Rabu, Mei 31, 2006

Da Vinci Code


Image Hosted by ImageShack.us

Sudah agak lama novel Da Vinci Code saya selesai baca. Awal tahun lepas rasanya. Sudah ingat-ingat lupa tentang jalan ceritanya. Antara adegan-adegan dalam novel Da Vinci Code yang masih saya ingat ialah adegan di Museum Louvre dan juga di rumah Leigh Teabing.

Menonton filem sudah tentu tidak sebagus membaca novelnya. Novel memberikan pembaca kebebasan untuk berfikir, mengelamun dan berangan tentang kandungan sesebuah novel. Apa yang difikirkan penulis, mungkin tidak sama dengan apa yang dibayangkan oleh pembaca ketika membaca novel tersebut.

Filem yang diangkat dari novel sudah tentu akan mengundang berbagai ulasan dan pendapat dari pembaca novel. Sebuah novel yang sama, akan berlainan jadinya jika diarah oleh pengarah yang berlainan, Semuanya bergantung kepada pemahaman seseorang pengarah terhadap sesebuah novel.

Berbalik kepada filem Da Vinci Code, ianya sebuah filem yang mengundang kontroversi yang besar, terutama dari masyarkat Kristian Katolik. Filem dari buku Da Vinci Code tulisan dan Brown ini diarah oleh pengarah filem ternama, Ron Howard.

Filem ini dibantah penganut agama Kristian kerana dituduh menghina dan menjatuhkan martabat Nabi Isa. Nabi Isa digambarkan sebagai pernah berkahwin dengan Mary Magdalene dan mempunyai keturunannya sehingga hari ini. Rahsia ini dikatakan cuba disembunyikan oleh paderi Kristian, kerana dikhuatiri ianya akan membuka pintu kepada berbagai persoalan lain tentang konsep ketuhanan dalam agama Kristian.

Kod Da Vinci dalam filem ini merujuk kepada rahsia dalam lukisan Leonardo Da Vinci yang terkenal iaitu The Last Supper. Lukisan ini dikatakan menggambarkan Mary Magdalene berada di sebelah Nabi Isa.

Novel Dan Brown ini adalah sebuah novel fiksyen, namun ia tetap mengundang protes banyak pihak. Novel dan filem ini juga telah menimbulkan minat yang sangat mendalam terhadap isu kontroversial yang ditulis di dalam buku ini. Persoalan tentang Holy Grail dan The Dead Sea Scroll, sebagai contoh, sudah lama ditulis dan dibincangkan sebelum ini .

Saya melihat fenomena Da Vinci Code ini secara tak langsung, telah berjaya menimbulkan minat kepada mereka yang bukan Kristian untuk mengkaji lebih lanjut tentang agama Kristian.

Amatlah malang, bila sangat kurang umat Islam yang mahu mengulas filem ini dari sudut fahaman dan pegangan agama seorang Islam. Ramai yang menjauhkan diri dari mengulas, mungkin takut menyinggung perasaan rakan-rakan bergama Kristian. Sudahlah tidak dibincang, tidak juga mahu mengkaji buku-buku Islam mengenai Nabi Isa alaihissalam.

Ramai rakan-rakan Kristian yang mungkin tidak tahu, bahawa Nabi Isa alaihissalam adalah seorang Rasul yang sangat dipandang mulia dalam Islam. Kisah kelahiran Nabi Isa telah diabadikan di dalam Al-Qur’an di dalam Surah Maryam yang wajib diyakini oleh umat Islam.

Banyak kali di dalam Al-Qur’an diceritakan tentang perjuangan nabi Isa menyampaikan dakwah kepada kaumnya. Nabi Isa diutuskan sebagi seorang Nabi dan Rasul untuk menyeru umatnya supaya menyembah Allah.

"Berkata Isa: Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku Al Kitab Injil dan Dia menjadikan aku seorang nabi. Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada. Dia memerintahkan kepadaku untuk mendirikan salat dan menunaikan zakat selama aku hidup; dan berbakti kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka. Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan kembali." (Al Quran Surah Maryam ayat 30- 33 )

Ramai yang marahkan Dan Brown kerana menuduh Nabi Isa berkahwin. Namun kemarahan itu tidak dapat ditandingi kemurkaan Allah terhadap mereka yang mengatakan Nabi Isa sebagai anak tuhan.

Dan mereka berkata: "Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak," Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar. hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu dan bumi terbelah dan gunung-ganang runtuh, kerana mereka mendakwakan Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. (Al-Qur’an Surah Maryam 88-91)

Umat Islam percaya Nabi Isa tidak disalib, tetapi diangkat Allah ke langit dan akan turun semula di akhir zaman untuk menyeru umat kembali mengesakan Allah.

Saya mungkin tidak bersetuju dengan banyak fakta di dalam buku dan filem Dan Brown ini yang banyak banyak merujuk kepada sumber agama Kristian. Namun, ianya menghampiri pegangan umat Islam yang percaya bahawa Nabi Isa alaihissalam adalah manusia biasa., dan bukannya anak Tuhan.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails