Sabtu, Julai 29, 2006

Buku Lagi, Teater & Ayam Panggang

Walaupun sekejap, banyak benda juga sempat saya buat bila ke Kuala Lumpur hari Ahad dan Isnin lepas.

Pagi itu kami bertolak dari Ipoh, sempat singgah sebentar di Masjid Wilayah. Ramai sungguh orang!

Sebelum ke masuk menginap, kami menjenguk Pustaka Indonesia, atau nama barunya Fajar Ilmu Baru(susahnya nak ingat nama ni) di Wisma Yakin. Nasib kami baik. Selalunya kedai buku itu tutup hari Ahad. Memang tidak berhajat mahu membeli buku baru, tetapi teringin nak lihat stok buku baru yang dibeitahu oleh tuanpunya kedai melalui email. Memang banyak buku-buku baru. Ada banyak buku yang baru terbit. Ada dua novel terjemahan Tariq Ali yang baru sampai. Saya tidak beli kerana masih mencari yang asli dalam bahasa Inggeris.

Dalam menahan perasaan tidak mahu membeli buku baru, saya beli juga beberapa buku baru. Setelah pilih, ambil dan letak semula sebahagian, saya beli buku-buku ini.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Rasulullah SAW Sejak Hijrah Hingga Wafat - Ali Shariati
Musyawarah Buku - Khaled Abou El Fadl
Alam Pikiran Yunani - Mohamad Hatta
Kenapa Saya Keluar dari Syiah - Sayid Husain Al-Musawi
Daras Firasat Islam - Muhammad Taqi Mishbah Yazdi


Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Saya juga beli 3 jurnal Islamia. Jurnal ini memuatkan banyak tulisan lulusan ISTAC-UIA. Ada tulisan Prof Wan Mohd Nor Wan Mohd dan lain-lain sarjana Islam terkemuka.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us


Mujur ada Suri Jiwa di sebelah, menyabarkan saya. Kalau tidak, dah tentu lebih banyak buku yang saya borong. :)

Setelah selesai urusan, kami berkira-kira samada mahu ke Pelabuhan Kelang, atau ke DBP. Di Pelabuhan Kelang, ada pameran buku terbesar di atas kapal bernama Doulous. Lepas tengok koleksi buku di kapal boleh makan ikan bakar di Muara.

Mengenangkan jauh juga nak ke Pelabuhan Kelang, kami hanya ke DBP. Malam itu ada teater Qasidah dari Gunung Semanggol. Pertama kali tengok teater di Stor DBP. Teater Qasidah Gunung Semanggol ini adalah hasil buah fikir dan arahan Dr Anuar Nor Arai. Ianya mengisahkan tentang perjuangan Dr Burhanudin Al-Helmy dan rakan beliau Ustaz Abu Bakar Al Baqir. Hanya ada dua watak utama yang seakan bermonolog di dalam teater ini.

Sangkaan saya, teater ini akan menceritakan tentang Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, yang gigih memimpin Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol. Kisah mengenai peranan Hizbul Muslimin dalam perjuangan kemerdekaan, juga perjuangan menghidupkan pengajian agama memang sangat kurang diceritakan.

Rupanya watak utama teater ini adalah Burhanudin Al-Helmy, tentang sikap dan pandangan beliau terhadap suasana politik negara pada masa itu. Dr Burhanudin Helmy terkenal dalam sejarah sebagai tokoh pejuang kemerdekaan dalam PKMM yang kemudiannya memimpin PAS.

Banyak yang saya tidak senang dengan pemaparan watak Dr Burhanudin dalam teater ini. Kedua-dua watak Dr Burhanudin & Ustaz Abu Bakar digambarkan tidak lekang dengan senjata api, sedangkan mengikut bacaan saya, Dr Burhanudin dan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir tidak pernah berjuang menentang British menggunakan senjata api Sedangkan API yang dikatakan sayap pemuda yang lebih agresif pun tidak pernah berjuang dengan senjata api sehinggalah sesetengah dari mereka bergabung dengan PKM di bawah Rejimen 10, kemudiannya.

Watak Dr Burhanudin juga kelihatan sebagai seorang yang pembengis dan pemarah. Walaupun begitu, saya tetap menganggap ini sudah satu cubaan yang sangat baik dalam memperkenalkan watak yang penting dalam perjuangan kemerdekaan negara kepada khalayak penonton.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Di pintu masuk ke teater ini juga ada dijual buku Dr Burhanudin Al Helmy - Pemikiran dan Perjuangan - Kamarudin Jaffar. Buku ini memuatkan juga tulisan dan ucapan Dr Burhanuddin yang memang payah dicari. Tak payah dikempen, terus saya beli. Rupanya skrip teater ini banyak berpandu kepada kisah dalam buku ini.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Sebelum itu kami melapik perut di Ayam Panggang Nara. Tempat makan kegemaran kami di Pantai Dalam. Enaknya ayam panggang bila dimakan dengan sup campur. Rasa sempurna ke KL kali ini, bila banyak hajat tercapai.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails