Sabtu, Mac 31, 2007

Cinta Fansuri

.
Cinta Fansuri
Pengarang : A. Samad Said
Penerbit : Wira Bukit Sdn Bhd
Genre : Novel ( 158 halaman)
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9834119690
(Kulit Tebal)
Harga : RM40 di Ujana Ilmu



Setelah sekian lama mencari buku ini, akhirnya Cinta Fansuri menjadi milik saya. Ada dua sebab saya teringin membaca buku ini. Yang pertama, nama Fansuri itu yang mengingatkan saya pada tokoh Hamzah Fansuri, tokoh sufi yang terkenal di dunia Melayu. Keduanya, buku ini disyorkan seorang rakan yang juga penulis terkenal tanahair.

Buku ini saya baca setelah selesai membaca Kekasih Sam Po Bo. Saya mulanya membaca buku ini seperti membaca novel yang lain. Membaca dengan cepat agar mendapat mood buku tersebut. Itu tabiat membaca saya. Saya akan membaca dengan cepat dan tanpa henti 20 ke 50 halaman pertama sesebuah buku. Ini adalah saat yang paling penting untuk berkenalan dengan sesebuah buku. Saya akan tahu samada saya secocok dengan sesebuah buku. Selalunya 50 mukasurat pertama sudah boleh membuatkan pembaca jatuh cinta dengan sesebuah buku.

Rupanya, novel ini tidak boleh dibaca sedemikian. Novel ini perlu dibaca perlahan-lahan. Perlukan penelitian setiap ayat dan baris. Saya baca perlahan-lahan. Lagi dibaca lagi buat akal saya terduga. Macam banyak misteri dalam cerita dalam buku ini.

Cinta Fansuri adalah kisah cinta seorang lelaki bernama Fansuri. Ianya juga memuatkan lebih dari satu kisah cinta. Ada beberapa cerita cinta yang lain yang kisahnya juga berlainan. Novel ini berlatarkan Perang Teluk bilamana suasana dunia sangat resah dan mencemaskan. Ianya bagai tercurah di dalam novel ini.

Novel Cinta Fansuri ini diceritakan dari beberapa sudut pandangan. Kalau tidak cermat membaca, pembaca mungkin akan keliru. Saya kategorikan novel ini sebagai sebuah novel yang cerdik. Perlu dibaca berhati-hati. Bagai bermain dengan jigsaw puzzle. Pembaca perlu cerdik memilih dan meletakkan kepingan puzzle di tempat yang sepatutnya. Lebih sukar lagi jika jigsaw puzzle mempunyai warna yang sama. Inilah yang berlaku dalam novel ini. Walaupun novel ini nipis, mungkin ramai yang akan merungut tidak faham, apabila menghadapi kesukaran untuk meletakkan kepingan puzzle di tempat yang sepatutnya.

Novel ini juga bercerita tentang proses penulisan sebuah novel yang ditulis oleh watak salah seorang pencerita dalam novel ini. Bahagian ini menarik apabila menceritakan perbezaan sudut pandangan penulis dan penilai yang menilai manuskrip novel. Saya suka baca wacana menilai karya sastera dalm novel ini.

Buku ini patut dibaca oleh para penulis. Banyak yang boleh dicedok dan diambil pelajaran dalam proses menulis sebuah karya kreatif.

Saya suka buku ini. Buku yang nipis, tetapi mencabar pemikiran. Saya akan baca buku ini sekali lagi. Mungkin juga dua kali.

Rabu, Mac 28, 2007

Mukhsin

.

Mukhsin sudah dua minggu di pawagam. Sungguh hebat sambutan dari penonton. Saya menonton dengan Suri hari Rabu malam, dua minggu lepas. Saya balik dari BM dan kami menonton di Ipoh. Terkejut saya. Panggung penuh sesak.

Saya minat keunikan filem arahan Yasmin. Saya mula minat setelah menonton Rabun di TV. Saya tonton Sepet dan Gubra. Saya suka Rabun . Saya suka Sepet walaupun ada beberapa adegan dalam filem itu yang saya tak suka. Saya suka sebab lokasi filem Sepet itu di Ipoh. Kesemua tempat di dalam filem Sepet itu sangat dekat dengan diri saya.

Gubra, saya kurang gemar. Saya dah tulis di blog ini. Tulisan saya tentang Gubra disebar merata-rata. Ada yang kata macam-macam pada tulisan itu. Apa nak buat. Memang saya tak suka.

Itu bukan bermakna saya tak suka sosok peribadi orangnya. Bukan saya tak suka kesemua karya beliau. Orang kita, kalau tak suka pemikiran seseorang, sudah tentu dianggap tak suka orangnya. Begitulah pemikiran Melayu lama. Sama macam orang politik. Kalau dah sokong satu parti politik, segala benda yang parti lawan buat akan dilawan, dikecam. Tak ada yang betul. Semuanya salah. Kalau betulpun akan dicari hujah untuk menghukum salah. Mereka menyokong membabi-buta sosok peribadi bukan idea dan pemikiran yang dibawa.

Walaupun saya tak suka Gubra, saya suka Mukhsin. Filem ini sangat sederhana. Sederhana dalam kekuatan. Dalam kesederhanaan itulah berjaya mengusik persasaan. Kisah biasa, seorang budak lelaki minat dekat seorang budak perempuan. Bukan kisah cinta pun. Cinta monyet, mungkin. Alaaa..cinta macam masa kita sekolah dulu. Zaman pecah kaca pecah gelas, lepas baca sila balas.

Kenangan terhimbau zaman dahulu, bila ramai kawan dan saudara yang duduk di kuarters kerajaan. Permainan yang diminati, galah panjang dan polis sentri. Budak perempuan main masak-masak dan main kahwin-kahwin. Main layang-layang, main guli.

Menonton Mukhsin, seakan melengkapkan kisah hidup Orkid. Penonton akan lebih faham akan keanehan keluarga ini, Keluarga ini memang aneh, berlainan dengan orang lain. Maka terimalah keanehan mereka sebagaimana dipamerkan.

Lagu di dalam filem Mukhsin membuai perasaan saya. Lagu keroncong Hujan, ciptaan ayah Yasmin Ahmad. Saya memang suka lagu keroncong. Banyak saya tulis tentang lagu keroncong di blog ini. Saya cipta teori tentang asal-usul lagu keroncong dari Portugis yang dulunya sebahagian dari kerajaan Islam Andalus. Itu sebab ada lagu Keroncong Morisko. Morisko adalah nama gelaran umat Islam Andalus yang dipaksa masuk Kristian dalam Reconquista.

Itu agaknya sebab saya suka cerita Mukhsin. Lagu keroncong Hujan nyanyian Adibah Nor itu sungguh menyentuh jiwa rasa. Mendengar lagu Hujan mengingatkan saya pada lagu keroncong Bengawan Solo ciptaan Gesang.

Kalau Sepet menghidangkan lokasi di sekitar Ipoh, Mukhsin pula di Kuala Selangor. Pemandangan indah bendang, dan pokok-pokok menghijau menyinggung memori saya semasa kecil. Memerhati pemandangan pokok-pokok getah tersusun berbaris-baris adalah memori yang masih segar dalam ingatan saya. Teringat saya pada kereta Austin A40 Abah. Kereta itulah yang membwa kami pulang ke kampung, melalui ladang getah dan deretan pokok getah.

Masa itu perjalanan dari rumah kami di Sungai Siput, menuju Ipoh atau Kuala Kangsar sudah tentu melalui ladang-ladang getah. Kini ladang getah sudah sukar dicari. Austin A40 berwarna biru juga sudah Abah tukarganti dengan kereta baru Toyota Corolla.

Maafkan saya kerana hilang sebentar ke dalam kenangan masa kecil. Tiba-tiba jadi nostalgik. Eloklah berhenti sebelum banyak lagi rahsia saya masa kecil diceritakan.

Ahad, Mac 25, 2007

Kekasih Sam Po Bo

.
.

Judul : Kekasih Sam Po Bo
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Aberdeen Books World
Genre : Kumpulan Cerpen
Mukasurat : 327 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9834215207


Akhirnya buku Kekasih Sam Po Bo selamat ke haribaan saya hari Selasa lepas. Saya beli di Ujanailmu. Kekasih Sam Po Bo saya beli bersama dua buku Pak Samad iaitu Cinta Fansuri dan Dari Salina Ke Langit Petang. Saya habis RM108 untuk 3 buku itu. Tak mengapa. Berbaloi!. Nantilah saya cerita.

Kekasih Sam Po Bo, terus saya baca. Mulanya saya tidaklah excited sangat nak beli buku ini, kerana banyak cerpen di dalam buku ini sudah saya baca. Bila dah mula baca, tak mahu berhenti. Saya selesai baca dalam masa dua hari sahaja.

Kekasih Sam Po Bo adalah kumpulan cerpen terbaru Faisal Tehrani. Buku ini memuatkan 30 cerpen beliau. Seperti biasa, karya Faisal Tehrani jarang mengecewakan saya. Tulisan beliau selalunya dibuat dengan kajian mendalam. Cerpen di dalam buku ini disusun dengan secara rawak tanpa klasifikasi tertentu. Membacanya seperti membaca sebuah hikayat.Cerita yang beragam. Mesej yang pelbagai.Latar lokasi yang berbeza. Latar waktu juga berbeza.Watak yang pelbagai. Yang menarik lagi teknik dan gaya penceritaan penulis juga berlainan dalam setiap cerpen. Ada yang ayatnya meleret, ada ayat yang pendek dan tepat. Bagai tiada stail tertentu. Ada cerita yang serius, ada yang menyayat hati, ada cerita yang penuh humor. Setiap satu cerpen ini juga punya unsur yang membuat pembaca berfikir.

Saya suka kegemaran Faisal bercerita tentang kisah sejarah yang diadun dengan fiksyen. Kisah Kekasih Sam Po Bo sebagai contoh bercerita tentang kisah cinta Laksamana Cheng Ho dengan seorang gadis Melayu. Kisah Raja Alaudin dan Imam Muhaimin juga sangat menarik.

Kisah Puteri Gunug Ledang dalam Ratu Kosmetik membuat saya senyum seorang diri. Begitu juga cerpen Cik Siti Mustika.

Pembaca buku Kekasih Sam Po Bo dibawa mengembara ke seluruh dunia. Bermula dengan Sarawak di dalam Negara, dalam Irisan-Irisan Mimpi, pembaca di bawa ke New York dalam cerpen Opah. Saya terasa seperti menyusuri Masjid Biru di Turki, bila membaca cerpen Kucing Gemuk di Masjid Biru. Kita akan dibawa ke Kota Suci Mekah dan Madinah, juga ke Chiang Mai.

Pembaca juga diperkenalkan dengan tokoh-tokoh seperti Suleyman Hilmi Tunahan yang gigih berjuang agar Islam tetap diamalkan di negara sekular Turki.

Isu yang dibincang di dalam cerpen-cerpen juga menarik, Ada isu kenaikan harga minyak, Ada isu penafsiran sejarah, ada kisah Ashabul Kahfi, ada kisah gejolak jiwa berhadapan dengan rasuah., ada cerita sejarah,mencari jati diri, ada kisah melawan penindasan dan kezaliman. Pendek kata, macam-macam ada.!

Saya puas baca kumpulan cerpen ini. Saya suka kerawakan susunan cerpennya. Ia menimbulkan kejutan. Jika ditanya cerpen mana yang saya paling minat, secara jujur saya sukar memberi jawapan. Saya kesemua 30 cerpen. Tidak ada satu yang mengecewakan saya. Bukankah sudah saya katakan tadi. Berbaloi memiliki buku ini!


Rabu, Mac 21, 2007

Anak Semua Bangsa - Pramoedya

.




Anak Semua Bangsa
Pramoedya Ananta Toer

Hasta Mitra Cetakan Keenam Oktober 2002
Cetakan Pertama Disember 1980
(Dilarang beredar oleh Kerajaan pada Januari 1981)


Buku ini sudah lama saya miliki. Saya beli di Pustaka Antara, Kuala Lumpur. Saya mencari Kuartet buru, iaitu empat novel bersiri yang ditulis oleh Pramoedya sewaktu beliau dalam tahanan di Pulau Buru. Saya mencari buku yang pertama dalam siri ini. Bukunya berbalut. Saya tanya gadis penjual di kedai itu. Dia geleng kepala. Dia hanya jual buku. Bukan baca buku.


Bila pulang, baru saya tahu buku ini adalah siri kedua dari kuartet Buru. Saya peram buku ini. Hampir setahun. Saya kembali ke Pustaka Antara dan beli buku Bumi Manusia.

Akhirnya buku ini saya baca juga, sejurus selepas habis baca Bumi Manusia.
Seperti buku Bumi Manusia, buku Anak Semua Bangsa ini telah diharamkan oleh kerajaan Indonesia kerana didakwa cuba menyebar fahaman komunis. Mati sudah Pramoedya. Novelnya ini juga masih dimatikan. Belum hidup. Walau Indonesia sudah lama melampaui zaman reformasi. Buku ini dicetak secara haram oleh Penerbit Hasta Mitra. Di luar Indonesia, buku ini diterjemahkan ke lebih 30 bahasa dunia. Sudah lumrah nasib penulis dan pemikir. Orang sendiri tidak pernah tahu menghargai.

Anak Semua Bangsa menyambung kisah Minkie selepas peristiwa tragis hubungan beliau dan Annelies. Minke meneruskan hidup selepas pemergian Annelies. Nyai Ontosoroh terus menjadi watak penting dalam hidup Minkie. Dalam Bumi Manusia, Minkie mengenal erti kemodenan dengan menjadi pengkagum Belanda dan Barat Tragedi hubungan beliau dengan Annelies telah menyerlahkan wajah sebenar penjajah Belanda kepada Minkie. Itu satu pelajaran buat Minke. Bak kata Nyai Ontosoroh

" . . . Jangan agungkan Eropa sebagaί keseluruhan. Dί mana pun ada yang mulίa dan jahat. Di mana pun ada malaikat dan ίblίs. . . . Dan satu yang tetap, Nak, abadί: yang kolonial, dia selalu ίblίs. . . . "


Buku ini sebenarnya mengisahkan pencarian Minkie dalm hidup. Mengenal dunia dan mengenal diri. Minkie belajar mengenal bahwa barat bukanlah segala-galanya. Beliau baru belajar makna penjajahan. Beliau belajar dari kekuatan China dan Jepun untuk menghalau Barat dari dunia timur. Minkie mula mengenal keburukan bangsa Eropah yang selama ini beliau sanjung. Minkie mengambil kisah bagaimana Jepun boleh bangkit sebagai satu bangsa yang bermaruah.

Minkie yang selama ini suka menulis dalam Bahasa Belanda tersentak bila ditegur oleh rakan yang bukan Indonesia tetapi Eropah. Beliau dikatakan tidak kenal bangsa sendiri. Minkie lebih kenal Eropah dari bangsa Jawa. Terpukul dengan teguran itu, Minkie mula turun ke bawah menyelusuri hidup para petani. Menyelami keperitan hidup petani. Cuba memahami perasaan mereka, Minkie mula menulis dari hati seorang Jawa. Menulis dalam bahasa yang difahami bangsanya sendiri.

Novel Anak Semua Bangsa ini sebenarnya lebih bersifat `subversif', berbanding Bumi Manusia. Novel ini menceritakan tentang kesempitan hidup para petani yang diperas oleh tuanpunya tanah. Mengangkat kisah perjuangan menentang imperialisme dan penindasan. Menelanjangkan keburukan kapitalisme.

Saya akan cari sambungan novel ini. Saya ingin tahu kesudahan pencarian Minke. Akan saya lengkapkan Kuartet Buru dengan buku Jejak Langkah dan Rumah Kaca.

Ahad, Mac 18, 2007

Kitab Salahuddin - Tariq Ali

.





Kitab Salahuddin
Tariq Ali
PT Serambi Indonesia
592 mukasurat
RM59.50




Penulis buku ini, Tariq Ali adalah seorang tokoh penulis dan pengarah filem yang juga seorang aktivis social yang terkenal. Beliau antara tokoh yang keras menentang Perang Vietnam. Tariq Ali lahir dari ibubapa yang menganut komunisme. Seorang kelahiran Pakistan dan lulusan Universiti Oxford.

Kitab Salahuddin merupakan sebuah novel dari tetralogi novel Tariq Ali mengenai sejarah Islam. Buku ini adalah terjemahan dari novel The Book of Saladin. Tiga buku lain adalah Shadows of Pomegranate Tree, The Stone Woman, dan A Sultan in Palermo.

Saya sebenarnya mencari buku Tariq Ali, Shadows of Pomegranate Tree yang menceritakan tentang sejarah Islam Andalusia. Malangnya buku yang dicari tidak ada. Lalu, novel Kitab Salahudin ini saya pilih. Antara sebab saya pilih buku ini ialah tokoh Salahudin Al Ayubbi yang memang terkenal dalam sejarah sebagai seorang pemimpin Islam yang telah membebaskan bumi Palestin. Tambah pula, tokoh Edward Said telah memberi komen yang bagus di kulit buku ini.

Buku ini adalah sebuah karya fiksyen berdasarkan sejarah hidup Salahudin Al Ayubi. Penulis telah mereka beberapa watak khayalan untuk menghidupkan cerita. Novel ini ditulis dari sudut pandangan seorang narator, Ibnu Yaakob, juga seorang watak ciptaan penulis. Ibnu Yaakob, adalah seorang penulis berbangsa Yahudi yang diminta oleh Salahudin untuk menulis kisah hidupnya.

Watak Salahudin adalah satu nama besar dalam sejarah Islam. Menulis kisah hidupnya mungkin sesuatu yang amat sukar tanpa bersikap bias. Salahudin adalah tokoh pujaan bagi umat Islam, tetapi jadi cemuhan bagi penganut Kristian. Beban sejarah dari Perang Salib yang panjang telah membawa kepada perselisihan yang bukan sedikit antara dunia Islam dan dunia Barat.

Mungkin atas kenyataan ini, Tariq Ali telah mengambil perspektif fiksional dalam menulis buku ini. Watak Salahuddin bukan sahaja dilihat dari ketokohan beliau memimpin tentera, malah sosok peribadi beliau diperlihatkan dengan jelas oleh penulisnya. Kisah dalam istana diperbesar-besarkan oleh penulis. Tokoh khayalan Tariq Ali ditambah pula dengan watak Halimah dan Jamilah, isteri-isteri Salahuddin dan kisah-kisah sumbang di dalam istana.

Saya tidak faham mengapa Tariq Ali mesti menambahreka kisah di harem dalam novel ini. Kisah hubungan seks, sejenis dan berlainan jenis. Pendek kata, sikit-sikit cerita orang beromen, sikit-sikit cerita orang beromen. Kisah-kisah rekaan ini seakan menenggelamkan ketokohan seorang Salahuddin yang selama ini saya kenal.

Di dalam novel ini, Salahuddin tidak digambarkan sebagai seorang yang warak dan teguh berpegang pada syariat dan agama seperti yang saya tahu. Mungkinkah Tariq Ali berhasrat menunjukkan keruntuhan akhlak dan peribadi kerajaan Arab dan Islam pada masa itu, seperti yang dipandang barat. Mungkin juga Tariq Ali ingin menarik minat dunia Barat untuk membaca novel beliau. Lalu, unsur seks mesti ada dalam novel ini. Kalau itulah niat beliau, amatlah malang, kerana ianya telah melunturkan minat saya untuk mencari buku beliau yang lain.




Khamis, Mac 15, 2007

Zapin Melayu di Nusantara

.


Judul : Zapin Melayu Di Nusantara
Editor : Mohd Anis Md Nor
Penerbit : Yayasan Warisan Johor
Mukasurat : 301 halaman
Cetakan Pertama : 2000
ISBN : 983993287x
Harga : RM25


Buku ini saya beli semasa saya ke Johor Bahru tahun lepas. Saya beli buku ini di kedai Yayasan Warisan Johor di Persada, bersama VCD Ghazal dan CD Keroncong Anak Johor.

Buku ini diusahakan oleh Kerajaan Negeri Johor menerusi Yayasan Warisan Johor untuk mengumpulkan ulisan ilmiah mengenai tarian Zapin. Rasa saya buku ini merupakan yang julung kali diterbitkan di dunia Melayu.

Buku ini memuatkan 20 artikel yang telah dibentangkan dalam Festival Zapin Nusantara 1998. Ianya didahului dengan Ucap Utama Persidangan Festival Zapin Nusantara 1998 yang telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Abd Ghani Othman.

Buku ini membicarakan kesenian Zapin Melayu dari empat sudut pendekatan iaitu sudut imej dan identiti, unsur falsafah dalam keseniaan Zapin, struktur persembahan dan diaspora Zapin Melayu di Nusantara.

Saya sangat tertarik dengan tulisan Mohd Anis yang mengaitkan Zapin Melayu dengan Handasah Al-Sawt iaitu kajian tentang musik dalam Islam.

Zapin Melayu dikatakan berasal dari Hadramaut. Zapin bersal dari perkataan Arab, zaffan iaitu penari. Zapin pernah jadi media dakwah Islam dan tunjukajar Melayu. Asalnya ditarikan hanya oleh penari lelaki. Dahulu, gerak tangan hanya sebelah sahaja, tangan yang satu memegang kain atau baju arah ke dada(tangan kiri) yang satunya lagi(tangan kanan) melenggang, mencerminkan sikap hidup yang tahu diri, yang satu menjaga diri, yang astu lagi mengurusi masyarakatnya. Gerak inipun menggambarkan sikap `pantang mengkiri-kirikan’ orang, sehingga tangan kiri tetaplah untuk diri sendiri dan tangan kanan yang berhubungan dengan orang lain.

Zapin Melayu dikatakan dibawa ke Tanah Melayu oleh pendakwah Arab dan Hadramaut. Ternyata Zapin Melayu itu sungguh kuat unsur falsafah Melayu dan Islamnya. Langkah tarinya juga banyak dikaitkan dengan abjad Arab, bermula dengan huruf Alif. Sesungguhnya buku ini memberi maklumat baru kepada saya dan buat saya lebih menghargai Zapin Melayu juga adat budaya kita yang tinggi nilai falsafahnya,






Ahad, Mac 11, 2007

Dan Malam Apabila Ia Berlalu

.
.



Judul : Dan Malam, Apabila Ia Berlalu
Pengarang : SN Abdullah Hussain
Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka
Genre : Novel
Mukasurat : 516 halaman
Cetakan Pertama : 2006
ISBN : 9836289119
Kulit Keras
Harga : RM50.00


Buku ini adalah novel terbaharu Sasterawan Negara Abdullah Husain yang diterbitkan tahun lepas. Yang menariknya, novel ini dikatakan sebagai sambungan kepada novel Imam yang pernah mendapat Hadiah Novel Nasional dahulu. Novel ini ternyata kelihatan ekslusif dan lebih menawan dari novel Imam. Novel ini berkulit tebal dan kertasnya bermutu tinggi. Harganya juga RM50 berpadanan dengan kualiti buku dan taraf penulisnya seorang sasterawan negara.

Novel ini bagai cuba mengulang teknik penceritaan novel Imam. Ianya cuba membincangkan permasalahan agama dan sosial dalam masyarakat Melayu. Satu yang saya suka dengan novel ini ialah rujukan yang digunakan oleh penulisnya. Di belakang buku ini tertulis senarai buku dan rujukan penulis dalam menyiapkan novel ini. Ianya ditulis dengan kajian yang mendalam.

Novel ini mengisahkan tentang sebuah komuniti mayarakat Melayu Islam ideal yang menjadikan masjid sebagai pusat kehidupan. Di dalam novel ini, masjidnya benar-benar berfungsi sebagai jantung masyarakat, tempat perbincangan, tempat merancang strategi, pusat dakwah dan pusat kebajikan. Ahli jamaah masjid ini juga digambarkan menghayati Islam sebagai cara hidup sehingga soal-soal kecil seperti disiplin dan kebersihan juga dititikberatkan.

Tidak seperti novel Imam yang membincangkan tentang permasalahan Kaum Tua dan Kaum Muda di sebuah kampong tradisional Melayu, buku ini bercerita tentang sebuah masyarakat Melayu moden di Golden Triangle.

Novel ini cuba menghidangkan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat. Kisah Black Metal dibincang dengan begitu menarik sekali. Masalah salah laku seks, sumbang mahram dan aurat wanita turut diselit dalam novel ini. Kadang-kadang saya rasa macam penulisnya seperti kesuntukan masa dan ingin memasukkan segala jenis isu dan masalah sosial yang melanda orang Melayu Islam dalam buku ini.

Keseluruhannya, novel ini ditulis dengan begitu baik sekali. Namun, ada masanya saya rasa tidak selesa, bila penulisnya mencuit juga isu-isu agama yang sering dipolitikkan seperti isu kafir-mengkafir dan`Tuhan Mencarut'. Kenyataan ahli politik yang diambil sekerat-sekerat dan di luar konteks diulas di dalam novel ini dan dihukum sebagai sesat. Kadang-kadang bila membaca novel ini, terasa seperti membaca buku propaganda Islam Hadhari.

Adakalanya juga terasa macam membaca skrip drama TV yang suka stereotype pada golongan Islam. Golongan Islam sesat dalam buku ini digambarkan memakai pakaian mengikut sunnah Nabi dan yang perempuannya memakai purdah. Akhlaknya seperti biasa akan digambarkan sangat kasar, tidak menghormati orang lain, jumud dan mengongkong kebebasan wanita.

Saya hormatkan penulisnya yang banyak membuat kajian dalam menulis novel ini, namun jika dibuat perbandingan, saya lebih suka novel Imam.

Rabu, Mac 07, 2007

Opick & Tombo Ati

Terpaku saya bila baca berita tentang gempa bumi di Padang. Melihat foto-foto kejadian, ternyata Solok dan Padang Pariaman adalah antara kawasan yang pernah kami lalui semasa di sana. Sayu hati saya bila mendengar alunan lagu Opick di kereta siang tadi. Semasa di Padang lagu Opick inilah yang menemankan kami sepanjang perjalanan. Terbayang kembali pemandangan di sepanjang jalan. Entah apa nasib penghuninya sekarang.

Pak Bambang telah memperkenalkan Opick kepada saya. Beliau mainkan lagu ini di dalam Innova yang kami naiki. Saya memang pernah dengar lagu Opick ini dahulu, Tombo Ati, tanpa tahu nama lagu dan nama penyanyinya. Lagu Tombo Ati nyanyian Opick ini sebenarnya adalah sebuah lagu yang istimewa. Istimewa kerana lagu inilah yang melonjakkan nama Opick di pentas senisuara. Opick atau nama penuhnya Aunur Rofiq Lil Firdaus bermula sebagai penyanyi rock. Opick juga tidak segan-segan mengaku yang dia dahulu menjalani kehidupan yang agak liar sebelum menjadi penyanyi nasyid. Opick pernah merakamkan 6 album rock tetapi kurang mendapat sambutan.

Kesempatan lahir kepada Opick apabila diminta menyanyikan lagu Tombo Ati.

Tombo Ati (Ubat Hati)

Tombo Ati iku limo perkorone
Kaping pisan moco Qur’an lan maknane
Kaping pindo sholat wengi lakonono
Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
Kaping papat kudu weteng ingkang luwe
Kaping limo dzikir wengi ingkang suwe

Salah sawijine sopo iso ngelakoni
Mugi-mugi Gusti ALLOH nyembadani

Obat Hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Qur’an dan maknanya
Yang kedua sholat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang sholeh
Yang keempat perbanyaklah berpuasa
Yang kelima dzikir malam perbanyaklah

Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga Gusti ALLAH mencukupi



Istimewanya Tombo Ati adalah gubahan ulamak terkenal Nusantara iaitu Sunan Bonang, salah seorang Wali Songo. Sunan Bonang dan anak muridnya, Sunan Kalijaga tercatat dalam sejarah, menyebarkan Islam melalui wadah seni. Beliau giat berdakwah melalui gamelan dan pentas wayang. Masyarakat masa itu yang kuat dengan pengaruh Hindu telah beliau dakwahkan dengan memasukkan unsur Islam dalam persembahan seni.

Antara yang masih popular hingga kini ialah lagu Tombo Ati yang sering dilagukan di pesantren dan keramaian Lagu ini telah digubah semula oleh Opick dan diberi sentuhan musik yang segar. Mungkin berkat lagu Sonan Bonang ini, nama Opick telah mula dikenal ramai sebagai penyanyi lagu nasyid terulung di Indonesia.



Album Istighfar Opick telah laku 800,000 unit dan mendapat 5 anugerah platinum. Hampir kesemua lagu Opick dalam album Istighfar ini telah dijadikan lagu latar bagi sinetron Indonesia.

Album keduanya Semesta Bertasbih juga sangat-sangat popular. Kami beli kedua-dua album Opick, satu kaset Istighfar untuk Suri dan Satu CD Semesta Bertasbih untuk saya.



Ternyata album Semesta Bertasbih adalah sebuah album yang berbaloi saya beli. Sudah berpuluh kali saya ulang dengar masih tidak jemu-jemu. Album ini memuatkan juga duet Opick bersama Melly Goeslaw. menyanyikan lagu Takdir. Saya suka kesemua lagu dlam album ini. Paling saya suka lagu Teranglah Hati, Teranglah Jiwa lagu Opick bersama Pendawa Lima. Lagu 25 Rasul pun sangat menarik susunan muziknya, lari jauh dari irama nasyid semasa.


Opick juga adalah pencipta lagu yang bagus dan kreatif. Hampir semua lagu dan lirik dalam album ini adalah ciptaaan beliau. Lagunya juga sedap dan segar didengar. Ini kerana susunan muzik dan penggunaan alatan muzik percussion dan strings yang sangat sesuai dengan lirik dan melodi lagu. Ini mungkin satu pembaharuan bagi lagu nasyid. Walaupun menggunakan muzik, tetapi ternyata ianya tidak merosakkan lagu malah mengindahkan lagi lagu dan memberi kesan yang kuat kepada lirik dan melodi lagunya.

Saya juga baru tahu, Opick adalah pencipta lagu popular, Dealova yang dinyanyikan oleh Once dari Kumpulan Dewa. Patutlah bila dengar lagu-lagu Opick ini, rasa macam pernah didengar.

Mungkin kerana latarbelakang beliau dari seorang penyanyi rock, membuatkan lagu-lagunya sungguh segar dan dan susunan muziknya kontemporari. Sosok dan penampilan beliau mengingatkan saya pada penyanyi nasyid tanahair, Aqil Hayy. Saya harap penyanyi rock di Malaysia boleh mengikut jejak langkah Opick dan Aqil Hayy.





Sabtu, Mac 03, 2007

Ayat-Ayat Cinta

.






Ayat-ayat Cinta
Penulis : Habiburrahman El Shirazy
ISBN : 983-2672-36-8
Harga : RM22.90
Penerbit : Ar Risalah



Akhirnya saya selesai juga membaca novel Ayat-Ayat Cinta. Sudah banyak sangat yang saya dengar mengenai novel ini. Menggunung pujian diberikan kepada penulis novel ini. Ada yang mengatakan penulis novel ini adalah seperti Hamka baru bagi dunia penulisan Indonesia.

Saya mengaku lambat membaca buku ini. Saya baca sesudah Suri Jiwa. Saya mula baca novel ini sewaktu perjalanan ke Padang tempo hari. Ianya saya habiskan seminggu selepas pulang dari Padang. Novel ini saya sambung baca kemudiannya dengan buku Tenggelamnya Kapal Van der Wijk, karya Hamka. Sengaja saya baca kedua buku ini berturut-turut, kerana masih ada lagi mood baru pulang dari Padang. Lagipun, saya mahu kepastian, benarkah novel Ayat-Ayat Cinta ini ada persamaan dengan novel tulisan Buya Hamka.

Terus-terang, saya kurang berkenan membaca novel cinta. Mungkin disebabkan umur yang sudah meningkat ke 40, novel-novel cinta tidak lagi memberi nikmat kepada saya. Saya boleh terima novel yang ada bumbu-bumbu cinta, yang menyelitkan kisah cinta sebagai wahana mempersembahkan mesej yang lebih besar. Saya suka novel yang membawa mesej besar tentang kehidupan dan keadilan manusia seperti karya Pramoedya atau karya Sasterawan Negara. Saya suka novel yang dibuat dengan kajian seperti novel Enrique Mengundang Jauh tulisan HM Tuah Iskandar, Da Vinci Code tulisan Dan Brown, atau karya Faisal Tehrani. Saya suka novel yang mencabar pemikiran, menyuruh saya berfikir, dan memaksa saya mencari bahan bacaan lain untuk saya lebih memahamkan novel tersebut. Usia saya terlalu pendek, untuk sekadar membaca cerita cinta semata-mata.

Membaca novel Ayt-Ayat Cinta menguji kesabaran saya. Memang saya tertarik dengan ketelitian penulis menceritakan secara terperinci tentang Kairo dan Mesir. Rasa jelas terbayang tempat yang beliau ceritakan di dalam novel ini. Saya dan Suri sudah merancang mahu bercuti ke Mesir, bila membaca novel ini.

Kelainan novel ini sebenarnya adalah ianya ditulis oleh seorang lulusan agama dari Mesir. Ianya tentang bagaimana penuntut al-Azhar bercinta. Bagaimana agama memandang cinta. Tajuk Novel ini merujuk kepada begitu banyak Ayat-ayat Al-Qur'an yang menyebut tentang cinta. Ayat itu juga merujuk kepada tanda, kekuatan cinta. Novel ini sangat patut dibaca oleh adik-adik yang baru mengenal cinta. Dalam Islam ada halal-haramnya dalam perhubungan antara lelaki dan wanita. Ianya diterjemahkan melalui cerita dalam buku ini.

Banyak diselit rujukan dari Ayat Al_Qur'an, Hadith dan kata-kata ulamak dalam novel ini. Inilah yang membuatnya berbeza dengan novel lain.

Terus-terang, saya sudah nyaris membakulsampahkan novel ini di pertengahan, apabila watak utama berkahwin. Terasa macam membaca novel cinta remaja yang biasa-biasa. Nasib baik penulis bijak menyambung cerita di dalam novel ini. Peristiwa yang berlaku di tengah novel itu menarik minat saya dan melahirkan rasa kagum pada novel ini. Mujur saya tak menyerah kalah di tengah pembacaan. Buku ini berbaloi untuk dihabiskan.

Selepas membaca novel Buya Hamka, saya berpendapat novel ini tidak banyak persamaan dengan karya Hamka. Hamka menulis tentang cinta tetapi menyinggung adat yang memisahkan cinta antara darjat. Yang sama antara kedua penulis ini mungkin keduanya mempunyai latarbelakang agama. Novel Ayat-Ayat Cinta ini pada saya, lebih rapat dengan novel Tunggu Teduh Dulu tulisan Faisal Tehrani. Kedua-dua penulis berlatarbelakang agama, menulis tentang cinta yang tertib, juga cinta tiga segi. Yang berbeza cuma jantina watak utama. Malah, Tunggu Teduh Dulu, lebih puitis susun bahasanya, dan mengangkat wanita sebagai watak utama.

Kepada adik-adik yang sedang bercinta, bacalah buku ini. Buat ingatan tentang batas-batas perhubungan. Biar cinta itu halal dan diberkati. Biar cinta itu kekal dari dunia hingga akhirat.


Sesekali dalam ketenangan sastera Indonesia datang mengejut gelora seni yang tidak tersangkakan. Jika dulu pernah hadir "Ateist", "Perburuan", "Pulang", "Merahnya Merah" dan "Bumi Manusia", kini tampaknya gelora itu datang dalam bentuk "Ayat-Ayat Cinta" pula. Ternyata ia adalah sebuah novel yang sangat memujuk dan menghiburkan. Dengan bahasa yang sederhana mengalir, novel ini menghadapkan kita kepada sekelompok mahasiswa Indonesia yang tidak saja tekun menangguk ilmu, malah berupaya mengisi kehidupan dengan penuh sabar. "Ayat-Ayal Cinta" memangnya pintar mengheret kita menjejaki — malah menghidu — perhubungan Fahri (Indonesia) dan Maria (Mesir) secara penuh mengajar, menghantar isyarat dan kebijaksanaan baru melalui perhubungan sopan antara insan dua negara.

Rasanya memang sesekali kisah cinta yang Islami begini sempat disampaikan dengan penuh tertib.Maka itu, tidak membacanya seperti sengaja melepaskan peluang untuk mencium bau, merasa iklim dan memahami gerak hidup insan Indonesia baru di iuar dan di dalam negaranya.

A. Samad Said Sasterawan Negara






LinkWithin

Related Posts with Thumbnails