menghimpun cetusan rasa, tulus dari jiwa. Jiwa hidup dengan deria rasa. Dari Jiwa Rasa.
Isnin, Januari 31, 2005
Selesai satu kerja...
Sudah lama rasanya tak berkesempatan nak update blog. Hanya sempat buka PC dan menjenguk blog rakan-rakan. Biasalah. Alasannya kesibukan kerja. GM tak ada selama sebulan sampai lepas Raya Cina. Kalau dah bos tak ada, terpaksalah tengok-tengokkan apa yang patut diselesaikan.
Teringin sangat nak hadir Parti Nasi Dagang Pok Ku pada Sabtu malam lepas. Apa nak buat, terpaksa melepaskan peluang bertemu pemenang Best Malaysian Blog ini, walaupun dah lama saya letak appointment itu dalam PDA. Entah bila dapat peluang untuk bersua muka dengan tokoh blogger yang saya hormat ini. Hari minggu itu saya sibuk hingga ke larut malam dengan persiapan majlis perjumpaan tahunan juga tengah bergelut untuk menyiapkan assignment MBA, kertas projek Strategic Information Systems Planning.
Saya terpaksa menguruskan persiapan untuk perjumpaan tahunan syarikat di Ipoh, kerana GM keluar negeri. Semua pihak pengurusan tertinggi dari Kuala Lumpur datang ke Ipoh. Dah jadi kebiasaan kami di Ipoh, persediaan perlu dibuat dengan sebaik mungkin, malah mesti lebih bagus dan lebih hebat dari 15 syarikat lain di seluruh negara. Kami selalu meletakkan standard yang tinggi untuk dicapai.
Banyak multimedia presentation perlu disemak dan diteliti sebelum hari tersebut. Multimedia presentation untuk aktiviti sepanjang tahun perlu diteliti. Power point presentation untuk Pengerusi dan Pengarah Eksekutif, juga powerpoint presentation untuk laporan prestasi kewangan dan operasi syarikat juga perlu disiapkan. Agenda juga perlu diteliti dengan terperinci untuk memastikan ianya berjalan tanpa halangan.
Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Rasa lega betul bila semuanya sudah selesai petang tadi. Pengerusi berpuas hati dengan pencapaian kami sepanjang tahun lepas, kami diisytiharkan sebagai syarikat yang paling banyak menerima anugerah sepanjang tahun 2004 berbanding 15 anak syarikat yang lain. Kami telah mendapat Anugerah Enterprise 50, BFHI dan MSQH, dan juga telah dicalonkan untuk QMEA, anugerah tertinggi pengurusan kualiti negara.
Harap-harap dapatlah saya update blog selepas ini. Ada beberapa buah buku yang sudah selesai saya baca dan rasa ingin berkongsi di sini. Nanti kalau senang boleh saya kongsi di sini.
Khamis, Januari 20, 2005
Selamat Hari Raya Korban
Masjid Ubudiah Bukit Chandan Kuala Kangsar
Esok kita akan merayakan Hari Raya Korban di Malaysia. Dulu, ibadah korban sering diadakan secara kecil-kecilan di kampung, dan mungkin hanya seekor dua lembu yang akan dikorbankan. Tetapi kini kita ibadah korban sudah membudaya dalam masyarakat. Di merata tempat ibadah korban dilangsungkan setiap tahun, bukan sahaja di kampung, malah di organisasi tempat kita bekerja juga ada dilakukan ibadah korban. Jumlah lembu dan kerbau yang akan ditumbangkan juga telah meningkat, sesuai dengan meningkatnya taraf hidup masyarakat.
Namun kadang-kadang penghayatan semangat korban itu semacam semakin menipis dalam masyarakat. Ibadah korban di sesetengah temapt bagaikan pesta membahagikan daging korban. Kita berebut membahagikan daging sembelihan kepada rakan-rakan dan saudara mara. Ada yang berebut mendapatkan tulang, dan ekor lembu untuk dibawa pulang. Memang ianya tak salah dari segi syarak. Daging korban memang untuk diagih-agihkan kepada umat Islam setempat dan boleh diambil sebahagian oleh empunya korban. Tapi bukan setakat halal haram yang patut diikut. Semangat dan roh korban itu yang perlu dihayati.
Alangkah baik nya jika kita melaksanakan ibadah korban dengan berebut-rebut dan bersungguh-sungguh mencari orang miskin dan fakir untuk diberikan korban itu. Cukuplah kita yang tiap-tiap hari mampu menikmati hidangan enak ini memberi laluan kepada mereka yang jarang-jarang dapat melihat makanan. Alangkah baiknya juga jika diambil inisiatif untuk menghantar daging korban sembelihan ini kepada saudara kita yang miskin dan memerlukan makan seperti kepada mangsa tsunami di Acheh atau di Sri Lanka.
Ada segelintir tokoh masyarakat pula menggunakan ibadah korban untuk mendapat political mileage, hinggakan ada acara menyerahkan lembu untuk korban kepada masyarakat. Panggil wartawan, orang ramai dan ambil gambar, lalu ditulislah pujian betapa murahnya hati si pemberi. Kadang-kadang tak nampak pula muka masa kerja korban. Sedangkan ibadah korban adalah ibadah individu, dan lebih aula lagi jika kita sendiri yang menyembelih korban, dan membahagikan kesemua bahagian korban itu kepada orang fakir dan miskin.
Semoga kita dapat menghayati semangat Korban yang dilahirkan dari pengabdian Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim kepada Allah. Betapa cinta dan kasihnya Nabi Allah Ibrahim terhadap anaknya Ismail, tetapi oleh kerana itu arahan Allah untuk mengorbankan anaknya, ia harus dipatuhi. Cinta dan kasih kepada anaknya tidak boleh mengatasi cinta kasih dan kepatuhan kepada Yang Maha Pencipta.
Kasihnya kita kepada `kekasih' kita di dunia jangan sampai mengorbankan perintah agama.
Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua.
Selasa, Januari 18, 2005
Lamunan Puitis sebuah trilogi - Shahnon Ahmad
Lamunan Puitis Sebuah Trilogi
Penulis: Shahnon Ahmad
Penerbit: DBP
No. KK: 899 98335101
No. ISBN: 983 6275428
Tahun Terbitan: 2003
Harga Buku: RM12.00
Buku ini sebenarnya telah lama saya miliki. Saya telah beli buku ini pada bulan April, 2004 sewaktu singgah di Kedai Buku Popular di Ikano. Sudah lama ingin membaca buku ini tetapi asyik tertangguh. Ini kerana pengalaman saya yang lepas mengingatkan yang saya perlukan penumpuan dan ketekunan bila membaca buku SN Shahnon Ahmad.
Saya masih ingat yang saya agak sukar untuk menghabiskan buku tulisan SN Shahnon Ahmad, seperti Patriarch dan Sutan Baginda. Apa lagi jika disebut novel satira beliau yang pernah menggemparkan negara, Shit. Saya tidak dapat menghabiskan buku tersebut kerana bahasanya yang kasar, berulang-ulang dan mampu menaikkan darah amarah. Membaca Shit menimbulkan rasa marah, geram, meluat, loya, mual dan segala yang buruk pada watak utama dalam novel itu. Shit juga bukanlah novel yang boleh saya bawa sebagai teman di meja makan.
Namun, tangan saya mula tergerak untuk mengambil buku ini dari rak di rumah bila mendapat tahu yang novel ini telah muncul sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2002/2003 genre novel. Wah! Tentu hebat karya terbaru SN Dato’Shahnon Ahmad ini kerana berjaya menewaskan 76 novel lain yang turut dicalonkan!
Apabila helaian demi helaian mula dibuka dan novel ini mula dibaca, ternyata buku ini memang satu karya hebat sehebat nama pengarangnya dan juga sehebat tajuk novelnya. Lamunan Puitis memang benar-benar puitis. Malah setiap baris ayat dalam novel ini digubah dengan begitu puitis bagai membaca satu puisi panjang.
Novel ini mengandungi 3 novel dalam satu buku. Kisah pertama bertajuk Sebuah Mimpi Hari Tua mengisahkan sebuah keluarga yang teringat akan orang tua di kampung. Mengenang kembali akan sawah yang sudah tidak diusahakan lagi.
Novel kedua bertajuk Titipan mengisahkan tentang kenangan watak utama dengan ibunya.
Novel yang terakhir bertajuk Embun, paling saya minati. Mengisahkan tentang watak dan sifat embun dan kaitannya dengan sifat hujan. Kisah embun yang mencari jatidiri dan cuba memisahkan diri dari `jemaah hujan'.
Bukan embun memberontak tidak mahu menjadi anggota jemaah itu. Bukan. Malah ia terlalu ingin, tetapi ia lebih ingin menjadi dirinya yang benar-benar butir embun yang berjatidiri embun dan yang berkeperibadian embun dan dia berupaya melayahi turun ke bumi sebatang kara. Lebih terasa lagi keinginan itu bilamana ia teringat pada sejarah pahitnya beberapa kali sewaktu ia menjadi anggota jemaah hujan. I tidak dapat melupakan sejarah itu sampai bila-bila.
Ia turun bersama-sama jemaah tetapi tiba-tiba jemaah menjadi bengis dan pongah tanpa kawalan lagi dan terus tegak sebagai banjir yang maha ganas, maha buas bagaikan seorang diktator yang gila kuasa memperkakaskan sesiapa saja untuk memenuhi mood dan selera nafsunya dan tuntutan gila para kroni dan para nepotisnya. Pada waktu itu ia bukan lagi sebagai anggota jemaah hujan yang menghidupkan bumi dan yang memperindahkan suasana.
mukasurat 243-244.
Lamunan Puitis sebuah trilogi membawa kisah yang biasa tetapi diolah dengan sangat baik dan mendatangkan kesan yang sangat mendalam pada pembaca. Ia mengajak pembaca menghargai akan institusi keluarga dan masyarakat, juga menghayati Islam sebagai cara hidup.
Nilai buku ini sesungguhnya jauh lebih mahal dari harga buku ini. Ianya antara novel terbaik pernah saya baca pada tahun 2004 yang akan saya ulang kembali membaca.
Jumaat, Januari 14, 2005
Kembara M Nasir Mencari Flamenco
Akhirnya penantian menunggu bermulanya M. Nasir Destinasi...Dunia, berakhir apabila rancangan itu mula disiarkan di Astro Ria setiap hari Khamis pukul 9.30 malam. Penantian itu memang berbaloi kerana rancangan setengah jam yang diacarakan oleh M Nasir itu lain dari rancangan hiburan lain. Ia merupakan sebuah travelog mengenai muzik yang menarik dan informatif. Rancangan ini cuba melihat seni muzik lebih dari sekadar hiburan biasa. M Nasir memberi ulasan tentang seni muzik lebih sebagai manifestasi budaya dan peradaban sesuatu bangsa.
Episod 1 & 2 telah membawa kita ke London, melihat penyanyi jalanan juga mengenang tempat lahirnya Beatles.
Episod semalam, kita telah dibawa oleh M Nasir ke Madrid, Sepanyol. Kembara mencari muzik Sepanyol, terutamanya muzik flamenco. Kembara M Nasir kali ini singgah di Madrid melihat seni pembuatan gitar flamenco. Kayu disimpan selama 25 tahun untuk dibuat gitar yang dijual dengan harga puluhan ribu ringgit. Kita dibawa singgah di toko pembuat gitar terkemuka Sepanyol,Jose Romero yang juga membuat gitar untuk pemain gitar flamenco tersohor dunia, Paco de Lucia.
Paco De Lucia terkenal sebagai orang yang bertanggungjawab memberikan wajah baru kepada muzik flamenco. Eksperimen beliau dengan Cameron de La Isla telah mempopularkan muzik flamenco di serata dunia, dengan nama New Flamenco yang lebih segar tetapi masih asli. Genre muzik ini telah dipopularkan kemudiannya oleh Gipsy Kings dari Perancis, dan diberi sentuhan pop oleh pemuzik terkemudian seperti Armik, Ottmar Liebert dan lain-lain.
Mendengar petikan gitar flamenco mendatangkan satu rasa yang lain. Rasa bagai mendengar satu genre muzik yang hampir dengan kita. Ada jiwa dan rasa muzik timur tengah. Kalau diteliti, muzik dan lagu flamenco mirip lagu ghazal dan seperti bunyi orang meratib dan merintih. Adakah itu rintihan umat Islam di Andalus yang telah diperlakukan dengan kejam oleh pemerintahan kejam Kristian Ortodoks di Andalus?
Tak sabar menunggu episod seterusnya. Mungkinkah M Nasir akan membawa kita ke Alhambra, yang ditinggalkan dengan tangisan oleh Boabdil, raja terakhir kerajaan Islam Andalus?
Khamis, Januari 13, 2005
Terjumpa ini di blog Amir EtCetera
URGENT : Support Needed!!
FOR IMMEDIATE RELEASE
JAWATANKUASA Seniman Prihatin, dengan kerjasama Akademi Seni Kebangsaan serta Yayasan Kesenian Perak bakal menjayakan program kesenian Malam Tunas Jiwa.
Tujuan malam tersebut adalah untuk melahirkan rasa simpati para seniman terhadap nasib malang yang menimpa mangsa tsunami di Acheh dan utara Tanahair.
Program malam tersebut bakal diserikan dengan bacaan puisi oleh penyair Dinsman, Dr Zakaria Ali, Prof Muhammad Haji Salleh, serta bacaan mesej peribadi dari karyawan Acheh oleh Dr Siti Zainon Ismail.
Turut menyumbang tenaga untuk persembahan malam itu adalah pemuzik folk Meor, penari multi-etnik, January Low, kumpulan gamelan Rhythm in Bronze, kumpulan Dewangga Sakti, kumpulan Electro Primitive, serta persembahan khas dari kakitangan serta penuntut ASK sendiri.
Turut membuat penampilan khas untuk program tersebut adalah Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal yang telah sudi mencipta logo simbol tunas kelapa, yang menggambarkan harapan agar kawasan yang dilanda tsunami bakal tumbuh subur semula, demi meneruskan kesinambungan hidup selepas tragedi tersebut.
Pada malam itu juga, pengunjung akan dapat mendengar sendiri pengalaman sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Global Peace yang baru pulang dari Aceh, serta mendaftar sebagai ahli di persatuan-persatuan berkenaan.
Malam Tunas Jiwa akan diadakan pada Sabtu, 15 Januari 2004, jam 8.00 malam, bertempat di Laman Akademi Seni Kebangsaan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi
Tengku Elida Bustaman (0163284493) atau Fazli Ibrahim (016 2982905)
END
* Please show your support by copy and paste this info to your blog to make it possible for this info spread to as many as possible in the shortest time. Your contribution is highly appreciated to make this event a success. I'm trying to get a few celebrities to perform as well that night. HOPE TO SEE YOU THERE.
Rabu, Januari 12, 2005
Lagu Anak Pelaut - J.M. Aziz
Semenjak pulang bercuti dari pantai timur, buku JM Aziz; Derita Seorang Seniman, selenggaraan Wahba sudah berapa kali ulang belek dan baca. Membaca puisi JM Aziz, penyair istimewa kelahiran Seberang Takir, mengingatkan saya akan keindahan pantai yang masih segar dalam fikiran. Puisi beliau juga mengingatkan saya akan dahsyatnya bencana tsunami yang menimpa saudara kita.
`Puisi adalah penawar Jiwa luka saya...ia memupuk semangat dan menenangkan jiwa lara saya...' kata JM Aziz, seorang penyair yang derita zahir dan batin hingga ke akhir hayat. Dunia laut dan nelayan menjadi sumber inspirasi beliau menghasilkan karya puisi yang sederhana tetapi memukau dan mampu menghiris jiwa. Puisi beliau penuh dengan kepiluan sesuai dengan nama pena Jiwa Merana.
Laut boleh menjadi kawan dan boleh juga jadi lawan. Laut sering jadi tempat mencari ilham dan ketenangan dan laut juga boleh menjadi punca kepiluan dan tangisan. Laut itu sumber pencarian, laut juga lubuk puaka membaham nyawa.
Laut adalah kehidupan. Pasang dan Surut. Ombak dan Pantai. Tenang dan Gelora. Hidup dan Mati….
Lagu Anak pelaut
Kunyanyikan pantaiku
Berwajah ungu
Anak-anaknya dalam sedu.
Kunyanyikan pantaiku
Berbelas lara
Rindu dendam anak-anaknya
Mengharapkan kasih entahkan tiba.
Kunyanyikan pantaiku
Retak seribu
Paling derita anak-anak di sini
Tiada siapa yang bisa tahu
Selain dari yang mengalami.
Kudengarkan lautku
Berlenggang-lenggok
Kudendangkan lautku
Tempat berpaut.
Kudendangkan lautku
Pintu hidup
Kudendangkan lautku
Pintu maut.
J.M Aziz
18 Jun 1967.
Isnin, Januari 10, 2005
Indahnya Pantai Cherating..
Kami tak buat tempahan untuk hotel di Cherating, dengan sangkaan, senang nak dapat bilik. Kami hanya cuba buat tempahan bila dalam perjalanan ke Cherating. Malang dan hairan, sepanjang perjalanan menelefon dan kebanyakan resort dah penuh. Mujur Aida bagi kami nombor Suria Resort untuk dihubungi dan kami dapat tempah bilik.
Mulanya agak risau kerana fikir kami jika semua resort ternama sudah penuh , kenapa pula resort ini masih kosong? Kami sampai di Suria Cherating Beach Resort tatkala hari sudah petang. Sangkaan kami meleset. Rupanya resort ini agak besar dan cantik, mempunyai 100 bilik lebih dan baru dua tahun beroperasi. Perabot di bilik bergaya jati dan masih berbau baru. Kolam renangnya mungkin kecil tetapi pantai di hadapan resort ini seluas mata memandang.
Makan malam di Cherating juga sangat mudah. Banyak kedai makan di sepanjang jalan di Cherating. Kami makan ikan bakar di sebuah kedai. Isteri saya kata harganya mahal walaupun terletak di tepi laut.
Pagi besoknya kami check-out awal kerana ingin bersiar-siar melihat Pantai Cherating. Kami pergi melihat resort-resort di sepanjang pantai menuju ke Kuantan. Kalau dilihat dari luar, rasa saya Suria Resort ada kelebihan dan kami telah membuat pilihan yang tepat. Hairan juga bila melihat banyak resort yang kami telefon dan dikatakn penuh semalam tetapi kelihatan kosong.
Kami sampai di Kuantan waktu tengah hari. Selepas makan tengah hari kami ke Teluk Cempedak. Cantik betul pantainya. Pantainya bersih dan penuh dengan pengunjung. Sebelum meninggalkan negeri Pahang kami mencari Tanjung Lumpur seperti cadangan Sham, tempat popular untuk makan ikan bakar. Kecewa kerana hari masih siang dan gerai masih belum dibuka. Khabarnya gerai ikan bakar hanya mula beroperasi selepas pukul 6 petang.
Tak jauh dari Tanjung Lumpur, kami singgah di Peramu. Ada sebuah kedai sebelah Balai Polis yang menjual keropok lekor dan makanan lain seperti ikan, udang, sotong dan ketam yang digoreng dengan tepung. Gerainya kecil tetapi penuh dengan pengunjung.
Berselera betul kami makan, namun sedih juga di hati kerana tidak dapat tinggal lebih lama, kerana itu mungkin merupakan penamat bagi perjalanan kami ke pantai timur. Selesai makan, kami mulakan perjalanan pulang melalui lebuh raya Pantai Timur.
Kami tiba di Kuala Lumpur ketika matahari sudah terbenam, lalu menginap semalam di rumah adik di Serendah. Esoknya, kami singgah di rumah baru di Bandar Pinggiran Subang, sempat mencuci rumah yang baru dapat CF, berhenti sebentar di Ikano, sebelum pulang ke Ipoh.
Rasa penat tetapi gembira. Satu percutian yang sangat menyeronokkan kerana bercuti dengan melihat tempat orang. Kami juga rasa sedih dan bingung bila hari terakhir percutian kami merupakan hari yang malang bagi mangsa tsunami.
Lihat gambar terakhir perjalanan kami di fotopages.
Jumaat, Januari 07, 2005
Dari KT ke Cherating
Masjid Terapung Kuala Ibai
Hari Ketiga
Jumaat 24/12/2004 Sutra – KT - Cherating
Kami tinggalkan Sutra sebelum pukul 12 tengah hari dan meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Sempat juga kami singgah menjenguk Aryani Resort yang terkenal dengan reka cipta bangunan Melayu Terengganu nya yang klasik. Perjalanan dari Sutra ke Kuala Terengganu memang menarik. Di sepanjang jalan banyak kelihatan kedai-kedai menjual keropok. Kami singgah di Batu Rakit, melihat bagaimana keropok lekor dibuat dan membeli keropok lekor panas, buat bekalan dalam perjalanan.
Kami sampai di Bandar Kuala Terengganu dalam pukul 12.30 tengah hari. Kami begitu terkejut melihat Bandar Kuala Terengganu yang sunyi sepi bagai dilanggar garuda. Boleh dikatakan semua kedai tutup hari itu. Hari Jumaat merupakan hari cuti bagi Terengganu dan kebanyakan kedai memang tutup hari itu. Kami singgah di Kedai Payang, yang memang jadi agenda utama kami, walaupun banyak kedai yang tutup. Kedai yang masih buka pun akan tutup selepas solat Jumaat.
Saya tinggalkan isteri di situ sementara saya ke Masjid Abidin untuk solat Jumaat. Bangunan masjid ini pada asalnya merupakan sebuah istana kayu yang didirikan pada zaman Sultan Zainal Abidin II yang memerintah sekitar tahun 1800. Ia telah diperbesarkan oleh Sultan Zainal Abidin 111 dalam tahun 1901.
Kembali dari solat, isteri saya sudah pun selesai membeli-belah, banyak juga yang dibeli. Kalau dah murah dan berkualiti, beli saja. Selesai membeli belah, kami makan tengah hari di Restoran Terapung Puteri sebelum meneruskan perjalanan meninggalkan Kuala Terengganu.
Restoran Terapung Puteri
Kami singgah sebentar melihat pemandangan Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Ibai yang lebih terkenal dengan nama Masjid Terapung. Masjid ini direka bentuk oleh arkitekYM Raja Bahrin Shah yang telah mengilhamkan Aryani Resort. Sungguh indah reka bentuk masjid ini.
Dalam perjalanan dari Kuala Terengganu hingga ke sempadan Pahang kami mendengar perbualan di Radio Malaysia Terengganu mengenai cadangan MB untuk menswastakan tandas di semua masjid di negeri itu. Pendengar yang memanggil kebanyakannya bersetuju dengan cadangan itu dan ada juga yang menyalahkan AJK dan kariah masjid yang tidak menjaga kebersihan tandas masjid.
Sepanjang jalan, kami melalui pemandangan yang sangat cantik apabila melalui kawasan seperti Marang, Mercang, Rantau Abang, Tanjung Jara lalu melalui Paka dan Kertih yang terkenal sebagai kawasan minyak. Kami singgah sebentar di Pantai Kemasek sebelum ke Kijal, Chukai dan Kemaman. Kami merentasi sempadan Terengganu Pahang pukul 6.26 petang setelah meter di kereta mencatat angka 850km.
Kami sampai di Cherating ketika matahari hampir membenamkan diri lalu ke satu lagi resort yang cantik dan menarik, Suria Cherating Beach Resort.
Lihat gambar di sepanjang hari ketiga di pantai timur di fotopages.
Khamis, Januari 06, 2005
Semalam di Sutra Beach Resort
Khamis 23/12/2004 Kota Bharu - Sutra
Jumaat 24/12/2004 Sutra - KT - Kemaman - Cherating
Perjalanan dari Kota Bharu ke Terengganu sangat menarik. Kami melalui pemandangan kampung yang sangat mengasyikkan. Bagaikan tak sedar yang kami telah sampai ke sempadan Kelantan - Terengganu. Kami melalui Jerteh lalu ke Permaisuri sebelum mengambil jalan ke pantai melalui Pantai Penarek sebelum sampai ke Kg Merang, tempat terletaknya jeti ke Pulau Redang.
Melalui Merang akan mengingatkan kami akan percutian indah kami di Pulau Redang beberapa tahun lepas. Kepada yang belum sampai ke pulau-pulau di pantai timur, saya syorkan pergilah bercuti di sana, terutamanya Pulau Redang. Pengalaman snorkeling dan bermain-main dengan ikan yang jinak di Redang Marine Park sungguh menyeronokkan. Bagaikan melihat akuarium. Anda boleh berjumpa dengan penyu dan anak ikan yu. Kata seorang divemaster di Redang, tahun sebelumnya batu karang di sini lebih cantik, tetapi setiap kali musim tengkujuh, banyak karang yang musnah.
Tak jauh dari Merang, kami melalui Kg Rhu Tapai di mana terletaknya destinasi kami seterusnya iaitu Sutra Beach Resort. Dah lama saya teringin ke resort ini. Saya teringin untuk melihat kolam renangnya yang kelihatan seakan bersambung dengan pantai.
Akhirnya kami sampai ke Sutra Beach Resort menjelang Maghrib. Kami hampir terlepas kerana resort ini dihimpit oleh kampung nelayan. Kawasan ini masih belum dikomersialkan. Harapan saya ianya akan terus begitu. Terasa aman dan damai bila berada di sini. Melihat rumah-rumah kampung di sini mengingatkan saya akan kesusahan mereka mencari rezeki di laut. Melihat kampung nelayan dan pantai di Terengganu akan mengingatkan saya kepada penyair Seberang Takir, arwah JM Aziz, yang sering berbicara mengenai laut dan hidup nelayan.
Resort ini memang sangat cantik dan meninggalkan kenangan yang mendalam kepada kami. Biliknya juga luas, hiasan dalamnya juga menarik dan bilik yang kami duduk menghadap laut. Malam itu kami tidur nyenyak dengan nyanyian ombak Laut China Selatan.
Hari itu, resort ini tidak penuh. Mungkin kerana musim tengkujuh. Harga biliknya pun agak murah berbanding hari biasa. Kami tidak dapat mandi di laut, kerana ombaknya kuat, tetapi kami puas berendam di kolam renang nya yang besar.
Melihat menu di coffee house tidak begitu menarik perhatian kami kerana menunya masakan barat. Kami ingin mencari menu masakan tempatan. Susah juga mencari tempat makan di sini terutamanya pada waktu malam, kerana kawasan ini agak jauh dari bandar, lebih kurang 45 minit perjalanan ke Kula Terengganu. Malamnya kami makan di sebuah kedai makan di Merang.
Sarapan pagi keesokan harinya di resort ini juga sedap dan menyelerakan, cuma sedikit kecewa kerana tidak dihidangkan dengan nasi dagang. Kami habiskan waktu kami pagi itu dengan mengambil gambar keliling resort dan juga berendam di kolam renang.
Hati kami begitu berat untuk meninggalkan resort ini. Semalam di Sutra rasa bagai terlalu singkat. Tapi apakan daya kami perlu teruskan perjalanan. Memang rancangan percutian kami kali ini untuk bermalam di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor atau Kuala Lumpur.
Saya berharap, jika diizinkan, satu hari nanti akan kembali semula ke sini untuk duduk lebih lama lagi. Mungkin sempat untuk snorkeling ke Redang atau mengikuti aktiviti mencandat sotong. Merang dan Redang seakan-akan memanggil kami untuk kembali...
Selasa, Januari 04, 2005
Kota Bharu & Nasi Ulam Kampung
23/12/2004
Sementara menunggu isteri saya menyampaikan ceramah di hotel, saya berjalan di Bandar Kota Bharu yang masih berdebu kesan dari banjir. Berdekatan hotel penginapan yang disediakan penganjur, ada kedai buku Jaafar Rawas, Begitu banyak buku agama di situ. Dah jumpa kedai buku, kenalah masuk. Banyak juga buku yang saya beli termasuk buku dan VCD ceramah Ustaz Asri Yusuf yang tak pernah saya jumpa di tempat lain.
Sebelum tengah hari kami sudah pun check-out dari hotel lalu ke Pasar Lama untuk membeli-belah. Banyak juga yang kami borong. Saya dapat 3 helai baju batik. Isteri saya beli tudung dan baju yang memang sangat murah jika dibandingkan dengan Ipoh.
Oleh kerana semalamnya, tak jumpa Muzium Kraftangan, hari ini kami cuba sekali lagi. Akhirnya berjumpa juga Restoran Nasi Ulam Cikgu, di bawah Muzium Kraftangan. Di sini layan diri, jadi kami memilih ikan haruan dan ayam goreng sebagai menu utama. Yang istimewa di sini ulam yang pelbagai boleh dipilih sendiri. Ada rebus pucuk ubi, nangka muda, kangkung, ulam selom, kacang botol, pegaga, pucuk gajus dan lain-lain lagi. Tak tau nak diceritakan, bagaimana nikmatnya makan tengah hari itu. Puas hati, walaupun tak berjaya cari kedai Ayam percik Yati.
Sebelum pulang, saya terlihat sebuah kedai kraftangan di tepi restoran tersebut. Hajat hati memang nak cari cenderamata untuk pekerja di syarikat. Senang cerita. Tak payah pergi ke Pasar Buluh Kubu. Saya dan isteri borong cenderamata kecil untuk dibawa pulang.
Setelah selesai solat di Masjid Kubang Kerian, kami teruskan perjalanan kami meninggalkan Kelantan untuk ke negeri Terengganu.
Klik sini untuk gambar menarik sepanjang jalan.
Isnin, Januari 03, 2005
Selamat Tahun Baru 2005
25/12/04 Matahari terbenam di Lebuhraya Karak
Selamat datang 2005
Tahun 2004 memberi pengajaran berharga kepada kita untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam hidup. Kita mesti bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya kejadian luar jangka. Iklim dunia boleh berubah sekelip mata. Begitulah juga iklim politik, iklim ekonomi dan iklim bisnes.
Kalau kita tidak bersedia, kita akan menerima nasib yang sama menimpa dinosaur. Ya, dinosaur adalah haiwan gagah dan besar tetapi telah pupus kerana tidak berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dunia. Sikap bangga dengan kekuatan dan kehebatan diri, lalu tidak mahu mengaku yang keadaan sekeliling sudah berubah, membawa kepada kepupusan dinosour. Jangan kita tempa nasib yang sama macam dinosaur.
Kejadian buruk yang telah menimpa kita di tahun 2004 adalah umpama papan tanda amaran di tepi jalan. Jadikan ianya sebagai peringatan untuk kita memastikan kita masih di trek yang betul. Kembalilah ke trek asal jika kita sudah tersasar. Kemalangan yang berlaku sepanjang jalan patut menginsafkan kita. Ada masa kita perlu berhenti sebentar dan melihat kembali ke dalam diri. Adakah kita sudah di jalan yang betul, dan sudah cukupkah persiapan kita untuk meneruskan perjalanan ini?
Perjalanan masih jauh, dan ianya perlu diteruskan. Selamat datang 2005!