Ahad, September 09, 2007

Surat-surat Perempuan Johor

.





Judul : Surat-surat Perempuan Johor
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Aberdeen Books World
Genre : Novel
Mukasurat : 216 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9834215224


Walaupun saya sering bibliobankrupsi, itu bukan bermakna saya sentiasa membeli buku yang terkini di pasaran. Saya masih memilih buku untuk dibeli. Bukan semua buku yang dianggap popular saya beli. Saya beli buku mengikut mood dan keinginan ketika itu. Banyak buku baru yang hanya saya lihat dan belek di kedai berulangkali. Ada buku yang sudah lama terbit, baru saya beli.

Buku Surat-surat Perempuan Johor sering saya tengok di kedai buku, tetapi belum saya miliki, hinggalah akhir bulan lepas. Saya beli buku ini bersama buku Nama Beta Sultan Alaudin yang dijual secara pakej oleh ujanailmu.com

Buku Surat-surat Perempuan Johor adalah sebuah novel yang ditulis secara epistolari iaitu berupa surat menyurat. Sesiapa yang pernah membaca buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk tulisan Hamka tentu sudah biasa dengan gaya surat–menyurat tersebut.

Apa yang menarik di dalam novel ini, ianya memuatkan surat-menyurat oleh dua watak utama iaitu Ungku Hamidah dan Ungku Nor. Ungku Hamidah adalah seorang perempuan yang pernah wujud semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim Johor. Novel ini cuba mengangkat peranan wanita dalam sejarah pemerintahan Melayu Johor.

Novel ini penuh dengan maklumat tentang sejarah tanahair. Ianya malah telah mengugah tanggapan saya terhadap sejarah Johor. Novel ini menceritakan tentang pemerintahan Sultan Johor yang kuat mempertahankan Islam sebagai tonggak pemerintahan. Buku sejarah pernah menceritakan bagaimana Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim Johor mengambil sikap berbaik-baik dengan British dengan usaha pemodenan negeri. Sikap baginda berbaik-baik dengan British itu menimbulkan berbagai-bagai andaian, dan ada yang menganggap sudah termakan dengan budi British.

Novel ini telah mengubah tanggapan tersebut. Kerajaan Johor digambarkan sebagai berpegang teguh dengan Islam, malah pernah membuat hubungan diplomatik dengan Khilafah Uthmaniah Turki. Sultan Johor pernah berhasrat melaksanakan undang-undang Islam dengan terwujudnya Majalah Ahkam Johor. Perhubungan dengan Kerajaan Turki adalah amat rapat dan kerajaan Johor bagai boleh merasa keresahan Turki di ambang sekularisasi dan kejatuhan khilafah Uthmaniah.

Novel ini mengulang usaha Faisal Tehrani mengangkat peranan wanita dalam masyarakat. Wanita penah diangkat Faisal sebagai pejuang melawan Portugis dalam novel 1515. Wanita dalam novel ini pula diangkat sebagai pejuang agama, masyarakat dan negara. Wanita Melayu pernah jadi diplomat penghubung dua bangsa yang berjauhan.

Melalui novel ini juga Faisal Tehrani cuba membawa teori baru tentang sejarah. Sejarah bagi FT bukan sekadar mengingat fakta dan tarikh. Yang penting dalam sejarah ialah mengambil pelajaran dari peristiwa yang berlaku.Sejarah negara perlu dilihat semula melalui kacamata kita sendiri, bukan lagi dari kacamata penjajah, dan perlu dilihat dengan pandangan jiwa yang benar-benar merdeka.

1 ulasan:

buukafe berkata...

salam ziarah..
cukup gemar mndengar ulasan2 buku FT..mmbuatkn sy nk baca karya2 FT yg brfokuskn sejarh2 melayu islam dulu kala..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails