Khamis, Mac 15, 2007

Zapin Melayu di Nusantara

.


Judul : Zapin Melayu Di Nusantara
Editor : Mohd Anis Md Nor
Penerbit : Yayasan Warisan Johor
Mukasurat : 301 halaman
Cetakan Pertama : 2000
ISBN : 983993287x
Harga : RM25


Buku ini saya beli semasa saya ke Johor Bahru tahun lepas. Saya beli buku ini di kedai Yayasan Warisan Johor di Persada, bersama VCD Ghazal dan CD Keroncong Anak Johor.

Buku ini diusahakan oleh Kerajaan Negeri Johor menerusi Yayasan Warisan Johor untuk mengumpulkan ulisan ilmiah mengenai tarian Zapin. Rasa saya buku ini merupakan yang julung kali diterbitkan di dunia Melayu.

Buku ini memuatkan 20 artikel yang telah dibentangkan dalam Festival Zapin Nusantara 1998. Ianya didahului dengan Ucap Utama Persidangan Festival Zapin Nusantara 1998 yang telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Abd Ghani Othman.

Buku ini membicarakan kesenian Zapin Melayu dari empat sudut pendekatan iaitu sudut imej dan identiti, unsur falsafah dalam keseniaan Zapin, struktur persembahan dan diaspora Zapin Melayu di Nusantara.

Saya sangat tertarik dengan tulisan Mohd Anis yang mengaitkan Zapin Melayu dengan Handasah Al-Sawt iaitu kajian tentang musik dalam Islam.

Zapin Melayu dikatakan berasal dari Hadramaut. Zapin bersal dari perkataan Arab, zaffan iaitu penari. Zapin pernah jadi media dakwah Islam dan tunjukajar Melayu. Asalnya ditarikan hanya oleh penari lelaki. Dahulu, gerak tangan hanya sebelah sahaja, tangan yang satu memegang kain atau baju arah ke dada(tangan kiri) yang satunya lagi(tangan kanan) melenggang, mencerminkan sikap hidup yang tahu diri, yang satu menjaga diri, yang astu lagi mengurusi masyarakatnya. Gerak inipun menggambarkan sikap `pantang mengkiri-kirikan’ orang, sehingga tangan kiri tetaplah untuk diri sendiri dan tangan kanan yang berhubungan dengan orang lain.

Zapin Melayu dikatakan dibawa ke Tanah Melayu oleh pendakwah Arab dan Hadramaut. Ternyata Zapin Melayu itu sungguh kuat unsur falsafah Melayu dan Islamnya. Langkah tarinya juga banyak dikaitkan dengan abjad Arab, bermula dengan huruf Alif. Sesungguhnya buku ini memberi maklumat baru kepada saya dan buat saya lebih menghargai Zapin Melayu juga adat budaya kita yang tinggi nilai falsafahnya,






Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails