Sabtu, Ogos 29, 2009

5

.


Entri ini sepatutnya disiarkan pada bulan Jun, tetapi dek disebabkan kesibukan pemilik blog, ianya hanya keluar di akhir bulan julai. Saya mula mencatat di blog ini pada bulan Jun, 2004. Sedar tak sedar sudah lama juga saya mencatat di blog. Sudah lima tahun!

Saya masih ingat bagaimana perasaannya mula-mula mempunyai blog sendiri. Mencatat di blog jadi satu terapi yang sangat berkesan. Saya banyak kenangan yang manis sepanjang menulis blog. Catatan hujung yang ditinggalkan oleh pengunjung blog pada setiap entri boleh buat saya tersenyum sendiri. Ada catatan yang buat tuan punya blog `terasa macam bagus,’ ada yang mendidik dan memberi ilmu baru dan ada juga yang menginsafkan. Saya dapat ramai kenalan baru.

Akhir-akhir ini, blog ini sudah mula jarang dikemaskinikan, sehingga saya lupa yang saya pernah ada blog. Bulan Jun saya sibuk menyelesaikan tugas di Bukit Mertajam untuk berhijrah ke tempat lain. Mulai bulan Julai, saya mula bertugas di Kuching, Sarawak. Setelah empat tahun, sudah tentu banyak peristiwa dan pengalaman di Bukit Mertajam yang akan jadi kenangan terindah.

Banyak yang perlu ditinggalkan untuk memulakan hidup baru di Bumi Kenyalang. Saya tinggalkan kenalan dan keluarga, membawa bersama kenangan bersama. Yang paling saya sayangi, koleksi buku-buku yang akan berpisah dengan tuannya. Koleksi buku-buku itu akan saya pinjamkan ke rumah Abah di Sungai Siput (U). Bukan semua orang menghargai buku, dan saya percaya Abah yang telah mendidik saya menjadi pencinta buku akan berlaku adil terhadap koleksi buku tersebut.

Perpindahan ini mengajar saya untuk menerima hakikat bahawa tiada perkara yang kekal dalam hidup. Hari ini atau besok, kita akan kehilangan apa yang kita paling sayangi. Rugilah jika kita tidak menghargai apa yang kita ada pada saat ini. Perpindahan juga membuka ruang untuk kita berfikir tentang diri, hidup dan masa depan.

Kini, saya di Kuching. Baru dua bulan, tetapi sudah mula jatuh hati dengan tempat ini.

Salam Ramadan dari Kuching.

Sabtu, April 25, 2009

Baca & Pesta Buku

.
Kesempatan menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur pada hari Isnin saya gunakan untuk ke Pesta Buku Antarabangsa KL 2009. Seboleh-bolehnya memang mahu mengelak hari hujung minggu, tetapi apakan daya, hanya itu masa yang sesuai.

Pesta Buku kali ini saya rasakan lebih teratur dari tahun sebelumnya. Penerbit buku yang sebelum ini diberikan ruang mempamir yang luas, saya perhatikan terpaksa berkorban dengan mendapat ruang yang sedikit sempit. Saya rasa ini satu langkah yang sangat baik kerana penerbit dan pengedar buku akan menggunakan kreativiti mereka untuk hanya mempamirkan buku-buku mendapat sambutan baik juga memperkenalkan buku-buku terbaru sahaja.

Pesta Buku Antarabangsa kini bukan semata-mata menjual buku-buku kitar semula dan buku-buku yang ada di kedai-kedai buku biasa tetapi menjadi medan memperkenalkan karya-karya baru.

Saya lihat juga para penulis buku sudah berjaya mencipta khalayak sendiri. Penulis buku sudah jadi tokoh yang diminati dan disanjung tinggi. Sudah ada peminat yang tertunggu-tunggu mahu berjumpa dan meminta tandatangan. Ini satu perkembangan yang sangat sihat, kerana mereka diminati oleh sebab pemikiran dan apa yang mereka tulis. Mereka bukan dipilih kerana mempunyai rupa paras yang cantik dan menawan, walau saya tak nafikan ramai juga penulis yang rupawan. Penulis diminati kerana kebijaksanaan mereka bermain dengan kata, menyusun perkataan dan bercerita.

Pujian patut juga diberikan kepada penerbit buku Melayu seperti PTS, Al Ameen, Karangkraf dan lain-lain yang telah merancakkan dunia buku setahun dua kebelakangan ini. Apa yang sering saya rungut dan bebelkan di dalam blog ini dahulu, tentang kesukaran mencari buku terutamanya dalam bahasa Melayu bagai sudah terubat. Novel-novel Melayu sudah bercambah di pasaran, sama dengan penulis-penulis baru.

Membeli buku sudah dibudayakan dan harapnya begitulah juga dengan aktiviti membaca.



Budaya membaca sudah nampak semaraknya. Novel-novel remaja sudah ada pasaran dan pengikutnya tersendiri. Menarik minat anak remaja membaca buku, biarkanlah mereka bermesra dengan novel-novel remaja yang boleh membina peribadi. Moga dengen bertambahnya pembacaan, meningkatnya usia bersama pengalaman, mereka akan lebih bijak memilih bacaan yang bermutu.

Meningkatnya minat khalayak kepada buku juga, harapan saya akan memberikan cabaran baru bagi penerbit buku untuk mempertungkatkan mutu penerbitan mereka. Buku yang diterbitkan bukan sahaja perlu cantik hidangannya, tetapi yang lebih penting perlu mengenyangkan. Bukan sahaja kenyang di perut tetapi mesti juga kenyang di akal dan jiwa.



Isnin, April 20, 2009

Pesta Buku Antarabangsa KL 2009

.
Pesta Buku Antarabangsa KL 2009


Malam ini, saya tidur berselimutkan buku-buku baru...



Kesempatan ke Pesta Buku Antarabangsa KL saya gunakan untuk membeli buku buku berikut;

Gerai Al Ameen
1. Ketupat Cinta - Faisal Tehrani
2. Rawa - Isa Kamari
3. Memeluk Gerhana -Isa Kamari

Gerai Crescent
4. Saya Pun Melayu - Zaid Ibrahim ZI Publications

Gerai ITNM
5. Politik Baru Saifuddin Abdullah –ITNM
6. Jiwa Hamba Usman Awang – ITNM

Gerai Gerak Budaya
7. Harimau! Harimau! - Mochtar Lubis
8. Saya Ingin Lihat Semua Ini Berakhir - Esei dan Wawancara dengan
Pramoedya Ananta Toer - August Hans den Boef dan Kees Snoek
9. Syair Nasib Melayu – Tenas Effendy

Gerai Karangkraf
10. Revolusi Yang Ditangguhkan- Shahnon Ahmad

Gerai Nufair
11. Telaga Budi - Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
12. Bidadari Dari Timur - Tuan Sabariah Tuan Ishak
13. Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat - Anbakri Haron & Shukor Haron

Setakat hari ini, saya sudah selesai baca no 4 dan 9. Sedang baca no 2 dan rasanya hujung minggu ini boleh selesai 12 dan 13.

Khamis, Mac 26, 2009

God's Crucible - Islam dan Eropah

.


God's Crucible: Islam and the Making of Europe, 570-1215
David Levering Lewis (Winner of The Pulitzer Prize)

Paperback: 384 pages
Publisher: W.W. Norton & Co.; Reprint edition (January 12, 2009)
Language: English
ISBN-10: 0393333566
ISBN-13: 978-0393333565
Product Dimensions: 8.2 x 5.4 x 1.1 inches


Buku ini berjaya menarik minat saya dari sekian banyak buku yang dipamirkan di sebuah rak buku di Kinokuniya. Buku ini dipamirkan bersama beberapa buku lain yang membawa tema yang sama iaitu tamadun Islam juga yang berkaitan dengan Islam pasca 11 September. Buku ini dibeli bersama buku Seyyed Hossein Nasr,The Heart of Islam; Enduring Values for Humanity.

Buku God's Crucible; Islam and the Making of Europe, 570-1215 ini ditulis oleh seorang tokoh sejarah, David Levering Lewis yang merupakan seorang professor di University New York. Beliau merupakan pemenang Hadiah Pulitzer sebanyak dua kali melalui tulisan biografi W.E. B Du Bois, seorang aktivis kulit hitam Amerika.

Lewis membawa pembaca melihat kembali satu era di mana masyarakat berbilang bangsa, Islam, Kristian dan Yahudi dapat hidup bersama dalam sebuah masyarakat yang maju, bertamadun dan mencapai kemuncak peradaban yang belum pernah dilihat sebelumnya. Toleransi agama mencapai kemuncaknya dan disebut sebagai Convivencia. Lewis membuat kejutan dengan mengakui bahawa tamadun Islam berperanan besar dalam kelahiran Eropah.

Lewis memulakan buku ini dengan menceritakan latar belakang kemunculan Islam ketika mana kerajaan Rom dan Parsi menjadi dwi kuasa dunia. Lebih menarik tahun 570 yang disebut di judul buku ini merupakan tarikh lahir Nabi Muhammad. Kisah hidup dan perjuangan Nabi diceritakan dengan detail, walaupun ada fakta yang tidak benar dan kita tidak bersetuju. Ini tidak menghairankan kerana Lewis membuat rujukan kepada kedua-dua sumber dari Barat dan juga Islam. Ianya diteruskan dengan kisah zaman Khulafa-ur Rashidin yang membawa kepada pembukaan Andalusia melalui Tariq bin Ziad di tahun 711.

Buku ini saya anggap memberikan gambaran yang seimbang dan adil terhadap Islam dan sumbangannya kepada dunia. Selama ini bukan tidak ada tulisan mengenai Andalusia tetapi kebanyakan orientalis Barat tidak mahu mengakui bahawa kemajuan barat tidak akan dapat dikecapi tanpa belajar dari kegemilangan Islam di Andalusia.

Penulis barat banyak melihat kejayaan mereka menghalang Islam dari melebarkan sayap melangkaui Pointiers dan Pyrenees di Perancis sekarang ini sebagai satu peristiwa yang menyelamatkan mereka dari genggaman Islam. Edward Gibbon penulis buku The History of The Decline and Fall of The Roman Empire dipetik secara sinis berkata andai Islam menang di Poitiers, "mungkin sekarang, pelajaran tafsir Al-Qur'an akan jadi subjek di Oxford dan dari mimbarnya akan disampaikan pesan kepada khalayak yang sudah berkhatan tentang kesucian dan kebenaran nubuwat Muhammad”.

Lewis menyebut kemenangan Kristian di Battle of Poitiers dan Tours yang juga disebut Balatusy Syuhada pada tahun 732 sebenarnya adalah sebuah kehilangan besar dalam sejarah dunia. Kemenangan Kristian dan kekalahan tentera Abdul Rahman Al Ghafiqi kepada Charles Martel telah mengakibatkan Eropah melalui saat getir kemelesetan ekonomi, budaya dan tamadun.

Lewis malah menyebut kemenangan Eropah di Perang tersebut adalah sebenarnya kekalahan kerana mereka telah rugi 300 tahun kerana tidak berada di bawah takluk kerajaan Islam Andalus. Eropah hanya melalui Zaman kecemerlangan Renaissance di kurun ke 13 dan menurut Lewis, kecemerlangan akan dikecapi lebih awal jika Eropah berada di bawah kerajaan Islam Andalus.

Lewis mengakhiri zaman God's Crucibel- waktu di mana Islam Kristian dan Yahudi boleh hidup bersama di negara Andalus yang aman makmur pada tahun 1215. Pada tahun 1212 M, Kristian memenangi pertempuran di Las Navas de Tolesa. Kerajaan Islam Andalus sudah mula melalu zaman muramnya apabila jatuhnya Kerajaan Bani Umayyah pada tahun 1013. Ia kemudiannya diteruskan oleh kerajaaan kecil yang diterajui oleh Murabithun (AlMoravids), Almohads (Muwahidun) dan dikahiri oleh kerajaan Bani Ahmar.

Kerajaan Cordoba yang terbesar di Andalusia jatuh pada tahun 1236 dan meninggalkan legasi Masjid Qurtubah(Cordoba) sebagai kenangan. Cordoba akan diingati sebagai pusat keilmuan di mana pernah berdirinya Universiti Cordoba yang menjadi tumpuan penuntut dari seluruh pelusuk dunia. Di zaman kegemilangannya Cordoba pernah mempunyai 700 masjid, 60,000 istana dan 70 perpustakaan. Perpustakaan terbesar Cordoba menghimpunkan 600,000 buku, berbanding perpustakaan terbesar di Kristaian Eropah ketika itu yang hanya menyimpan 400 manuskrip.

Kerajaan Islam Andalusia berakahir secara rasminya apabila Raja Abu Abdillah atau Boabadil menyerahkan Kota Al Hambra dan Granada kepada Raja Ferdinand dan Ratu Isabelle pada 2 Januari 1492. Lewis bagaiamanapun mengambil tahun 1215 sebagai berakhirnya zaman kegemilangan Islam di Andalusia. Mungkinkah kerana tidak mahu mendedahan kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh penguasa Kristian terhadap rakyat Islam dan Yahudi di Andalusia? Tanggal 1492 menyaksikan bermulanya Reconquista, usaha memaksa orang Islam meninggalkan Islam dan segala amalan yang ada hubung kait dengan orang Arab dan Islam. Mereka dipaksa murtad dan menganut Kristian atau menghadapi hukuman.

Detik itu melihat Andalusia hancur bersama tamadunnya, hilanglah Convivencia atau toleransi beragama yang tidak mungkin berulang semula. Kitab-kitab hancur lebur. Tokoh-tokoh ilmuan dipinggirkan.

Buku tulisan David Levering Lewis ini antara buku yang terbaik pernah saya baca mengenai Andalus selain Islam in Andalus. Buku ini juga mendorong saya mencari semula dan membaca buku-buku lain mengenai Andalus. Novel Rindu Andalusia tulisan Radwa Ashour terus saya baca sebelum membaca buku Sepepotong Surga di Andalus tulisan Maria Rosa Menocal.

Rabu, Mac 11, 2009

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan

.


Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan sudah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152 ini tidak boleh dipinda oleh parlimen. Ianya hanya boleh diubah dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Sebarang usaha untuk menidakkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pelajaran adalah satu jenayah kepada perlembagaan dan negara.

Jika seminggu dua ini ada yang berarak mengikat kain kuning di kepala mahu mempertahankan kedaulatan Raja-Raja, mereka juga sepatutnya melakukan perkara yang sama terhadap kedaulatan bahasa Melayu. Jika selama ini ada pihak yang berteriak mahu mempertahankan kontrak sosial, status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar juga perlu mereka pertahankan, kerana ianya juga sebahagian dari kontrak sosial.

Malangnya pihak yang sepatutnya berjuang, tidak berjuang, malah menentang usaha mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan. Organisasi dan pertubuhan yang ada nama Melayu di hujungnya tidak ambil peduli untuk mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan. Akhbar yang ada nama Melayu juga tidak ambil peduli malah kuat menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu.

Mungkin sudah tiba masanya buat organisasi dan pertubuhan ini untuk melihat kembali fasal-fasal dan tujuan yang tertulis dalam perlembagaan pertubuhan masing-masing.

Lihat dan baca semula. Lihat semula frasa seperti `Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal' yang mungkin sudah tidak sesuai. Jika benar begitu, gugurkan sahaja dan lucutkan bersama nama Melayu yang melekat di hujung nama.


Perkara 152. Bahasa kebangsaan.

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:
Dengan syarat bahawa—
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain
bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan
atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa
Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan
Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—
(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya
yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan
(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan
oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala
prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:
Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Ahad, Mac 08, 2009

bahasa

.



"Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa," kata A Samad Said.

Rabu, Februari 25, 2009

Gipsy Kings - A Mi Manera




Gipsy Kings antara kumpulan muzik kegemaran saya. Lagu-lagu mereka seperti Un Amor, Volare, Bambeleo, Djobi Djoba dan A Mi Manera sangat asyik didengar. Ditambah pula dengan petikan gitar flamenco oleh kumpulan dari keluarga Reyes dan Baliardo ini.

Sejarah hidup mereka juga menarik. Anggota kumpulan Gipsy Kings lahir di Perancis tetapi ibubapa mereka berasal dari Sepanyol. Mereka adalah keturunan Gitanos yang lari dari Perang Sepanyol tahun 30-an ke selatan Perancis. Mereka bagai mengulang tragedi pelarian nenek moyang mereka dahulu yang dihalau dari Sepanyol dalam peristiwa Reconquista. Ramai yang lari ke Maghribi atau ke selatan Perancis, akibat kekejaman kerajaan Kristian semasa itu.

Gitanos mengikut sejarah dikatakan berasal dari daerah Punjab dan Rajasthan di India dan berhijrah ke Andalusia Sepanyol di kurun ke 11. Kedatangan mereka ke Andalus di katakan menjadi antar pencetus muzik flamenco yang terkenal di Sepanyol. Jika anda mendengar muzik flamenco, akan terasa ciri-ciri Arab, India dan Eropah yang bercampur. Lagu-lagu flamenco jika didengar betul-betul ada banyak persamaan dengan ghazal dan qasidah dari dunia Islam.

Itu sejarah keturunan mereka. Gipsy Kings sebenarnya dijkenali sebagai pembawa muzik rumba flamenca yang cuba memperbaharui muzik flamenco tradisional. Kemunculan mereka di dunia muzik bermula seawal tahun 1987 apabila album mereka dipasarkan ke pasaran antarabangsa. Album Gipsy Kings dilancarkan di Amerika Syarikat dan kekal di dalam carta selama 40 minggu. Ia menjadi antara kumpulan muzik dari Perancis yang paling berjaya di dunia muzik antarabangsa.

Yang paling menarik. Gipsy Kings tidak menyanyi dalam bahasa Inggeris. Mereka, malah menterjemahkan lagu-lagu terkenal bahasa Inggeris ke dalam bahasa ibunda mereka, dialek calo iaitu bahasa gipsi Sepanyol. Lebih kurang macam orang Melayu cakap dialek Parit di Perak, ataupun dialek Kuala Brang di Terengganu. Bahasa kampunglah senang cerita.

Gipsy Kings tak pernah rasa malu dengan bahasa yang mereka tuturkan. Sewaktu membuat persembahan di dalam konsert di merata dunia, mereka berkomunikasi di dalam bahasa mereka. Walaupun yang menonton konsert mereka kebanyakannya orang putih, Gipsy Kings tidak mengada-ngada mahu bertutur dalam bahasa Inggeris. Dengan muka sadin, mereka menyanyi semua lagu mereka dalam bahasa ibunda mereka, bahasa gipsi Sepanyol. Lagu Hotel California dan lagu My Way telah mereka `Gipsy Kings kan' dan menjadi lebih sedap didengar dari lagu asal.

Setakat yang saya tahu, mereka belum lagi teringin mahu belajar matematik dan sains dalam bahasa inggeris untuk memajukan kerjaya, atau meningkatkan jualan album mereka. Album mereka sudah terjual lebih dari 18 juta di seluruh dunia, dan jadual persembahan konsert mereka di seluruh dunia untuk tahun 2009 sudah penuh terisi.


Gipsy Kings menyanyi dengan cara mereka sendiri, cara A Mi Manera.

Jumaat, Februari 13, 2009

Derhaka


Di tempat saya ini, ada sebatang sungai diberi nama Sungai Derhaka. Entah kenapa, sungai ini diberi nama Sungai Derhaka. Kurang pasti pula saya dari mana datang perkataan derhaka itu. Apakah penderhakaan yang telah dilakukan sehingga melekat perkataan derhaka pada nama sungai ini.

Sg Derhaka adalah nama sebuah sungai kecil di Seberang Perai. Sungai kecil ini mengalir ke muara Sg Perai dan seterusnya menjadi kuala sungai. Sungai ini mengalir dari Kampung Pertama lalu mengalir terus ke Sungai Perai yang lebih besar dan terus ke Selat Melaka yang membahagikan Seberang Perai dan Pulau Mutiara.

Apalah kesalahan sungai ini sehigga digelar penderhaka? Perintah siapa yang dia sanggah? Sungai hanya ciptaan Allah, dicipta untuk menghamba diri kepada alam dan yang paling utama kepada manusia. Hidup berbakti kepada manusia. Menjadi sumber minuman asalnya, tetapi di akhir hayatnya menjadi tempat pembuangan segala jenis bahan buangan. Sungai-sungai di bumi bertuah kita ini banyak yang sudah mati. Ia tidak mengalir deras lagi. Mati dibunuh manusia yang melambakkan sampah hanyir dan bangkai busuk di dadanya.

Sepanjang sejarah, makhluk bernama manusia ini seringkali melakukan penderhakaan kepada Penciptanya. Yang haram dilanggar, yang halal ditegah. Berlaku zalim kepada sesama manusia, memijak dan menindas, melanggar dan menghina hukum Allah. Munkar dan maksiat mana yang tidak dilakukan oleh makhluk bernama manusia ini.

Alangkah beruntungnya manusia yang sedar untung diri. Tidak menuding jari menuduh makhluk lain sebagai penderhaka. Merenung diri dan memperbetulkan sikap. Menyedari bahawa setiap saat kita melakukan penderhakaan bila tidak hidup mengikut aturan Nya.
Kita menjadi penderhaka bila menyembah dan memperhambakan diri kepada manusia, bukan kepada Allah.

Kita juga menjadi penderhaka bila menyembah wang ringgit sehingga sanggup menggadai maruah dan amanah, janji dan pegangan.

Kita menjadi penderhaka bila melawan Pencipta.

Kita bukan sahaja menderhaka sesama manusia, malah menderhaka kepada alam, kepada haiwan, pokok dan tumbuhan, bumi dan laut juga kepada sungai.

Kita menjadi penderhaka apabila tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Siapa sebenarnya yang derhaka? Sungai atau kita?

Sabtu, Januari 31, 2009

Keranda 152 - Usman Awang

.

KERANDA 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu


Usman Awang (1967)



Puisi tulisan Usman Awang ini akan diabadikan di atas kemeja T oleh rakan kita, lanterajiwa. Saya syorkan semua pengunjung blog ini supaya memesan kemeja T ini dari blog lanterajiwa.

3 Mac ini genaplah 42 tahun peristiwa mengusung Keranda 152 oleh pejuang bahasa Melayu di tahun 1967.

Saya ada menulis tentang peristiwa Keranda 152 ini di sini. Catatan itu boleh dibaca di banyak laman web dan blog walaupun tidak disebut sumber asalnya.

3 Mac 1967, Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 diluluskan oleh Dewan Rakyat. Peristiwa itu akan dikenang dalam sejarah sebagai saat pengkhianatan kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama. Pengkhianatan kepada sumpah dan janji menjelang kemerdekaan Tanah Melyu 10 tahun sebelumnya itu, dilakukan oleh ahli parlimen kerajaan Perikatan dari UMNO, MCA dan MIC. Bangkangan hebat dari PAS di dalam Dewan Rakyat telah tidak dilayan. Datuk Asri Muda, Yang DiPertua PAS telah memberi pidato bersejarah di Dewan Rakayat yang kemudiannya dikenali sebagai Rakyat Menggugat.

Saat rang undang-undang itu diluluskan di parlimen, saat itulah juga pejuang bahasa dari berbagai golongan, termasuk juga ahli UMNO yang tidak bersetuju, berhimpun di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai usaha terakhir menyuarakan penentangan terhadap pindaan itu. Peristiwa penuh emosi itu berakhir dengan kehampaan apabila suara orang Melayu telah diketepikan begitu sahaja dan dikecewakan oleh pemimpin Melayu sendiri.

Tahun 2001 menyaksikan apa yang disuarakan dan ditentang oleh pejuang bahasa di tahun 1967 menjadi kenyataan. Keranda 152 bagai sudah dipaku rapat dan sedia untuk dikambus apabila bahasa Melayu diketepikan sebagi bahasa ilmu dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah.

Penghujung tahun 2008 mula kelihatan riak-riak pejuang bahasa sudah mula bersuara. Selama ini ramai tokoh bahasa Melayu yang tenggelam dalam dunia sendiri. Seronok sendiri berhimpun membaca puisi yang tidak didengar orang. Sibuk mencari Melayu di Afrika hingga lupakan nasib Melayu di tanah sendiri. Tambah seronok bila ada yang diberi gelar pendita, lalu khusyuk membilang biji tasbih dan lupa untuk mengambil peranan dalam masyarakat. Saat menjelang pilihanraya 2008 yang sepatutnya menjadi medan dan peluang paling penting untuk melobi sokongan kepada perjuangan mengangkat bahasa Melayu telah berlalu begitu sahaja.

Adakah tahun 2009 akan memahat sejarah sebagai titik perubahan ke arah usaha mengembalikan bahasa Melayu ke tempat asalnya?


Samad Said: Jika demo gagal, undi protes PPSMI

Himpunan bantah PPSMI di Sogo esok

Ahad, Januari 25, 2009

SN Arena Wati (1925 - 2009)

.



SN Arena Wati pergi meninggalkan kita pada 25 Januari, 2009. Kita hilang seorang lagi Sasterawan Negara mengikut SN S Othman Kelantan yang pergi lebih dahulu Julai tahun 2008. Hilang beliau takkan berganti. Salam Takziah untuk keluarga Pak Arena Wati.

Saya pernah mencatat pengalaman membaca buku Sakura Mengorak Kelopak tulisan Pak Arena di blog ini pada tahun 2004. Novel tersebut seperti yang saya tulis menjadi satu titik tolak untuk saya terus kembali meneroka karya-karya penulis Melayu, setelah sekian lama memilih buku berbahasa Inggeris. Catatan itu juga antara catatan saya paling awal mengenai buku, khasnya buku berbahasa Melayu.

Kesukaran mencari buku-buku berbahasa Melayu ketika itu menjadi pendorong kuat untuk saya menulis catatan di blog dalam bahasa Melayu. Saya masih ingat bagaimana Sakura Mengorak Kelopak telah mengubah tanggapan saya terhadap novel berbahasa Melayu. Novel itu meninggalkan kesan yang kuat, mendalam dan berbekas lama. Saya terus jadi penggila buku terutamanya karya-karya Sasterawan Negara.

Karya SN Arena Wati jadi penggerak kepada kembara saya mencari buku dan mencari semula jati diri sendiri. Saya tenggelam kekusyukan dalam dunia buku. Ke serata ceruk kedai buku saya selongkar mencari buku-buku yang langka tulisan sasterawan Melayu. Ada kalanya melompat girang bagai bertemu harta karun dan selalunya kecewa dan gagal dalam pencarian saya.

Bak kata Pak Arena Wati di dalam Panrita,
“Suatu pengembaraan dianggap gagal kalau kita tidak mendapat apa-apa yang kita cari. Tetapi itu tanggapan yang salah. Tidak ada pengembaraan yang sia-sia. Cuma kau tidak faham, bahawa sesuatu yang kaujumpa dalam perjalananmu. Ada kalanya lebih baik daripada apa yang kaucari.”


Begitulah pencarian buku yang saya anggap gagal sebenarnya menemukan buku-buku lain yang tidak kurang bagusnya. Pencarian buku menemukan saya dengan antara lain kedai buku Pustaka Antara yang pernah menjadi tempat Pak Arena Wati bertugas dari tahun 1962 hingga tahun !974. Sewaktu Pak Arena bertugas sebagai editor di Pustaka Antara telah bercambahnya buku-buku dari Indonesia.

Kini, jika anda ke Pustaka Antara, yang sudah berpindah dari kedai asal di Jalan TAR ke Kompleks Wilayah, Kuala Lumpur, masih boleh bertemu buku-buku yang diusahakan oleh Pak Arena. Karya-karya Pak Arena sendiri juga karya-karya penulis Indonesia, seperti Pramoedya Ananta Toer, Iwan Simatupang, Sutan Takdir Alisjahbana, Putu Wijaya; sekadar menyebut beberapa nama.

Terima kasih Pak Arena kerana membantu saya mencari semula diri sendiri. Saya akan teruskan pengembaraan dan pencarian saya. Moga bertemu yang lebih baik dari yang dicari.

Terimakasih kerana meninggalkan karya-karya besar untuk kami baca dan ulang baca. Benarlah kata orang; harimau mati meninggalkan belang, penulis mati meninggalkan karya yang terus hidup selagi ada yang membaca.

Jumaat, Januari 16, 2009

Rentak Galur - Sarimah Othman

`

Rentak Galur
Penulis: Sarimah Othman
Penerbit: DBP
No. KK: 899 206286101
No. ISBN: 9789836296832
Tahun Terbitan: 2007
Halaman : 298
Harga Buku: RM20.00


Buku ini datang ke pangkuan saya dengan cara yang tersendiri. Penulisnya menulis email kepada saya bertanyakan di mana saya tinggal, kerana katanya kami mungkin berjiran. Saya mengirim alamat di email. Selang beberapa hari saya terkejut melihat sebuah bungkusan di dalam peti surat saya.

Sehingga saat saya menulis ini, saya belum kenal siapa penulisnya, tidak tahu latarbelakang penulisnya. Carian saya di internet juga tidak banyak membantu. Saya hanya tahu yang penulis buku ini Sarimah Othman adalah penulis buku Rentak Galur yang telah memenangi Hadiah Saguhati dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP, kategori Novel Remaja.

Terus terang, sekilas pandang, saya tidak akan membaca novel ini. Wajah depan buku ini memaparkan wajah seorang perempuan bertudung. Saya memang sedikit alergi dengan kulit buku sebegini. Orang kata jangan mengadili buku dari kulitnya, tetapi kulit sebegitu memberi gambaran, kepada saya, bahawa ceritanya tentu penuh dengan melankolia. Kisah cinta remaja, sedih dan kecewa. Maaf cerita sebegini, saya kurang minat. Saya tidak kata ceritanya tak bagus, tetapi saya secara peribadi kurang minat membaca kisah cinta semata-mata. Mungkin faktor usia.

Begitulah perasaan saya apabila melihat buku ini kali pertama. Saya perasan yang buku ini saya pernah lihat di rak buku Kedai Buku Dawama. Itu bermakna, buku ini sudah tentu mencapai tahap tertentu, jika tidak belum tentu dapat diterbitkan oleh DBP. Terpilih menang hadiah saguhati dari 59 novel lain yang mengambil bahagian, bukan satu pencpaian yang kecil.

Buku ini saya mula baca malam itu juga dan berjaya dihabiskan malam berikutnya. Novel Rentak Galur ini secara ringkas mengisahkan seorang gadis bernama Nilam Atiqah yang mahu mencari semula susur galur keluarganya. Setelah dibesarkan di rumah anak yatim, beliau pulang semula ke rumah peninggalan arwah ibu dan bapanya. Pencarian beliau bermula apabila dengan tak sengaja bertemu dengan buku harian ibunya. Bermulalah tersingkapnya satu demi satu rahsia yang memberi kejutan.

Penceritaan melalui buku harian itulah yang memberikan keistimewaan kepada novel ini. Pembaca menjadi terpaut dengan kisah yang diceritakan dan mahu tahu apa yang berlaku seterusnya. Bahasa yang digunakan tersusun dan mengalir mudah. Perbendaharaan kata juga digunakan sebaiknya. Penulis bijak bermain dengan plot dan sub-plot. Kisah satu keluarga besar yang sering dirundung malang dan berlaku kematian misteri bagai mencuba menyuntik unsur realism magis dalam novel ini. Ini ditambah pula dengan kisah sumpah dan kisah duyung. Ya, duyung, bukan dugong.

Novel ini saya sifatkan datang pada masa yang sesuai. Saya baru habis membaca buku Kee Thuan Chye – March 8 –The Day Malaysia Woke Upp dan sedang bergelut menghabiskan buku Khaled Abou El Fadl, Hanya Tuhan Mengenal Tentera-Nya. Kehadiran buku ini bagai memberi kekuatan baru untuk saya terus istiqamah membaca buku. Membaca buku di celah-celah kesibukan kerja bukannya mudah. Banyak kali kita hilang momentum sewaktu membaca sesebuah buku. Silap haribulan bacaan tidak habis dan buku itu akan tersadai di penjuru rumah. Membaca semula buku yang sudah `tersadai’ sangatlah susah!

Buku ini berjaya memujuk saya untuk mula dibaca setelah pulang dari kerja jam sepuluh malam di hari yang sama menerimanya. Buku ini juga diterima dengan nota kecil di dalam buku ini oleh penulisnya Sarimah Othman. Buku ini merupakan karya pertama beliau, dan sebagai novel pertama, saya berpendapat ianya tidak mengecewakan dan boleh dianggap sebagai satu kejayaan peribadi buat penulisnya. Moga jadi pendorong untuk beliau lebih giat menulis lagi.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails