Rabu, Februari 14, 2007

Buku di Gramedia Padang

.



Sebelum ke Bukit Tinggi, pada hari pertama di Kota Padang, kami sempat singgah di Toko Buku Gramedia Padang. Rakan saya dari RS Selasih pesan, di sini sukar mahu cari buku berbahasa Inggeris. Saya hanya tersenyum. Rakan sekerja ramai yang tidak tahu saya gemar membaca buku termasuk buku berbahasa Melayu.

Toko Buku Gramedia di Padang, kecil sahaja berbanding di Jakarta, kata Pak Bambang. Ada tiga tingkat. Tingkat bawah menjual alatulis.

Banyak sungguh saya jumpa buku yang bagus di sini. Kalau boleh banyak buku yang sya mahu beli, tetapi saya hanya beli buku berikut;


1. Matsnawi- Jalaluddin Rumi, terjemahan Indonesia (RM20)
Saya sudah ada Matsnawi dalam bentuk ebook dalam PDA saya. Saya ada banyak buku mengenai Rumi dalam Bahasa Inggeris antaranya Essentials of Rumi tulisan Coleman. Namun saya belum mempunyai Matsnawi dalam Bahasa Melayu. Terlihat sahaja buku ini di rak terus tidak saya lepaskan.


2. Trilogi Cinta Abadi- Kahlil Gibran (RM26)
Saya juga sudah ada Complete Works of Kahlil Gibran yang saya beli di Agra, India. Sekali lagi, saya beli buku ini kerana ianya dalam Bahasa Melayu Indonesia. Buku ini memuatkan tiga karya terbaik Kahlil Gibran, iaitu Sang Nabi, Rahsia Hati, dan Sayap-Sayap Patah. Tertarik saya dengan kulit bukunya yang lucu( di sini` lucu' bermakna `comel' ! ).


3. Islam Progresif - Farish A Noor (RM14)
Buku ini rasanya saya pernah lihat di Malaysia dalam Bahasa Inggeris. Kalau tak salah harganya dalam lingkungan RM30. Buku terjemahan ke Bahasa Indonesia ini sangat murah. Tak sampai RM20. Itu antara sebab saya beli buku terjemahan Bahasa Indonesia, Harganya jauh lebih murah dari yang asal, walaupun kita perlu berhati-hati membaca kerana adakalanya terjemahannya tidak sebagus yang asli.


4. Pramoedya Ananta Toer dari Dekat Sekali - Koesalah Soebagyo Toer (RM18)
Buku ini adalah catatan pendek tentang sosok peribadi Pramoedya Ananta Toer dilihat dari sudut pandang adik bongsu beliau iaitu Koesalah Soebagyo Toer. Saya sudah habis baca. Nanti akan saya ceritakan di posting yang lain.


5. Tiga Madzhab Utama Filsafat Islam - Seyyed Hossein Nasr (RM13)
Selain dari saya memang meminati karya Seyyed Hossein Nasr, saya beli buku ini kerana murah.


6. Syariah Marketing - Hermawan Kartajaya & M Syakir Sula (RM24)
Saya tertarik dengan tajuk buku ini. Hermawan Kartajaya pula adalah seorang pakar marketing yang diakui antara 50 terbaik di dunia. Saya berkesempatan mendengar ceramah beliau sewaktu beliau berucap di National Accountants Conference di Kuala Lumpur, beberapa tahun lepas. Hermawan telah menulis 3 buah buku bersama marketing guru Philip Kotler.




Kalau ikutkan hati memang banyak buku lain yang ingin saya beli. Saya jumpa Catatan Pinggir, kumpulan tulisan pojok Goenawan Mohamad di majalah Tempo. Catatan Pinnggir 1 hingga 6. Saya sudah pegang tetapi letak semula kerana harganya 80 ribu rupiah sebuah. Terasa mahal. Sebenarnya jika ditukar ke matawang Malaysia hanya dalam lingkungan RM35. Menyesal pula saya tak beli.

Saya berbelanja sebanyak 220 ribu rupiah di Gramedia. Sebenarnya hanya RM100 untuk 6 buku di atas!

Di lapanganterbang, sewaktu mahu berlepas pulang, saya terjumpa buku Max Havelaar karya Multatuli, di sebuah toko kecil. Max Havelaar sering disebut dalam karya Pramoedya dan pernah beliau anggap sebagai novel yang banyak mempengaruhi beliau dalam penulisan. Saya juga terjumpa beberapa buku tentang Tan Melaka.

Malangnya saya sudah kehabisan rupiah! Saya hanya beli senaskhah Tempo.

1 ulasan:

Effbii berkata...

Assalam. saudari, saya amat berminat dengan buku terjemahan tulisan Kahlil Gibran. Boleh tak kalau saudari bantu saya untuk beli buku ni? harap saudari dapat membalas respon di email saya fatynbahrin@rocketmail.com

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails