Jumaat, September 28, 2007

Rak Buku Maya



Pencinta dan pengumpul buku sering menghadapi masalah menyimpan buku. Menyimpan satu hal, menyenaraikan buku satu hal lain. Untuk menyenaraikan buku-buku yang saya miliki, saya pernah tulis di Microsoft Excel.

Kini sudah ada banyak program dan laman web yang boleh menyimpan buku.


Saya mula kenal dengan Librarything.com yang saya rasakan masih laman buku yang terbaik setakat ini. Librarything mempunyai pautan ke banyak perpustakaan besar dunia. Ini memudahkan saya untuk menyimpan data buku-buku berbahasa Melayu yang boleh dicari di Library of Congress. Satu perkara yang leceh sikit, Librarything akan mengenakan sedikit bayaran jika koleksi buku kita sudah melebihi 200.


Baru-baru ini, saya terjumpa dengan dua laman buku baru yang tidak kurang menarik.
Shelfari.com kini jadi tempat saya berdiskusi buku dengan rakan-rakan. Saya telah mulakan grup buku bahasa Melayu di situ tempat kita berdiskusi apa sahaja tentang buku. Jemputlah memeriahkan diskusi. Shelfari juga menarik kerna ianya seperti friendster untuk peminat buku, boleh tinggalkan pesanan dan membina rangkaian rakan-rakan yang meminati buku. Shelfari.com ada kekurangan kerana kurang mesra dengan buku-buku yang bukan berbahasa inggeris, juga Amazon-sentrik.


Goodreads.com juga satu lagi laman buku yang menarik . Saya suka simplisitinya. Koleksi bukunya juga lebih banyak dan bagus dari Shelfari.com. Saya boleh import sebahagian besar buku saya dari Librarything.

Saya ingin mengajak rakan-rakan peminat buku mencuba laman-laman buku ini. Ketiga-tiganya ada kekuatannnya dan kekurangannya yang tersendiri. Pilihlah yang mana berkenan. Cari saya di Librarything, Shelfari dan Goodreads



Jumaat, September 21, 2007

The Reluctant Politician - Tun Dr Ismail

.



The Reluctant Politician
: Tun Dr. Ismail and his time
Harga : RM68.00
Penulis: Ooi Kee Beng
Penerbit: ISEAS
Tahun: 2007
Halaman: 311

Buku ini saya baca menjelang ulangtahun kemerdekaan Tanah Melayu yang ke 50. Saya tulis catatan ini beberapa hari selepas ulangtahun pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Malaysia terbentuk dari gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Orang puteh tak reti nak sebut Tanah Melayu lalu disebut Malaya. Lahirnya Malaysia, hilanglah nama Malaya, dan hilanglah juga istilah Tanah Melayu.

Tun Dr Ismail adalah tokoh penting dalam pembentukan Negara Malaya dan Malaysia. Beliau diingati sebagai antara tokoh yang dihantar ke England untuk merayu pihak British supaya dianugerahkan kemerdekaan.

Ingatan saya tentang tokoh Tun Dr Ismail sebenarnya samar-samar. Saya baru berumur 3 tahun apabila beliau meninggal dunia tahun 1973. Saya ingat-ingat lupa. Mungkin juga kerana kami masih belum punya TV masa itu. Saya ingat kematian Tun Razak pada tahun 1974, kerana terbayang visual hitam putih di TV, peristiwa kematian tersebut.

Tun Dr Ismail juga merupakan antara anak Melayu yang awal melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran. Beliau merupakan anak Melayu pertama memperolehi ijazah doktor perubatan dari Universiti Melborne, Australia pada tahun 1945. Membaca surat beliau semasa melanjutkan pelajaran di Australia sangat menyentuh perasaan. Beliau menulis tentang kesunyian beliau duduk di rantauan.

Selepas Merdeka Tun Ismail menjadi di Duta pertama Malaya ke Amerika Syarikat, juga Duta ke Bangsa-Bersatu. Tun Dr Ismail menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dari tahun 1960 hingga 1967. Beliau kemudian meletakkan jawatan atas sebab kesihatan.

Tahun 1969, terjadinya Peristiwa !3 Mei, beliau telah dipujuk oleh Tun Razak untuk menyertai kerajaan dalam Majlis Mageran pada 14 Mei, 1969. Tun Ismail menjadi tulang belakang Mageran apabila dilantik memegang Portfolio Menteri Dalam Negeri. Beliau adalah mastermind dalam membangunkan Malaysia.

Baru saya tahu rupanya, Keluarga Kuok, terutamnya Phlip Kuok dan Robert Kuok, jutawan gula adalah kenalan baik keluarga Tun Dr Ismail semenjak kecil.

Tun Dr Ismail sering kelihatan dengan paip. Beliau gemar menghisap tembakau menggunakan paip. Rupanya kegemaran itu dipengaruhi oleh minat Tun Dr Ismail kepada watak Sherlock Holmes dalam novel Arthur Conan Doyle, seorang penyiasat yang gemar menghisap paip tembakau.

Buku ini mendedahkan banyak perkara yang saya tidak tahu mengenai Tun Dr Ismail. Tun Dr Ismail antara Menteri yang dilantik dalam kabinet Tuanku Abdul Rahman. Beliau menjadi orang penting dan tonggak dalam pentadbiran Parti Perikatan. Selama ini ketokohan Tunku Abdul Rahman danTun Razak selalu diperbesar-besarkan. Sebenarnya ketokohan dan wibawa Tun Dr Ismail lah yang menyebabkan wibawa Tun Razak terserlah. Ini terbukti apabila Tun Dr Ismail dilantik oleh Tun Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1970.

Tun Dr Ismail dan Tun Razak juga menyimpan satu rahsia besar, iaitu tentang keadaan kesihatan keduanya-duanya. Rupa-rupanya, kedua-duanya memang tahu yang Tun Razak menghidap leukemia.Tun Ismail menghidap ketumbuhan dan juga penyakit jantung. Kedua-duanya telah berikrar untuk tidak mendedahkan rahsia ini kepada sesiapa, malah keluarga terdekat. Mereka bimbang jika masalah ini diketahu ramai akan menimbulkan keresahan, dan kebimbangan rakyat kepada pemimpin dan kerajaan sebuah negara yang baru keluar dari penjajahan.

2 Ogos, 1973, Tun Ismail mengalami serangan jantung. Beliau meminta anak perempuan beliau memanggil doktor kerana katanya, dia `akan mati’. Tun Dr Ismail meninggal dunia ketika berumur 57 tahun. Tun RAzak sebagai Perdana Menteri ketika itu, berada di lura Negara, lalu Tun Dr Ismail telah memangku jawatan Perdana Menteri. Tun Dr Ismail meninggal sebagai pemangku Perdana Menteri Malaysia dan menjadi pemimpin negara pertama dikebumikan di Makam Pahlawan.

Pemimpin yang tidak berebut jawatan, malah tidak mahukan jawatan seperti Tun Dr Ismail sukar dicari ganti. Pemergiannya akan diingati generasi kini. Generasi akan datang, jika tidak mengkaji sejarah, mungkin hanya mengingati Tun Ismail sebagai nama sebuah taman perumahan di pinggir Petaling Jaya.

Rabu, September 12, 2007

11 September & Salam Ramadan

.


Semalam, kita mengingati 6 tahun peristiwa 11 September, 2001. Peristiwa Menara Berkembar tersungkur ke bumi dan bermulanya rentetan peristiwa mencari kambing hitam Tiba-tiba Islam dan umat Islam menjadi musuh dunia. Bermulalah gerakan besar-besaran menggempur keganasan. Negara umat Islam diserang konon mahu mencari pengganas. Konon mahu mencari Usama Ben Laden. Yang peliknya, sudah 6 tahun peristiwa itu berlalu, masih belum ketemu bayang-bayang Usama ben Laden.

Sepanjang 6 tahun juga menyaksikan banyak tindakan yang diambil Barat, bukan berdasarkan kefahaman tetapi kekeliruan terhadap Islam. Bila berbicara tentang Islam, Barat sering menyamakannya dengan kemunduran. Bila Islam bicara tentang barat pula, sering kita melihatnya sebagai lambang kemajuan dan kemodenan. Anggapan itu tidak sepenuhnya betul. Kita perlu mengkaji sudut pandangan barat terhadap Islam dan barat juga perlu mengkaji sudut pandangan Islam terhadap barat. Kajian oksidentalisme perlu diperhebatkan supaya umat Islam benar-benar faham terhadap sejarah dan konsep-konsep asas peradaban barat.




Buku Adian Husaini,Wajah Peradaban Barat menarik untuk dibaca, menceritakan tentang sejarah barat, konsep-konsep penting barat, bagaimana barat memandang Islam dari kacamata barat, rentetan Perang Salib dan dominasi sekular liberal. Majalah Islamia keluaran terbaru juga mmebri fokus utama tentang sejarah peradaban barat dalm keluaran terbarunya. Ada artikel menarik Prof Syed Naquib Al-Attas dan ad diskusi menarik tentang pemikiran Harvey Cox penulis buku Secular City yang memepopularkan sekularisasi. Majalah Islamia adalah penerbitan ilmiah oleh INSIST, sebuah badan di Indonesia yang didokong oleh sebahagian besar lepasan ISTAC.

Barat memandang Islam, sebagaimana mereka melihat Kristian. Dalam sejarah, pendita Kristian termaklum sebagai penentang kemajuan dan pemodenan. Berapa ramai saintis yang dihukum oleh Gereja kerana membawa penemuan baru yang dianggap sesat?. Gereja terkenal dengan zaman mahkamah Inqusisi yang menghukum dan menyiksa mereka yang dianggap menentang Gereja.

Barat menanggapi Al-Qur’an sebagaimana mereka melihat Bible. Al-Qur’an dan Bible tidak sama. Kristian Barat menghadapi masalah kerana tiadanya teks asli Bible. Mereka mengadapi masalah memahami Bible secar tekstual.Lalu timbullah fahaman konseptual – memahami Bible secara konsep bukan teks, mencari makna tersirat bukan tersurat.

Barat juga menganut fahaman yang agama harus berubah mengikut zaman. Dalam Sejarah peradaban barat, agam Kristian telah mengalami perubahan dalam segala bidang, sehingga masalah iman dan tauhid juga turut berubah untuk disesuaikan dengan zaman.

11 September, menyaksikan kekalutan sebahagian umat Islam dalam menanggapi masalah ini. Ramai umat Islam yang mahu melihat Islam dengan kacamata barat. Mulalah timbul suara mahu melihat Al-Qur’an secara konsep atu tersirat, tidak boleh dibaca secara literal. Ayat muhkmat yang sudah terang pun mahu dilihat secara tersirat. Lalu timbullah fahaman tidak perlu melaksanakan Syariat, kerana ianya hanya sesuai semasa ianya diturunkan.

Oleh kerana mahu mengikut barat yang melihat agama mesti berubah mengikut zaman, maka lahirlah orang Islam yang mencipta istilah Islam Liberal, Islam Progresif, Islam Fundamentalis, Islam Modernis, Islam Hadhari dan sebagainya.



Esok kita menyambut Ramadan. Marilah kta ambil semangat Ramadan ini untuk mempertingkatkan amalan dan mendalami ilmu, Mari kita memahami barat dan sejarah dominasi sekular liberal, dan yang lebih penting, marilah kita kembali mengenali wajah diri kita sendiri. Umat Islam harus kenal Islam yang sebenarnya, kenal kekuatan dan kelebihan diri. Islam itu sudah cukup sempurna. Hanya kita yang bodoh sombong tidak mahu membaca dan mengaji, menuntut ilmu, berfikir dan mempraktikkan.


Selamat menyambut dan mendakap Ramadan!


Ahad, September 09, 2007

Surat-surat Perempuan Johor

.





Judul : Surat-surat Perempuan Johor
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Aberdeen Books World
Genre : Novel
Mukasurat : 216 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9834215224


Walaupun saya sering bibliobankrupsi, itu bukan bermakna saya sentiasa membeli buku yang terkini di pasaran. Saya masih memilih buku untuk dibeli. Bukan semua buku yang dianggap popular saya beli. Saya beli buku mengikut mood dan keinginan ketika itu. Banyak buku baru yang hanya saya lihat dan belek di kedai berulangkali. Ada buku yang sudah lama terbit, baru saya beli.

Buku Surat-surat Perempuan Johor sering saya tengok di kedai buku, tetapi belum saya miliki, hinggalah akhir bulan lepas. Saya beli buku ini bersama buku Nama Beta Sultan Alaudin yang dijual secara pakej oleh ujanailmu.com

Buku Surat-surat Perempuan Johor adalah sebuah novel yang ditulis secara epistolari iaitu berupa surat menyurat. Sesiapa yang pernah membaca buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk tulisan Hamka tentu sudah biasa dengan gaya surat–menyurat tersebut.

Apa yang menarik di dalam novel ini, ianya memuatkan surat-menyurat oleh dua watak utama iaitu Ungku Hamidah dan Ungku Nor. Ungku Hamidah adalah seorang perempuan yang pernah wujud semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim Johor. Novel ini cuba mengangkat peranan wanita dalam sejarah pemerintahan Melayu Johor.

Novel ini penuh dengan maklumat tentang sejarah tanahair. Ianya malah telah mengugah tanggapan saya terhadap sejarah Johor. Novel ini menceritakan tentang pemerintahan Sultan Johor yang kuat mempertahankan Islam sebagai tonggak pemerintahan. Buku sejarah pernah menceritakan bagaimana Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim Johor mengambil sikap berbaik-baik dengan British dengan usaha pemodenan negeri. Sikap baginda berbaik-baik dengan British itu menimbulkan berbagai-bagai andaian, dan ada yang menganggap sudah termakan dengan budi British.

Novel ini telah mengubah tanggapan tersebut. Kerajaan Johor digambarkan sebagai berpegang teguh dengan Islam, malah pernah membuat hubungan diplomatik dengan Khilafah Uthmaniah Turki. Sultan Johor pernah berhasrat melaksanakan undang-undang Islam dengan terwujudnya Majalah Ahkam Johor. Perhubungan dengan Kerajaan Turki adalah amat rapat dan kerajaan Johor bagai boleh merasa keresahan Turki di ambang sekularisasi dan kejatuhan khilafah Uthmaniah.

Novel ini mengulang usaha Faisal Tehrani mengangkat peranan wanita dalam masyarakat. Wanita penah diangkat Faisal sebagai pejuang melawan Portugis dalam novel 1515. Wanita dalam novel ini pula diangkat sebagai pejuang agama, masyarakat dan negara. Wanita Melayu pernah jadi diplomat penghubung dua bangsa yang berjauhan.

Melalui novel ini juga Faisal Tehrani cuba membawa teori baru tentang sejarah. Sejarah bagi FT bukan sekadar mengingat fakta dan tarikh. Yang penting dalam sejarah ialah mengambil pelajaran dari peristiwa yang berlaku.Sejarah negara perlu dilihat semula melalui kacamata kita sendiri, bukan lagi dari kacamata penjajah, dan perlu dilihat dengan pandangan jiwa yang benar-benar merdeka.

Isnin, September 03, 2007

Bibliobankrupsi




Bibliobankrupsi adalah istilah yang Sharon Bakar, pemilik blog Bibliobuli gunakan untuk pautan ke kedai buku di blog beliau. Saya tidak pasti samada istilah itu ada dalam kamus. Yang pasti, seorang pencinta buku atau bibliofilik boleh jadi bibliobankrupsi jika menghidap penyakit bibliomania.

Seorang bibliofilik adalah seorang peminat buku yang suka mengumpul buku. Bibliomania pula adalah bibliofilik yang gila mengumpul buku walaupun kadang-kadang buku itu tidak tidak membawa faedah kepada pembelinya.

Bibliobankrupsi pula bibliofilik yang kehabisan duit kerana berbelanja sakan membeli buku. Memetik kata-kata Desiderius Erasmus : "Bila saya ada sedikit wang, saya beli, dan jika ada wang berbaki, saya beli buku dan pakaian"

Saya tak pasti samada saya tergolong dalam bibliofilik atau atau bibliomania. Yang nyata, seminggu dua ini, saya sudah bibliobankrupsi!

Kedai Buku Popular telah menganjurkan Karnival Jualan Buku yang dikatakan terbesar di wilayah utara. Saya jarang ke Penang Megamall. Kurang gemar dengan susunan kedai-kedainya. Namun, Kedai bukunya yang baru diubahsuai memang menarik perhatian. Dua tingkat kedainya. Saya juga baru tahu ada surau yang besar betul-betul sebelah kedai buku Popular.

Jualan buku kali ini memang benar-benar menggiurkan. Diskaun serendah 15% sehingga 70%. Saya habis 6 keping not biru dek terpesona dengan buku yang murah.

Ultimate Business Library - Stuart Crainer RM70 RM19.14
Mind Set - John Naisbitt RM49.90
The Reluctant Politician Tun Dr Ismail - Ooi Kee Beng RM68 RM54,40
Hikayat Muhammad Ali Hanafiyya RM19 RM16.15
The Undercover Economist - Tim Hartford RM37.50 RM26,25
Solat Tiang Agama RM11.00 RM9.35
Pelik Tapi Benar Dalam Solat RM25.90 RM22.01
Confession of an Economic Hitman - John Levitt RM45.50 RM36.40
Man & Wife – Tony Parson RM35.90 RM28.72
Tariq – Menang Ataupin Syahid RM23.90 RM20.31
Marker - Robin Cook RM33.95 RM10.18

28 Ogos saya ke Ampang menghadiri mesyuarat lembaga pengarah. Sehabis urusan, terus ke Jalan Pahang Barat menacari Kedai Buku Alam Raya. Saya diberitahu kedai buku ini banyak menjual buku dari Indonesia. Kunjungan kali ini tidak mengecewakan. Bnayak buku bagus yang saya jumpa. Saya jumpa kenalan baru, Pak Jawahir pemilik kedai buku. Berbual panjang tentang buku dan budaya membaca. Habis 3 keping not biru. Itupun setelah diberi diskaun yang banyak beserta hadiah buku himpunan tulisan Gus Dur.

Larasati - Pramoedya Ananta Toer
Bukan Pasar Malam - Pramoedya Ananta Toer
Cerita Calon Arang- Pramoedya Ananta Toer
Atheis - Achdiat K Mihardja
Sastra Revolusioner – Esei-esei Sitor Situmorang
Islam dan Negara Sekular – Abdullahi Ahmed An-Naim
Majalah Islamia



Walaupun tidak kedai buku, anda masih boleh jadi bibliobankrupsi jika tidak mengawal jari dari mengetuk keyboard ke kedai buku di talian. Saya beli buku berikut di Ujanailmu.

Falsafah Hidup - Hamka RM29.00
Hak Asasi Manusia Dalam Islam & Deklarasi PBB – Hamka RM25.00
Pakej Nama Beta Sultan Alauddin- Faisal Tehrani RM30.00

Faisal Tehrani antara punca saya jadi bibliobankrupsi kali ini. Prolifik sungguh menulis buku. Menulis buku macam makan kacang. Tak pernah dibuat saya beli buku seorang penulis berturut-turut. Tak sampai seminggu saya pesan pula buku berikut;

Pakej Tuhan Manusia – Faisal Tehrani RM35
Seni Muzik Keroncong – Ariff Ahmad RM40
Biografi Prof Ahmad Ibrahim RM35

Saya sudah tak ingat berapa keping not biru sudah melayang. Saya rasa cukup buat bekalan hingga bulan Syawal. Saya harap begitulah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails