah Seobagyo Toer)
Penulis : Koesalah Soebagyo Toer
Penerbit : Kepustakaan Populer Gramedia (KPG)
Cetakan : I, Julai 2006
Tebal : xvi + 266 hlm




Pramoedya Ananta Toer, tokoh sasterawan Indonesia telah meninggal dunia pada 30 April, 2006. Karya peninggalan beliau telah banyak membawa kesan kepada pembaca. Buku beliau dilarang pengedarannya kerana dianggap berbahaya kepada rakyat Indonesia. Beliau dituduh cuba menyebarkan faham komunis dalam novelnya. Namun ianya dibaca secara sembunyi oleh rakyat Indonesia dan ianya diterjemahkan ke lebih dari 30 bahasa di seluruh dunia.

Sudah banyak buku dan tulisan yang menulis tentang karya Pramoedya. Kisah hidup beliau ketika dipenjara di Pulau Buru juga sudah beliau tulis dengan begitu bagus sekali. Namun peminat Pramoedya sudah tentu ingin tahu juga kisah peribadi Pramoedya sebagai seorang insan. Buku ini merupakan catatan peribadi seorang yang sangat dekat dengan kehidupan Pramoedya iaitu adik kandungnya sendiri.

Koesalah Soebagyo Toer adalah adik bongsu Pramoedya. Beliau juga menjadi pembantu Pramoedya dalam mengumpulkan dokumen berkaitan sejarah Indonesia. Pramoedya memnag berhasarayt untuk menulis sebuah ensiklopedia sejarah Indonesia. Buku ini mengumpulkan catatan peribadi Koesalah tentang abangnya, yang beliau tulis dari tahun 1981 hingga 20 April 2006, iaitu sepuluh hari sebelum Pram meninggal dunia.

Koesalah telah menulis 75 catatan pendek dan ringkas. Ianya dibahagikan kepada tiga bahagian besar mengikut urutan waktu iaitu Bahagian Pertama (1981-1986), Bahagian Kedua (1987-1992), dan Bahagian Ketiga (1992-2006)

Koesalah telah berjaya menulis buku ini dengan begitu baik sekali. Beliau telah berjaya merakamkan kisah peribadi Pramoedya yang belum diketahui peminatnya. Koesalah merasa bahwa dialah keranjang sampah Pram untuk hal-hal yang tidak dapat, tidak tepat, atau tidak patut dikemukakannya kepada orang lain. Kata Koesalah, catatan ini adalah semata-mata merupakan pernyataan tanggung jawabnya terhadap pembaca karya-karya Pram di Indonesia khususnya, dan dunia umumnya. Dengan demikian, orang dapat memahami Pram sebagai sosok yang nyata, bukan manusia di angan-angan atau lamunan.

Buku ini memuatkan kisah–kisah Pramoedya semasa kecil, bagaimana hubungan beliau dengan sanak saudara dan kasih beliau pada tanah kelahiran iaitu Blora.

Koesalah juga menulis tentang kegemaran Pramoedya iaitu membakar sampah. Pram suka mengumpul barang-barang pelik yang dijumpai semasa membakar sampah. Pernah suatu ketika beliau bertemu buku yang sudah langka iaitu buku Peristiwa coup Berdarah P.K.I. September 1948 di Madiun, tulisan Pinardi, terbitan 1967. Ini sangat menggembirakan Pram.

Banyak catatan yang menyentuh perasaan pembaca di dalam buku ini. Di saat-saat akhir hidupnya, ingatan Pramoedya sudah tidak kuat lagi. Beliau sendiri mengaku sudah menjadi pelupa. Banyak perkara yang beliau lupa dan ramai juga rakan yang beliau sudah tidak ingat.

Ada satu kisah yang menarik perhatian saya tentang hubungan akrab beliau dengan seorang tokoh ekonomi Malaysia, Dr Jomo K Sundaram. Baru saya tahu rupanya Dr Jomo dan Pramoedya adalah rakan baik. Bahkan Dr Jomolah orangnya yang mencalonkan Pramoedya untuk Anugerah Magsaysay yang telah beliau menangi. Buku ini mencatat lawatan Dr Jomo dan isteri ke rumah Pramoedya, juga dialog mereka yang menarik. Pramoedya hampir tidak mengenali Dr Jomo kerana sudah lama tidak bertemu.

Buku ini berjaya menarik perhatian saya dengan kisah-kisah sedih dan hiba, lucu dan kelakar juga menyakitkan hati. Ianya berjaya digarap oleh Koesalah dengan penuh jujur dan menarik.

Saya harap buku ini bukan yang pertama buat Koesalah. Kisah dalam buku ini boleh dijadikan asas untuk menulis biografi yang lengkap buat Pramoedya Ananta Toer. Mungkinkah Koesalah sudah menyiapkannya?

Rabu, Februari 14, 2007

Buku di Gramedia Padang

.



Sebelum ke Bukit Tinggi, pada hari pertama di Kota Padang, kami sempat singgah di Toko Buku Gramedia Padang. Rakan saya dari RS Selasih pesan, di sini sukar mahu cari buku berbahasa Inggeris. Saya hanya tersenyum. Rakan sekerja ramai yang tidak tahu saya gemar membaca buku termasuk buku berbahasa Melayu.

Toko Buku Gramedia di Padang, kecil sahaja berbanding di Jakarta, kata Pak Bambang. Ada tiga tingkat. Tingkat bawah menjual alatulis.

Banyak sungguh saya jumpa buku yang bagus di sini. Kalau boleh banyak buku yang sya mahu beli, tetapi saya hanya beli buku berikut;


1. Matsnawi- Jalaluddin Rumi, terjemahan Indonesia (RM20)
Saya sudah ada Matsnawi dalam bentuk ebook dalam PDA saya. Saya ada banyak buku mengenai Rumi dalam Bahasa Inggeris antaranya Essentials of Rumi tulisan Coleman. Namun saya belum mempunyai Matsnawi dalam Bahasa Melayu. Terlihat sahaja buku ini di rak terus tidak saya lepaskan.


2. Trilogi Cinta Abadi- Kahlil Gibran (RM26)
Saya juga sudah ada Complete Works of Kahlil Gibran yang saya beli di Agra, India. Sekali lagi, saya beli buku ini kerana ianya dalam Bahasa Melayu Indonesia. Buku ini memuatkan tiga karya terbaik Kahlil Gibran, iaitu Sang Nabi, Rahsia Hati, dan Sayap-Sayap Patah. Tertarik saya dengan kulit bukunya yang lucu( di sini` lucu' bermakna `comel' ! ).


3. Islam Progresif - Farish A Noor (RM14)
Buku ini rasanya saya pernah lihat di Malaysia dalam Bahasa Inggeris. Kalau tak salah harganya dalam lingkungan RM30. Buku terjemahan ke Bahasa Indonesia ini sangat murah. Tak sampai RM20. Itu antara sebab saya beli buku terjemahan Bahasa Indonesia, Harganya jauh lebih murah dari yang asal, walaupun kita perlu berhati-hati membaca kerana adakalanya terjemahannya tidak sebagus yang asli.


4. Pramoedya Ananta Toer dari Dekat Sekali - Koesalah Soebagyo Toer (RM18)
Buku ini adalah catatan pendek tentang sosok peribadi Pramoedya Ananta Toer dilihat dari sudut pandang adik bongsu beliau iaitu Koesalah Soebagyo Toer. Saya sudah habis baca. Nanti akan saya ceritakan di posting yang lain.


5. Tiga Madzhab Utama Filsafat Islam - Seyyed Hossein Nasr (RM13)
Selain dari saya memang meminati karya Seyyed Hossein Nasr, saya beli buku ini kerana murah.


6. Syariah Marketing - Hermawan Kartajaya & M Syakir Sula (RM24)
Saya tertarik dengan tajuk buku ini. Hermawan Kartajaya pula adalah seorang pakar marketing yang diakui antara 50 terbaik di dunia. Saya berkesempatan mendengar ceramah beliau sewaktu beliau berucap di National Accountants Conference di Kuala Lumpur, beberapa tahun lepas. Hermawan telah menulis 3 buah buku bersama marketing guru Philip Kotler.




Kalau ikutkan hati memang banyak buku lain yang ingin saya beli. Saya jumpa Catatan Pinggir, kumpulan tulisan pojok Goenawan Mohamad di majalah Tempo. Catatan Pinnggir 1 hingga 6. Saya sudah pegang tetapi letak semula kerana harganya 80 ribu rupiah sebuah. Terasa mahal. Sebenarnya jika ditukar ke matawang Malaysia hanya dalam lingkungan RM35. Menyesal pula saya tak beli.

Saya berbelanja sebanyak 220 ribu rupiah di Gramedia. Sebenarnya hanya RM100 untuk 6 buku di atas!

Di lapanganterbang, sewaktu mahu berlepas pulang, saya terjumpa buku Max Havelaar karya Multatuli, di sebuah toko kecil. Max Havelaar sering disebut dalam karya Pramoedya dan pernah beliau anggap sebagai novel yang banyak mempengaruhi beliau dalam penulisan. Saya juga terjumpa beberapa buku tentang Tan Melaka.

Malangnya saya sudah kehabisan rupiah! Saya hanya beli senaskhah Tempo.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails