Selasa, September 28, 2004

Enterprise 50 2004



Semalam, saya telah menghadiri jamuan malam di sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur. Hadir untuk meraikan kejayaan syarikat yang telah berjaya memenangi antara 50 Syarikat IKS terbaik negara bagi tahun 2004 . Enterprise 50 2004 telah diadakan dengan hasrat untuk untuk mengiktiraf kejayaan syarikat IKS tempatan dalam dunia perniagaan. Enterprise 50 adalah satu program anugerah yang dianjurkan bersama oleh SMIDEC, Business Times, RHB Bank dan Deloitte dan telah masuk tahun ke lapan.

Pemenang pertama bagi tahun ini adalah syarikat Kawan Food Manufacturing Sdn Bhd , pengeluar produk makanan dingin beku yang bermula dengan kecil-kecilan di tahun 80-an. Kini Kawan Food adalah syarikat terbesar pengeluar produk roti canai segera yang telah dipasarkan ke pelusuk dunia termasuk US, UK, Australia dan Hong Kong.

Kejayaan Kawan Food membuktikan bahawa produk makanan tempatan, jika dipakej dengan baik akan dapat menembusi pasaran. Siapa sangka, roti canai yang menjadi sinonim dengan kedai mamak, boleh menjadi makanan antarabangsa! Penting juga bagi pengeluar tempatan untuk berfikir di luar dari kerangka dengan menembusi pasaran global. Banyak produk tempatan yang boleh dipasarkan. Persoalannya, perlulah ada kesungguhan yang bukan main-main, perlu ada dokongan dari jabatan kerajaan yang berkaitan dan juga modal yang banyak. Banyak lagi produk makan tempatan yang boleh dfikirkan untuk dipasarkan. Semoga ada rakan-rakan kita yang kreatif akan mengambil peluang yang terbuka luas untuk memasarkan produk tempatan seperti nasi lemak, sate, murtabak, popiah dan lain-lain.

Walaupun syarikat kami tidak mendapat tempat pertama, namun, rasa bangga juga bila digolongkan dalam 5 syarikat terbaik bagi tahun 2004. Mungkin tahun depan boleh cuba lagi.

Jumaat, September 24, 2004

Hari Jantung Sedunia



Setiap hari Ahad terakhir bulan September, telah diisytiharkan sebagai Hari Jantung Sedunia. Pada tahun ini Hari Jantung Sedunia telah jatuh pada hari Ahad, 26 September, 2004. Berbagai program diadakan di seluruh dunia untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya menjalani hidup sihat dan menjaga pemakanan.

Kempen Hari Jantung Sedunia bagi tahun ini memberi penekanan kepada kanak-kanak dan remaja agar menjalani kehidupan yang sihat. Kempen mengajak mengamalkan cara hidup sihat, pemakanan seimbang, senaman dan hentikan tabiat merokok yang merupakan punca utama penyakit jantung.

Hari jantung Sedunia mula disambut pada tahun 1999, dengan matlamat untuk menyebarkan maklumat dan kefahaman mengenai kesihatan jantung.



Fakta mengenai penyakit jantung

  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa penyakit kardiovaskular terutama Penyakit Jantung Iskemia dan Angin Ahmar (Stroke) adalah merupakan penyebab utama kematian di seluruh dunia pada masa ini dengan setiap satu daripada tiga kematian adalah disebabkan olehnya. Adalah dianggarkan ia menyumbang kepada 17 juta kematian setahun iaitu 20 kali lebih tinggi daripada kematian yang disebabkan oleh peperangan dan keganasan.

  • Laporan WHO tahun 2002 menyatakan lebih 8.5 juta wanita mati disebabkan oleh penyakit kardiovaskular setiap tahun, iaitu mewakili satu pertiga dari jumlah kematian di kalangan wanita di seluruh dunia. Di negara yang sedang membangun, separuh daripada kematian di kalangan wanita berumur 50 tahun ke atas adalah disebabkan oleh penyakit jantung dan strok.

  • Fakta kajian menunjukkan bahawa 80% kes kejadian serangan penyakit jantung koronari atau ”premature coronary heart disease” adalah berpunca dari kombinasi faktor-faktor amalan pemakanan yang tidak sihat, kurang melakukan aktiviti fizikal dan tabiat merokok. Kajian di kalangan wanita selama 20 tahun di Britain menunjukkan bahawa risiko mendapat serangan penyakit jantung adalah 4 hingga 7 kali lebih tinggi di kalangan mereka yang merokok. Sementara kejadian strok lebih banyak terjadi di kalangan wanita yang merokok berbanding lelaki.

  • Senaman 30 minit setiap hari boleh mengurangkan risiko penyakit jantung koronari, strok dan diabetis, di samping mengurangkan berat badan dan paras kolesterol serta mencegah dan mengawal darah tinggi. Begitu juga, memakan ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran dengan kerap boleh mengurangkan kejadian sakit jantung dan strok.

Penyakit jantung kini, tidak lagi mengenal umur dan bangsa. Saya biasa bertemu dengan pesakit jantung yang berumur dalam lingkungan umur tigapuluhan. Pengalaman bertemu dengan pesakit –pesakit adalah menyedihkan, apalagi jika pembedahan tidak berjaya dan menyebabkan kehilangan orang yang tersayang. Itu belum dikira lagi beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh pesakit jantung. Pembedahan pintasan koronari di pusat perubatan swasta memerlukan kos rawatan dalam lingkungan RM30,000. Bukan calang-calang orang yang mampu mengeluarkan wang sebanyak itu, dan dari pengalaman saya, tidak ramai yang bersedia dan tidak ramai juga yang menabung untuk kos rawatan.

Pesanan saya, jagalah kesihatan sementara masih sihat, dan bersedialah dari segi kewangan untuk menghadapi kemungkinan musibah yang kita tidak pinta.


Jika anda kebetulan berada di Ipoh pada hari Ahad ini, jemputlah ke Polo Ground untuk meraikan Sambutan Hari Jantung Sedunia yang bermula dari pukul 7.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.00 tengahari. Berbagai aktiviti akan diadakan, termasuklah senamrobik, line dance, pertandingan mewarna, pemeriksaan kesihatan secara percuma dan juga kempen derma darah.

Selasa, September 21, 2004

Merindui Buku

.


Menyelak lembaran Dewan Sastera, Ogos, 2004, saya terjumpa sajak nukilan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said. Sebuah sajak bertajuk `Merindui Buku' menggambarkan rasa sayangnya beliau kepada buku. Di majalah tersebut juga beliau menulis tentang dua orang bekas guru beliau yang telah mengenalkan beliau kepada dunia buku dan penulisan.

Buku adalah gedung ilmu. Bangsa yang bertamadun akan menghargai buku dan penulisnya. Menghargai penulisan dan orang yang menulisnya. Buku juga akan menjadi khazanah sesuatu bangsa. Ucapan tokoh dan pemimpin akan hilang ditelan zaman, tetapi tulisan mereka akan kekal di lembaran kertas untuk di warisi dan dikaji oleh generasi akan datang.

Adakah anda juga merindui buku?



Merindui buku

Inilah denai jejak seni ke hati,
puncak fikir yang indah sekali,
tanpa himpunan ilmu di kalbu buku
kita tak sempat sampai ke mercu itu.

Di sini diri sentiasa di taman
menikmati unggas dan puspa menawan;
di sinilah vista buku saraf seni,
meranum akal mematang peribadi.

Kita wajar berpesta di kalbu buku
menghayati nikmatnya seindah syahdu
dalam tenang waktu khusyuk di pustaka
lebih cepat kita terasuh dewasa.

Buku adalah denyut nadi utama
penting bagi minda waras manusia;
dan buku juga gema fakir yang sakti,
nyaman dan mesranya sebuah simfoni.

Kita memupuk insan yang luhur budi
melalui tapisan hikmat berseni;
dan buku memang tasik aneka ilmu
yang perlu diselami sejujur kalbu.

Buku mengasuh diri sasa bersuara;
membaca menjadi jambatan bertuah
kita merindu buku dan ghairah baca
agar sentiasa canggih dan berhemah.

A Samad Said
7 Mac 2004
Dewan Sastera Ogos 2004 ms 50

Sabtu, September 18, 2004

Mengenang Pendita Za'ba

Mungkin ramai yang tahu 16 September, 1963 adalah hari penubuhan Malaysia. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu 16 September juga adalah satu tarikh yang penting kepada dunia persuratan Melayu. 16 September 1895 adalah tarikh kelahiran cendiakawan dan pujangga Melayu, Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendita Za’ba.

Pendita Za’ba dilahirkan pada 16 September, 1895 di Kampung Kerdas, Jempol, Batu Kikir, Negeri Sembilan. Beliau juga telah melanjutkan pelajaran ke Universitiy of London pada tahun 1953 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera.

Sepanjang kerjaya beliau, Pendita Za’ba telah bergiat aktif dalam bidang penulisan, kegiatan sosial dan juga politik. Sesungguhnya Za’ba telah menghambakan dirinya dalam perjuangan menegakkan bahasa Melayu .

Kebetulan, pada hari Ahad lepas, saya telah ke KLIA menghantar orang tua. Setelah selesai urusan, terdetik pula saya untuk singgah di Putrajaya dan menjenguk Alamanda. Terfikir untuk menjenguk kedai buku MPH di situ. Sebelum ini saya biasa berkunjung gemar ke Kedai Buku MPH di Anjung. Saya suka dengan koleksi bukunya yang `berjiwa Malaysia’. Di sini buku tulisan penulis buku Malaysia, diberi penghoramatan selayaknya. Sebahagian besar koleksi buku di sini adalah tulisan anak Malaysia. Koleksi buku penulis Sri Diah dan penulis novel lain, umpamanya tersusun kemas di rak utama.

Mungkin ada yang akan marah jika saya katakan sesetengah kedai buku tersohor di Negara kita melayan buku tulisan anak Malaysia bagaikan pendatang asing di Negara sendiri. Susah untuk kita melihat buku tulisan rakyat Malaysia di rak utama, apalagi kalau buku berbahasa kebangsaan.

Di sinilah saya terjumpa buku tulisan Za’ba yang telah lama saya cari iaitu Ilmu Mengarang Melayu. Buku ini merupakan salah satu karya agung Za’ba selain buku Pelita Bahasa Melayu. Buku ini diterbitkan pada tahun 1934 dalam tulisan Jawi dan telah enam kali diulang cetak sehingga tahun 1956. Buku di tangan saya ini adalah versi tahun 2002 yang menggunakan ejaan rumi baharu , diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasa UPSI sempena sambutan 80 tahun UPSI. Di UPSI jugalah Za’ba telah menulis karya agungnya Pelita Bahasa Melayu dan juga buku ini.




Menyelak lembaran buku ini menimbulkan rasa kagum dan hormat kepada insan yang bergelar Pendita ini. Walaupun telah ditulis 70 tahun lepas, tetapi isi kandungannya masih terus relevan dan amat berguna sebagai panduan kepada mereka yang ingin menulis dalam Bahasa Melayu. Termuat di dalam buku ini panduan asas menulis dan bagaimana untuk menghasilkan tulisan yang baik dengan menggunakan bunga bahasa, peribahasa, bahasa sindiran dan sebagainya.

Puasnya rasa hati bila hajat tercapai dan dapat memiliki buku tulisan Za’ba, pendita bahasa yang telah banyak menyumbang untuk kedaulatan bangsa dan bahasa. Pendita Za’ba telah menyelesaikan tugas beliau dengan meninggalkan koleksi berharga kepada anak bangsanya.

Persoalannya, sudah terhentikah tugas itu dengan pemergian beliau. Adakah anak bangsa yang ditinggalkan akan menyambung tugas menjaga dan memupuk khazanah bangsa, bagai menatang minyak yang penuh? Adakah anak bangsa yang mewarisi tugas Za’ba akan terus memugar dan mempertahankan khazanah ini sepertimana mereka mempertahankan maruah diri? Atau maruah juga sudah tidak mempunyai apa-apa makna?


Khamis, September 16, 2004

Malaysia : Selamat Ulangtahun ke 41




Hari ini 16 September 2004, berakhirlah sudah sebulan perayaan hari kemerdekaan yang telah dilancarkan pada 17 September, 2004 di Ipoh, Perak dan akan disempurnakan penutupannya malam ini di Kuching Sarawak.

Apa istimewanya tarikh 16 September?

16 September, 1963 adalah tarikh bersejarah tertubuhnya Malaysia. Malaysia tertubuh pada 16 September, 1963 setelah Persekutuan Tanah Melayu bergabung dengan koloni British yang lain iaitu Singapura, Sabah dan Sarawak. Majlis penutupan bulan merdeka diadakan di Sabah atau Sarawak sebagai simbolik mengenang peristiwa kemasukan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia.

Jalan ke arah penubuhan Malaysia penuh berliku. Ianya mendapat tentangan yang hebat dari negara jiran, terutamanya Indonesia, yang telah melancarkan konfrontasi membantah penubuhan Malaysia. Presiden Soekarno menganggap penubuhan Malaysia adalah satu usaha untuk meneruskan kolonialisme dan imperialisme British di kepulauan Melayu. Soekarno menganggap penubuhan Malaysia ditaja oleh British untuk meneruskan penguasaan mereka terhadap sumber ekonomi Tanah Melayu.

Filipina dan Indonesia menentang hebat hasrat penubuhan Malaysia. Sukarelawan Indonesia menceroboh Sarawak dan Sabah dan melancarkan sabotaj dan propaganda. Soekarno pula telah melancarkan Ganyang Malaysia pada July 27, 1963.

Penubuhan Malaysia terpaksa ditangguhkan hingga satu referendum terpaksa diadakan di Sabah dan Sarawak untuk meminta persetujuan rakyat untuk menyertai Malaysia. Keputusan referendum nyata menunjukkan rakyat Sabah dan Sarawak menyokong hasrat menyertai Malaysia, sementara Brunei pula menarik diri.

Akhirnya pada tanggal 16 september, 1963, tertubuhlah Malaysia. (walaupun Brunei menarik diri dan Singapura pula keluar pada tahun 1965) Soekarano, bagaimanapun tetap menentang hasrat tersebut dan bertindak membantah keputusan PBB dan mengambil keputusan menarik diri daripada menjadi ahli Majlis Keselamatan PBB pada tahun 1965.

Pengumuman tersebut di sambut dengan 1000 orang merusuh di Kedutaan British di Jakarta. Rusuhan juga berlaku di Singapura. Rusuhan yang sama berlaku di kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur. Kerajaan Filipina juga telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Pada tahun 1964, tentera sukarela Indonesia mendarat di beberapa tempatan di Semenanjung Malaysia, seperti di Pontian dan Labis, Johor untuk melancarkan gerakan gerila.

Pada tahun 1965, Indonesia meningkatkan gerakan dengan menghantar tentera ke Malaysia. Gerakan ini berjaya dibendung walaupun tidak dapat dihentikan, dengan kehadiran tentera British dari negara Komanwel. Konfrontasi hanya dapat dihentikan setelah Soekarno digulingkan oleh Jeneral Soeharto pada bulan September, 1965.

Hari ini, genaplah 41 tahun penubuhan Malaysia, Negara yang di buminya kita lahir, dan di situlah juga akan kita habiskan sisa hidup kita . Baik buruknya Malaysia, itulah tanahair kita. Inilah sahaja khazanah yang masih ada. Kita tidak ada tanah lain yang boleh kita gelar tanahair.

Kini, persoalan samada penubuhan Malaysia adalah satu agenda British sudah tidak lagi menjadi soal. Perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan. Pilihlah haluan yang hendak dituju. Mau ke hilir atau ke hulu. Bersama mengayuh dengan harmoni. Kalau ada bocor di perahu, pakat-pakatlah dibaiki. Jangan dibiar perahu karam kerana tak mahu membaiki kebocoran di dinding perahu.

Berpakatlah bersama untuk kebaikan anak bangsa. Pertahankanlah maruah dan kedaulatannya.

Selamat ulang tahun Malaysia, tanahairku yang tercinta.

Rabu, September 15, 2004

Belanjawan 2005





Belanjawan 2005 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri kita merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen pada petang Jumaat lepas. Ianya diikuti oleh sidang akhbar pasca belanjawan yang telah berlangsung pada hari Isnin lepas. Kakitangan kerajaan tersenyum lebar bila mendapat berita gembira pengumuman bonus. Penghisap rokok dan pencandu arak pula mula rasa gelisah bila cukai rokok dan arak dinaikkan. Begitulah adat setiap kali pembentangan belanjawan, ianya tidak mungkin dapat memuaskan hati semua pihak, kerana bukannya mudah membahagikan kek yang kecil kepada semua.

Di samping pengumuman memgenai kenaikan dan penurunan cukai, saya lebih tertarik kepada dua isu yang sangat penting yang telah disebut di dalam belanjawan iaitu belanjawan defisit dan pengenalan cukai nilai tambah atau GST. Keduanya sudah pasti akan memberi impak yang besar kepada negara.

Belanjawan 2005 merupakan belanjawan defisit yang kelapan berturut-turut. Bagi tahun 2005 negara akan mengalami defisit sebanyak RM17.7 bilion. Defisit secara mudahnya bermakna, kerajaan perlu berhutang untuk menampung perbelanjaan mengurus Negara. Hutang ini diperolehi daripada sumber dalaman, seperti KWSP, Tabung Haji, LTAT dan juga pengeluaran bond, ataupun melalui hutang dari luar negara. Hutang Kerajaan persekutuan dianggarkan sebanyak RM219.3 bilion dan hutang dalam negeri adalah sebanyak 83.8%.

Berbanding dengan belanjawan yang lepas, Perdana Menteri telah menunjukkan ketelusan dengan mengakui akan ketidakupayaan kita untuk mencapai belanjawan berimbang hingga tahun 2006. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tidak mungkin boleh melupuskan defisit belanjawan secara keseluruhan menjelang tahun 2006 kerana langkah seumpamanya boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan menganggar defisit belanjawan akan turun ke paras 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun depan, daripada paras 4.5 peratus yang dicatat tahun ini.

Penyumbang terbesar hasil negara dijangka datang dari cukai petroliam yang menyumbang sebanyak 14.4% dari cukai langsung. Jumlah ini meningkat sebanyak 20.1% daripada tahun 2004 disebabkan oleh peningkatan harga minyak di pasaran. Untuk tahun 2005, kerajaan Persekutuan akan berbelanja sebanyak RM117.4 bilion (2004: RM122.7 bilion) - perbelanjaan mengurus RM89.1 bilion atau 75.9% (2004: RM91.5 bilion) dan pembangunan RM28.3 bilion atau 24.1%.(2004: RM31.1 bilion).

Jumlah hasil ialah RM99.2 bilion (2004: RM96.9 bilion). Dengan pengurangan belanjawan dan kenaikan hasil, adalah dijangka defisit belanjawan akan menurun kepada 3.8% daripada KDNK dalam tahun 2005.

Isu yang kedua adalah pengenalan cukai nilai tambah ataupun Value Added Tax (VAT) yang akan dikenali sebagai cukai barangan dan perkhidmatan ataupun Goods and Services Tax (GST). Isu pengenalan cukai ini sebenarnya pernah dibincangkan dengan hangat di penghujung tahun 80-an lagi, tetapi ianya tidak melibatkan perubahan besar dalam system percukaian negara pada masa itu. Namun, kali ini, kerajaaan benar-benar serius untuk memperkenalkan GST yang akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2007.

Secara dasarnya, GST ini akan mengambil alih cukai pendapatan yang ada sekarang. Cukai pendapatan buat masa ini, dikenakan ke atas pendapatan, tetapi GST adalah cukai ke atas penggunaan barang dan perkhidmatan. Apabila terlaksana sepenuhnya, sebahagian besar barang dan perkhidmatan akan dikenakan cukai dalam lingkungan 5 %. Di masa yang sama, cukai pendapatan sebanyak 28% akan dikurangkan mungkin ke 10% sahaja.

Kebaikan dari perlaksanaan ini ialah kita akan mendapat `take-home pay’ yang kelihatan lebih banyak. Walaubagaimanapun, kita akan membayar cukai kepada kerajaan secara tidak langsung apabila membeli barangan atau menggunakan perkhidamatan yang dikenakan cukai GST.

Yang menjadi soalnya sekarang, apakah jenis barangan yang akan dikenakan cukai dan apakah barangan yang akan dikecualikan dari cukai tersebut? Perkara ini perlu diperhalusi supaya tidak membebankan pengguna, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berpendapatan rendah yang sebelum ini memang tidak dikenakan cukai pendapatan.

Cadangan kerajaan untuk melaksanakan cukai ini sepenuhnya hanya pada tahun 2007 harus disambut semua pihak, dan sepatutnya akan merancakkan sesi perbincangan untuk mencari formula supaya GST dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Isnin, September 13, 2004

Love in the Time of Cholera to be filmed





If every thing goes well, we will be able to view Love in the Time of Cholera on the screen, as reported by The Guardian.


After denying Hollywood for years, Gabriel García Márquez agrees to sell the rights to his 1985 novel

Jo Tuckman in Mexico City
Monday August 9, 2004


Unswerving defender of Fidel Castro and Latin American literary patriarch he may be, but Gabriel García Márquez appears to have finally succumbed to Hollywood's call, signing over the film rights to Love in the Time of Cholera.


The Los Angeles production company Stone Village Pictures is reportedly paying the Colombian Nobel laureate between one and three million dollars to make a movie of what producer Scot Steindorff recently termed "the best love story ever told, next to Romeo and Juliet".

Despite selling millions of books around the globe, the 76-year-old novelist, who is battling with cancer, is said to be worried about the financial future of his lifetime partner Mercedes and their two sons Gonzalo and Rodrigo...

Full news from The Guardian




Jumaat, September 10, 2004

Peristiwa Israk Mikraj




Hari Ahad ini, 12 September, 2004 bersamaaan dengan 27 Rejab, 1425 adalah tarikh satu tarikh penting dalam sejarah Islam di mana umat Islam akan memperingati satu peristiwa agung iaitu Israk Mikraj.

Israk Mikraj adalah satu peristiwa yang sangat luarbiasa yang telah dilalui Rasulullah s.a.w. Rasulullah telah melalui Israk dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestine. Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi merentas tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Semua itu berlaku hanya dalam satu malam.

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku setelah Nabi menempuh tahun dukacita di mana Nabi telah kehilangan orang yang paling dikasihi dalam hidupnya, iaitu isteri baginda, Siti Khadijah, dan bapa saudara baginda, Abu Talib. Mereka berdua adalah tokoh penting yang telah membantu usaha dakwah baginda di peringkat awal. Tidak lama kemudian, berlakulah pula peristiwa Taif, di mana baginda telah meghadapi cobaan yang sangat mencabar. Nabi telah dihina, dicerca dan dikecewakan oleh penduduk Taif yang telah menolak usah dakwah baginda.

Bayangkanlah bagaimana remuk redamnya perasaan Nabi ketika itu. Hilang teman hidup yang telah berkorban segala-galanya untuk Nabi dan perjuangan Islam, kemudian dikecewakan, dimalukan dan dicederakan oleh bangsanya sendiri. Baginda keseorangan dalam menghadapi tentangan musyrikin jahiliah.

Di saat kesedihan yang amat sangat itulah Jibril datang membawa pesan gembira untuk mengiringi Nabi untuk israk dan mikraj bertemu Pencipta nya. Itulah hadiah yang paling bermakna ketika baginda memerlukannya.

Peristiwa Israk Mikraj ini mengandungi banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar. Namun, saya begitu tertarik dengan 2 pengajaran penting daripadanya iaitu

1. Kewajiban solat lima waktu telah dianugerahkan kepada umat Muhammad. Kewajiban solat diwahyukan terus tidak seperti kewajiban ibadat lain seperti zakat dan puasa yang diturunkan sebagai wahyu dan disampaikan melalui Jibril. Itu menunjukkan betapa penting dan istimewanya solat. Kewajiban solat juga adalah hadiah yang paling berharga kepada Nabi untuk merawat segala kesedihan dan kemurungan yang baginda hadapi.

Solatlah sebenarnya jalan penyelesaian kepada segala masalah yang kita hadapi. Andai kita berhadapan masalah yang berat yang tak tertanggung, kekecewaan yang tak terbendung, kebuntuan mencari jalan keluar, keresahan dan kekosongan jiwa, kembalilah kepada Allah. Carilah pengampunanNya dan berbicaralah terus dengan Nya.

Hamburkanlah segala duka lara dan resah gelisah jiwa kepada Yang Maha Pencipta, dalam setiap sujud kita. Jangan disimpan kemarahan kita kepada manusia. Lepaskanlah segala kekecewaan kita itu dan mengadulah kepada Yang Maha Bijaksana.

2. Israk Mikraj juga menguji keimanan kita untuk beriman kepada Allah dan Rasulnya dalam hal-hal yang di luar jangkauan pemikiran kita. Sahabat Nabi seperti Abu Bakar beriman dan percaya dengan sepenuh hati bahawa Nabi memang telah pergi ke Palestine dan merentasi 7 langit pada satu malam.

Bayangkanlah jikalau perkara yang sama itu disampaikan pada kita sekarang. Adakah kita akan mempercayai dan beriman dengannya sebagaimana Abu Bakar? Atau kita akan mula menggunakan logik akal kita lalu akan menolak kesahihan peristiwa itu dengan alasan tak masuk akal dan tak logik? Kita akan mula mengeluarkan teori sains yang kita tahu yang menafikan manusia boleh merentasi 7 langit hanya dalam satu malam. Mungkinkah jugakah kita akan ketawa sinis dan mempersendakan berita itu sebagai karut?

Sesungguhnya peristiwa Israk Mikraj jika dihayati dengan sesungguhnya, akan mengukuhkan keimanan kita dan memperkuatkan rasa takjub kepada kekuasaan Allah dalam mengatur kehidupan makhluk Nya. Peristiwa Israk Mikraj mengajar untuk percaya kepada perkara ghaib dan percaya kepada Al-Qur’an dan Hadith sebagai panduan dan penyelesai kepada masalah hidup manusia.

Rabu, September 08, 2004

Rumah Merpati

.. Posted by Hello


Akhirnya, setelah lama menunggu, kami terima juga kunci apartment yang kami beli hampir empat tahun lepas. Mula-mula dulu rasa macam menyesal pula bila beli apartment ini. Pertamanya, kerana lokasinya di Selangor, sedangkan kami tinggal dan bekerja di Ipoh. Jauh pula rasanya. Keduanya, kerana lambat sangat siap. Kalau ikut janji pemaju, tak sampai dua tahun. Tapi akhirnya, hampir empat tahun baru siap. Pembeli lah yang terpaksa menanggung susah, kerana terpaksa membayar pada bank, walaupun rumah belum diduduki. Kami pernah beberapa kali menyebut untuk menjualnya.

Tetapi, apabila kunci sudah diterima, dan kaki sudah melangkah masuk, rasa seronok pula tengok keadaan rumah tu. Kemas buatannya, dan berdekatan pula dengan antara tempat yang kami suka pergi iaitu IKEA. Rupanya perasaan gembira itu, samalah seperti kali pertama membeli kereta dahulu. Isteri saya mulalah berangan nak tambah itu, nak tambah ini. Dah tak jadi nak jual!

Mujurlah hanya lewat setahun, banyak kes yang kita dengar bagaimana projek rumah terbengkalai. Hinggakan MB Selangor pun mengadu pernah terkena, beli rumah terbengkalai. Kadang-kadang beli rumah ni pun macam beli durian. Masa beli nampak cantik tapi bila dibuka, baru tahu isinya macam mana. Ramai yang dah terkena.

Nasihat saya, sebelum membeli rumah, siasatlah dulu latarbelakang pemaju, supaya projek siap pada waktunya. Semoga kerajaan juga serius dengan cadangan untuk mewajibkan pemaju rumah buat dulu sebelum jual.



Sabtu, September 04, 2004

Puteri Gunung Ledang

.. Posted by Hello


BUMI MELAKA INI BUMI BERDAULAT,
SEHIRIS LUKA YANG BETA TERIMA,
SEMELAKA SAKIT RASANYA..

Dialog Sultan Mahmud Shah dengan Gusti Putri apabila menerima penolakan peminangan baginda.

Jumaat, September 03, 2004

Tok Janggut - Sajak oleh Rahimidin Zahari

Rahimidin Zahari, dilahirkan pada 28 Mac 1968 di Kampung Becah Keranji, Peringkat, Kota Bharu, Kelantan. Memenangi Hadiah Pertama Peraduan Menulis Puisi Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1986 dengan judul "Batu-batu di Laman". Memenangi Hadiah Penulis Muda dalam Sayembara Cerpen ESSO-GAPENA VIII pada tahun 1991 dengan cerpennya berjudul "Pak Du Megui Wan Selupu Mek Muh Tuk Bugih" dan Hadiah Puisi Kebangsaan SHAPADU-GAPENA pada tahun 1992. Sajaknya bertajuk "Tok Janggut" pernah menjadi pilihan utama untuk dideklamasi dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan. Hayatilah makna yang terselit di sebalik sajak ini.



Tok Janggut

kuharung sungai kususur bukit tujuh gua yang silam
aku murba perkasa kautuduh penderhaka celaka

aku tidak pandai berselindung dengan tembang dan senandung
suaraku tak mungkin semerdu seruling

aku tak rela tanah darahku diinjak dijajah
aku tak rela hasil bumiku dicantas dipulas
aku tak rela Melayu bangsaku dipandirkadukkan
aku tak rela Islam agamaku disendatemehkan

Tok Janggut Haji Mat Hassan namaku
tujuh lapis langit terpikul di bahu
tujuh lapis bumi tercengkam di kaki

aku pulang dari tanah Makkah yang putih dan suci
ingin kulihat tanah darahku tanpa penjajah
kubaca Jamaluddin Al-Afghani, kuhafal reformis Muhammad Abduh
dan kugenggam ideologi Rashid Redha

Tok Janggut Haji Mat Hassan namaku
anak Kelantan kelahiran Pasir Putih
Kampung Saring mahupun Jeram
adalah padang permainanku
adalah gelanggang silat
tempat aku memperlimaukan diri

aku pulang dengan siap sedia asal mula
sebagai lelaki anak jantan perkasa
aku siap sedia menitiskan darah ke ranting cempaka
ini tanah darahku, tak akan kurela kaukikis habis
kuoleng mangkuk mimpi para tiran

inilah nafasku angin bergugus menyebarkan tandus
dan, nah! darah matahariku akan terpercik ke tanah Pasir Putih

ringkik angin topan, sedialah kau
akan kuamuk kegetus kantung nyawaku
kalaupun aku mati di tangan bangsaku
aku mati sebagai pembela sejati

mutiara tetap mutiara
meskipun terpendam
di perut tiram
jauh pada dasar lautan!


Dipetik dari website cikgu.net.my

Khamis, September 02, 2004

Federal Court frees Anwar

From The Sun website

WEB EDITION :: NewsNow

Federal Court frees Anwar

PUTRAJAYA: The Federal Court today set aside the High Court's conviction and sentence against former deputy prime minister Anwar Ibrahim for sodomy.

A three-member panel comprising Federal Court judges Datuk Abdul Hamid Mohamad and Datin Paduka Rahmah Hussain and Court of Appeal judge Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud allowed the appeal in a 2-1 majority decision.

The 57-year-old politician arrived at the Palace of Justice at 8.45am in a wheelchair. He came in an ambulance from Hospital Kuala Lumpur where he had been warded since July 12 due to a chronic bad back ailment.


Anwar is expected to immediately fly to Munich, Germany for urgent operation on his long standing spinal disc injury.

Anwar has already completed a six-year sentence for corruption.

Updates later.


Updated: 11:39AM Thu, 02 Sep 2004


Rabu, September 01, 2004

Puteri Gunung Ledang





Pada suatu masa dahulu,
Di waktu kesetiaan,
Maruah dan kedaulatan padu,
Penghujung kurun ke-15 di Tanah Melayu,
Menebari kegemilangan ke segenap penjuru...

Melaka terkenal indah perkasa,
Memberi perlindungan pada yang meminta,
Di tika inilah kisah bermula,
Di Timur Jawa gelora melanda...

Merentas samudera, membelah gunung,
Sebuah cerita cinta yang agung...

Demikian petikan ringkas kisah cinta agung antara Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah dan Laksamana Hang Tuah yang dipaparkan di dalam epik Puteri Gunung Ledang.
Berita Harian 6 Februari 2003

Akhirnya filem yang dinanti-nantikan, sampai ke khalayak penonton. Saya rasa beruntung kerana menjadi antara penonton yang awal menonton filem ini pada Hari Merdeka. Selalunya kalau menonton, saya suka menonton di pagi hari cuti, kerana tiketnya murah sedikit dan tidak ramai orang, tak payah berbaris panjang. Saya tak berapa gemar beratur panjang hanya untuk menonton wayang. Alangkah terkejutnya saya bila melihat panggung penuh pada pagi hari itu. Tak pernah lagi melihat, ramainya orang menonton filem Melayu di Ipoh ini. Penonton yang datang dari berbagai bentuk dan rupa, termasuklah penonton bukan Melayu.

Menonton filem ini membuatkan saya rasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Rasa kagum pada pengarah Saw Teong Hin yang berjaya menghasilkan filem berjiwa Melayu, penulis skrip Mamat Khalid yang telah menghasilkan skrip yang sangat puitis, mendalam dan bermakna. Pengarah fotografi, Jason Kwan berjaya menzahirkan skrip yang puitis itu dalam bentuk imej yang sangat cantik. Banyak shot yang cantik dalam filem ini. Saya paling suka shot Hang Tuah dan Gusti Puteri di tepi air terjun di puncak gunung Ledang, juga imej awan berarak.

Adegan dalam filem ini bergerak terlalu perlahan, melambangkan jiwa Melayu yang begitu halus dan cermat bila berkata dan mengambil tindakan. Bahasa berlapik dan berkias dan cinta yang tak terungkap menjadi asas kekuatan filem ini. Gabungan pelakon handalan telah melengkapkan filem ini sebagai filem Melayu yang wajib ditonton pada dekad ini.

"Kalau saya sekadar mahu membawa filem ini menyapu kaki langit, Teong Hin (pengarah) pula bercita-cita membawa Puteri Gunung Ledang mencapai bulan di langit. Demikian sekali harapan yang diletakkan oleh Teong Hin yang sekali gus menunjukkan betapa beliau begitu komited dengan tanggungjawabnya" - Pelakon & Penerbit, Tiara Jacquelina
Utusan Malaysia 18 Mei 2003


Apakan daya...tangan terikat di langit, kaki berpasak di bumi, jasad tidak setanding mimpi - Hang Tuah

Bumi Melaka in bumi berdaulat. Sehiris luka yang beta terima, seMelaka sakit rasanya! - Sultan




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails