Rabu, September 12, 2007

11 September & Salam Ramadan

.


Semalam, kita mengingati 6 tahun peristiwa 11 September, 2001. Peristiwa Menara Berkembar tersungkur ke bumi dan bermulanya rentetan peristiwa mencari kambing hitam Tiba-tiba Islam dan umat Islam menjadi musuh dunia. Bermulalah gerakan besar-besaran menggempur keganasan. Negara umat Islam diserang konon mahu mencari pengganas. Konon mahu mencari Usama Ben Laden. Yang peliknya, sudah 6 tahun peristiwa itu berlalu, masih belum ketemu bayang-bayang Usama ben Laden.

Sepanjang 6 tahun juga menyaksikan banyak tindakan yang diambil Barat, bukan berdasarkan kefahaman tetapi kekeliruan terhadap Islam. Bila berbicara tentang Islam, Barat sering menyamakannya dengan kemunduran. Bila Islam bicara tentang barat pula, sering kita melihatnya sebagai lambang kemajuan dan kemodenan. Anggapan itu tidak sepenuhnya betul. Kita perlu mengkaji sudut pandangan barat terhadap Islam dan barat juga perlu mengkaji sudut pandangan Islam terhadap barat. Kajian oksidentalisme perlu diperhebatkan supaya umat Islam benar-benar faham terhadap sejarah dan konsep-konsep asas peradaban barat.




Buku Adian Husaini,Wajah Peradaban Barat menarik untuk dibaca, menceritakan tentang sejarah barat, konsep-konsep penting barat, bagaimana barat memandang Islam dari kacamata barat, rentetan Perang Salib dan dominasi sekular liberal. Majalah Islamia keluaran terbaru juga mmebri fokus utama tentang sejarah peradaban barat dalm keluaran terbarunya. Ada artikel menarik Prof Syed Naquib Al-Attas dan ad diskusi menarik tentang pemikiran Harvey Cox penulis buku Secular City yang memepopularkan sekularisasi. Majalah Islamia adalah penerbitan ilmiah oleh INSIST, sebuah badan di Indonesia yang didokong oleh sebahagian besar lepasan ISTAC.

Barat memandang Islam, sebagaimana mereka melihat Kristian. Dalam sejarah, pendita Kristian termaklum sebagai penentang kemajuan dan pemodenan. Berapa ramai saintis yang dihukum oleh Gereja kerana membawa penemuan baru yang dianggap sesat?. Gereja terkenal dengan zaman mahkamah Inqusisi yang menghukum dan menyiksa mereka yang dianggap menentang Gereja.

Barat menanggapi Al-Qur’an sebagaimana mereka melihat Bible. Al-Qur’an dan Bible tidak sama. Kristian Barat menghadapi masalah kerana tiadanya teks asli Bible. Mereka mengadapi masalah memahami Bible secar tekstual.Lalu timbullah fahaman konseptual – memahami Bible secara konsep bukan teks, mencari makna tersirat bukan tersurat.

Barat juga menganut fahaman yang agama harus berubah mengikut zaman. Dalam Sejarah peradaban barat, agam Kristian telah mengalami perubahan dalam segala bidang, sehingga masalah iman dan tauhid juga turut berubah untuk disesuaikan dengan zaman.

11 September, menyaksikan kekalutan sebahagian umat Islam dalam menanggapi masalah ini. Ramai umat Islam yang mahu melihat Islam dengan kacamata barat. Mulalah timbul suara mahu melihat Al-Qur’an secara konsep atu tersirat, tidak boleh dibaca secara literal. Ayat muhkmat yang sudah terang pun mahu dilihat secara tersirat. Lalu timbullah fahaman tidak perlu melaksanakan Syariat, kerana ianya hanya sesuai semasa ianya diturunkan.

Oleh kerana mahu mengikut barat yang melihat agama mesti berubah mengikut zaman, maka lahirlah orang Islam yang mencipta istilah Islam Liberal, Islam Progresif, Islam Fundamentalis, Islam Modernis, Islam Hadhari dan sebagainya.



Esok kita menyambut Ramadan. Marilah kta ambil semangat Ramadan ini untuk mempertingkatkan amalan dan mendalami ilmu, Mari kita memahami barat dan sejarah dominasi sekular liberal, dan yang lebih penting, marilah kita kembali mengenali wajah diri kita sendiri. Umat Islam harus kenal Islam yang sebenarnya, kenal kekuatan dan kelebihan diri. Islam itu sudah cukup sempurna. Hanya kita yang bodoh sombong tidak mahu membaca dan mengaji, menuntut ilmu, berfikir dan mempraktikkan.


Selamat menyambut dan mendakap Ramadan!


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails