menghimpun cetusan rasa, tulus dari jiwa. Jiwa hidup dengan deria rasa. Dari Jiwa Rasa.
Sabtu, Mac 04, 2006
Mari `Menjual' Islam
Balik dari airport Bayan Lepas petang semalam, saya singgah di Masjid Bayan Baru. Berhenti solat Asar sebelum pulang ke Bukit Mertajam.
Sementara menunggu Amar, saya baca buku Philip Kotler on Marketing yang baru saya beli 2 minggu lepas di MPH MidValley.
Tiba-tiba saya lihat ada sekelompok beberapa orang sami Buddha sedang mengintai-intai ke dalam masjid. Mungkin pelancong agaknya. Mungkin teringin nak tengok apa yang ada di dalamnya. Kebetulan ada seorang pakcik di dalam masjid nampak mereka dan terus menuju ke arah sami-sami itu sambil menerangkan sesuatu.
Tak tahu saya apa yang dibincangkan. Mulanya risau jugak saya apa agaknya reaksi pakcik itu. Akan diherdik dan dihalau atau diterima sebagai tamu? Mujur mereka dilayan baik, walaupun saya tak tahu apa yang diberitahu kepada sami-sami itu.
Dalam menunggu itu, saya terfikir, kenapa agaknya setelah berpuluh tahun hidup di dalam negara berbilang bangsa, umat Islam masih belum berjaya menampilkan wajah Islam yang cantik dan menawan kepada orang bukan Islam. Hampir setiap hari kita bercampur gaul dengan orang bukan Islam tetapi berapa ramaikah yang telah berjaya kita tarik kepada Islam ataupun sekurang-kurangnya tidak menyimpan rasa curiga terhadap Islam?
Kenapa kita tidak mahu membuka pintu-pintu masjid kepada orang bukan Islam? Terutamanya yang tinggal berhampiran dengan masjid? Kenapa kita tidak buat siri lawatan melihat ke dalam masjid, sambil berdakwah menceritakan tentang signifikan senibina Islam, contohnya.
Kenapa kita mesti tunggu sami-sami itu datang menjenguk. Kenapa tidak kita sendiri yang pergi menjemput?
Kenapa masjid-masjid tidak mahu membuat Hari Terbuka atau Hari keluarga dan memanggil orang bukan Islam dan menghadirinya? Kalau ditanya kepada cerdik pandai kita, sudah tentu mereka akan menyalahkan ulamak dan para imam yang mereka anggap kolot dan konservatif, walaupun mereka sendiri yang cerdik pandai itu tidak menyumbang, selain menuding jari. Seolah-olah kerja dakwah dan menyampaikan keindahan Islam itu hanya kerja para ulamak.
Philip Kotler, seorang marketing guru yang telah menulis lebih dari 30 buku mengenai pemasaran, menulis di dalam buku Kotler on Marketing yang sedang saya baca, dan berpendapat, marketing kini tidak lagi terhad kepada produk dan servis semata-mata. Ilmu pemasaran kini juga digunakan untuk memasarkan people, places, ideas, experiences and organizations. Marketing tidak lagi menjual produk, tetapi lebih kepada menjual idea dan pengalaman. Ianya juga menjual `nilai'.
Kenapa orang kita tidak mahu menggunakan ilmu pemasaran dalam menjual idea mengenai Islam? Kita beriman dan yakin dengan Islam yang kita anuti, tetapi kenapa kita tidak mahu `menjualnya' kepada orang lain? Kenapa kita tidak berjaya menceritakan tentang Islam yang sangat indah dan bernilai itu?.
Kenapa kita tidak gunakan Marketing Mix, 4 Ps iaitu Product, Price, Promotion dan Place bila untuk berdakwah kepada mereka yang belum `membeli’ Islam?
Saya cuba bayangkan, apa kata kalau kita ramai-ramai bekerja secara sukarela mungkin beberapa jam dalam sebulan, membuat aktiviti lawatan ke masjid kepada bukan Islam. Gunakan P’s. Buat promosi guna flyers atau banner atau lawatan rumah ke rumah. Tour ke kawasan masjid boleh digunakan untuk menceritakan tentang signifikan bentuk senibina Islam, selitkan tentang sejarah umat Islam, juga signifikan solat bagi umat Islam.
Yang lebih penting, kenapa mereka yang pandai, belajar tinggi-tinggi, baca buku hebat-hebat, menulis dan bertutur dalam `bahasa antarabangsa’ tidak boleh turun padang dan menyampaikan Islam dalam bahasa yang mudah dan difahami oleh orang bukan Islam.
Lamunan saya terhenti bila Amar datang. Kami terus pergi mencari destinasi untuk makan malam. Kami tinggalkan sami-sami itu bersama pakcik tua itu. Harap-harap dia akan berjaya `menjual’ keindahan Islam. Moga dia buat marketing, bukan demarketing.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan