Pagi ini kami berkira-kira mahu ke Danau Malinjau, tetapi cuaca tidak berapa menyebelahi kami. Gunung Merapi pun tidak kelihatan kerana diselaputi kabus tebal. Kalau diteruskan juga, kami mungkin tidak akan dapat menikmati keindahan pemandangan Danau Maninjau, kata Pak Bambang.
Lalu kami mengubah destinasi ke Batusankar untuk melihat Istana Pagar Ruyung. Istana Pagar Ruyung ini adalah binaan semula di tahun 1976, menggantikan bagunan asal yang telah dimusnahkan Belanda. Istana terakhir dimusnahkan oleh Belanda dalam tahun 1804. Istana yang dibina semula ini pernah didiami istana Raja Alam Minangkabu, Sultan Muning Alam.
Pagar Ruyung dikatakan sebagai tempat bermulanya keturunan raja-raja Melayu. Kerajaan Pagar Ruyung adalah sebuah kerajaan yang dulunya terletak di Kecamatan Tanjung Emas, Kota Batusangkar, Kabupaten Tanah Datar. Kerajaan ini didirikan oleh Pangeran Adityawarman dari Majapahit pada tahun 1347. Parameswara yang membuka Melaka juga dikatakan mempunyai pertalian dengan Pangeran Adityawarman.
Perjalanan menuju ke Istana Pagar Ruyung sangat menarik hati saya. Keheningan pagi dan keindahan sawah padi yang menghijau. Sawah padi di sini ditanam secara berteres di lereng-lereng bukit. Yang menghairankan saya, tanah yang kecil juga ditanam dengan padi. Kata Pak Bambang, masyarakat Minang memang sudah diajar untuk bercucuk menanam padi dan membela ikan di halaman rumah. Di setiap rumah akan ada sepetak sawah padi, walaupun kecil, juga kolam ikan.
Asyik sungguh saya melihat pemandangan di sepanjang jalan, tidak sedar akhirnya kami sudah pun sampai ke Istana Pagar Ruyung yang terletak megah di atas bukit. Kedatangan kami disambut oleh petugas yang menceritakan sejarah Istana Pagar Ruyung tersebut. Ada banyak bilik di sini. Bilik Sultan beradu dipisahkan dengan balairungseri dengan banyak lapis tirai. Khabarnya, Sultan akan berbincang perkara rahsia di balik tirai tersebut, bergantung kepada darjah kerahsiaannya. Ada banyak lagi bilik lain kepunyaan puteri raja. Putera raja Minagkabau tidak mempunyai bilik. Sebelum Maghrib anak lelaki Minang akan ke surau mengaji dan terus bermalam di sana.
Sebelum pulang kami sempat bergaya memperagakan pakaian diraja Istana Pagar Ruyung. Dengan membayar sejumlah wang, pengunjung boleh menyewa baju yang disediakan untuk bergambar kenangan.
Kami meninggalkan Istana Pagar Ruyung denagn kenangan yang terpahat. Kami melalui makam Raja Pagar Ruyung, yang mangkat di tempat lain, tetapi tanahnya dibawa ke sini. Kami juga melalui Istana Hinggap Yam Tuan Besar Negeri Sembilan, yang terletak tidak jauh dari Istana Pagar Ruyung. Menurut cerita istana itu dibina di tapak asal tempat lahirnya Raja Melewar di tanah Minang.
Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah rumah yang menepatkan sebuah batu yang aneh, Batu Angkek-Angkek namanya. Batu yang tertulis kalimah Allah & Muhammad ini dikatakan boleh memberi petanda samada niat dan keinginan seseorang itu akan termakbul atau tidak. Kalau termakbul batu itu boleh diangkat, jika tidak ianya akan melekat di tempatnya. Batu ini sudah dijaga 9 keturunan. Lelaki yang kami temui hari itu adalah dari keturunan yang kesembilan. Yang menarik, beliau memberi penerangan terlebih dahulu, agar tidak tergelincir aqidah, batu angkek-angkek hanya sebagai petanda, bukan memakbulkan. Yang memakbulkan doa adalah Allah, katanya.
Kami tinggalkan keanehan Batu Angkek-Angkek. Perjalanan pulang ke Bukit Tinggi masih jauh. Kami singgah makan di Sebuah Rumah Makan yang terletak di tepi sawah. Perut yang lapar menambah selera bila melihat hidangan ayam pop, ayam goreng, daging dendeng, ikan bilih, otak, dan lain-lain.
Perjalanan diteruskan selepas menjamu selera. Kami melalui jalan yang berselekoh untuk pulang ke Bukit Tinggi. Kami singgah sebentar di sebuah perusahaan membuat kopi. Pengunjung dihidangkan kopi dan teh secara percuma. Kopinya diminum secara tradisional, di dalam tempurung kelapa dan dikacau dengan kayu manis untuk menambah lagi kelazatan rasa dan aromanya. Memang enak rasanya minum kopi di kawasan sejuk sebegitu.
Sesudah selesai membeli kopi dan baranhgan lain, kami meneruskan perjalanan kami pulang ke Bukit Tinggi. Kami terus ke Pasar Atas untuk `menambah pelaburan' dan menghabiskan rupiah. :)
Kami pulang ke hotel keletihan setelah berbelanja besar. Antara tarikan Kota Bukit Tinggi adalah Jam Gadang, ataupun jam besar tinggalan Belanda. Itulah juga pusat Kota Bukit Tinggi yang berhampiran dengan pusat beli-belah di Pasar Atas. Berhampiran Jam Gadang sudah menunggu bendi atau kereta kuda yang menunggu pengunjung. Petang itu kami mencuba menaiki bendi pulang ke hotel. Kasihan kuda itu mengangkut kami berempat.
Malam itu kami makan malam di Rumah Makan Sederhana. Namanya sahaja yang sederhana, tetapi hidangannya cermerlang kelas pertama. Saya cuba pesan Teh Telur, teh susu yang dibancuh dengan telur mentah dan diperah sedikit limau nipis. Enaknya!
Itu malam terakhir kami di Bukit Tinggi. Esoknya kami perlu daftar keluar untuk pulang ke kota Padang.
1 ulasan:
saye baru pulang dari sana. best :)
Catat Ulasan