Ahad, Mac 11, 2007

Dan Malam Apabila Ia Berlalu

.
.



Judul : Dan Malam, Apabila Ia Berlalu
Pengarang : SN Abdullah Hussain
Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka
Genre : Novel
Mukasurat : 516 halaman
Cetakan Pertama : 2006
ISBN : 9836289119
Kulit Keras
Harga : RM50.00


Buku ini adalah novel terbaharu Sasterawan Negara Abdullah Husain yang diterbitkan tahun lepas. Yang menariknya, novel ini dikatakan sebagai sambungan kepada novel Imam yang pernah mendapat Hadiah Novel Nasional dahulu. Novel ini ternyata kelihatan ekslusif dan lebih menawan dari novel Imam. Novel ini berkulit tebal dan kertasnya bermutu tinggi. Harganya juga RM50 berpadanan dengan kualiti buku dan taraf penulisnya seorang sasterawan negara.

Novel ini bagai cuba mengulang teknik penceritaan novel Imam. Ianya cuba membincangkan permasalahan agama dan sosial dalam masyarakat Melayu. Satu yang saya suka dengan novel ini ialah rujukan yang digunakan oleh penulisnya. Di belakang buku ini tertulis senarai buku dan rujukan penulis dalam menyiapkan novel ini. Ianya ditulis dengan kajian yang mendalam.

Novel ini mengisahkan tentang sebuah komuniti mayarakat Melayu Islam ideal yang menjadikan masjid sebagai pusat kehidupan. Di dalam novel ini, masjidnya benar-benar berfungsi sebagai jantung masyarakat, tempat perbincangan, tempat merancang strategi, pusat dakwah dan pusat kebajikan. Ahli jamaah masjid ini juga digambarkan menghayati Islam sebagai cara hidup sehingga soal-soal kecil seperti disiplin dan kebersihan juga dititikberatkan.

Tidak seperti novel Imam yang membincangkan tentang permasalahan Kaum Tua dan Kaum Muda di sebuah kampong tradisional Melayu, buku ini bercerita tentang sebuah masyarakat Melayu moden di Golden Triangle.

Novel ini cuba menghidangkan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat. Kisah Black Metal dibincang dengan begitu menarik sekali. Masalah salah laku seks, sumbang mahram dan aurat wanita turut diselit dalam novel ini. Kadang-kadang saya rasa macam penulisnya seperti kesuntukan masa dan ingin memasukkan segala jenis isu dan masalah sosial yang melanda orang Melayu Islam dalam buku ini.

Keseluruhannya, novel ini ditulis dengan begitu baik sekali. Namun, ada masanya saya rasa tidak selesa, bila penulisnya mencuit juga isu-isu agama yang sering dipolitikkan seperti isu kafir-mengkafir dan`Tuhan Mencarut'. Kenyataan ahli politik yang diambil sekerat-sekerat dan di luar konteks diulas di dalam novel ini dan dihukum sebagai sesat. Kadang-kadang bila membaca novel ini, terasa seperti membaca buku propaganda Islam Hadhari.

Adakalanya juga terasa macam membaca skrip drama TV yang suka stereotype pada golongan Islam. Golongan Islam sesat dalam buku ini digambarkan memakai pakaian mengikut sunnah Nabi dan yang perempuannya memakai purdah. Akhlaknya seperti biasa akan digambarkan sangat kasar, tidak menghormati orang lain, jumud dan mengongkong kebebasan wanita.

Saya hormatkan penulisnya yang banyak membuat kajian dalam menulis novel ini, namun jika dibuat perbandingan, saya lebih suka novel Imam.

3 ulasan:

anep berkata...

Masih ada lagi tak buku ini di pasaran? kalau ada, dimanakah saya boleh mencarinya? saya ingin membelinya dan membacanya. sila hubungi saya 017-6314249

Unknown berkata...

Sdr Anep,

Buku ini boleh dibeli di mana-mana Kedai Buku DBP atau boleh dibelii online dari Dawama di http://www.dawama.com/index.php?ch=20&pg=135&ac=11333

anep berkata...

Saya cuba website yg diberi tetapi tiada. Ada cara lain x nak cari buku ini?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails