Sabtu, Disember 31, 2005

Selamat Tahun Baru 2006


Foto ini saya ambil di pagi hari terakhir tahun 2005. Saya ambil menggunakan kamera PDA yang baru saya beli, ipaq3715. Tak berapa jelas kerana hanya 1.3 megapxels. Bolehlah, sementara menunggu kamera digital saya pulang dari klinik.

Begitulah pemandangan dari anjung rumah. Setiap pagi, merenung sinar pagi yang begitu indah. Nampak bendang yang menghijau juga bangunan majlis perbandaran yang tersergam indah di sebelah kanan.

Tahun 2005 banyak membawa kenangan manis bagi saya dan isteri. Saya mesti bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah. Banyak sungguh nikmat kurnianya yang tidak terkira. Tahun 2005 kami dapat berjalan melihat dan menyentuh keindahan Taj Mahal. Akhir tahun 2005 kami menerima kunci rumah baru yang akan cuba kami hiasi dengan kilauan kasih Taj Mahal. Tahun 2005 juga saya diberi tanggungjawab lebih besar oleh majikan. Tak terkira nikmat yang dikurnia Allah. Alhamdulillah. Syukur!


"Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang."
- (Surah an-Nahl, ayat 18)

"Barang siapa yang bersyukur maka hal itu untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barang siapa yang engkar maka sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Mulia."
- (Surah al-Naml, ayat 40)

Banyak juga lagi impian dan permintaan yang belum dicapai, tapi bukankah itu fitrah hidup di dunia? Dunia akan jadi bosan, monotonous dan tidak mencabar jika semua hajat kita tercapai dengan senangnya. Hidup kena ada masam dan manisnya. Biar cukup asam garamnya. Kalau manis berpanjangan pun, tak bagus juga. Begitu juga jika masam berpanjangan.

Saya akan terus berdoa semoga hajat yang belum tercapai di tahun yang lepas akan tercapai jua. Berdoa dan berusaha, kerana semuanya milik Allah, pemilik dunia dan segala isinya. Dunia ini bukan kita yang punya. Kita hanya menumpang teduh, sementara menunggu waktu dipanggil kembali.

Moga 2006 membawa sinar baru seperti sinar suria yang saya renung setiap pagi di balkoni rumah. Selamat Tahun Baru 2006

Jumaat, Disember 30, 2005

Hingga Akhir Nanti...


Terhibur betul saya tengok Alleycats di TV7 semalam. Rancangan dari studio 1 yang pernah disiarkan di Astro. Dah lama tak tengok Alleycats beraksi di pentas.

Lagu-lagu Alleycats memang puitis dan sedap didengar. Berapa banyak jiwa yang terusik, berapa banyak kolam airmata yang melimpah dek lagu-lagu mereka. Siapa yang tak tersentuh dengan siri lagu Februari mereka, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi dan Setahun sudah berlalu yang begitu puitis. Lagu Berita dari Rantau yang menggamit kenangan di kampung, juga lagu Khabar buat Ibu yang bagai isi sepucuk surat kepada ibu mohon merestui seorang calon menantu.

Saya besar dengan lagu-lagu Alleycats. Mendengar kembali lagu-lagu ini pasti akan mengingatkan saya semula pada memori lama, kisah di tahun 70 an ketika masih di sekolah rendah. Akan terbayang wajah kawan-kawan sepermainan. Lagu-lagu ini mengingatkan saya masa di asrama, berkongsi dengar lagu di pemain kaset kawan. Teringat macam mana kami dengan pintarnya menyembunyikan pemain kaset di dalam loker dari warden sewaktu Inspection setiap pagi Sabtu.

Ada sesuatu yang menarik mengenai Alleycats. Walaupun tak berapa fasih berbahasa Melayu, mereka berjaya menyampaikan lagu Melayu dengan begitu baik sekali. Zaman itu, ramai juga penyanyi bukan Melayu memilih menyanyi lagu Melayu. Ada Gingerbread, ada Moses & Chris Vadham, ada Kenny, Remy Martin, DJ Dave. Sebelum itu ada Andre Goh yang menyanyi lagu asli dengan begitu baik sekali.

Kini, bukan tak ada penyanyi bukan Melayu menyanyi lagu Melayu, tapi sukar nak dicari. Apa nak dihairankan, yang Melayu pun segan nak nyanyi lagu Melayu. Bukan lagu sahaja, akhbar, filem, bahan bacaan dan lain-lain yang Melayu sifatnya bagai sekadar jadi milik sekelompok kecil dari satu bangsa besar yang kononnya berdaulat. Ia bagai bukan lagi jadi milik negara yang dijunjung bersama.

Ada satu lagi yang menarik tentang ahli kumpulan Alleycats ini terutama dua ahlinya yang asal iaitu David dan Loga. Walaupun zaman sudah berubah, sudah masuk era globalisasi, mereka bagai terperangkap di zaman 70-an. Lihatlah fesyen pakaian mereka. Rambut Afro sarang tebuan, pakai baju batik atau baju bunga-bunga masuk ke dalam seluar. Orang dah tak pakai macam tu, tapi mereka masih tak berubah. Mereka bagai ikan di lautan masin. Pedulikan apa orang kata. Mereka tetap macam itu. Alleycats belum bercadang untuk tukar rambut afro dengan rambut gaya mohican atau gaya rasta untuk mengambil hati peminat.

Lain pula dengan orang kita yang tak mau jadi ikan. Kadang suka mengembek macam kambing, kadang mengaum macam rimau, bergantung pada kandang mana kita berada. Kadang jadi sesumpah, agar lebih deras boleh menukar warna kulit.

Eh.. Panjang pula cerita saya. Terima kasihhhhhh...

Jumaat, Disember 23, 2005

Cak Nur & Pemikirannya



Nurcholish Madjid
Kontroversi Kematian dan Pemikirannya
Adian Husaini
September 2005
Khairul Bayan Press, Indonesia
121 mukasurat


Buku yang saya beli di Pustaka Indonesia ini buku yang agak baru di pasaran ketika itu. Saya memang tertarik dengan sosok tokoh Indonesia ini, begitu tertarik dengan buku-buku beliau seperti Khazanah Intelektual Islam yang mengenalkan saya kepada tokoh cendekiawan Islam terkemuka.

Nurcholish Madjid meninggal dunia pada 29 August 2005. Nurcholish yang biasa dipanggil Cak Nur adalah seorang cendekiawan Islam dan satu nama besar di dunia Islam. Beliau antara tokoh yang pernah berguru dan membuat Phd dengan cendekiawan Islam ternama Fazlur Rahman di Chicago University.

Di Indonesia Cak Nur dikenali ramai sebagai seorang tokoh pembaruan Islam, juga digelar neo-modernis yang sering mengeluarkan pendapat yang kontroversi.

Awal 70an Cak Nur pernah menulis menyokong sekularisasi yang telah mencetuskan satu polemik yang panjang. Fahaman sekularisasi dan sekularisme memang ditolak ramai tokoh Islam seperti Prof Naquib Al-Attas yang menulis buku Islam & Secularism. Cak Nur cuba membezakan antara sekularisme dan sekularisasi. Sekularisasi beliau tafsirkan sebagai 'menduniakan nikai-nilai yang sudah semestinya bersifat duniawi dan melepaskan umat Islam dari mengukhrawikannya.'

Beliau mengejutkan dengan mendokong fahaman pluralisme agama, yang menanggap semua agama adalah sama dan semua penganutnya akan masuk syurga. Cak Nur juga pernah mengeluarkan pendapat yang membenarkan perkahwinan antara agama.

Beliau juga antara tokoh yang dikatakan mendokopng fahaman Liberalisme agama yang memahami nas-nas agama menggunakan akal fikiran semata. Jaringan Islam Liberal mengannggap belaiu sebagai seorang tokoh pendokong liberalisme.

Adian Husaini, penulis buku ini sedang menyiapkan tesus Phd beliau di ISTAC. Beliau antara ramai yang menulis dan tidak bersetuju dengan pendapat dan pemikiran Cak Nur. Buku ini sangat menarik jika ingin mengetahui tentang pemikiran Cak Nur dan sanggahan terhadap pemikiran beliau. Tambah lagi bila Majlis Ulama Indonesia (MUI) telah mengeluarkan fatwa mengharamkan fahaman Sipilis (Sekularisme, Pluralisme Agama, Liberalisme) di Indonesia.

Fatwa itu dikeluarkan tepat sebulan sebelum kematian Nurcholish Madjid iaitu 29 July, 2005. Nurcholish Madjid meninggal sebulan kemudian, tanpa sempat menjawab kontroversi pemikiran beliau atau menarik kembali kenyataan beliau yang kontroversial. Tinggallah pemikiran beliau itu untuk dikaji dan didiskusi oleh pendokong Islam zaman mendatang.

Isnin, Disember 19, 2005

Rumah Impian


Setelah hampir tiga tahun menunggu, akhirnya rumah kami yang tak jauh dari Tol Jelapang, Ipoh, siap untuk diduduki. Memang nasib kami, dapat rumah lambat. Dulu beli apartment di Subang pun dapat lambat. Mujur dapat pampasan.

Rumah di Ipoh, kami beli semasa saya masih bekerja di Ipoh. Kami tidak bercadang untuk beli rumah di Ipoh, pada awalnya, kerana dengar cerita, kononnya saya akan dapat kenaikan pangkat dan ditukarkan ke tempat lain, mungkin ke Johor.

Hati kami berubah bila melihat contoh rumah yang dipamerkan. Rumahnya tidak begitu besar, tapi rumah sebuah yang ada halaman luas, 10 kaki di kiri dan kanan. Walaupun sedikit jauh dari pusat bandar Ipoh, tapi rumah dengan harga sebegitu sangat menarik perhatian kami. Kami terus membeli dengan harapan dapat duduk di Ipoh lebih lama. Masa yang sama, saya menyambung pengajian hujung minggu di Ipoh, sebagai alasan untuk mengelak dari ditukarkan ke tempat lain.

Malangnya, rumah yang sepatutnya siap setahun lepas lewat disiapkan. Saya dapat kunci rumah baru selepas beberapa bulan ditukarkan ke Bukit Mertajam. Keseronokan menunggu rumah siap, seakan berkurang. Walaupun begitu, mengenangkan rumah sudah dimiliki dan bayaran ke bank perlu dibuat setiap bulan, kami bercadang untuk duduk di rumah itu. Kalaulah ditakdirkan SuriJiwa dapat tukar ke Penang pun, mungkin rumah itu jadi tempat kami berehat hujung minggu. Sayang rasanya kalau nak disewakan.

Kini, aktiviti hujung minggu kami menjenguk rumah baru. Baru kami tahu, banyak juga belanja nak buat ubahsuai rumah. Buat grill dan ubahsuai sedikit di belakang sahaja kosnya dah hampir 10 ribu. Itu belum kos memasang kipas dan lampu. Seronok berangan bila ke kedai lampu hiasan. Macam-macam lampu nak beli. Keliru jadinya. Nak pasang lampu hiasan atau downlight.

Kelmarin, dah panggil orang ukur pintu dan tingkap untuk buat langsir. Lagi pening. Nak pilih material dan design. Mulalah belek kembali majalah Impiana dan Anjung Seri yang lama di rak. Nak cari ilham. Bila kira-kira, kosnya pun boleh tahan.

Kalau ikutkan hati, nak juga buat kabinet dapur, set baru bilik tidur, beli perabut baru untuk ruang tamu dan ruang makan. Satu yang jadi impian saya, nak tempah rak buku yang cantik di ruang tamu.

Bila ada laman, mulalah berangan nak tanam pokok dan buat lanskap. Nak buat wakaf dan bela ikan.


Hai...banyaknya wishlist.. Sabar Jiwa & Suri. Sabar. Kita kena ikut petua Sri Diah.


Rabu, Disember 07, 2005

Kisah Penjual Buku Dari Kabul

. Author : Asne Seierstad
· Paperback 288 pages (March 4, 2004)
· Publisher: Virago Press Ltd
· Language: English
· ISBN: 1844080471


Buku ini dah lama saya beli, bulan May di sebuah kedai buku di Janpath, Delhi. Saya beli kerana harganya murah lebih kurang RM22 sahaja dan kerana banyak sudah saya dengar tentang buku ini. Buku ini pernah mengejutkan dunia kerana dikatakan telah berjaya memberikan gambaran sebenar tentang kehidupan sebuah keluarga di Afghanistan.

The Bookseller of Kabul ditulis oleh Asne Seierstad, seorang wartawan dari Norway yang membuat laporan tentang Afghanistan. Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman beliau hidup selama 4 bulan bersama keluarga seorang penjual buku terkenal di Kabul, yang beliau beri nama Sultan Khan dalam buku tersebut. Buku ini telah menjadi bestsellers, diterjemahkan dalam berpuluh bahasa dan berjaya dijual berjuta unit di seluruh dunia.

Saya sebenarnya menyimpan harapan yang tinggi sebelum membaca buku ini. Saya mengharapkan dengan membaca buku ini, akan dapat berkenalan dengan penjual buku di Kabul ini, juga koleksi-koleksi buku yang beliau miliki. Sultan Khan mengaku memiliki 10,000 koleksi buku Afghanistan yang merupakan koleksi terbanyak di dunia.

Malangnya, buku ini tidak berbicara mengenai buku atau ilmu. Ianya hanya sebuah buku fiksyen yang kononnya mahu memberi gambaran sebenar mengenai kehidupan di Afghanistan selepas kejatuhan Taliban.

Saya kecewa kerana buku ini memberi gambaran yang tidak sepenuhnya terhadap masyarakat Islam Afghanistan. Ia bercerita tentang kisah rumahtangga yang seakan menelanjangkan keburukan masyarakat Afghanistan. Ianya melihat dari sudut mata seorang wanita Eropah, yang tidak punya pengetahuan tentang budaya hidup masyarakat Afghanistan.

Buku ini telah menarik perhatian pendokong hak asasi terutama yang melibatkan wanita, kerana ianya menggambarkan bagaimana wanita Afghanistan telah `terpenjara' di balik burqa mereka. Asne melihat mereka sebagai terkongkong, tidak bebas membuat pilihan dan tidak diberikan hak yang sepatutnya.

Asne bercerita tentang poligami, dari mata seorang yang datang dari masyarakat yang menolak poligami. Buku ini bercerita dari sudut pandangan seorang wartawan Norway yang mempunyai nilai dan kayu ukur berbeza. Amat tidak wajar juga bagi Asne meletakkan kayu ukur yang sama apabila menilai sebuah keluarga di negara yang baru mahu keluar dari bencana perang. Afghanistan adalah sebuah negara yang unik, dengan masyarakatnya yang mungkin agak konservatif dan tertutup.

Tidak hairanlah bila Shah M Rais, yang diberi watak Sultan Khan dalam buku tersebut telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Asne kerana watak beliau digambarkan sebagai seorang yang kejam, tidak berperikemanusiaan. Shah berpendapat yang buku The Bookseller of Kabul ini telah menghina beliau dan keluarga juga rakyat Afghanistan yang baru cuba bangkit selepas peperangan yang panjang.



'First the Communists burnt my books, then the Mujahedeen looted and pillaged, finally the Taliban burnt them all over again.' Sultan Khan as told to Asne Seierstad

Isnin, November 28, 2005

Kacau Sungguh Jiwa Ini..



Terimakasih elmaaniq kerana mengirim buku Jiwa Kacau yang saya pesan. Mungkin ramai yang sudah tahu kewujudan buku ini. Jiwa Kacau ini adalah satu inisiatif ulung dalam mengumpulkan tulisan yang tersiar di weblog. Kumpulan tulisan ini mungkin bukan yang terbaik, kerana ianya dihasilkan dengan cara sukarela, bukan dengan pilihan juri atau undi SMS. Ianya terbuka kepada semua tuanpunya blog yang ingin turut serta. Projek Buku JIWA KACAU adalah satu inisiatif kelompok terbesar blogger di Malaysia, iaitu Geng Jurnal.

Jiwa Kacau mengumpulkan 23 orang penulis blog yang telah menghantar 172 tulisan masing-masing untuk dibukukan. Buku ini sangat unik kerana kepelbagaiannya. Terlalu rencam, macam-macam ada dalam buku ini. Kisah sedih, gembira, lucu, sinis,pahit, manis, masam. Memang rencam.

Terus-terang, buku ini susah untuk saya tamatkan. Kerana ianya bukan buku cerita, tetapi di dalamnya ada cerita. Ianya bukan buku puisi, tetapi di dalamnya ada bait-bait sajak dan puisi. Ianya juga bukan bahan ketawa, tetapi di dalamnya juga ada cerita jenaka.

Agak sukar juga untuk saya menghadam tulisan di dalam buku ini, kerana sebahagian besar daripada penulisnya saya tidak kenal, tidak pernah menjengah di blog atau mendengar sebahagian dari nama mereka. Namun, di dalam buku ini juga ada karya dari penulis blog terkenal seperti Mat Jan dan Tok Rimau.

Antara bahagian buku yang wajib saya lihat apabila memilih sesebuah buku ialah ruangan prakata dan isi kandungan. Isi kandungan akan menunjuk kepada saya road-map, ke mana sesuatu buku itu akan membawa saya. Topik dan subtopik adalah penting sebagai motivasi kepada saya untuk menghabiskan sesuatu buku. Buku Jiwa Kacau disusun mengikut judul blog, bukan mengikut topik dan subtopik. Saya lebih suka jika buku ini disusun mengikut topik.

Buku ini adalah himpunan tulisan yang pernah tersiar di blog, yang dipilih khas oleh tuanpunya blog masing-masing untuk dibukukan.

Sedikit ingatan kepada mereka yang tidak biasa dengan dunia weblog, membaca cerita-cerita dalam buku ini tidak akan memberikan kenikmatan yang sebenar sebagaimana melayari weblog di alam maya. Ianya mungkin tidak memberi gambaran sepenuhnya tentang pengalaman sebenar menghayati sebuah blog. Jiwa Kacau hanya merakamkan perkataan dan huruf yang diambil dari blog. Yang tertinggal di blog adalah warna dan suara, jiwa dan rasa, keintiman antara penulis dan pembaca, juga tagboard dan sidebar. Tanpa ciri-ciri itu, blog akan rasa tawar tanpa jiwa dan rasa.

Walaupun tanpa jiwanya, buku ini masih sebuah buku yang patut dimiliki semua, lebih-lebih lagi kepada semua tuan punya blog. Ianya sebuah naskhah sejarah yang membuktikan kewujudan kelompok insan yang bernama blogger.

Harapan saya, selepas ini, mungkin boleh dibukukan tulisan dari blog yang pernah mendapat Anugerah Blog Terbaik yang diadakan saban tahun oleh Geng Jurnal.


Blog Jiwa Kacau

Sabtu, November 19, 2005

Hari Tandas Sedunia



19 November setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Tandas Sedunia. Seluruh dunia merayakan hari ini dengan matlamat untuk mengambil tindakan, meningkatkan kesedaran pengguna terhadap hak ke atas persekitaran tandas yang lebih baik.

Hari ini ada artikel menarik mengenai tandas di akhbar The Star. Orang kita kena baca. Orang kita perlu merayakan tarikh ini, sebab kita tak reti nak jaga tempat ini. Cakap pandai, pakai cantik tapi buang tak reti.


Selamat Menyambut Hari Tandas Sedunia...

Khamis, November 17, 2005

Mustafa Akkad (1935 - 2005)


Terkejut besar saya bila baca blog beta blogger pagi tadi. Macam mana saya boleh terlepas pandang tentang kejadian pengeboman di Jordan tempoh hari. Memang, saya tahu tentang kejadian itu, cuma saya tidak sedar yang seorang tokoh besar yang berjasa juga telah terkorban. Rupanya, antara mangsa letupan bom di Jordan, minggu lepas ialah Mustafa Akkad dan anaknya Rima.

Mustafa Akkad berumur 75, dan anak beliau Rima 33, meninggal dunia apabila hotel penginapan mereka dibom oleh pihak yang dipercayai perbuatan pengganas. Tiga buah hotel mewah telah dibom mengorbankan 57 orang.

Siapa Mustafa Akkad? Namanya mungkin tidak dikenal, tetapi filem arahan dan keluaran Mustafa Akkad tidak boleh dilupakan. Mustafa Akkad adalah pengarah yang telah melahirkan filem epik The Message dan Umar Mukhtar : The Lion of The Desert lakonan pelakon Anthony Quinn.

Pengarah kelahiran Syria itu telah berhijrah ke Hollyqood dan telah mencapai cita-cita beliau untuk melahirkan filem yang memberi gambaran yang benar dan wajar tentang dunia Arab dan Islam.

Filem epik beliau yang dikeluarkan tahun 1976, The Message mendapat ulasan hangat penggiat filem. Filem tentang kisah hidup Nabi Muhammad itu tidak menunjukkan wajah dan suara Nabi, sesuai dengan larangan agama. Anthony Quinn berlakon sebagi Hamzah, bapa saudara Nabi.

Satu lagi filem beliau yang meninggalkan kesan mendalam ialah filem Umar Mukhtar The Lion of the Desert. Filem tahun 1981 ini juga dilakonkan oleh Anthony Quinn. Umar Mukhtar adalah seorang pejuang kemerdekaan Libya, yang asalnya seorang guru agama. Satu contoh besar bagaimana ulamak memimpin perjuangan menentang penjajah dan penjajahan.

Masih saya ingat menonton filem Akkad ini semasa saya masih di universiti. Semasa menunggu antara kelas, saya akan ke pusat sumber. Saya akan mencari video-video untuk ditonton. Selain dari video debat Ahmed Deedat, kedua filem Mustafa Akad inilah yang akan saya ulangi tengok. Saya tidak ingat berapa kali saya tengok kedua filem Akkad ini tapi airmata akan tetap mengalir setiap kali menonton filem beliau.

Masih saya ingat adegan filem The Message bila air mata saya mengalir tanpa henti, ketika Bilal Ibn Rabah mengalunkan azan ketika pembukaan kota Mekah. Begitu tersentuh saya dengan adegan itu, mengenangkan tentang kesusahan, keperitan dan pengorbanan Rasulullah dan para Sahabat dalam mengembangkan Islam.

Saya juga sebak ketika menonton babak ketika detik-detik Umar Mukhtar menghadapi hukuman mati, dalam filem The Lion of The Desert.

Mustafa Akkad telah pergi, menghembuskan nafas yang terakhir pada 11 November, dua hari selepas peristiwa pengeboman. Beliau pergi sebelum sempat menyiapkan projek besar beliau iaitu filem mengenai Salahuddin Al-Ayyubi. Moga Allah mencucuri rahmat atas beliau dan moga Allah membalas setimpal dengan amalan beliau.

Saya tidak sempat menangis atas kematian Mustafa Akkad, tapi saya akan terus menangis setiap kali menonton filem beliau.

Khamis, November 10, 2005

Karam di lautan buku & ilmu


Seminggu sebelum cuti Raya saya ke Kuala Lumpur. Menghadiri kes di Mahkamah Perusahaan. Belum pukul 12 sudah habis. Sempatlah ke Pasar Budaya, tempat lepak masa muda-muda dulu. Kemudian ke Wisma Yakin. Dah banyak berubah tempat tu. Tambahan lagi banyak orang berniaga sempena kedatangan Syawal.

Saya ke Wisma Yakin kerana satu tujuan. Ingin ke Pustaka Indonesia, sesatunya gedung buku bahasa Melayu Indonesia yang mengumpulkan banyak buku terjemahan dari Indonesia. Terletak di Tingkat 2 Wisma Yakin. Kali terakhir saya ke Pustaka Indonesia ialah tahun lepas, beli 9 buku berharga RM200 lebih sedikit sahaja.

Kebetulan kali ini saya beli 9 buah buku juga berharga kurang dari RM300. Buku yang dijual di kedai buku ini agak berlainan dari buku yang dijual di kedai buku ternama. Yang pertama, semua bukunya di dalam Bahasa Melayu Indonesia yang kebanyakannya adalah terjemahan dari buku bahasa Inggeris atau bahasa Arab. Harganya pula murah, hanya sepertiga dari buku dalam bahasa asal. Kebanyakan buku asal dalam bahasa Inggeris sukar dicari di pasaran tempatan. Kalau teringin juga, kena beli di Amazon dot com.

Di sini saya akan tenggelam dalam buku-buku karya penulis Indonesia seperti Pramoedya Ananta Toer, Nurcholish Majid atau Jalaludin Rahmat. Minda akan rasa tercabar dengan pemikiran reformis seperti Iqbal, Ali Shariati, Fazlur Rahman, Hassan Hanafi.

Saya akan tenggelam dalam lautan puisi mistik Jalaludin Rumi dengan Mathnawi atau Ruhi Ma Fihi nya dan Fariduddin Aththar dengan Manthiq At-thair nya.

Di sini juga anda akan berjumpa buku terjemahan tulisan Seyyed Hossein Nasr, Khalil Gibran, Thomas Kuhn, Francis Fukuyama, Bertrand Russell dan Edward Said dan Karen Armstrong, sekadar menyebut beberapa nama. Kepada peminat buku fiksyen, jangan terkejut kerana buku laris Dan Brown, Da Vinci Code juga sudah diterjemahkan dan dijual di sini.

Setiap kali ke sini, saya akan rasa tersentak, malu dan mungkin rasa rendah diri. Begitu banyaknya buku yang dibaca oleh rakyat Indonesia. Kalau tidak ada permintaan, mana mungkin ianya diterjemahkan ke bahasa Indonesia. Begitu banyak juga buku yang belum pernah saya lihat dan saya baca.

Setiap kali ke sini saya akan rasa segan dengan kearifan pekerja di kedai buku ini yang ternyata banyak membaca dan tahu kandungan setiap buku yang dijual di sini. Tanyalah apa sahaja mengenai buku, mereka akan mencadangkan buku yang sesuai. Jauh bezanya dengan pekerja sesetengah kedai buku kita. Bekerja di kedai buku tetapi tidak menghargai buku, tidak sayang pada buku dan ilmu, malah ada yang tak pernah baca pun buku di kedai temapt bekerja.

Setelah beberapa puluh buku saya belek dan pilih, saya terpaksa menyaring dan hanya membeli 9 buku seperti di bawah.

1. Nurcholish Majid, Kontroversi Kematian dan Pemikirannya - Adian Husaini
2. Cita-cita Islam – Fazlur Rahman
3. Menyingkap Yang Tersembunyi – Annemarie Schimmel
4. Aku Bagian Dari Fundamentalisme Islam - Hassan Hanafi
5. Akulah Angin Engkaulah Api - Annemarie Schimmel
6. Yang Mengenal Dirinya Yang Mengenal Tuhannya - Jalaludin Rumi
7. Untaian Kalung Merpati - Ibn Hazm Al-Andalus
8. Para Sufi Agung; Kisah & Lagenda - Mojdeh Bayat & M Ali Jamnia
9. Mengembara Mencari Tuhan - Sheikh Al-Jisri


Saya beli juga beberapa majalah Indonesia yang seperti Islamia dan Hidayatullah.

Sehingga pagi tadi, saya sudah selesai membaca 4 buku yang teratas. Kini sedang mula membaca Akulah Angin Engkaulah Api tulisan Prof Dr Annemarie Schimmel, bekas pensyarah Harvard yang banyak menulis dan mengkaji tentang Maulana Jalaludin Rumi dan Muhammad Iqbal.

Selasa, November 08, 2005

Happy Belated Birthday - 4th November


To the Best Brother in the world,




Semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, diberikan kebahagian yang berpanjangan dan berkekalan dunia dan akhirat...

Regards,
Aida.

Jumaat, Oktober 28, 2005

Salam Aidil Fitri





Salam Aidil Fitri kepada semua.

Sekalung budi kepada
semua pengunjung laman ini.

Kemaafan dipinta
Andai kata ada tulisan
di sini atau di laman lain
yang mencalarkan JIWA
Menyentuh RASA.

Terima Kasih di atas perkenalan
dan persahabatan.
Walau tidak pernah bersua
Ada Rezeki Kita Berjumpa
Di Syawal Yang Mulia.

JiwaRasa akan mula bercuti dari hari Ahad ini. Tutup rumah di BM. Bercuti 10 hari. Berhariraya di Sungai Siput dan di rumah SuriJiwa di Padang Rengas.

Salam Aidil Fitri.

Berhati-hati ketika memandu.

Berjumpa semula di Syawal Mulia.

Khamis, Oktober 27, 2005

Pulanglah kepada Fitrah





www.ekadmalaysia.net

Ramadan sudah hampir ke penghujung. Syawal sudah mula menjelma. Sebulan berpuasa akan diakhiri dengan Idul Fitri, hari merayakan pulangnya kita kepada fitrah. Moga sebulan latihan berpuasa dan beribadah mengembalikan kita kepada Muslim yang asal, yang fitrah. Fitrahnya kita lahir tanpa dosa. Lahir dengan janji untuk mentaati Allah dalam segala urusan. Sebulan Ramadan menjadi medan latihan untuk membersihkan rohani dan jasmani. Di penghujung Ramadan, harapannya, kita akan kembali semula kepada fitrah dengan menjadi Muslim dan Mukmin yang sebenarnya.

Orang kita pun sudah mula kelihatan membuat persiapan untuk `kembali kepada fitrah'. Kembali kepada fitrah Melayu, sebenarnya. Yang lelaki mula buat persiapan membeli atau menempah baju Melayu, walaupun dalam setahun entah berapa kali sahaja memakai baju Melayu. Yang perempuan mula mencari baju kurung, walaupun lebih gemar memakai pants dan suits sebagai pakaian seharian.

Orang Melayu mula berfikir nak pakai baju apa untuk solat Raya, walau sebelum ini, pagar masjid pun tak nak nampak, asyik ke lain melencongnya. Mula nak balik kepada fitrah Melayu yang sangat hampir dengan surau dan masjid.

Walau sudah banyak kuih modern, orang melayu masih kepingin lemang dan ketupat yang dimasak secara tradisional, kembali kepada fitrah Melayu. Bagai tak lengkap Raya tanpa makanan dan kuih tradisional.

Bulan puasa juga akan diakhiri dengan perayaan balik kampung. Begitu simbolik dengan kembali kepada fitrah melayu. Ada insan yang akan berhiba jika tak dapat pulang ke kampung, mungkin kerana tuntutan kerja, atau mungkin kerana tahun ini giliran beraya di rumah mertua.

Peluang akan diambil untuk mencium tangan ibubapa di pagi Raya. Mungkin simbolik kembali kepada fitrah yang menyedari kita takkan ada di dunia tanpa mereka. Ibu bapa pula ada yang akan mengalir air mata, mungkin mengenang bila pula tangan-tangan ini akan merasa dikucup semula.

Pulanglah di Aidil Fitri. Pulanglah kepada fitrah.

Isnin, Oktober 24, 2005

Selamat berbuka Saudaraku..


http://www.ctv.ca/news

Belum habis kisah penganiayaan tahanan perang Taliban dan kisah Al-Qur'an di buang di lubang tandas oleh tentera Amerika. Kini, dalam bulan Ramadan, menjelang Nuzul Qur'an, kita dengar berita yang pejuang Taliban di Afghanistan dibakar oleh tentera Amerika. Beberapa mayat pejuang Taliban yang dihadapkan ke arah kiblat dilaporkan telah dibakar oleh anggota tentera AS berdekatan kawasan pergunungan di Kandahar, Afghanistan.

Takziah dan simpati kami kepada keluarga mereka. Minta maaf, kami tak dapat menolong. Takkan tak tahu, kami puasa. Berbuka tadi pula banyak sangat. Buffet kat hotel je. Nak pergi terawih pun tak larat ni.

Bukan kami tak nak tolong, tapi nanti apa kata Amerika pulak. Nanti orang kata kami penyokong pengganas pulak. Malulah kami. Takkan orang educated macam kami ni nak sokong pengganas. Susahlah nanti kami nak buat business. Macam mana kami nak bagi makan anak bini kami. Tau-tau je lah kan, kami kan orang business.

Jangan bimbang, kami memang sedih dan simpati atas nasib anda. Betul! Bila tengok berita je kami tak henti mengutuk Amerika. Tapi kami tak bolehlah tunjuk sangat. Kat depan TV jelah kami tunjuk marah.

Oh ya.. Ayam percik lebih beli kat pasar ramadan tadi ada lagi. Kalau nak boleh kami kirimkan.. Selamat berbuka, saudaraku.

Khamis, Oktober 20, 2005

Takziah


Foto dari www.sun2surf.com

Takziah

Dari Nya kita datang, kepada Nya kita kembali

Moga bertemu Damai Abadi

Isnin, Oktober 17, 2005

Teman Setia di dalam Saku


Saya seorang pemilik dan pengguna PDA. Saya mula menggunakan PDA apabila membeli Pocket PC berjenama ipaq 4150 lebih dari setahun yang lepas. Semenjak hari itu, PDA itu sudah menjadi rakan karib saya yang dibawa ke mana-mana.

Banyak fail-fail kerja, assignment dan fail peribadi saya di simpan di situ. Kegunaannya macam pen drive. Saya ada SD card 256mb yang saya dapat percuma semasa mula membelinya dahulu.

PDA ini juga jadi tempat saya menyimpan semua foto dari kamera digital saya. Ianya juga adalah pemain MP3 yang memuatkan banyak lagu kegemaran saya.

Saya juga ada banyak bahan bacaan di PDA. Saya ada program Al-Qur’an iaitu Pocket Islam yang dimuatturun percuma dari internet. Saya juga ada banyak ebook dalam PDA saya seperti Mathnawi dan Fihi Ma Fihi Karya Jalaludin Rumi, juga The Art of War karya Sun Tzu. Semuanya dalam bentuk ebook.

Saya membaca akhbar terkini melalui PDA, yang saya download menggunakan Avantgo. Saya sering membaca thestaronline dan NST, juga beberapa laman web dan blog lain.

PDA juga menyimpan semua jadual temujanji dan calendar saya. Itu belum cerita tentang games yang memang banyak disimpan di situ. Kalau tak kena caranya, memang melekakan.

Saya juga update semua posting saya di PDA sebelum disiarkan di blog. Malah, antara posting saya yang awal di blog ini ialah mengenai PDA, yang kebanyakannya saya tulis dalam Bahasa Inggeris, seperti di sini dan di sini.

Kalau mahu menulis di komputer di pejabat mungkin tak sempat. Rumah di BM belum bercadang nak beli PC. Jadi saya suka menulis di PDA bila ada masa yang terluang, kerana senang dibawa kemana-mana dan boleh dibelek walau di mana kita berada.

Minggu lepas PDA saya buat hal. Tiba-tiba sahaja skrinnya menjadi gelap tanpa sebarang visual. Jenuh saya belek, tak tahu puncanya. Saya masih boleh synchronize ke PC tetapi tetap tidak boleh menggunakannya. Tanya di kedai pun belum ada yang berani nak baiki. Kena hantar service center lah nampak gayanya.

Dah lebih dua minggu saya hilang teman. Dah mula rasa susah nak update blog. Apalah agaknya kesudahan nasib teman saku saya tu...

Rabu, Oktober 12, 2005

2 SMS



Saya terima 2 SMS ketika Ramadan hampir menjelang.

1
SMS pertama tentang kawan baik saya Din. Terkejut saya bila dapat tahu yang Din kena stroke semasa kerja dan dimasukkan ke APSH. Din muda lagi. Baru berusia 35 tahun. Bujang dan tak merokok. Dulu masa duduk serumah, rajin mengajak saya joging di Tasik Perdana setiap pagi Sabtu. Kalau ikut adat jarang orang macam dia boleh kena stroke.

Saya kenal Din dah lama. Kami sama-sama satu pengajian di universiti. Din antara pelajar yang cerdik dan rajin. Dia selalu dapat keputusan cemerlang. Tapi Din tak kedekut ilmu. Din akan mengajar kawan-kawan lain yang rajin bertanya. Selepas tamat pengajian, kami duduk serumah di Vista Angkasa. Kami antara penghuni awal di situ dahulu, masa belum ada LRT, sama-sama berebut bas mini atau bas Sri Jaya ke tempat kerja. Berbuka puasa di bulan puasa mengingatkan saya pada Din. Sama-sama makan nasi bungkus. Sama-sama mencari makanan untuk sahur.

Namun, tahun ini Din tak berdaya puasa. Makan pun bersuap. Ingatannya masih belum pulih sepenuhnya. Ramai kawan sekuliah yang dia tak kenal. Setakat semalam masih belum boleh bercakap. Sedang belajar berjalan semula melalui rawatan fisoterapi. Juga belajar menulis semula.

Tak dapat saya bayangkan nasib Din selepas ini. Din antara rakan kami yang berjaya dalam pelajaran dan kerjaya. Berjaya mendapat CPA dan kini bergelar chartered accountant. Bagaimana agaknya akan beliau teruskan kerjaya beliau selepas ini.

Mujur Din ada emak yang menjaganya setiap hari. Kata emaknya, kalau dia sihat nanti dia nak kahwinkan anaknya. Baguslah tu Makcik! Moga Din segera sembuh.


2.
SMS kedua saya terima seminggu sebelum puasa, tentang berita sedih kematian bekas pensyarah saya dahulu, Dr Unvar Rahman. Dr Unvar meninggal kerana demam denggi. Berita kematian beliau tersiar di akhbar tempatan.

Dr Unvar meninggal pada usia 47 tahun. Dia mengajar saya Management Accounting 13 tahun lepas. Masa tu beliau belum ada PHD lagi. Lulusan CIMA. Saya bukan pelajar yang bagus masa itu, lemah dalam pelajaran Accounting, yang saya anggap membosankan, berbanding pelajaran lain. Tetapi Dr Unvar berjaya meyakinkan saya bahawa Accounting adalah satu pelajaran dan kerjaya yang menarik. Dia antara pensyarah yang saya hormat hingga sekarang, malah nama beliau masih saya gunakan sebagai rujukan dalam Resume saya sehingga sekarang.

Terima kasih Dr Unvar atas ilmu dan nasihat yang akan saya pegang sehingga ke akhir hayat. Takziah untuk keluarga Dr Unvar. Moga Allah golongkan beliau dalam golongan yang mendapat rahmat dan keampunan.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Peristiwa di atas mengingatkan saya akan betapa kecilnya diri ini. Hidup dan sihat kita ini semuanya di tangan Allah. Tubuh badan inipun bukan milik kita. Kalau Allah mahu menarik balik nikmat yang diberinya, ia boleh berlaku bila-bila masa. Kita sering terlupa ketika senang. Berjalan menongkat langit, tak mahu melihat ke bumi. Menyangka kesihatan dan kekayaan adalah hak mutlak kita. Jangan begitu. Itu semuanya pinjaman, diamanahkan kepada kita untuk digunakan di jalan Nya

Ia juga mengingatkan saya betapa sementaranya hidup ini. Ajal maut tidak mengenal usia. Malaikal maut tidak akan tanya samada kita sudah bersedia untuk pulang atau tidak. Sampai masa, nyawa kita direntap, kita pun jalan. Tinggallah yang hidup untuk meneruskan perjalanan.

Rugilah kita, jika tidak mahu mengambil pelajaran dan peringatan dari papan tanda di sepanjang perjalanan.

Rabu, Oktober 05, 2005

Ramadan Berkunjung Lagi


Ramadan Bertandang lagi. Masih saya ingat di blog ini tahun lepas, saya kongsi kenangan ketika berjauhan dengan isteri. Dua tahun isteri saya bertugas di Kuala Lumpur dan saya di Ipoh. Tak sangka pula tahun ini kenangan itu berulang semula. Macam deja vu. Kali ini saya di BM dan isteri di Ipoh. Kalau dahulu dua tahun duduk berjauhan, kali ini belum pasti.

Berpuasa sebagai orang bujang di BM bukannya susah sangat. Pak Din jiran sebelah kata, dekat kawasan kondo tempat kami tinggal itu ada lebih dari 5 pasar Ramadan. Pilih sahaja mana satu yang berkenan. Beli. Bungkus. Bawak balik rumah. Makan sorang-sorang depan TV. Kalau nak kawan, bolehlah cari mana-mana masjid yang dekat untuk berbuka. Boleh berkenal dengan ahli kariah setempat, yang kebanyakannya pelajar .

Semalam solat terawih di Masjid Perda. Ramainya orang! Nak cari parking pun payah. Selepas terawih, mencari tempat makan, semua tempat makan yang biasa saya kunjungi, penuh dengan pengunjung. Agaknya ramai yang makan di luar untuk kali terakhir sebelum Ramadan. Makan dan bungkus untuk sahur, dekat sejam baru dapat. Sahur tadi makan nasi goreng ikan masin, boleh tahan juga.

Selamat Menyambut Ramadhan untuk semua teman-teman yang sudi bertandang ke blog ini. Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi medan mendidik jiwa dan rohani kita agar menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya.

Bulan Puasa kita menahan makan di siang hari. Moga mereka yang rajin makan riba, makan rasuah, makan harta anak yatim dan makanan lain seumpamanya akan berhenti makan sempena bulan yang mulia ini.

Hayatilah lirik lagu Harapan Ramadhan yang dinyanyikan oleh Man Bai dan Raihan ini.


Harapan Ramadhan
(Man Bai & Raihan)

Ku mengharap Ramadhan kali
ini penuh makna
Agar dapat kulalui dengan
sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintah Nya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu
membelenggu diri tiada
henti-henti

Tak ingin kubiarkan Ramadhan
berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang
lemah mengharungi
segalanya dengan sabar

Kita memohon pada Tuhan
diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan
diterima amalan
Selangkah demi selangkah...
dengan Rahmat Mu oh
Tuhanku..ku tempuh jua


Lagu : Man Bai/Farihin
Lirik : Man Bai/Farihin
Album : Maafkan - Raihan 1999

Isnin, Oktober 03, 2005

Mencari Cinta? Cinta ada di mana-mana...

Akhirnya program Mencari Cinta berakhir dengan Danial terpilih sebagai pemenang. Elly dan Danial akan mendapat hadiah tajaan garden wedding dan hadiah tajaan Habib Jewel berupa cincin dan rantai pertunangan dan perkahwinan bernilai lebih dari seratus ribu ringgit.

Finale semalam macam kurang unsur suspense nya. Saya jangkakan pengumumannya macam siri akhir Apprentice, tetapi tidak. Pemenang diumumkan dengan disiarkan Danial dan keluarga mengunjungi keluarga Elly untuk menyampaikan niat dan menghantar tanda seutas rantai kepada Elly. Yang agak menarik dalam siri akhir ini cuma sesi temubual dengan kesemua 10 peserta program ini.

Adakah program ini akan ada siri keduanya? Selepas ianya heboh diperbincangkan hingga ke dalam Parlimen? Ramai yang berpendapat program ini tidak sesuai dengan budaya tempatan, menyumbang ke arah keruntuhan moral dan sebagainya. Ramai yang melonggokkan program Mencari Cinta selonggok dengan program Realiti TV yang lain seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol & Mentor. Ianya dikatakan penyumbang budaya hedonism juga bermotifkan mencari keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat.

Hmmm…saya tidak berhajat untuk bersetuju atau tidak dengan pendapat tersebut. Biarlah mereka yang lebih arif menjatuhkan hukuman kepada program itu. Bagi saya, saya rasa terhibur menonton siri tersebut, setia menonton dari episod mula. Mungkin orang kita tak biasa dengan cara program ini dijalankan. Kononnya tak sesuai dengan budaya kita?

Macamlah budaya kita bagus sangat! Yang bagus hanya tinggalan dalam lipatan sejarah. Merisik, menghantar tanda dan meminang dilakukan dengan penuh beradab. Semuanya dilakukan oleh keluarga kedua belah pihak. Kedua pasangan mungkin hanya kenal tetapi belum bercinta. Cinta hanya dipupuk setelah berkahwin. Itu dahulu. Kini ianya hanya formaliti. Sudah berjumpa cinta baru mahu mencari budaya.

Dulu Cinta digubah selepas ikatan yang sah sudah dipintal. Begtu susah jalan untuk mencipta Cinta Itu dulu. Ketika harga cinta masih mahal…

Kini cinta sudah semakin murah harganya. Cinta boleh dicari merata tempat. Cinta dicari di perhentian bas & LRT, atau di kelab malam. Cinta boleh dijual beli bagai membeli handphone. Tak suka, jual di kedai handphone terpakai dan beli baru.

Cinta dicari dan dijual dengan murah di bawah pohon rendang di taman Bunga. Digadai bersama maruah keluarga. Demi Cinta manusia menyerah pada nafsu.

Saya tak pandai hukum-hakam, tapi bukankah ada kaedah usul fiqh yang menyuruh kita memilih mudarat yang paling kurang antara yang ada? Sehodoh-hodoh program Mencari Cinta, masih ada keluarga Elly datang menemankan di setiap episod. Walaupun 10 calon berebut seorang wanita. masih dilakukan dengan terkawal, dan semuanya dalam pengetahuan keluarga. Bukankah itu lebih baik dari Mencari Cinta di tepi tasik, di bawah lampu yang suram, bertemankan Iblis yang bertenggek menggoda mangsa?

Kepada TV3 dan The Producer, tahniah kerana telah menghasilkan sebuah program yang menghiburkan. Kepada Danial dan Elly tahniah dan moga berjaya mengahrungi liku-liku hidup sebagai pasangan popular. Moga akan sampai ke jinjang pelamin, dan kekal berbahagia dari dunia hingga akhirat.

Selasa, September 27, 2005

Susah juga mencari Cinta!


Foto dari bml-excellent.com

Akhirnya calon favourite Mencari Cinta, Khairul tersingkir juga. Dari awal lagi Khairul memang calon favourite kerana beliau ada kelebihan kerana nampak lebih matang dan berpengalaman. Khairul sebenarnya seorang duda yang pernah berkeluarga, malah kisah perkahwinan beliau pernah tersiar di sebuah majalah popular tanahair. Status Khairul pernah dipertikaikan oleh penonton dan peminat siri ini. Namun, seperti kata The Producer, keluarga Elly telah tahu kedudukan sebenar beliau, dan tidak menjadi masalah untuk beliau memasuki pertandingan ini.

Saya sebenarnya tidak berapa berkenan dengan Khairul ini. Gaya beliau yang selalu kelihatan sibuk, macam seorang ahli perniagaan yang sangat-sangat sibuk. Tetapi episod minggu lepas menyaksikan karakter beliau yang mengubah sedikit pandangan saya. Beliau kelihatan begitu mesra dan selesa sewaktu bergaul dengan orang tua di Rumah Orang Tua. Babak beliau berbual juga dan memandikan seorang tua juga menyerlahkan sudut positif beliau yang jarang dilihat. Begitu juga dengan babak beliau menolong Elly memasak. Nampak sungguh natural dan tidak kekok di dapur.

Akhirnya Khairul tersingkir juga dan penyingkirannya diiringi oleh lagu I'm leavin' on a jet plane oleh John Denver.

Episod lepas juga menyaksikan keluarga Elly tidak mencalonkan sesiapa untuk disingkirkan. Peserta yang telah terkeluar sebelum ini juga telah diundang untuk memberi nasihat dan pandangan kepada Elly untuk memilih calon yang akan disingkir. Ternyata Elly sukar membuat pilihan dan masih tidak dapt membuat pilihan sehingga ke saat-saat terakhir.

Tak ramai wanita yang bernasib baik seperti Elly. Beruntung benar Elly. Boleh memilih dari yang terpilih. Minggu ini Elly akan memilih antara Danial & Zulfakar. Siapakah yang akan menjadi pilihan Elly malam ini?

Sabtu, September 24, 2005

M. Shahid Alam & `Islamicate Societies'


Is There An Islamic Problem? Essays on Islamicate Societies, the US and Israel
M.Shahid Alam

Paperback 240 ms
ISBN 9839541439
www.ibtbooks.com


Buku ini adalah himpunan esei tulisan Prof M Shahid Alam. Ianya tulisan yang menjawab persoalan peristiwa September 11. Ia cuba menggali rentetan sejarah yang membawa kepada peristiwa tersebut. Sejarah perjuangan Umat Islam dalam membebaskan bumi Palestin. M Shahid Alam cuba menjawab persoalan ini dari pandangan seorang Islam yang tinggal di Amerika Syarikat.

M. Shahid Alam adalah seorang Professor Ekonomi di Northeastern University, Boston. beliau menulis buku seperti Poverty from the Wealth of Nations (2000). Beliau juga menulis artikel ekonomi di American Economic Review, Cambridge Journal of Economics, Journal of Development Economics, Science and Society and Review of Radical Political Economics. M Shahid Alam juga menulis esei politik di CounterPunch dan Islamicity.

Oleh kerana tulisan beliau yang mengkritik keras dasar luar Amerika Syarikat, beliau dipulau oleh kebanyakan tenaga akdemik yang sebelumnya adalah rakan karib beliau. Banyak tulisan di internet yang menyanggah tulisan beliau dan menggelar beliau sebagai penyokong terroris. Namun, jika dibaca, tulisan beliau jelas tidak menyokong pengganas. Apa yang ditentang ialah dasar luar Amerika Syarikat yang menjadi kuda tunggangan Zionis. Tulisan beliau menyanggah pendapat Bernard Lewis yang kononnya pakar dalam Islam dan sering memberi gambaran buruk dan mengelirukan mengenai Islam.

M Shahid Alam juga menggunakan istilah `Islamicate societies' dalam tulisan beliau. `Islamicate' adalah istilah yang dipoularkan oleh Marshall Hodgson, penulis buku Venture of Islam yang mendefinasikan Islamicate sebagai "...would refer not directly to the religion, Islam, itself, but to the social and cultural complex historically associated with Islam and the Muslims, both among Muslims themselves and even when found among non-Muslims."(Venture of Islam, v. 1, p. 59)

Membaca tulisan M Shahid Alam bagai membaca tulisan Noam Chomsky, malah Noam Chomsky ada menulis komen di kulit belakang buku ini. Buku ini bercerita tentang keburukan dan bahana global capitalism yang melanda masyarakat `Islamicate' dan mengapa mereka berjuang menentang hegemoni barat.

Buku ini boleh dibeli secara online dari ibtbooks.com

Isnin, September 19, 2005

John C. Maxwell & buku-buku


Title : Developing The Leader Within You
Author : John C. Maxwell
Format: Hardcover, 224 ms.
ISBN: 0785266666
Publisher: Thomas Nelson Publishers
Pub. Date: January 2001 / 2nd Rev Edition


Bertuah saya apabila berpeluang untuk hadir program The Power To Lead di PWTC pertengahan bulan Julai lepas. Program ini menampilkan penulis buku motivasi dan kepimpinan yang terkenal iaitu John C. Maxwell. Beliau telah menulis lebih 40 buah buku, antaranya Winning with people dan Developing the Leader Within You.

Saya selalu melihat buku tulisan John C Maxwell di kedai buku tetapi tidak pernah rasa teringin untuk membeli atau membaca buku beliau. Ianya tidak berjaya menarik perhatian saya. Mungkin kerana buku beliau jarang diulas oleh media dan penulis lain. Mungkin juga kerana beliau terlalu banyak menulis buku, menyebabkan sukar untuk saya memilih buku mana yang perlu dibaca. Atau mungkin juga saya dah berasa lelah membaca buku-buku personal-development sebegini.

Semasa di kampus dahulu, saya sangat suka membaca buku-buku personal development. Antara buku yang saya minati sehingga sekarang ialah 7 Habits of Highly Effective People, tulisan Stephen Covey, juga buku Unlimited Power tulisan Anthony Robbins. Masa itu, memang gila membaca buku-buku sebegitu. Namun setelah masa berlalu, saya tidak jumpa keseronokan lagi apabila membaca buku-buku sebegitu.

Saya mula lari dari membaca buku–buku personal development yang selalunya mengulang-ulang perkara yang sama dan bagai cuba mengajar pembaca cara untuk hidup. Banyak juga dari buku-buku sebegini yang sebenarnya ketinggalan keretapi berbanding dengan nilai ketimuran dan Islam yang kita anuti.

Berbalik kepada John Maxwell. Yang menarik mengenai John Maxwell, beliau berjaya menghasilkan purata 4 buah buku setahun, dan kata beliau, buku tersebut ditulis dalam masa yang hampir sama. Saya rasa saya boleh baca buku beliau walaupun beliau banyak mengulang perkara yang saya sudah tahu. Yang menjadi kelainan ialah gaya tulisan beliau yang begitu mudah dan senang difahami. Saya suka cara beliau bercerita tentang Prinsip Pareto, yang kelihatan sangat mudah dan begitu praktikal. Inilah kelebihan Maxwell. Beliau menggunakan bahasa yang mudah dalam tulisan beliau. Mungkin kerana latarbelakang beliau dari bidang pendidikan. Buku beliau juga diselangi dengan cerita-cerita menarik dari pemimpin dan juga ahli korporat ternama dunia.

Satu lagi yang menarik mengenai program ini ialah strategi penjual buku-buku tulisan John C. Maxwell di ruang legar Dewan Merdeka hari itu. Mereka menjual buku-buku beliau secara pakej iaitu lebih kurang 8 buah buku dengan harga RM200 ke RM300. Ada beberapa pakej seperti Teamwork, Personal Development dan Leadership. Buku beliau tidak dijual secara berasingan. Terpaksa beli secara pakej. Lebih lagi jika mahu buku anda ditandatangani.

Saya pun turut membeli pakej berharga RM245 untuk 8 buah buku. Terpaksa beratur. Sekali masa membeli dan kedua masa meminta autograf.

Hari itu dengan bangganya saya balik ke bilik penginapan menunjukkan buku kepada isteri buku yang dibeli dengan autograf sekali.

Hari ini dengan malunya saya mengaku, saya baru selesai membaca satu buku dari lapan buah buku yang saya beli…

Isnin, September 12, 2005

Penagih dapat bantuan..


Menarik betul tajuk utama Berita Minggu yang saya tatap pagi Ahad lepas. Penagih dadah sekitar ibu kota akan dibekalkan barang keperluan harian seperti pakaian, tuala, selimut, sabun, vitamin, susu dan pelbagai jenis makanan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Penagih dapat bantuan

Pendekatan terbaru MAIWP banteras penyalahgunaan dadah di ibu kota
KUALA LUMPUR: Penagih dadah sekitar ibu kota akan dibekalkan barang keperluan harian seperti pakaian, tuala, selimut, sabun, vitamin, susu dan pelbagai jenis makanan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Che Mat Che Ali berkata, sumbangan itu akan diagih-agihkan bermula minggu depan selepas Skuad Sukarelawan Musibah MAIWP melihat sendiri keadaan penagih di beberapa markas mereka di sini, semalam.

Beliau berkata, lawatan skuad berkenaan adalah antara pendekatan halus dan bersifat psikologi dalam usaha dakwah bagi membantu memulihkan penagih.

Program itu, katanya dijalankan secara bersepadu bersama ahli Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), pegawai MAIWP dan JAWI di lokasi yang dikenal pasti berdasarkan pemantauan Pengasih.

“Kita bukan nak tangkap mereka, sekadar melawat dan memberi motivasi. MAIWP sudah beri RM100,000 kepada Pengasih menerusi Baitulmal dan sebahagian peruntukan adalah untuk kempen menjinak dan melembutkan hati penagih dadah. Prosesnya adalah memberi baju, seluar, tuala, makanan, vitamin dan susu,” katanya.

........ muka depan Berita Minggu Ahad 11 September,2005




Bertuah sungguh nasib penagih di bumi kita. Bukan sahaja akan diberikan jarum dan kondom percuma, akan ditambah dengan bekalan barang keperluan pula. Mereka akan akan dilayan dengan penuh kasih sayang, dalm usaha untuk `menjinak' dan melembutkan hati mereka, kata Pengarah JAWI.


Tiba-tiba sahaja terbayang di hadapan saya imej-imej sedih dan pilu seperti dalam program Bersamamu TV3. Teringat kisah keluarga miskin yang ditarik balik bantuan RM80 sebulan oleh Kebajikan Masyarakat. Nasib mereka tidak sebaik penagih dadah. Perlu mengemis untuk mendapat sesuap nasi. Perlu menebalkan muka di dalam TV meminta belas ihsan. Nasib pesakit diabetis yang perlu membeli jarum untuk merawat penyakit yang dihadapi.

Sungguh makmur tanahairku....

Sabtu, September 03, 2005

Setitis air di hujung jari...




Tahniah Aida kerana berjaya menamatkan ijazah lanjutan beliau dengan jayanya. Minta maaf kerana kami berdua tidak dapat hadir. Maklumlah dah duduk jauh-jauh ni susah nak cari masa. Cepat betul masa berlalu. Rasa baharu sahaja Aida menyambung pelajaran.

Begitu juga saya. Rasa baru semalam mendaftar diri untuk program EMBA. Sedar tak sedar, dah hampir dua tahun saya menghadiri kelas hujung minggu. Minggu lepas, kelas pertama untuk subjek ke 12 dan yang terakhir, sebelum memulakan Applied Business Project.

Subjek pertama ialah Marketing dan subjek terakhir pula ialah Strategic Management.

Akhir-akhir ini, saya sering berharap supaya kelas ini cepat habis. Pengalaman memecut laju dari BM ke Ipoh untuk mengejar waktu kelas pada setiap hari Sabtu bukanlah menyeronokkan. Saya sering hadir lambat untuk kelas hari Sabtu yang mula pukul 2.30 petang.

Belajar sambilan ini ada pasang surutnya. Rasa semangat untuk belajar bila mendapat pensyarah yang bagus, tetapi ada masanya rasa macam mahu berhenti bila mendapat pensyarah yang teruk.

Ada segelintir pensyarah yang seperti tidak mengikuti perkembangan semasa, tidak mahu meningkatkan ilmu pengetahuan dengan modul-modul terbaru perniagaan dan peristiwa terbaru di pasaran. Mengajar eksekutif yang sedang bekerja tidak akan sama dengan mengajar pelajar diploma. Sebagai eksekutif yang sedang bekerja, kita sudah selalu menghadiri program latihan yang dikendalikan oleh pakar perunding ternama. Adakalanya ilmu yang ada pada pelajar lebih dari pensyarah oleh kerana banyak menghadiri program sedemikian.

Ilmu praktikal tidak akan sama dengan ilmu yang didapati dari buku teks. Bukan semua teori dalm buku teks sesuai untuk digunakan di tempat kerja. Kreativiti dan inovasi adalah perlu untuk menyesuaikan teori pengurusan dalam mengurus sesebuah organisasi.

Pelajar MBA juga tidak sepatutnya dinilai hanya menerusi peperiksaan. Menghafal sepatutnya sudah tidak menjadi metodologi mengajar lagi. Sepatutnya lebih banyak kajian kes, perbincangan dan pembentangan idea.

Untuk subjek Strategic Management ini kami mendapat seorang pensyarah yang sangat bagus, Datin N namanya. Beliau seorang pensyarah yang sukakan perbincangan di dalam kelas. Memang banyak perbincangan dan pertukaran idea dalam kelas ini. Kami berbincang secara telus dan terbuka mengenai gaya kepimpinan organisasi ternama tanahair dan dunia. Minggu lepas topik utama perbincangan ialah mengenai MAS dan Proton, juga gaya kepimpinan dan halatuju pemimpin negara.

Minggu lepas kami sudah diberi tugasan. Kami memilih untuk membuat buat analisa perbincangan kes mengenai persaingan antara MTV dan Channel V. Kumpulan kami juga akan membuat analisa strategik sebuah hospital swasta di utara tanahair. Mungkin topik yang serupa akan diperkembangkan untuk subjek Applied Business Project.

Akhir bulan ini akan berlangsung Pre Graduation Dinner di Damai Laut. Ini bermakna sesi pengajian kami sudah hampir ke penghujung. Bulan Jun tahun depan saya mengulangi jejak langkah Aida menaiki pentas. Ramai juga kawan yang sudah berfikir untuk menyambung DBA di institusi yang sama.

Kalau saya ingin mengubah kerjaya sebagai pensyarah, mungkin DBA satu pilihan yang baik. Tetapi jika mahu terus dengan kerjaya sedia ada mungkin ianya tidak perlu... buat masa ini.

Sabtu, Ogos 27, 2005

Kerana kau... ku masih di sini


Seminggu dua ini, ramai yang secara sengaja atau tidak telah singgah ke blog ini apabila menaip perkataan merdeka atau kemerdekaan di enjin carian google atau yahoo. Minta maaf jika mengecewakan anda. Seingat saya tidak banyak yang saya tulis mengenai merdeka di blog ini.

Namun, itulah hakikatnya yang perlu diakui. Bahan rujukan dalam bahasa melayu masih kurang di alam maya. Bagaimana mungkin tulisan saya yang sangat sederhana sifatnya itu boleh menduduki tempat di enjin pencari.

Ini jugalah antara sebab saya memilih untuk menulis dalam bahasa kebangsaan di blog ini. Saya sedar tulisan saya dalam bahasa Melayu tidak sebagus mana, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah cuba menulis dalam bahasa Melayu. Biarlah orang ketawa kerana tulisan saya macam budak sekolah, atau gaya bahasa kuno yang tak sesuai dengan kehendak semasa. Bukan senang untuk saya mula menulis di sini setahun lepas, kerana sudah agak biasa menulis dan bertutur menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan kerja.

Lebih-lebih lagi sewaktu bahasa Melayu berada dalam keadaan terpinggir di bumi sendiri. Ada ketikanya bahasa Melayu dipandang rendah dan hina oleh bangsanya sendiri. Bahasa Melayu sudah bagai jadi bahasa kedua, kalau tidak bahasa ketiga.

Pilu dan sedih rasanya bila mengenangkan nasib bahasa saya. Jiwa saya bagai ditoreh belati tajam bila saban hari berjumpa pelanggan yang tidak tahu berbahasa Melayu, walaupun telah bertahun duduk dan membina kekayaan di bumi bertuah ini. Boleh hidup mewah dan senang dan adakalanya masih tidak berpuashati dengan apa yang telah dikecapi dari negara yang berdaulat ini.

Kadang-kadang, bahasa itu seolah-olah jadi lambang yang membezakan status dan taraf penuturnya. Bahasa hanyalah medium untuk menyampaikan maklumat dan ilmu pengetahuan. Yang penting isi. Bukannya kulit. Substance over matter. Pelajarilah dan gunakanlah berbagai bahasa yang kita tahu untuk menyampaikan maksud dan makna kepada khalayak.

Moga hadirnya blog ini dapat menyumbang menambah jumlah tulisan berbahasa Melayu di internet. Kalaulah ianya layak dipanggil sumbangan!!

Saya mungkin tidak sepatriotik rakyat Malaysia lain yang berjaya menyumbang bendera Malaysia terbesar di dunia, atau mat rempit yang menyumbang suara meneriak kalimat merdeka di malam kemerdekaan.

Apalah sumbangan saya jika dibanding dengan pengusaha kek yg begitu patriotik menyumbang kek merdeka terbesar, walaupun mengaku tak reti berbahasa kebangsaan. Apa lagi jika dibanding mat motor yang menjelajah negara mengusung jalur gemilang. Saya juga kalah dengan gadis sensasi penghias majalah yang sanggup berkorban membalut tubuh hanya dengan bendera jalur gemilang tanda patriotik pada negara.

Saya hanya rakyat kecil di bumi bertuah yang akan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke 48 tahun 31 Ogos ini. Rakyat kecil yang tidak tahu apa akan jadi dengan nasib bahasanya sendiri di hari muka.

Akan dapatkah saya wariskan pusaka indah ini pada generasi akan datang?



Selamat Hari Merdeka

Jumaat, Ogos 26, 2005

Udang & Gout


Sengal-sengal pulak kaki ni. Tanda urik asid dah naik. Penangan Mee Udang Sg Dua agaknya. Udang dengan urik asid memang sinonim. Udang dan gout tu macam lah uda dan dara, tak boleh berenggang. Di BM ni memang banyak makanan sedap yang patutdijauhkan oleh ahli kelab gout. Ada mee udang, ada mee ketam, ada kari kambing Ahli kelab gout kena banyak bersabar jika melalui gerai-gerai mee udang dan mee ketam. Jangan terlebih makan.

Akhirnya berjumpa juga saya dengan 'Makcik glemer' seperti kata makciksan, seorang lagi `blogger glemer’ dari Okinawa yang belum ada kesempatan untuk saya jumpa. Terimakasih Mak Andeh & Brood dan AuntyN & famili yang sudi ajak saya ke Mee Udang Sg Dua. Nama je duduk BM, tapi asyik silap jalan nak ke Sg Dua, walaupun dekat. Sudahlah sampai lambat, kacau daun pulak `makcik glemer’ nak sembang. :)

Sabtu, Ogos 13, 2005

Siapa Saliha?



MAWI (tiga dari kiri) membaca doa selamat pada majlis penutup
dan penyerahan bintang-bintang AF3 ke pangkuan keluarga masing-masing
sambil diperhatikan M. Nasir (empat dari kiri) di Banglo Akademi
Fantasia di Seri Kembangan. - Foto Utusan


Aduh Saliha



Mana rayuanku hendak kusampaikan
Rindu berahiku pada kasih yang jauh
Jauh bukan jarak dan tempat
Jauh nama dan pangkat

Mana penggantimu hendak ku dakapkan
Dendam asmara ku pada cinta yang dulu
Luruh bukan daun dan hujan
Luruh jiwa dan badan

Bertahun ku sandar percaya
Tak mungkin padam cahaya
Cintamu bagai rembulan
Hilang di pandangan
Kala langit di lindung awan

Aduh mahkota terhempas, barulah kusedar
Yang kusangkakan intan
Oh hanyalah kaca
Sesudah berdarah barulah ku sedar
Jiwaku tercalar
Oh sakitnya bukan kepalang

Kau biarkan aku sendiri
Menderita siksa racun hidupku, Saliha
Kau biarkan aku sendiri
Melewati sepi dalam hidupku, Saliha
Kau biarkan aku sendiri
Meratapi nasib dalam gelita, Saliha

Lagu/Lirik : M Nasir/Loloq


Lirik ini saya ambil dari blog kieli


Saya bukan nak cerita mengenai penyanyi asal lagu ini iaitu Mawi. Saya nak cerita mengenai lagu Aduh Saliha yang dicipta oleh M Nasir. Ada orang kata lagu ini macam bukan lagu M Nasir. Kata mereka, kenapa lagu ini macam ada bunyi lagu rap. Takkan lagu M Nasir ada rap?

Ternyata mereka ini tidak khatam mendengar seluruh lagu M Nasir, terutamanya lagu-lagu beliau dari album Phoenix Bangkit. Melodi Lagu Aduh Saliha ini ada banyak persamaan dengan lagu Raikan Cinta dan Sahabat Gua. Kalau didengar dengan teliti, lagu ini banyak pengaruh dari Arab dan Spanish. Ada pengaruh ghazal dan juga flamenco.

Saya yakin lagu ini diilhamkan sekembali M Nasir dari perjalanan M Nasir ke seluruh dunia untuk rakaman rancangan M Nasir..Destinasi...Dunia di Astro. Lagu ini mengingatkan saya perjalanan M Nasir Ke selatan Sepanyol atau Andalusia, melewati Cordova, Toledo dan Seville. Perjalanan yang menghimbau zaman kegemilangan Islam di Sepanyol.

Lagu Aduh Saliha ada sedikit nuansa rentak flamenco yang memang bagai mengajak kita menari bersama. Flamenco yang sering dinyanyikan oleh kaum gipsy atau juga oleh trabador dahulukala. Flamenco adalah muzik yang berasal dari orang Islam dari Semenanjung Iberia yang sering juga dipanggil Moorish.

Mendengar lagu Aduh Saliha makin menambah rasa kagum saya pada M Nasir. Harapan saya akan banyak lagi lagu sebegini yang akan dihasilkan beliau.

Lagu ini akan tambah menarik jika diiringi dengan petikan gitar flamenco. Kalaulah Armik, Ottmar Liebert, James Bobchak atau Johannes Linstead dapat mengiringi lagu ini dengan petikan gitar mereka, sudah tentu ianya akan jadi lebih cantik.

Lagu ini diadun dengan begitu baik ditambah pula dengan lirik puitis dari Loloq yang banyak menulis lirik lagu M Nasir seperti Andalusia.

Saya masih mencari. Siapa sebenarnya Saliha? Hanya Loloq yang tahu.

Rabu, Ogos 10, 2005

Teruskan pencarian .. Joe Labi!



Akhirnya calon favourite saya, Joe Labi tersingkir juga di episod Mencari Cinta semalam.

Entah macam mana saya boleh tersangkut menonton program realiti mencari jodoh di TV3 iaitu Mencari Cinta. Tersangkut dan belum terlepas menonton setiap episod setiap Selasa malam. Mulanya agak skeptikal juga kerana biasa menonton program sedemikian dari barat yang sangat tidak sesuai dengan budaya tempatan.

Ternyata Program Mencari Cinta ini ada kelainan kerana cuba menerapkan budaya masyarakat Melayu dalam memilih calon pasangan hidup.

Pandangan keluarga diambilkira dalam memilih pasangan. Pandangan dan nasihat adik beradik Elly akan menentukan siapa ya akan tersingkir setiap minggu. Salah seorang abang ipar Elly adalah Dr Tengku Asmadi iaitu seorang tokoh motivasi yang terkenal terutama di negeri Perak. Beliau banyak main peranan dalam siri ini dengan menanyakan soalan-soalan yang sukar dijawab oleh peserta.

Episod semalam melihat abang-abang Elly mengejutkan calon di awal pagi di bilik masing-masing. Mereka ingin lihat siapa yang bangun solat subuh. Ternyata kesemua mereka masih berselimut waktu itu kecuali Joe Labi yang tidur semula selepas solat.

Dari episod awal, saya tertarik dengan Joe Labi yang pandai masak ini. Orangnya sentiasa ceria, sedikit rendah diri tetapi sangat menghormati orang. Kalau dibanding dengan yang lain, Joe Labi bukanlah yang paling kacak, tetapi tetap ada manisnya dan ceria orangnya. Tak tinggal solat dan pentingkan keluarga dari segala-galanya. Kehadirannya dalam siri ini bagai ada daya penarik.

Pendek kata, Joe Labi adalah calon menantu yang bagus.

Namun, penonton perlu menerima hakikat bahawa ini adalah program realiti.

Itulah juga realitinya bila mencari calon suami. Memang biasa di mulut orang berkata ingin mencari calon suami yang soleh. Yang penting hati mesti baik kata mereka. Kacak atau kaya perkara kedua, kata mereka.

Namun realitinya soal material tetap jadi pilihan utama. Yang ada rupa tetap jadi pilihan utama. Yang kerja besar, berjawatan tinggi akan dapat ranking yang tinggi.

Kepada Joe Labi, moga dapat jodoh yang lebih sesuai. Jangan putus asa, sebab jodoh pertemuan dah ditentukan Allah. Cuma kena berusaha. Kalau tak ada jodoh dengan Elly mungkin akan bertemu dengan yang lebih baik.

Kepada yang sedang mencari calon suami, jika anda minta nasihat saya, mungkin Joe Labi orangnya.

Eh siapa ada nombor telefon Ely? Nak minta nombor telefon Joe Labi....



Foto di atas saya jumpa di fotopages peserta yang pertama disingkirkan iaitu Hasrul. Menarik juga. Cubalah klik
Mencari Cinta - SMS gagal pikat Elly - Utusan 10 Ogos 2005

Rabu, Ogos 03, 2005

Di penghujung Fantasi..



Tahun lepas kami tak tengok konsert final AF, kerana menghadiri konvo adik di selatan tanahair. Tahun ini pula, saya tak menonton Diari AF kerana rumah di BM tak ada ASTRO. Yalah, duduk sorang-sorang buat apa pasang benda tu. Duduk menung lagi bagus.

Saya hanya menonton Konsert AF setiap Sabtu bila balik ke rumah di Ipoh. Hari Sabtu ni akan berlangsung konsert akhir AF. Tahun ini sensasinya berlainan sekali. Kali pertama AF menjadi isu nasional, diulas oleh semua termasuk oleh ahli politik dan ahli akademik.

Mungkinkah kelainan ini kerana adanya faktor Mawi? Seorang pemuda anak Felda dari Kulai yang nyaris tersingkir di peringkat awal. Mawi telah menjadi semacam icon, bukan sahaja bagi anak muda, malah bagi yang sudah veteran berpangkat pakcik dan makcik. Semua orang berbicara mengenai beliau. Tiba-tiba sahaja kelihatan ramai lelaki yang berfesyen rambut seinci gara-gara Mawi.

Mawi jadi bualan di merata tempat, malah diulas dalam beberapa artikel di akhbar perdana juga di di akhbar pembangkang, harakahdaily. Isu Mawi dan AF diulas oleh tokoh akademik bertaraf professor, malah ada kajian dilakukan oleh ahli akademik tentang isu ini.

Sebenarnya sokongan melampau terhadap Mawi bermula apabila beliau disingkirkan di peringkat awal oleh panel pengajar. Ramai yang merasakan suara beliau antara yang bagus tetapi hairan mengapa beliau tidak dipilih oleh panel tenaga pengajar. Mungkinkah beliau disingkir kerana memilih lagu nasyid? Lalu mulalah timbulnya teori konspirasi yang mengatakan beliau disingkirkan hanya kerana beliau menyanyi lagu nasyid. Kononnya pelajar yang menyanyi lagu nasyid tak sesuai untuk masuk AF. Mana ada kelas nyanyi lagu Rabbani nak masuk Akademi Fantasia

Itu antara punca awal mengapa sokongan terhadap Mawi mula meningkat. Orang kita memang suka teori konspirasi. Ditambah pula oleh komen-komen yang memandang sinis bila Mawi mengaku akan terus memilih genre musik nasyid bila beliau keluar dari AF nanti.

Saya juga yakin pengundi Mawi kali ini mungkin terdiri dari peminat nasyid yang tidak pernah mengundi sebelum ini. Mereka terperangkap dengan emosi dan terpukau dengan mainan kamera yang bijak memilih aksi dan gelagat yang mahu dipertontonkan. Mereka mengundi kerana kononnya memberi keadilan kepada genre nasyid juga kepada seorang anak muda yang kelihatan sangat baik perwatakannya.

Ramai yang menonton Konsert mingguan dan hairan mengapa Mawi mendapat undian yang tinggi walaupun ada pelajar lain yang tidak kurang bagus suaranya. Mereka mungkin tidak faham tentang konsep sebuah rancangan realiti seperti AF. AF bukan sebuah rancangan mencari penyanyi terbaik. Memang semua mereka berbakat, tetapi bakat hanya elemen kecil dalam pola pengundian. Malah konsert mingguan yang dipentaskan hanya sebagai pelengkap yang tidak begitu memberi kesan kepada pengundi. Mereka yang mengundi sebenarnya akan lebih terpengaruh dengan `lakonan' para pelajar di dalam Diari AF. Segala gerak geri dan tingkah laku, perbuatan dan perbualan para pelajar ini menjadi tontonan.

Malah komen yang tidak profesional dari pengkritik yang profesional juga menambahkan lagi undi kepada Mawi. Mawi jarang diberi komen yang membina. Kebanyakan komen bernada sinis dan tidak jujur bunyinya. Memang beliau banyak kekurangan, tetapi pujian harus diberi pada kekuatan yang ada pada beliau. Sekali lagi teori konspirasi memainkan peranan. Pengkritik dilihat memberi komen negatif hanya kerana kecewa diri sendiri tidak diminati ramai seperti Mawi.

Harapan saya Mawi akan berjaya, setelah keluar dari AF. Moga beliau benar-benar keluar dari dunia fantasia. Maaf, saya tak akan mengundi sesiapa walaupun Mawi yang saya minati. Saya hanya mahu memerhati dan tidak mahu terlibat dalam permainan ini.
Jika anda ingin menyertai permainan ini silakan. Lebih baik menyokong dengan membeli album beliau di kemudian hari, dari menghabiskan wang memenuhkan kantong pengusaha yang memang sudah sedia penuh.

Saya berharap keluaran AF ini akan keluar dari fantasi mereka setelah program ini berakhir. Kalau dilihat dari dua siri AF yang lepas, hanya segelintir yang berjaya dalam bidang yang diceburi. Yang lainnya masih kelihatan tidak mahu keluar dari bayangan AF. Yang lebih malang mereka hanya dijadikan bahan pemasaran atau `marketing tool’ pihak syarikat. Mereka masih berada di alam fantasi apabila hampir segala-galanya disusunatur oleh pihak syarikat.

Untuk berjaya di bidang hiburan, mereka sebenarnya masih memerlukan resepi yang sama, suara yang bagus, personaliti yang menarik, pakej yang sesuai, syarikat rakaman yang bagus dan sesekali keluar dengan isu sensasi untuk menarik perhatian ramai.

Kepada penonton dan peminat AF, fantasia anda akan menuju penghujung akhir minggu ini. Selamat kembali ke alam realiti.

Khamis, Julai 28, 2005

Hadapi Dengan Senyuman




Saya ni terlambat sikit. Baru ni sahaja saya dengar lagu kumpulan popular dari Indonesia iaitu Dewa. Sedangkan lagu-lagu kumpulan ini sudah jadi siulan anak muda kini (mungkin kerana saya sudah masuk ke golongan tua, agaknya :) ). Pertama kali saya dengar lagu ini terus terpikat dengan liriknya yang mudah dan berkesan, terutama lagu Hadapi Dengan Senyuman. Mungkin kerana saya boleh `relate' dengan tajuk lagu tersebut.



HADAPI DENGAN SENYUMAN
SEMUA YANG TERJADI
BIAR TERJADI….
HADAPI DENGAN TENANG JIWA
SEMUA... KAN BAIK BAIK SAJA

BILA KETETAPAN TUHAN
SUDAH DITETAPKAN
TETAPLAH SUDAH….
TAK ADA YANG BISA MERUBAH
DAN TAKKAN BISA BERUBAH


RELAKANLAH SAJA INI
BAHWA SEMUA YANG TERBAIK
TERBAIK UNTUK KITA SEMUA
MENYERAHLAH UNTUK MENANG


DEWA
Album Laskar Cinta
Lagu Ciptaan Ahmad Dhani


Alangkah baiknya jika kita boleh menghadapi segala cabaran dan dugaan hidup dengan senyuman. Selamat dunia. tak payah bertekak, tak payah bertegang urat, tak payah `argue for the sake of arguing'.

Yang jadi masalah, kita selalu mau menang dalam segala keadaan. Kata pensyarah saya di kelas International Business minggu lepas, frasa `Win-win' itu sekadar mainan bibir semata, kerana jauh di sudut hati semua pihak mahu menang, atau `win-lose', cuma sebanyak mana kita `win' yang jadi perkiraan.


Walau apapun yang mendatang, singa atau rimau, akan saya hadapi dengan senyuman... :)

Selasa, Julai 19, 2005

Qaisy & Laila



Dah lama saya ingin bercerita tentang filem ini tetapi tidak berkesempatan. Kami menonton filem ini hampir sebulan lepas. Biasalah menonton di pagi Ahad, sebab harga tiketnya hanya RM6, berbanding RM8 atu RM10 di hari biasa.

Semasa berbaris membeli tiket, risau tak dapat tiket sebab ramai betul yang berbaris tidak seperti hari Ahad yang biasa. Rupanya ramai yang datang nak menonton War of The Worlds. Terkejutnya kami bila melihat panggung yang menayangkan Qaisy & Laila kosong. Hanya kami berdua! Rasa macam Raja bila satu panggung kita punya. Agaknya betullah satu banci yang menyebut bahawa kadar menonton wayang bagi rakyat Malaysia antara yang terendah di dunia. Seingat saya ini adalah filem kedua yang kami tonton dengan panggung yang kosong. Filem yang pertama ialah Syukur 21 lakonan kumpulan Raihan. Adalah 3-4 orang penonton kalau tak silap, itupun termasuk pekerja panggung yang duduk kat belakang.

Inilah nasib filem Melayu. Lebih-lebih lagi filem yang ada mesej dan falsafah seperti filem Qaisy dan Laila ini. Qaisy & Laila dihebahkan sebagai sebuah filem cinta, mungkin untuk menarik perhatian penonton muda. Tajuk filem dan posternya melambangkan kiash percintaan dua insan yang berbeza latarbelakang.

Ingatan saya pada filem ini kembali bila menonton siaran langsung Pesta Filem Malaysia yang baru berlalu. Filem ini telah menggondol hadiah Lagu Original terbaik melalui lagu Qaisy & Laila yang telah dinyanyikan oleh Zahid AF. Ianya juga telah memenangi anugerah pelakon pembantu terbaik melalui Radhi Khalid. Memang lakonan Radhi Khalid sebagai Sadiq dalam filem itu sangat baik dan memberikan kesan yang mendalam kepada penonton.

Qaisy dan Laila adalah sebuah filem yang patut dijadikan kebanggan rakyat Malaysia. Hampir keseluruhan babak dalam filem ini diambil di luar negeri. Lokasi perfilemannya ialah Quetta sebuah bandar di sempadan Pakistan Afghanistan. Mulanya filem ini ingin difilemkan di Kandahar Afghanistan, tetapi atas sebab keselamatan ianya tidak dapat diteruskan.

Filem ini bukan sekadar kisah cinta murahan. Ianya adalah kisah cinta pada sesama insan, cinta pada bangsa dan tanahair yang telah diratah dan dimamah penjajah.Inaya kisah cinta pada Agama dan yang Maha Esa. Ianya sebuah kisah pengorbanan yang menyaksikan insan tak berdosa menjadi korban.

Banyak adegan dalam filem ini yang boleh menyebabkan penonton sebak dan mengalirkan air mata. Sedih saya melihat adegan anak-anak berebut roti. Khabarnya adegan itu adalah adegan sebenar yang diambil tanpa dirancang.

Filem yang menelan belanja hampir RM2.5 juta ini tidak mendapat sambutan yang sepatutnya dari khalayak penonton di Malaysia. Filem ini telah mengangkat mertabat Malaysia kerana menggambarkan kesusahan hidup rakyat Afghanistan dan juga memberi pengiktirafan kepad sukarelawan Malaysia yang berjuang memberi sumbangan di merata tempat di dunia.

Harapan saya filem yang diterbitkan oleh Habsah Hassan dan arahan Raja Ahmad Alauddin ini akan dipasarkan di peringkat antarabangsa. Ianya mempunyai resipi untuk berjaya di peringkat antarabangsa kerana membawa bahasa yang boleh diterima semua, iaitu bahasa kemanusiaan.

Jumaat, Julai 15, 2005

Peristiwa 7 haribulan 7, 2005


7 haribulan 7, 2005 akan jadi satu mimpi ngeri bagi keluarga mangsa kejadian siri serangan bom di London. Kejadian 7 haribulan 7 menyaksikan 7 letupan bom di 7 lokasi yang telah mengorbankan 50 orang dan mencederakan 700 orang mangsa. Salam takziah untuk keluarga mangsa dan semoga penjenayah terbabit akan dapat dikesan dan diadili dengan sewajarnya.

Berita terakhir melaporkan yang ianya dilakukan oleh 4 orang pengebom berani mati Islam berketurunan Pakistan, 3 orang telah terkorban dan seorang lagi masih diburu. Sekali lagi umat Islam menjadi tumpuan untuk sebab yang salah. Sejurus selepas kejadian bom itupun, jari suduh tertuding kepada kumpulan Islam radikal, mungkin Usama Ben Laden (seorang manusia yang nampak serba lekeh, tetapi masih tidak dapat ditangkap, walaupun mempunyai kelengkapan perang yang serba canggih!) .

Mungkin benar ianya dilakukan oleh pengganas yang kebetulan beragama Islam. Persoalannya benarkah ianya dirancang oleh pertubuhan Islam atau gerakan Islam? Apa untungnya pada kumpulan Islam?

Siapakah yang mendapat kerugian yang besar dari siri pengeboman ini? Mungkin pentadbiran Blair akan merasa bahang dari peristiwa ini, tetapi kerugian besar ditanggung oleh umat Islam Britain yang memang selama ini menjadi contoh umat Islam terbaik di dunia. Umat Islam di Britain terkenal sebagai usahawan yang berjaya, ahli akademik dan tokoh agama yang hebat dan juga ahli masyarakat yang terlibat dalam segala kegiatan kemasyarakatan yang memakmurkan negara.

Siapakah yang mendapat keuntungan besar dari peristiwa ini? Dah tentu bukan umat Islam. Siapakah mereka?

Ahad, Julai 10, 2005

Memoir Ibrahim Chik



Memoir Ibrahim Chik
: Dari API ke Rejimen ke-10.
2004. Penerbit UKM: Bangi.
ISBN 967-942-666-1 (Paperback).
220hlm. RM35.00.
Ibrahim Chik.

Satu lagi buku yang saya baca ialah buku Memoir Ibrahim Chik: Dari API ke Rejimen ke-10. Buku ini saya baca sejurus selepas selesai membaca buku Memoir Shamsiah Fakeh.

Ibrahim Cik memulakan karier politik beliau dengan menyertai API. Beliau memilih untuk meneruskan perjuangan bersenjata melawan penjajah dengan menyertai Rejimen 10, PKM yang majoriti ahlinya adalah orang Melayu.

Anggapan saya, jika seorang itu menyertai komunis sudah tentu akan melupakan agama. Terkejut saya bila Ibrahim bercerita di dalam bukunya yang di kem komunis juga ada surau tempat anggota mereka solat. Ternyata meraka masih berpegang teguh dengan agama dan mengamalkan ibadah sama seperti saudara mereka di luar.

Propaganda British waktu itu sangat kuat sehingga berjaya memberikan gambaran yang sejahat-jahatnya pada anggota PKM. Pengganas komunis dianggap lebih jahat dari penjajah British, walaupun British telah telah merompak dan membawa lari khazanah bangsa dan negara.

Dalam bukunya Ibrahim bertanya, jika kita benar-benar mahu melawan penjajah mengapa tiada tugu didirikan untuk mengenang perjuangan melawan British? Tugu Negara yang dibina adalah mengenang perjuangan melawan komunis dan bukan perjuangn melawan penjajah British. Ada juga yang berkata, wajah tentera yang berdiri megah di Tugu Negara itu tidak menyerupai orang Melayu, lebih mirip wajah orang Inggeris.

Sehingga kini, walaupun sudah berpuluh tahun merdeka, kita masih rasa bangga menjadi sebuah negara negara bekas jajahan British.

Jika anda benasib baik, anda akan berjumpa buku-buku ini di kedai buku MPH, itupun kalau nasib baik. Saya difahamkan yang buku ini sudah tidak dikeluarkan lagi oleh penerbitnya, Penerbitan UKM kerana ada pihak tertentu yang marah. Mungkin kerana siri memoir bekas ahli PKM ini cuba memberi gambaran baik kepada pejuang kemerdekaan ini.

Walaupun kita tidak bersetuju dengan pegangan politik golongan ini, mereka ini ternyata telah membuktikan kecekalan dan kegigihan mereka melawan penjajah sehingga akhirnya negara kita merdeka. Andai kata tiadanya perjuangan bersenjata oleh komunis mungkin British tidak akan melepaskan genggaman mereka terhadap Tanah Melayu. Penjajah British ternyata terpaksa menghabiskan wang yang banyak untuk berhadapan dengan serangan gerila pihak komunis.

Walau apapun pandangan kita, episod itu telah lama berlalu dan patut menjadi panduan kepada semua, terutama generasi selepas merdeka. Sempena bulan membaca ini, bacalah buku ini dan buatlah telahan sendiri.

Selasa, Julai 05, 2005

Memoir Shamsiah Fakeh

.





Memoir Shamsiah Fakeh
: Dari AWAS ke Rejimen ke-10.
2004. Penerbit UKM: Bangi.
ISBN 967-942-659-9 (Paperback).
138 hlm.
RM30.00.

Saya baru selesai membaca dua buah memoir yang patut menjadi bacaan wajib setiap rakyat Malaysia. Kedua-duanya adalah memoir tokoh PKM ataupun Parti Komunis Malaya. Buku pertama yang saya baca adalah memoir Shamsiah Fakeh berjudul Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke 10.

Generasi sebaya saya mungkin pernah dengar nama Shamsiah Fakeh, seorang wanita Melayu yang terdidik dengan pendidikan agama tetapi memilih perjuangan bersenjata melalui Parti Komunis Malaya.

Saya masih ingat ketika kecil, kami selalu ditakut-takutkan dengan bahaya pengganas komunis. Jangan masuk ke hutan, nanti berjumpa dengan komunis. Saya masih ingat perintah berkurung masih dikenakan di kampung saya di Sungai Siput hingga awal tahun 80-an. Sungai Siput terkenal sebagai kawasan hitam apabila pekerja sebuah estet berketurunan Inggeris dibunuh oleh penggnas komunis, lalu Darurat diisytiharkan di Tanah Melayu.

Pada masa itu, saya tidak faham mengapa seorang wanita Melayu beragama Islam boleh memilih ideologi Komunis dan menjadi pengganas melawan kerajaan.

Membaca buku ini sekurang-kurangnya menjawab persoalan mengapa Shamsiah Fakeh, menyertai PKM. Walaupun saya tidak bersetuju dengan pilihan beliau, tetapi saya menghormati tindakan dan pegangan yang beliau pilih. Sesungguhnya ramai orang melayu yang menyertai PKM di waktu itu kerana tiada jalan lain yang terbuka untuk bergerak menetang penjajah dan memperjuangkan kemerdekaan. Ketika badan politik seperti PKMM diharamkan, oleh British dan semua pemimpinnya dikejar ke lubang cacing, pilihan yang masih ada ialah masuk ke hutan dan bergabung dengan PKM yang sudah sedia berjuang dengan bersenjata.


"Bagi orang-orang yang memperjuangkan Kemerdekaan maka tidak ada pilihan lain lagi melainkan berjuang mengangkat senjata untuk menggulingkan penjajah apabila jalan damai sudah ditutup. Bukan kita yang menutupnya tetapi penjajah British."

Shamsiah juga tetap tegas berpegang pada prinsip beliau iaitu berjuang melawan dan menghalau penjajah dari tanahair tercinta untuk mencapai kemerdekaan yang sebenar.

"Sebenarnya aku bukanlah pemimpin wanita Parti Komunis Malaya atau seorang tokoh wanita yang terkemuka. Aku hanya seorang pejuang wanita yang berjuang melawan British untuk kemerdekaan tanahair dan untuk emansipasi (kebebasan) wanita."

Samada tindakan dan pegangan politik Shamsiah dan rakan-rakan waktu itu betul atau tidak, biarlah sejarah yang menentukan.

Rabu, Jun 29, 2005

Jiwa Rasa...muda?


.

Eh, dah setahun dah rupanya usia blog ni. Saya tak perasan! Posting pertama saya di blog ini pada 22 Jun, 2004. Mulanya hanya suka-suka. Orang tulis kita pun teringin nak tulis.Tak sangka boleh bertahan hingga kini. Mungkin kerana dunia blog telah menemukan saya dengan ramai rakan yang berkongsi cerita di alam maya. Walaupun tak pernah bertemu tapi bagai dah kenal lama.

Saya turunkan semula posting saya yang pertama, setahun yang lepas;


Tuesday, June 22, 2004

Kenapa Jiwarasa?
Jiwa adalah harta yang tiada ternilai mahalnya. Kesucian jiwa menyebabkan kejernihan diri, lahir dan bathin. Itulah kekayaan sejati.

`Beberapa banyaknya orang yang kaya harta, tetapi mukanya muram, dan beberapa banyaknya orang yang miskin uang, tetapi wajahnya berseri. Sekadar kekuatan dan usaha diri, begitu pulalah tingkatan kesucian yang akan ditempuh jiwanya.'
- petikan HAMKA dari Tasauf Moderen

Jiwa yang kuat perlu sensitif kepada persekitaran. Jiwa yang murni akan merasa resah dan gelisah dengan ketidakadilan, kesengsaraan, kebiadaban dan ketololan manusia.



Selasa, Jun 21, 2005

Catatan Perjalanan Che Guevara

Image Hosted by ImageShack.us

Siapa yang tidak kenal dengan wajah Che Guevara, wajah yang sudah jadi seperti ikon kepada remaja di merata dunia. Wajah beliau yang memandang jauh ke hadapan sering menjadi hiasan di T-Shirt anak-anak muda. Memakai baju T berwajahkan Che Guevara mungkin melambangkan jiwa memberontak seorang muda. Itupun jika mereka kenal siapa itu Che Guevara. Ramai yang memakai T-shirt berwajah Che Guevara tanpa mengenali siapakah sebenarnya beliau. Che Guevara adalah satu tokoh besar dalam perjuangan gerila di Amerika Selatan.


Buku The Motorcycle Diaries tulisan Che Guevara ini telah lama saya cari tetapi hanya saya jumpa di Janpath, Delhi. Buku ini menjadi popular selepas difilemkan baru-baru ini. Saya mungkin tidak setuju dengan anutan politik Che Guevara, tetapi saya kagum dengan kesungguhan beliau menggerakkan massa dan kesungguhan beliau memperjuangkan pegangan beliau. Ada beberapa lagi buku Che Guevara yang saya jumpa di kedai yang sama tetapi saya tidak beli. Menyesal pulak rasanya tak beli.


Image Hosted by ImageShack.us
kulit buku

The Motorcycle Diaries adalah sebuah catatan perjalanan yang ditulis oleh Che Guevara 8 tahun sebelum revolusi Cuba. Ianya mengisahkan tentang seorang pemuda berusia 23 tahun, Ernesto Che Guevara dan rakannya Alberto Granada yang mengelilingi Amerika Selatan menggunakan sebuah motorsikal Norton yang digelar La Poderosa. Che adalah sorang penuntut perubatan dan Alberto pula seorang biochemist.

Perjalanan mereka merentasi Argentina, Chile, Peru dan Venezuela menyaksikan bagaimana susahnya hidup masyarakat sewaktu itu. Che melihat kesusahan hidup dan kemiskinan yang melanda rakyat Che Guevara berpendapat hanya perjuangan revolusi dan secara gerila dapat menyelamatkan rakyat dari belenggu kemiskinan dan cengkaman kapitalis di Amerika Selatan. Perjalanan ini telah mencorakkan pemikiran Che Guevara dalam memilih jalan perjuangannya di kemudian hari.

Catatan perjalanan Che Guevara ini penuh dengan peristiwa dan penemuan menarik. Mereka mengembara dengan belanjawan terhad dan sentiasa berharap ada tempat untuk makan dan tumpang bermalam keesokan harinya.

The Motorcycle Diaries telah memperlihatkan sosok kemanusiaan seorang Che Guevara. Beberapa tahun kemudiannya, Che Guevara dikenali ramai sebagai seorang tokoh revolusi politik dan muncul sebagai tokoh penting yang membantu Fidel Castro mendapat kuasa di Cuba pada tahun 1959. Beliau meninggalkan pangkat dan jawatan dalam kabinet Castro pada tahun 1966 dan mula melancarkan revolusi di negara lain, bermula di Congo dan seterusnya Bolivia.

Riwayat Che Guevara berakhir di tahun 1967 apabila beliau ditangkap dan dibunuh dalam satu operasi tentera di hutan Bolivia. Kematian telah mengambil jasadnya, namun semangat beliau terus hidup dihayati dan disanjung oleh pejuang sosialis dan kemanusiaan di seluruh dunia. Wajah Che Guevara kekal sebagai seorang hero perjuangan sosialis dunia ketiga hingga ke hari ini.

Rabu, Jun 15, 2005

Lima Syair Tentang Warisan Harta

.




LIMA SYAIR TENTANG WARISAN HARTA

(I)
Inilah syair pertama tentang secercah sejarah
Mengenai nabi Muhammad menjelang wafat
Ketika sakit beliau sudah terasa berat
Pada tabungannya yang sedikit jadi teringat
Menyedekahkannya belum lagi sempat
Maka Rasulullah berkata pada Aisyah
“Aisyah, mana itu ashrafi?
Berikanlah secepatnya pada orang tidak berpunya
Bila masih ada harta kutinggalkan
Di rumahku ini, pasti itu bakal jadi rintangan
Dan aku tak aman menghadap Tuhan.”
Sesudah tabungan itu dibagikan
Maka wafatlah beliau dengan aman

(II)
Inilah syair kedua tentang Khalid bin Walid
Perwira tinggi yang amat gagah berani
Seorang jenderal pertempuran yang sejati
Caranya mati dia sesali sendiri
Karena bukan gugur di medan pertempuran
Tetapi karena sakit, mati di atas dipan
Mengenai harta benda yang dia tinggalkan
Hanya tiga jenis macamnya :
Sebilah pedang
Seekor kuda
Dan seorang pembantu rumah tangga

(III)
Inilah syair ketiga tentang Umar yang perkasa
Yang pernah menaklukkan persia dan roma
Yang kilatan pedangnya menggoncang kerajaan demi kerajaan
Yang perkasa, kaya serta berkuasa
Tetapi sesudah dia tiada lagi bernyawa
Warisannya Cuma sehelai baju
Terbuat dari kain yang kasar
Dan uang lima keping
Seharga lima dinar

(IV)
Inilah syair keempat tantang Aurangzeb
Penguasa imperium Mughal di India
Luas dan jaya kerajaannya
Adil serta merata kemakmurannya
Dan ketika dia pergi menghadap Tuhan
Dia meninggalkan dua warisan
Pertama, uang sebanyak empat rupi dua ama
Hasil penjualan kopiah jahitannya
Kedua, uang sebanyak 305 rupi
Upah menyalin Quran dengan tangan
Dan semua uang itu kemana pergi
Pada rakyat yang miskin habis dibagi-bagi

(V)
Inilah syair kelima tentang Sultan Shalahuddin
Pahlawan perang yang sangat harum namanya
Raja dari kawasan yang sangat luasnya
Sultan dari kerajaan yang amat makmurnya
Dan dia, pada hari wafatnya
Tidak mewariskan harta benda suatu apa
Karena seluruhnya sudah habis disedekahkannya
Pada kawula fakir miskin yang lebih memerlukannya
Sehingga biaya pemakamannya
Adalah urunan dari sahabat-sahabatnya
Dan ada rakyat yang menyumbangkannya batang-batang jerami
Sebagai pagar dari makamnya

Malu (Aku) Jadi Orang Indonesia
Seratus Puisi Taufiq Ismail


Saya suka puisi Taufiq Ismail, seorang penyair terkenal dari Indonesia. Puisi beliau tentang harta memberikan kesan yang sangat mendalam. Mengenangkan kehebatan pemimpin zaman silam yang tidak tergugat dengan kilauan emas dan permata.

Saya sering bertanya diri sendiri, ada lagikah pemimpin sebegini rupa di zaman ini, yang tidak terhimbau dengan kilauan harta. Wujudkah pemimpin yang ikhlas berkhidmat kerana Allah dan megharapkan keredaan dan ganjaran dari Allah semata-mata? Menjaga harta rakyat dan negara dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab, menyedari setiap nasi yang disuap akan ditanya oleh Allah di kemudian hari?

Bukan senang untuk menghadapi cubaan bila segala-galanya terbentang di depan mata. Satu hayunan tinta boleh menggadaikan nusa dan bangsa. Khazanah bangsa boleh surut jika rapuh iman di dada. Bila sudah memegang kuasa, siapa yang berani menegur sebarang angkara? Semua yang dibikin, diiya sahaja.

Tak perlu kita bicara tentang pemimpin di peringkat negara. Baru jadi kerani menguruskan pembelian untuk syarikat sudah tergugat diri dan goyah iman di dada. Syarikat rugi tetapi dia senang hati memewahkan diri, dari sumber yang tak siapa ketahui. Tanpa disangka sebenarnya dia mengabdikan diri, pada nafsu serakah memakan diri, yang akan disoal di akhirat nanti.

Ramai orang boleh bertahan dengan ujian kemiskinan dan kepapaan, tetapi tidak ramai yang boleh bertahan dengan ujian kesenangan. Ramai yang sanggup berjuang untuk Allah ketika susah, tapi alpa dan lupa diri bila sudah senang.

Moga Allah limpahkan hidayah dan suluhkan jalan untuk kita bagi meneruskan perjalanan di dunia yang penuh cubaan ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails