Ahad, Januari 03, 2010

Selamat Datang 2010

Taman Sahabat, Jalan Song, Kuching, Sarawak

Cepat benar masa berlalu. Bagai tak sedar kita sudah mahu menjengah ke tahun baru 2010. Rasa seperti baru lagi saya menjejak kaki ke bumi Kenyalang. Sedar tak sedar sudah enam bulan saya berada di sini.

Secara jujur, saya mula jatuh hati dengan keunikan Kuching dan Sarawak. Rasa sungguh selesa tinggal di Kuching. Mungkin itu juga antara sebabnya blog ini ditinggalkan sepi. Masa terluang diisi dengan aktiviti mengenali bumi Kenyalang dengan lebih mendalam lagi. Kuching kadang-kadang mengingatkan saya pada bandaraya Ipoh, tak jauh bezanya. Bandarayanya bersih dan teratur jugai jauh dari hiruk-pikuk kesesakan lalu lintas. Rumah saya dan tempat kerja, sebagai contoh hanya lima minit perjalanan jika memandu.

Sarawak negeri yang penuh beragam mempunyai bangsa dan etnik yang berbagai. Kalau tak salah, ada 28 etnik berlainan yang hidup rukun damai di negeri terbesar di Malaysia ini. Di Sarawak tiada bangsa yang majoriti secara ketara. Itu antara sebab rakyatnya hidup rukun damai, menghormati dan cuba memahami satu sama lain.

Banyak perkara yang berlainan di sini yang mungkin orang dari Semenanjung tidak tahu. Walaupun sudah lebih enam bulan di sini, ada sahaja perkara baru yang saya pelajari mengenai adat budaya dan kehidupan masyarakat di sini. Laut Cina Selatan seakan menjadi penghalang untuk menyampaikan pesan dari bumi kenyalang ini.

Kehidupan saya juga sedikit berubah dengan kehadiran Suri dan Ayshah bersama. Sebelum ini, saya bujang di Bukit Mertajam dan Suri Jiwa di Ipoh. Setiap petang sabtu saya bergegas pulang ke Ipoh. Begitulah rutinnya selama empat tahun. Kini, hujung minggu terisi dengan meneroka Kuching dan persekitarannya. Cuma suatu perkara yang kami rindukan ialah peluang menziarahi orang tua di Sungai Siput dan Padang Rengas yang tidak dapat kami lakukan sekerap dulu.

Tahun 2010 datang dengan pantas, dan dengan pantas juga ianya akan berlalu nanti. Saya harap tahun 2010 ini akan dapat berkongsi tentang buku dengan lebih kerap lagi di sini. Walaupun sukar juga bertemu buku-buku pilihan hati di sini, tetapi ianya tidak menghalang kita dari terus mencari. Saya berhasrat dapat berkongsi tentang buku juga tentang pengalaman hidup di bumi kenyalang ini.

Selamat tahun baru 2010

3 ulasan:

Penabahari berkata...

Salam sdr.,
Pertama kali saya meninggal jejak di blog sdr. Semoga sdr senang tinggal di Kuching. Saya percaya byk yang boleh Swk berikan buat sdr.
Salam hormat.

Ordinary Superhero berkata...

Salam Tahun Baru Masehi. Ingatkan Bro Jiwa dah tak ingin berbelog lagi dah....

Unknown berkata...

Sdr penabahari,

Terima kasih sudi singgah.



OSH,
Lama tak dengar berita kan? Ramai kawan kita di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails