Jumaat, Mei 19, 2006

Hilang tak berganti

.
Sekembalinya saya dari Tanah Suci, serasa macam banyak sangat isu untuk ditulis di blog. Tak sangka saya, tak sampai 3 minggu berada di sana, banyak perkara yang berlaku di daerah sini. Perkara yang paling mengejutkan saya ialah pemergian dua orang tokoh penulis yang tulisannya banyak memberikan kesan mendalam kepada saya selama ini. Dua tokoh itu ialah novelis dari Indonesia, Pramoedya Ananta Toer dan juga tokoh wartawan dari negara kita MGG Pillai.

MGG Pillai adalah seorang tokoh wartawan dan penulis politik yang berani. Tulisan beliau menyengat, sangat kritis dan penuh dengan maklumat. Sehingga ke akhir hayat, beliau setia menyumbang tulisan di English Section Harakah. Beliau terkenal dengan sifat setiakawan, boleh duduk semeja dengan tokoh PAS, walaupun banyak prinsip dan matlamat perjuangan PAS yang beliau sanggah dan tidak bersetuju. Beliau bukan sekadar berkawan ketika menyokong pembangkang menjadi satu trend di sekitar tahun 98. Beliau tetap mesra dengan tokoh pembangkang ketika mereka tidak popular. Beliau masih selesa duduk di satu majlis dengan orang berkopiah, ketika orang takutkan kopiah dan janggut, bila Islam dan pejuang Islam dipandang serong dan dikaitkan dengan keganasan selepas tragedi September 11.

MGG Pillai menjadi pelopor newsgroup Sangkancil yang mula saya kenal di tahun 90-an. Pemergian MGG Pillai pada 28 April, 2006 adalah satu kehilangan besar yang tiada ganti dan akan meninggalkan vakum dalam penulisan kritis politik di negara.


Pramoedya Ananta Toer pergi pada 30 April, 2006 ketika berumur 81 tahun. Pramoedya adalah nama yang tidak asing lagi yang banyak menghasilkan karya hebat.

Saya rasa bersalah kerana hanya kenal karya Pramoedya agak lewat. Namanya memang biasa saya didengar, tetapi karyanya baru benar saya mula jamah di tahun 90-an. Saya terpesona dengan Pramoedya apabila mula membaca buku Mute Soliloquy tulisan beliau. Buku yang saya beli di longgokan buku murah di Kedai Buku Popular di Ipoh Parade.

Mute Soliloquy, atau Nyanyian Sunyi Seorang Bisu, pada saya adalah buku terbaik Pram, selain Keluarga Gerilya dan Cerita dari Blora. Mute Soliloquy adalah memoir tulisan Pram semasa beliau dalam tahanan di Pulau Buru. Ianya berupa surat-surat beliau kepada isteri dan anak-anak yang tidak pernah sampai kepada penerimanya. Ianya berjaya diseludup keluar dari Pulau Buru. Di Pulau Buru jugalah Pramoedya menulis 4 novel yang sangat popular yang dikenali sebagai kuartet Buru. Bayangkan bagaimana novel-novel ini dihasilkan ketika beliau dilarang menulis dan dinafikan kertas dan pensil.

Pramoedya menghabiskan sebahagian besar hidupnya di dalam penjara, di zaman Sukarno dan Suharto. Hingga sekarang kesalahannya tidak pernah dibuktikan atau dibicarakan. Karya beliau diharamkan di Indonesia dan sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir, larangan itu masih tidak ditarik balik. Itu belum dikira karya beliau yang dirampas dan dibakar. Ya, ada manusia yang takutkan buku. Koleksi perpustakaan Pramoedya telah dibakar di depan mata beliau sebelum beliau diheret dan dicampak ke Pulau Buru.

Sama dengan di negara kita, rakyat dimomokkan dengan hantu komunis. Komunis adalah hantu dan kapitalis adalah dewa. Pramoedya adalah salah seorang yang sepanjang hidupnya, dituduh komunis dan ateis, sehingga beliau mati. Penyertaan beliau dalam Lekra pula masih menjadi perdebatan dan membayangi ketokohan beliau sehingga kini.

Membaca tulisan Pramoedya amat mengesankan dan berbekas kepada saya. Tulisan beliau penuh dengan kedukaan dan kesusahan hidup. Beliau pengamat yang tajam, berjaya merakam kisah yang punya nilai kemanusiaan yang tinggi.

Pramoedya meninggalkan kita berpuluh-puluh novel. Pramoedya pergi sebelum sempat menyiapkan projek besar Ensiklopedia Indonesia, oleh kerana sebahagian besar bahan telah dirampas dan dibakar.

Perginya manusia biasa akan dikenang setahun dua, sementara sanak saudara rajin buat kenduri arwah. Perginya penulis akan dikenang sampai bila-bila selagi tulisan mereka rajin dibaca.

Khamis, Mei 18, 2006

Umrah & Ziarah - Masjid Nabawi

.
Jarak hotel kami ke Masjid Nabi lebih kurang 80m. Yang menariknya di Mekah dan Madinah, apabila azan dilaungkan, kita masih sempat bersiap untuk ke masjid. Solat di sini lazimnya, hanya akan didirikan, lebih kurang 15 ke 20 minit selepas azan.

Perkuburan Baqi'

Untuk ke Masjid kami menyusuri panas terik. Panas tetapi anginnya nyaman. Di sebelah kiri kami ialah Perkuburan Baqi', tempat lebih dari 10,000 sahabat Nabi, isteri Nabi dan tabiin dikebumikan. Kubur di sini sangat ringkas bentuknya, hanya batu-batu nesan penanda kubur. Tiada batu nesan berukir dan tembok berhias seperti di negara kita.

Saya masuk ke Masjid melalui pintu di sebelah barat, lebih kurang 100 meter di sebelah kiri Makam Nabi. Ada hampir 100 pintu masuk ke Masjid Nabi.

Pintu Masjid

Kawalan keselamatan di Masjid Nabi agak ketat, beg yang dibawa masuk akan diperiksa, kadang-kadang poket pun kena diperiksa, jikalau ada menbawa kamera atau telefon tangan berkamera. Pernah sekali saya cuba seludup kamera di poket jubah. tak berjaya, kerana ditegur oleh polis penjaga pintu.

Saya melangkah kaki masuk ke masjid ketika takbir pertama dilaungkan. Ya Allah! Terpegun saya melihat keindahan senibina Masjid Nabawi. Besar dan megah. Syukur rasa hati bila dapat mengangkat takbir di Masjid yang mulia ini. Saya solat Zuhur hari itu dengan penuh rasa gembira kesyukuran. Akhirnya saya solat di Masjid Nabi! Masjid yang penuh sejarah dan pernah menjadi pusat pemerintahan dan perancangan Nabi dan Sahabat daalm menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Selesai solat saya termenung melihat ke siling dan tiang-tiang masjid. Mata saya tidak berkelip melihat keliling. Masjid ini terkenal dengan banyaknya tiang-tiang besar menghias ruang solat. Sejuk dan nyaman berada di Masjid ini kerana ianya berhawa dingin sepenuhnya, yang disalurkan melalui lubang-lubang di kaki tiang-tiang tesrsebut. Permaidani merah sebagai sejadah menambahkan seri Masjid. Lampu-lampu kristal indah kelihatan tergantung megah di siling.

Masjid Nabi yang asal kecil sahaja. Ia didirikan di tempat, unta Nabi berhenti sejurus Hijrah dari Mekah. Luas asalnya 1,050 meter persegi sahaja, berdindingkan batu lumpur, bertiangkan batang pokok kurma dan beratapkan pelepah pokok kurma.

Masjid Nabi


Ianya telah diperbesarkan beberapa kali sepanjang zaman untuk menampung kebanjiran jemaah. Kali terakhir ianya telah diperbesarkan oleh King Fahd dari tahun 1988 hingga 1995. Kini ianya seluas 35,000 meter persegi. Saya solat di bangunan masjid yang diperbesarkan di zaman Raja Fahd. Jauh juga jika ingin berjalan dari situ ke Raudhah dan Makam Nabi.

Selesai solat, jamaah mula beredar. Maklum, di sini tiada wirid dan doa beramai-ramai seperti di Malaysia. Namun, setiap kali solat, pasti ada solat jenazah. Selesai solat sunat, mata saya melilau ke sebelah kanan masjid.

Di manakah agaknya Raudah dan Makam Nabi?

...bersambung

Rabu, Mei 17, 2006

Umrah & Ziarah - KL - Dhaka - Jeddah - Madinah

.
25 April, 2006
Walaupun penerbangan kami dari KLIA ke Dhaka tertangguh selama 10 jam, penerbangan ke Jeddah berjalan seperti dijadual. Kami tiba di Jeddah pukul 3 pagi waktu tempatan. Waktu Subuh di sini dalam pukul 4.30 pagi. Bas yang akan membawa kami ke Madinah sudah menunggu di luar lapanganterbang. Lapangan terbang Jeddah sangat sederhana saiz dan rekabentuknya. Sebesar lapangan terbang Subang, atau mungkin lebih kecil.

Kami meneruskan perjalanan sebelum berhenti di sebuah masjid di sebuah pekan kecil untuk menunaikan solat subuh. Selesai solat, sempat kami minum teh dan merasa sandwic Arab di kedai bersebelahan.


Perjalanan dari Jeddah ke Madinah sebenarnya boleh mengambil masa 4- 6 jam. Namun, perjalanan kami sengaja dilambatkan untuk sampai ke Madinah selepas waktu Zuhur. Kabarnya penginapan kami belum tersedia.

Jalan yang kami lalui dikatakan jalan yang Nabi ambil semasa berhijrah dari Mekah ke Madinah. Jiwa tersentuh bila melihat keadaan keliling yang dipenuhi dengan batu-batu dan padang pasir. Tak terbayang bagaimana susahnya Nabi dan para sahabat berhijrah semata-mata untuk memperjuangkan Islam. Nikmat Islam itu bukan datang dengan mudah, tetapi ramai umat Islam yang tidak menghargai nikmat Islam dan Iman yang telah mereka kecapi.

Kami berhenti beberapa kali. Jalan raya dari Jeddah ke Madinah sangat baik, sebaik lebuhraya Plus di Malaysia. Di sepanjang perjalanan juga banyak tempat persinggahan untuk berehat walaupun kebersihannya dan kemudahan yang tersedia boleh dipertingkatkan.

Kami sampai ke Bandar Madinah hampir pukul 12 tengahari. Besar juga Madinah Munawarah. Banyak kedai-kedai dan gedung sepanjang jalan. Bangunan tinggi kelihatan di merata tempat.


Madinah Munawarah adalah bandar Nabi. Apabila diperintahkan Allah Hijrah, Nabi telah menetap di Madinah sehingga ke akhir hayat baginda. Ketika penduduk Makkah menolak dakwah Nabi, penduduk Madinah telah menerima Nabi dengan penuh kasih sayang.

Bas kami sampai ke hotel penginapan ketika hampir masuk waktu zuhur. Azan dari masjid Nabawi kedengaran sejurus kami masuk ke bilik.

Kami bergegas bersiap untuk solat Zuhur di Masjid Nabawi. Hati saya berdebar-debar. Saya akan solat di Masjid Nabi!

Jumaat, Mei 12, 2006

Alhamdulillah...

.

Alhamdulillah, berkat doa rakan-rakan, Jiwa dan Suri selamat pergi pada 24 April dan pulang 9 Mei, dari Tanah Suci. Kami begitu berterimakasih di atas segala ucapan, doa dan harapan, pesanan dan ingatan dari semua.

Tidak terhitung rasa syukur dan gembira, bila diterima menjadi tamu di rumah Allah. Benarlah kata seorang kawan, bukan semua orang diberi peluang untuk ke sana. Walaupun ramai yang berkemampuan dari segi material, mungkin hartawan dan jutawan, namun belum tentu harta dan masa mereka akan dibelanjakan untuk berziarah ke Rumah Allah. Wang bukanlah menjadi syarat mutlak untuk ke sana, jika tanpa azam dan keinginan yang sunguh-sunguh. Perginya kami adalah atas limpah kurnia rezeki yang dicurahkan Allah.

Tiada kata mampu diungkap bila mencecah kaki ke bumi Madinah, lalu berziarh ke bumi Nabi. Tiada gambar mampu dilukis untuk menggambarkan keindahan Masjid Nabi. Masih terbayang keharuman dan ketenangan beribadah di Raudah

Tiada airmata yang tidak tertumpah apabila menatap Rumah Allah. Sayu sungguh perasaan apabila beribadat di hadapan Rumah Allah, memanjat doa di Multazam, merayu merintih di depan Maqam Ibrahim dan Hijr Ismail. Terasa begitu kerdil berada di hadapan Kaabah, namun bersyukur kerana diterima menjadi tamu.

Kalau saya diizinkan memberi nasihat, ingin saya mengajak rakan-rakan semua agar menyimpan niat dan keazaman untuk menjejak kaki juga ke sana. Sesatunya tempat yang kita rasa rindu apabila pulang ke tanah air. Jiwa diruntun, rasa rindu dendam bagai baru berpisah dengan kekasih. Baru saya faham mengapa ada orang mengerjakan Umrah hampir setiap tahun.

Insya Allah, saya akan cerita sedikit sebanyak pengalaman singkat saya di sana di blog ini, mungkin boleh dijadikan panduan dan pendorong untuk rakan-rakan ke sana.

Selamat Hari Jururawat

.
Hari Jururawat disambut seluruh dunia setiap 12 May. Tarikh itu dipilih sebagai mengenang tarikh lahir Florence Nightingale iaitu 12 May 1820.

Tahun ini tema Hari Jururawat Sedunia ialah Safe Staffing Saves Life. Tema yang sangat relevan dengan situasi kekurangan jururawat di negara kita kini. Kekurangan jururawat terlatih memang sangat dirasakan oleh sektor prisihatin di Malaysia Ramai jururawat terlatih negara telah berhijrah ke Timur Tengah mengejar ganjaran yang berlipat ganda di samping suasana kerja yang lebih baik. Jangan terkejut jika diberitahu, jururawat Malaysia yang bertugas di negara Timur Tengah boleh mendapat gaji anatra RM5,000 ke RM15,000 sebulan. Itu belum dikira kos penginapan dan pengangkutan yang mungkin ditanggung oleh majikan. Ternyata kualiti jururawat kita telah diiktiraf dunia.

Ternyata profesion sebagai jururawat kini tidak lagi seperti dahulu. Kerjaya jururrawat kini sudah dianggap sebagai kerjaya professinal yang memerlukan kelayakan yang tinggi.

Kepada semua jururawat, Selamat Menyambut Hari Jururawat. Moga hari ini jadi hari untuk memperbaharui azam dan memperteguhkan tekad untuk menyumbang kepada pesakit, juga kepada pembangunan negara.

Selamat Hari Jururawat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails