Rabu, September 01, 2004

Puteri Gunung Ledang





Pada suatu masa dahulu,
Di waktu kesetiaan,
Maruah dan kedaulatan padu,
Penghujung kurun ke-15 di Tanah Melayu,
Menebari kegemilangan ke segenap penjuru...

Melaka terkenal indah perkasa,
Memberi perlindungan pada yang meminta,
Di tika inilah kisah bermula,
Di Timur Jawa gelora melanda...

Merentas samudera, membelah gunung,
Sebuah cerita cinta yang agung...

Demikian petikan ringkas kisah cinta agung antara Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah dan Laksamana Hang Tuah yang dipaparkan di dalam epik Puteri Gunung Ledang.
Berita Harian 6 Februari 2003

Akhirnya filem yang dinanti-nantikan, sampai ke khalayak penonton. Saya rasa beruntung kerana menjadi antara penonton yang awal menonton filem ini pada Hari Merdeka. Selalunya kalau menonton, saya suka menonton di pagi hari cuti, kerana tiketnya murah sedikit dan tidak ramai orang, tak payah berbaris panjang. Saya tak berapa gemar beratur panjang hanya untuk menonton wayang. Alangkah terkejutnya saya bila melihat panggung penuh pada pagi hari itu. Tak pernah lagi melihat, ramainya orang menonton filem Melayu di Ipoh ini. Penonton yang datang dari berbagai bentuk dan rupa, termasuklah penonton bukan Melayu.

Menonton filem ini membuatkan saya rasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Rasa kagum pada pengarah Saw Teong Hin yang berjaya menghasilkan filem berjiwa Melayu, penulis skrip Mamat Khalid yang telah menghasilkan skrip yang sangat puitis, mendalam dan bermakna. Pengarah fotografi, Jason Kwan berjaya menzahirkan skrip yang puitis itu dalam bentuk imej yang sangat cantik. Banyak shot yang cantik dalam filem ini. Saya paling suka shot Hang Tuah dan Gusti Puteri di tepi air terjun di puncak gunung Ledang, juga imej awan berarak.

Adegan dalam filem ini bergerak terlalu perlahan, melambangkan jiwa Melayu yang begitu halus dan cermat bila berkata dan mengambil tindakan. Bahasa berlapik dan berkias dan cinta yang tak terungkap menjadi asas kekuatan filem ini. Gabungan pelakon handalan telah melengkapkan filem ini sebagai filem Melayu yang wajib ditonton pada dekad ini.

"Kalau saya sekadar mahu membawa filem ini menyapu kaki langit, Teong Hin (pengarah) pula bercita-cita membawa Puteri Gunung Ledang mencapai bulan di langit. Demikian sekali harapan yang diletakkan oleh Teong Hin yang sekali gus menunjukkan betapa beliau begitu komited dengan tanggungjawabnya" - Pelakon & Penerbit, Tiara Jacquelina
Utusan Malaysia 18 Mei 2003


Apakan daya...tangan terikat di langit, kaki berpasak di bumi, jasad tidak setanding mimpi - Hang Tuah

Bumi Melaka in bumi berdaulat. Sehiris luka yang beta terima, seMelaka sakit rasanya! - Sultan




Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails