Jumaat, Julai 30, 2004

Mengapa Jiwa Tidak Tenteram?



    Masalah sosial yang parah di kalangan umat Islam sering dikaitkan dengan masalah jiwa yang tidak tenteram. Jiwa yang resah, tertekan dan berserabut boleh melahirkan tindakan yang pelbagai. Adakalanya manusia bertindak di luar batas kemanusiaan disebabkan jiwa yang resah gelisah.

    Ustaz Amal, pendakwah dan penasyid, ada menulis di dalam majalah i keluaran Ogos melalui tentang masalah ini. Beliau memetik Dr `A-idh Al Qarni dalam kitabnya La Tahzan menyebut mengenai empat perkara yang mewariskan kesempitan hidup dan tekanan jiwa;

    1. Tidak reda dengan qadha dan qadar Allah
    2. Terus menerus melakukan maksiat tanpa mahu bertaubat
    3. Hasad dengki sesama manusia
    4. Meninggalkan zikrullah

    Saya melihat 4 perkara tersebut memang berlaku dengan meluas di kalangan umat melayu sejak akhir-akhir ini. Beberapa banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin masyarakat yang kadang-kadang bunyinya macam tidak percaya qadha' dan qadar. Kenyataan seperti `Kalau kita buat begini, dah tentu benda ni tak jadi' sudah jadi mainan mulut setiap kali ditimpa musibah.

    Maksiat yang berterusan kadang-kadang bukan mahu dibenteras tetapi diberi promosi kelas pertama, di media waktu perdana. Orang buat maksiat secara terbuka. Orang buat buat baik sorok-sorok. Maksiat dibanggakan, dan berbuat baik sudah jadi benda yang memalukan.

    Hasad dengki sudah jadi sinonim dengan orang Melayu. Malah sudah jadi jenaka yang orang Melayu ramai yang punya PHD - Pingat Hasad Dengki. Hasad dengki yang tak berasas, seperti tak boleh tengok orang lain berpendapatan lebih, berkereta baru atau perniagaannya lebih maju. Bunyinya lucu, tapi itulah hakikat sikap yang ada pada kita. Adakah kita tidak redha dengan rezeki yang Allah telah kurniakan pada kita?

    Akhirnya, dengan meninggalkan zikrullah, di manakah lagi pautan hidup kita. Zikrullah bukan sahaja hilang dari bibir, malah hilang dari pandangan dan tindakan harian kita. Kalau kita beramal dengan zikrullah, sudah tentu, kita akan beringat sebelum melakukan sesuatu. Kita tak akan membuat perkara terlarang jika jiwa kita ingat kepada Allah. Zikrullah dalam ertikata yang luas adalah penyembuh kepada masalah jiwa yang gelisah.

    Tiada ulasan:

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails