Jumaat, April 07, 2006

Ahmad Boestamam - Merdeka dengan API

.

Memoir Ahmad Boestamam Merdeka dengan Darah dalam Api
Penerbit UKM
Bangi 2004
RM55.00 Pesta Buku KL 2005



Saya telah tidak berlaku adil kepada buku ini. Buku ini sebenarnya sudah genap setahun saya beli tapi baru minggu lepas saya selesai baca. Saya takut tengok tebalnya buku ini. Lalu terperuklah buku ini di rak buku menanti belekan dan belaian dari saya.

Saya beli buku ini di Pesta Buku KL 2005, tahun lepas. Masih saya ingat perbualan saya dengan pekerja di gerai Penerbitan UKM masa tu. Saya bertanyakan beberapa buku memoir tokoh kiri. Dia berbisik mengatakan buku tersebut telah ditarik pengedarannya. Lalu buku ini dan beberapa buku tokoh kiri yang lain, saya beli tanpa fikir panjang, kerana risau tidak dapat membelinya di kemudian hari.

Buku tebal ini sebenarnya adalah himpunan 3 buku tulisan Ahmad Boestamam iaitu Merintis Jalan ke Puncak (1972) Tujuh Tahun Malam Memanjang (1976) dan Lambaian dari Puncak (1983). Dilampirkan juga Testament Politik API, sebuah karya hebat Ahmad Boestamam yang mendahului waktu.

Siapa dia Ahmad Boestamam? Namanya mungkin kurang dikenali oleh generasi muda. Hanya sesekali namanya disebut dalam nota kaki sejarah perjuangan kemerdekaan negara. Begitulah lazimnya sejarah yang biasanya ditulis oleh orang yang menang. Ahmad Boestamam merupakan antara tokoh penting yang memulakan gerakan perjuangan menuntut kemerdekaan.

Sejarah mencatat Boestamam sebagai tokoh radikal Melayu, pejuang golongan kiri. Pengasas Angkatan Pemuda Insaf (API), sayap pemuda PKMM yang pernah dipimpin oleh Dr Burhanudin Helmy. PKMM adalah badan yang pertama mempopularkan kalimah 'Merdeka' di saat orang Melayu masih tidak percaya boleh memerintah sendiri. Bahkan ada orang Melayu yang menyindir pejuang Melayu dengan kata 'bagaimana mahu Merdeka. Buat jarum pun kita tak tahu..' Merdeka bagi Orang Melayu masa itu adalah suatu yang karut, dianggap tahyul dan mustahil. British dianggap tuan yang baik, dan ramai juga yang selesa menyembah British. Kepada mereka inilah kemudiannya dianugerahkan kemerdekaan oleh British.

PKMM lahir di sebuah pejabat di Jalan Brewster, Ipoh. Ahmad Boestamam adalah salah seorang AJK penaja selain Pak Sako dan Mokhtarudin Lasso. Dr Burhanudin hanya dilantik sebagai Yang dipertua PKMM di dalam Kongres yang diadakan kemudiannya. PKMM lahir di pejabat akhbar Suara Rakyat yang diusahakan oleh Ahmad Boestamam bersama rakan-rakan. Mereka telah berjaya mengusahakan akhbar tanpa keluar modal awal. Belanja makan dan urusan akhbar dikutip dari jualan akhbar pada hari tersebut

Rustam A Sani, seorang tokoh yang tulisannya saya gemari, adalah anak Ahmad Boestamam. Dulu saya sering bertanya kenapa namanya tidak berbinkan Ahmad Boestamam. Rupanya, nama sebenar Ahmad Boestamam ialah Abdullah Sani. Ahmad Boestamam adalah nama gelarannya yang diambil sempena nama seorang pejuang kemerdekaan yang beliau kagumi iaitu Chandra Bose.

Sejarah mencatatkan, beliau pernah dipenjarakan selama tiga kali, tahun 1941, tahun 1948 dan tahun 1963. Buku ini menceritakan banyak kisah beliau di dalam tahanan. Bagaimana ibu Boestamam jatuh sakit apabila anaknya ditahan. Apabila diajak menjenguk anaknya ke penjara, beliau bertegas hanya mahu berjumpa dengan Boestamam di rumahnya sebagai seorang yang bebas. Ibunya akhirnya meninggal akibat dek rindu dendam terhadap sang anak, seorang pejuang. Perginya beliau tanpa Boestamam di sisi.

Begitulah pengorbanan seorang pejuang. Ramai Melayu yang mencemuh mereka kerana mahu melawan British, ada yang bersorak bila mereka ditangkap. Apapun tanggapan kita terhadap cara perjuangan yang mereka pilih, mereka telah membuktikan pengorbanan kepada bangsa dan negara. Keberanian dan ketegasan melawan penjajah, perlu jadi iktibar pada generasi kini. Kita rindukan pemimpin yang tegas dan berani, tidak menggadai prinsip dan pegangan, serta tidak terbuai dilamun kesenangan sementara, atau tersilau dengan kilauan kaca yang disangka intan.

Zaman mereka sudah berakhir. Kini giliran kita meneruskan perjalanan. Pendayung sudah tersedia. Terserah kita mahu ke mana.

1 ulasan:

Mission Undercover berkata...

Boleh x saya nak baca buku nie..sama ada en sudi pinjamkan atau sewa atau jual pon xpe...klo boleh secepat mungkin...nie email sy muhamadfahmi.makhdar@gmail.com...
Nt sy bg no hp melalui email...terima kasih ye

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails