Rabu, Januari 20, 2010

UMNO:Akhir Sebuah Impian - Mohamed Rahmat


UMNO:Akhir Sebuah Impian - Mohamed Rahmat
Penerbit : www.themalaysianinsider.com
170 halaman
Harga : RM32.89
Dibeli di Times Kuching.

Saya sudah lama ingin membeli buku ini tetapi akhirnya hanya memiliki buku in setelah penulisnya meninggal dunia. Tan Sri Mohamed Rahmat telah meninggal dunia pada 1 Januari 2010, tidak lama selepas buku ini keluar di pasaran.

Buku ini merupakan tulisan pertama Tan Sri Mohamed dan malangnya menjadi buku beliau yang terakhir, walaupun beliau berhajat untuk menulis buku seterusnya. Buku ini mengisahkan perjalanan hidup Mohamed Rahmat di dalam UMNO. Beliau memegang banyak jawatan dalam kerajaan tetapi paling diingati dikenali semasa menjawat jawatan Menteri Penerangan. Beliau menjadi Menteri Penerangan sebanyak dua kali, iaitu dari 1978 hingga 1982 di zaman Tun Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamed Rahmat mungkin dikenali ramai sebagai penyokong Dr Mahathir paling tegar. Kadang-kadang beliau dilihat berlebih-lebihan dalam menyokong Dr Mahathir. Saya masih ingat ketika ramai pemimpin kanan UMNO menentang Dr Mahathir dalam krisis UMNO 1987, beliau tetap menyokong Dr Mahathir. Ketika Tengku Razaleigh dan Team B menubuhkan Semangat 46, Mohamad Rahmat telah melancarkan program propaganda yang meninggalkan kesan yang mendalam iaitu SEMARAK. Dr Mahathir telah diarak ke seluruh negara dengan mengadakan program Setia Bersama Rakayat atau SEMARAK. Program ini diteruskan untuk menunjukkan sokongan kepada kerajaan ketika berlakunya krisis perlembagaan tahun 1988 yang menghadkan kuasa Raja-Raja.

Mohamed Rahmat juga adalah tokoh yang berperanan besar sewaktu UMNO diharamkan. Beliau menjadi Setiausaha Agung UMNO yang terlibat menggerakkan pendaftaran semula ahli UMNO Baru.

Buku ini memuatkan rasa kecewa Mohamed Rahmat kerana jasa beliau selama ini tidak dikenang. Beliau menyangka apabila digugurkan dari jawatan menteri kabinet pada tahun 1999, beliau akan diberikan sebarang jawatan lain oleh Dr Mahathir. Malangnya, apa yang beliau harapkan tidak menjadi kenyataan. Beliau digugurkan begitu sahaja dan kemudiannya seakan dilupakan oleh ahli dan pemimpin UMNO. Bagaikan habis madu sepah dibuang.

Mohamed Rahmat adalah contoh seorang yang setia kepada pemimpin. Seorang yang bijak menggunakan kemudahan kerajaan untuk tujuan propaganda parti. Beliau menghabiskan hampir 50 tahun dari hidupnya untuk berbakti kepada parti yang beliau menjadi ahlinya.

Membaca buku ini memberi pengajaran besar kepada kita yang berjuang dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Apa pun yang kita lakukan dalam hidup perlu diperbetulkan niat kerana Allah semata-mata. Jangan terlalu berharapkan balasan bila berbuat baik kerana di dalam hidup ini kebaikan belum tentu dibalas baik. Jika niatnya betul dan jalannya betul, kita serah sahaja kepada Yang Esa untuk memberi ganjaran yang setimpal. Biar rugi di sini jangan muflis di sana.

8 ulasan:

U-HAH berkata...

Hmmm...menarik...kesian pun ada juga kat allahyarham tok Mat ni...

Tanpa Nama berkata...

Apa pasai le asyik dok keluo U-HAH...le ni dah www.hamizul.com dah...

Syamsulfaiz berkata...

Program SEMARAK memang berkesan. Saya masih ingat lagi kesibukan kampung saya menyediakan program Semarak peringkat Hulu Selangor dulu. Wise old man...

Wan A. Rafar berkata...

Banyak rahsia UMNO dibongkar oleh Tok Mat dalam buku ini. Saya kira Tok Mat amat berani menceritakan pergolakan dalam UMNO dan perhubungannya dengan Dr Mahathir. Tapi sayang buku ini menjadi buku pertama dan terakhir darinya.

Unknown berkata...

Syamsul,
Betapa berkesannya program Semarak, sehingga orang sekarang meniru. Program Juara Rakyat mengingatkan saya pada Tok Mat


Pak Wan,
Tok Mat betul-betul kecewa kerana dia rasa dia sudah mengorbankan segalanya pada parti dan Dr M. Sedih juga baca bila penulisnay sudah tiada.

Kang nasir berkata...

tksh perkonsian ini.
maafkan saya, sekadar menziarah sabagai saudara.

hakikat kehidupan,
hampir semua org,
melakukan pengorbanan semata mengharapkan balasan,
ramai yg tidak sedar,
pengorbanan dgn keikhlasan bakal memperoleh pulangan lumayan dikurniakan tuhan.

Siti Rahmah Kamarudin berkata...

tok mat seorang yang amat merendah diri dan setia pada ketuanya. banyak juga sejarah Umno dan sikap ketuanya yang tidak kita ketahui dibongkar oleh Tok Mat

Al-Fatihah buat Tok Mat

IndaMarya berkata...

saya telah mencari buku ini merata-rata tapi tak berjumpa.mgkin buku ini telah di banned.dimana boleh saya dapatkan buku ini? please let me know.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails