Jumaat, Mac 04, 2005

Kenangan bersama Opah

Seingat saya, Opah memang sedia kurang pendengaran, semenjak saya kecil. Telatah Opah sering jadi hiburan kami, cucunya masa kecil. Kalau bercakap, kami kena tinggikan suara. Suasana akan jadi riuh rendah bila kami bersembang dengan Opah.

Hidup Opah tidak senang. Hidup orang kampung. Arwah Tok, suaminya panas baran dan pemarah orangnya. Opah sering jadi mangsa herdik dan marah. Sampaikan makan pun Opah jarang makan sehidang dengan Tok. Tok hanya makan sehidang dengan anak-anak lelakinya. Tapi Opah contoh isteri yang setia dan taat kepada. Tak pernah sekali dia meninggikan suara, atau bercerita tentang keburukan Tok. Tak pernah dia melawan cakap Tok, mungkin kerana dia kurang pendengaran.

Opah hidup susah. Hidup mengharap dari hasil torehan getah tanah sekangkang kera. Masa kecil dulu, saya tak berapa suka kalau Abah ajak bermalam di rumah Opah kerana tiada hiburan. Tiada elektrik, maknanya tiada radio dan TV. Mandi pun di sungai dan perigi. Rumah Opah tak pernah ada sabun mandi, yang ada hanya sabun kain cap Kapak. Opah buta huruf, tidak tahu membaca. Tapi Opah selalu pesan suruh cucunya mengaji rajin-rajin, nanti boleh jadi cikgu, kata Opah.

Bila arwah Tok meninggal, Opah duduk seorang, anaknya yang duduk berdekatan akan datang menjenguk. Semasa Opah sihat opah memasak pakai dapur kayu, tak pernah pakai dapur minyak tanah apa lagi dapur gas. Tapi, masakan Opah sangat sedap. Saya masih merindukan sambal belacan Opah juga ulam-ulaman yang tumbuh merata di keliling rumah Opah. Tapi Sudah lebih sepuluh tahun Opah tidak masak. Di akhir-akhir hayatnya Opah duduk dengan anak perempuannya. Opah jadi begitu manja dengan anak-anaknya,minta dibelai bagaikan anak kecil.

Hari Rabu 2 Mac 2005, berakhirlah riwayat Opah, ketika berumur lebih 95 tahun. Setelah terlantar beberapa bulan, Opah kembali menemui Pencipta. Selesailah sudah tugas Opah sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Kini tugas anak dan cucu untuk meneruskan hidup di dunia dan berbakti kepada Pencipta. Pergilah Opah dengan tenang, moga diberikan rahmah dan maghfirah. Semoga cucu ini dapat berjumpa semula dengan Opah di kemudian hari.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails