Khamis, Mac 31, 2005

Patah Sayap Terbang Jua - A Samad Ismail

.


ISBN : 983-893-109-8
Penerbit : Creative Enterprise
Bil. Muka Surat : 360
Harga : RM15.90

Dulu, semasa di sekolah rendah, murid-murid diberi kad Biru untuk ditulis tiga cita-cita mereka. Saya pernah tulis salah satu cita-cita saya untuk jadi wartawan. Masa itu, saya rasakan kerja wartawan itu bagaikan sebuah kerjaya yang hebat dan sungguh mulia. Mungkin kerana saya banyak membaca novel milik Abah yang kebanyakannya ditulis oleh wartawan. Saya selalu gambarkan wartawan sebagai pejuang kemerdekaan, pejuang masyarakat dan patriot bangsa.

Antara novel yang pernah saya baca tentang kisah akhbar dan wartawan ialah novel tulisan A Samad Ismail iaitu Patah Sayap Terbang Jua. Saya baca buku itu ketika masih di sekolah rendah, tapi tidak berjaya menamatkannya. Mungkin kerana terlalu banyak watak dalam novel tersebut sehingga saya tidak dapat menangkap jalan cerita novel tersebut. Sehingga dewasa, masih terasa ralat kerana tidak selesai menamatkan buku itu, walaupun tajuk buku yang catchy itu sentiasa saya ingat.

Akhirnya, hampir 30 tahun kemudian, saya berhasil membaca semula dan menamatkan novel ini. Novel Patah Sayap terbang Jua ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC tahun lepas, bersama beberapa buku novel lain dari gerai Creative Enterprise.

Patah Sayap Terbang Jua mengisahkan tentang suka duka pekerja di sebuah syarikat akhbar di ambang kejatuhan penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Ia kisah dilema antara perjuangan membebaskan bangsa dan negara dari cengkaman penjajahan atau perjuangan mencari rezeki untuk meneruskan hidup. Kisah hidup orang akhbar yang berperang dengan kepayahan hidup dan mencorakkan sejarah dengan melaporkan peristiwa yang berlaku ada zaman itu. Wartawan adalah antara watak penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan di tanah air kita.

Kisah ini menjadi lebih menarik bila ia ditulis oleh Pak Samad. A Samad Ismail memang cukup terkenal sebagai seorang tokoh wartawan terbilang. Mula berkhidmat dengan Utusan Melayu pada tahun 1941 ketika berumur 16 tahun. Pernah bekerja di bawah Abdul Rahim Kajai dan Ishak Haji Mohamed. Pernah menjadi pengarang Berita Malai dan Berita Harian. Mengakhiri kerjaya wartawannya dengan mengetuai Kumpulan New Straits Times sebelum bersara pada tahun 1987.

Pak Samad pernah menjadi pendukung golongan kiri dengan menyokong Ibrahim Hj Yaacob dan Ishak Hj Mohamed dalam KMM dan KERIS. Beliau juga adalah antara penaja PAP bersama Lee Kuan Yew. Beliau juga pernah beberapa kali dipenjarakan tanpa bicara.

Suatu masa dulu, para wartawan lah yang menggerakkan perjuangan rakyat untuk membela maruah bangsa dan gama. Mereka berjuang untuk memerdekakan tanahair, berjihad melalui tulisan dan menyedarkan anak bangsa agar jangan lalai dan leka hingga maruah bangsa tergadai. Mereka rela hidup dalam kepayahan dan dihimpit kerisauan agar matlamat mempertahnkan maruah bangsa dan negara tercapai. Bagaimana pula para wartawan di zaman kini? Apakah yang mereka perjuangkan? Saya tidak tahu jawapannya. Biarlah mereka sendiri mencari jawapannya.

Jumaat, Mac 25, 2005

Jiwa Rasa Gelora...




Jiwa saya rasa bergelora. Perasaan saya rasa bercampur-campur sebenarnya, antara gembira dan sedih. Rasa gembira kerana akan pergi ke tempat baru, jumpa orang baru, pejabat baru dan persekitaran baru. Tapi tentunya sedih kerana akan meninggalkan tempat kerja sekarang yang telah lebih 7 tahun saya bersama. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bekerja yang sebahagian besar hidup kita dihabiskan di situ.

Masih segar dalam ingatan ketika dipelawa oleh seorang rakan untuk bertukar kerja ke Ipoh, saya hampir-hampir menolak. Walaupun saya lahir dan dibesarkan di Perak, tetapi tidak pernah terfikir untuk bekerja di Ipoh, kerana Kuala Lumpur adalah lubuk kesenangan. Segala-galanya ada di KL, baik ataupun buruk. Lagipun pada masa itu, saya rasa sudah agak selesa dengan persekitaran kerja di KL.

Semasa di Ipoh jugalah saya memasuki alam rumah tangga. Disatukan dengan suri jiwa ini. Bersama menikmati keindahan dan kelapangan hidup di negeri kelahiran. Hampir setiap minggu boleh pulang ke kampung, malah boleh berulang-alik menjenguk kedua-dua orang tua setiap hari jika kami mahu.

Tapi, kuasa Allah menentukan segalanya. Dia yang memberi peluang pada saya bekerja di negeri sendiri dan dia juga yang menentukan yang sudah sampai masanya saya tinggalkan negeri Perak ini. Banyak kenangan semasa di Ipoh. Kenangan bersama rakan sekerja tentunya tak dapat dilupakan, bertegang urat dan berbaik semula dah jadi biasa. Gembira saya sempat berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan di Ipoh dan bersama melakar kejayaan dengan memenangi berbagai anugerah.

Pertengahan bulan depan saya tidak akan menulis dari Ipoh lagi kerana akan berhijrah ke utara. Itu pun jika saya masih sempat untuk menulis. Harapan saya, dapat terus bersama berkongsi rasa dan cita di dunia blog, tetapi memandangkan tanggungjawab dan skop kerja yang sudah tentu lebih besar dan berat, mungkin agak sukar untuk saya melayari dunia internet sekerap sekarang. Yang lebih merisaukan, entahkan tiada masa juga untuk meneruskan hobi membaca dan mengumpul buku. Bagaimana rupanya dunia jika tanpa buku!


Selasa, Mac 22, 2005

Imam - SN Abdullah Hussain




IMAM
Abdullah Hussain
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Kuala Lumpur 1995
705 muka surat

Novel ini telah memenangi anugerah hadiah pertama ‘Hadiah Novel Nasional’ Utusan Melayu pada 1992/94. Ianya adalah buah tangan Dato Abdullah Hussain yang juga telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1996. Ternyata novel ini berada di kelasnya tersendiri, dan antara novel terbaik yang pernah saya baca.

Apabila novel ini diterbitkan pada tahun 1995, saya agak skeptikal bila melihat tajuk novel ini. Ternyata, saya telah membuat telahan yang silap bila menyangka buku ini hanyalah novel propaganda murahan yang sering melakarkan wajah buruk pada tokoh agama. Di tahun 90-an tokoh agama sering diberi wajah buruk di dalam media. Lihat sahaja drama-drama di TV, watak Imam sering digambarkan sebagai seorang yang ekstrem, kurang ajar, pelampau, pembawa ajaran sesat, talam dua muka, gila seks, baik di luar busuk hati di dalam dan sebagainya. Jarang benar watak Imam ditonjolkan dengan selayaknya. Hanya akhir-akhir ini watak orang agama diberi gambaran baik seperti watak yang dilakonkan oleh M Rajoli dalam drama Ustaz Sufi yang baru disiarkan di TV3.

Pemaparan sebegini menyebabkan saya tawar hati membeli novel Imam ini. Namun, hati saya terpaut untuk membaca buku ini bila membaca komen positif dari ramai penulis muda tanah air. Ramai penulis tanah air yang menjadikan buku ini sebagai sumber rujukan ataupun tanda aras untuk menulis novel berlandaskan dakwah dan Islam.

Novel Imam mengisahkan tentang perjuangan seorang imam yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri. Namun ia mendapat tentangan dari sebahagian penduduk kampung yang seagama dan sebangsa malah dari saudara-maranya sendiri. Imam Hj Mihad didakwa membawa ajaran baru yang agak asing bagi kampung itu sehingga mendapat perhatian pihak Majlis Agama. Saya paling meminati bahagian di mana Imam Hj Mihad dipanggil untuk disoal jawab oleh pegawai dari Pejabat agama. Rasa bagaikan membaca sebuah buku ilmiah bila membaca perbahasan antara kedua belah pihak. Ternyata, penulis telah membuat rujukan yang banyak dan sangat teliti bila menyampaikan hujah-hujah dari sumber-sumber yang sahih. Sesiapa yang tidak tahu mengenai perbezaan di antara Kaum Tua dan kaum Muda akan mendapat gambaran yang jelas tentang perkara yang sering menjadi perbahasan kedua pihak.

Saya rasa kagum kepada penulis novel ini. Terasa bagai membaca tulisan seorang ulama. Bertambah kagum saya bila membaca biodata SN Abdullah Hussain, yang tidak pernah mendapat latihan formal dalam bidang agama malah mempunyai pengalaman bekerja yang pelbagai termasuk sebagai kerani, pengarang akhbar dan majalah hiburan. Melihat senarai buku dan kitab yang dirujuk di bahagian bibliografi menambahkan rasa hormat saya kepada penulis.

Kalaulah Haji Mihad hidup di zaman ini, sudah tentu beliau akan digelar sebagai golongan fundamentalis yang membawa fahaman Wahabi. Begitulah asam garam menjadi pendakwah, sering diberi label yang berbagai, walaupun orang yang memberi label itu sendiri tidak faham makna sebenar label-label tersebut.

Memang sukar untuk diterima akal jika ada orang yang hidupnya semata-mata mahu berdakwah dan membawa perubahan semata-mata. Mustahil ada orang yang berbuat sesuatu tanpa ada matlamat mencari keuntungan material dan kesenangan dunia. Lalu kita sering memandang serong kepada tokoh agama yang ikhlas mahu menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Perspektif nilai kita juga sudah berubah. Kalau dulu Tok Imam dan Pak Lebai Kampung menjadi orang yang sangat dihormati dan dipandang tinggi. Namun kini, mereka dipandang sebelah mata dan bagai tidak menambah kepada yang ada.

Semoga kisah tragis di akhir Novel ini tidak akan berlaku dalam masyarakat kita.

Khamis, Mac 17, 2005

Hatiku Terluka di Bukhara



Hatiku Terluka Di Bukhara
Wan Hashim Wan Teh
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Terbitan Pertama 2002
319 ms


Dah lama novel ini ada di pasaran. Novel ini adalah salah satu dari finalis bagi Hadiah Sako 2 bagi Novel Nasional 1997/2002. Saya telah memiliki dua novel yang lain dari siri ini iaitu Kawin-Kawin karya Azizi Hj Abdullah dan Enrique Mengundang Jauh tulisan HM Tuah Iskandar.

Hatiku Terluka Di Bukhara adalah sebuah novel travelog. Ia mengisahkan tentang pengalaman perjalanan pengarang sewaktu berkunjung ke bumi Soviet Union. Perjalanan ini dicatatkan sebelum Soviet Union berpecah. Ia cuba menggambarkan budaya dan cara hidup di bawah pemerintahan sosialisme. Perjalanan penulis telah memperlihatkan kemajuan teknologi yang telah dicapai oleh Soviet Union dalam bidang sains terutama sekali bidang sains angkasa.

Membaca novel ini juga akan mengenalkan pembaca kepada Tchaikovsky, pencipta muzik agung Rusis. Peter Ilych Tchaikovsky lahir di Votinsk pada 1840 dan meninggal dunia di Leningrad pada tahun 1893. Tchaikovsky mencipta gubahan muzik yang dikenali ramai seperti Swan Lake, Sleeping Beauty, 1812 Overture dan Piano Concerto No 1. Penulis membawa kita melawat Muzium Tchaikovsky, juga singgah di rumah yang pernah didiami beliau di Kiln.

Penulis juga sempat menyelitkan kisah pertemuan beliau dengan seorang anak Melayu yang menjadi penari balet terkanan di Royal London Ballet.

Bukhara adalah bumi kelahiran Imam Bukhari. Ianya juga tempat lahirnya Ibnu Sina, pemikir dan pakar ilmu perubatan pada abad ke-11. Agak pelik juga bila cerita tentang Bukhara hanya mengisi bahagian suku terakhir buku ini. Namun usaha menulis buku berbentuk travelog atau catatan perjalanan harus diberi pujian. Kita masih kurang buku-buku begini. Saya mengimpikan membaca buku yang menceritakan tentang catatan perjalanan ke tempat menarik dalam negara.

Buku panduan perjalanan di Malaysia juga tiada yang dapat menyaingi buku terbitan Lonely Planet, Rough Guides ataupun Discovery. Buku yang terbaik mengenai panduan perjalanan adalah sebuah buku terbitan PLUS walaupun sukar untuk didapati di pasaran. Majalah Libur terbitan Karangkraf pula adalah antara majalah yang banyak menceritakan tentang tempat menarik di Malaysia.

Teringat saya akan filem Notting Hill lakonan Hugh Grant dan Julia Robert. Watak lakonan Hugh Grant bekerja di sebuah kedai buku bernama Travel Bookshop yang hanya menjual buku mengenai travel. Bilakah agaknya kita boleh berjumpa dengan kedai buku seperti itu di negara kita?

Isnin, Mac 14, 2005

Pengurusan Bandar

.

Stesyen Keretapi Ipoh


Bukan selalu Ipoh jadi hos kepada persidangan antarabangsa. Minggu lepas berlangsunglah sebuah persidangan antarabangsa mengenai pengurusan bandar ataupun International Conference on Achieving Innovation and Best Practices in Urban Management. Begitu ramai delegasi yang datang dari seluruh dunia mewakili majlis perbandaran atau pun organisasi berkaitan pengurusan bandar. Rasa bertuah bila organisasi kami turut dijemput oleh kerajaan negeri untuk mengikuti persidangan ini.

Program ini adalah kerjasama antara bandaraya Ipoh di Perak bersama 4 ahli EU iaitu, Cornwall (UK), Glasgow(UK), Helsinki (Finland) dan Ancona(Italy) untuk berkongsi pengalaman dengan bandar lain di dunia dalam mengurus bandar dan mencapai kemajuan berimbang.

Sebagai seorang yang tidak mempunyai latar belakang dan pengetahuan mendalam mengenai pengurusan bandar, persidangan ini bagaikan pembuka mata. Ianya telah berjaya memberikan maklumat dan perspektif baru yang sangat menarik. Peserta persidangan dapat berkongsi pengalaman dengan pembentang kertas kerja yang datang dari bandar dan daerah lain di seluruh dunia. Ada beberapa topik yang menarik perhatian saya, antaranya ialah pembangunan semula bandar yang dahulunya bekas lombong. (Ipoh sebagai hos adalah sebuah bandar bekas lombong yang juga pernah jadi pengeluar bijih timah utama dunia)

Tertarik saya bila mendengar pengalaman daerah Cornwall di UK yang dulunya bekas pengeluar bijih timah utama dunia boleh membangunkan semula daerah tersebut. Cornwall pernah melalui zaman gelap bila industri bijih timah merudum disebabkan kejatuhan nilai bijih timah dunia. Namun Cornwall berjaya bangkit semula dengan menjadikan kecantikan semula jadi daerah tepi laut itu sebagai aset penting. Kecantikan semula jadi daerah Cornwall ini memang sering menjadi sumber inspirasi bagi para artis, pelukis, penulis, penyair dan pembikin filem. Cornwall juga berjaya mewujudkan pelancongan berasaskan perlombongan yang juga mendapat perhatian UNESCO.

Glasgow adalah sebuah lagi bandar bekas perlombongan arang batu yang telah berjaya dibangunkan sebagai sebuah bandar moden. Banyak kawasan bekas perlombongan arang batu telah dibangunkan semula. Kini Glasgow sebuah Bandar yang menjadi tumpuan pelancongan dan perdagangan di Eropah. Glasgow juga menjadi hos kepada berbagai program kebudayaan peringkat antarabangsa seperti Glasgow International Jazz Festival yang diadakan pada bulan Julai setiap tahun. Tidak hairanlah, Glasgow pernah diberi gelaran European City of Culture pada tahun 1990.

Saya pasti wakil dari majlis perbandaran seluruh negara yang hadir di persidangan tersebut akan mendapat banyak pengalaman baru dari amalan terbaik bandar lain di dunia dalam mengurus sumber di tempat masing-masing. Namun, amalan terbaik tersebut hanya akan tinggal di kertas kerja jika tidak adanya perubahan sikap di kalangan pengurus perbandaran juga penduduk.

Negara kita kaya dengan sumber alam, yang jika diurus dengan baik akan mendatangkan kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat. Kita sudah banyak belajar dari negara maju. Namun kita masih gagal dalam pelaksanaan dan delivery system. Kita boleh membina bandar kelas pertama, tetapi kita gagal dalam mengurus sumber. Banyak harta awam tidak terjaga, kawasan hijau ditarah sesuka hati, pembukaan tanah tak terancang, pembuangan sampah secara tanpa pengawasan. Itu belum diambil kira kualiti hidup yang berkurang dengan masalah sosial dan jenayah yang berleluasa.

Belajarlah ke mana pun, jika tiada perubahan sikap, budaya berfikir dan bertindak orang kita, kita takkan ke mana.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails