Khamis, Julai 26, 2007

Pak Khai dan KIsah Ayah

Tajuk : Ayah
Penulis: Mat Ha Ezat
Penerbit : Badan Kebajikan Guru-Guru Wilayah padang Rengas


Mungkin ada yang akan menyindir saya bila kali ini saya menulis tentang sebuah buku yang tidak popular. Buku ini tiada yang menarik tentangnya. Mungkin juga anda tidak akan menjumpainya di pasaran. Watak yang dikisahkan di dalam buku ini juga anda tidak kenal. Penulisnya bukan seorang penulis ternama yang menulis novel cinta yang laku berpuluh ribu.

Buku bertajuk Ayah ini adalah buku terbitan sendiri ditulis oleh seorang bernama Mat Ha Ezat. Beliau menulis tentang ayahnya, seorang biasa.

Namun begitu buku ini amat istimewa bagi saya kerana ianya ditulis oleh seorang yang saya kenal iaitu Pengetua sekolah saya, lebih dari 20 tahun lepas. Mat Ha Ezat adalah gelaran di kampung bagi Dato' Khairuddin Arshad yang pernah menjadi Pengetua sekolah saya di Taiping. Banyak peristiwa pahit manis bersama beliau yang masih saya ingat sehingga kini. Maklumlah, sekolah berasrama, macam-macam kerenah kami dahulu. Dato' Khairuddin menamatkan karier sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Perak.

Sesudah bersara, Dato' Khairuddin Arshad yang biasa kami panggil Pak Khai bergerak aktif dalam bidang penulisan. Beliau kini aktif dalam LEPAS, sebuah badan sastera yang punya sejarahnya yang tersendiri dalam perjuangan bahasa.

Kebetulan, Suri dan Pak Khai sekampung dan kami sering berjumpa di kampung. Saya tidak tahu yang Pak Khai seorang yang giat menulis, sehinggalah saya menghadiri Forum Sangeetha di Kuala Kangsar. Buku-buku terbitan LEPAS banyak dijual di situ. Baru saya tahu beliau rajin menulis dan pernah menulis dan mengusahakan beberapa buah buku. Salah satu daripadanya adalah buku ini yang menceritakan tentang ayah beliau bernama Arshad.

Dari wajah beliau, saya yakin Pak Khai terkejut tetapi gembira bila melihat saya hari itu. Terkejut kerana budak sekolah sains boleh meminati sastera. Gembira kerana datang memberi sokongan kepada beliau sebagai penganjur program hari itu.

Saya sempat berbisik kepada beliau yang saya ada sebuah blog tentang buku.

`Tulislah tentang buku Cikgu di situ', kata beliau.

Saya berjanji di bibir, tetapi di dalam hati saya tidak tahu bila saya akan membaca buku ini. Tiada apa yang menarik hati saya untuk membacanya. Tokoh yang ditulis, saya tidak kenal. Oleh itu, buku ini lama terperap di rak buku di rumah. Sudah agak lama. Sehinggalah hujung minggu lepas, tergerak hati saya untuk menarik buku ini dari rak.

Bukunya nipis. Hanya dalam 80 mukasurat. Kualitinya sederhana, tidak ada ISBN. Mungkin dicetak dalam kuantiti yang rendah dan diedar sebagai tandahati untuk rakan taulan. Buku ini dierbitkan oleh Badan Kebajikan Guru-Guru Wilayah Padang Rengas.

Buku ini ditulis dengan gaya bahasa yang mudah tetapi lancar. Penulis bercerita tentang ayahnya yang beliau kagum dan sayangi. Seorang tua yang berkerja kampung, mengerjakan bendang tetapi telah berjaya membesarkan anak-anak seramai 13 orang. Kesemua mereka berjaya dalam hidup, hasil pengorbanan dan jerih payah seorang ayah.

Pak Khai telah berjaya mengajar saya sekali lagi. Jika sayangkan seseorang tulislah kisah tentangnya. Berapa ramai dari kita yang mengaku sayangkan orang tua. Berapa ramai pula yang merakamkan kasih sayang itu dalam bentuk buku. Kalau yang pandai menulis dan ada nama sedikit dalam masyarakat mungkin sedang berangan untuk menulis memoir diri sendiri. Untuk menonjolkan kebaikan budi diri, akan kita tulislah di helaian awal, bahawa buku ini kita dedikasikan buat ayah bonda tercinta, kononnya. Setakat itulah sahaja yang biasa kita buat.

Namun, berapa ramai mahu menulis tentang seorang ayah yang tiada nama, seorang marhein yang bersusah-payah dan berkorban semata-mata mahukan anaknya berjaya? Berjayanya kita, ada nama dan gah serata dunia adalah kerana didikan dan asuhan orang tua. Merekalah sebenarnya hero dan wira di belakang seorang yang berjaya.

Itulah pengajaran dari seorang guru. Terima kasih Cikgu. Saya berjanji kepada diri saya, akan saya turut jejak langkah Cikgu. Saya akan tulis dan rakamkan kasih sayang di helaian kertas. Tidak cukup kasih sayang sekadar mengirim sekeping dua not biru setiap bulan. Curahkan rasa dari jiwa buat tatapan rakan taulan dan sanak saudara.


Ahad, Julai 22, 2007

sajak-sajak suci abdullahjones

.sajak-sajak suci
abdullahjones
Penerbit : Sindiket Soljah
Cetakan Pertama 2007
RM20

abdullahjones adalah nama yang tidak asing dalam dunia blog. Blognya simple, berwarna hitam dan putih. Memang tak menarik. Tak mungkin akan menang peraduan laman web terbaik. Namun begitu, blog abdullahjones sentiasa mengundang khalayak pembaca yang ramai. Ramai sebenarnya yang terpaut dengan tulisan beliau.

Saya sendiri terpaut dengan gaya tulisan abdullahjones yang begitu bersahaja, berterus-terang, kadang-kadang kasar bunyinya. Bahasanya terus, sarkastik, sinis, ada kelucuan, kadang-kadang berbau lucah.

Adakalanya, bila membaca tulisan beliau, terasa seperti mendengar seorang tua sedang merungut dan memarahi anaknya. Bahasanya seperti orang tua dahulukala. Beliau suka menggunakan gantinama kamu kepada khalayak, seperti seorang tua berbicara dengan orang muda.

abdullahjones sebenarnya sudah lama dalam dunia blog. Seawal tahun 2004 saya sudah membaca tulisan beliau di blog. AJ pernah menggunakan nama Osman Tikus, mengambil sempena watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan. Beliau memang meminati Pyanhabib yang memegang watak Osman Tikus dalam filem tersebut. Tak hairanlah jika puisi-puisi yang beliau tulis ada gaya Pyanhabib masa itu.

abdullahjones juga pernah menggunakan nama therat, yang diambil dari kata tikus, kemudiannya diterbalikkan menjadi tareht. abdullahjones banyak menghasilkan puisi beliau di e-sastera.com yamg sering disertakan dengan hasil lukisan beliau.

Nama abdullahjones rasa saya tiada kaitan dengan Indian Jones atau Bridget Jones. Dengar cerita abdullahjones meminati lagu Mr Jones nyanyian Counting Crows. Mungkin beliau juga suka mengira burung. Tak tahulah pula jika beliau meminati Abdullah Badawi Maklumlah sama-sama mencari damai abadi. Yang seorang berjumpa Jones, seorang lagi berjumpa Jeanne.

Buku ini mengumpulkan kumpulan puisi yang pernah ditulis oleh abdullahjones. Sajak-sajak tulisan abdullahjones mudah dibaca dan difaham, bahasanya ringkas tetapi tetap punya makna yang mendalam.

Terima kasih abdullahjones atas ingatan dan kiriman buku ini jauh dari UK. Moga buku ini akan jadi perangsang untuk abdullahjones terus menulis. Dapatkan buku ini dari Amir Mukhriz.


ruang terluang

di ruang yang terluang
ada cinta yang terbuang
ada nyala api yang gemilang
ada rasa sayang yang hilang
ada mesra yang diulang

di ruang yang terluang
ribuan peluang datang
jutaan gelisah tidak terbilang
nmaun masih berbaki
khauf kepada-Mu Tuhan

di ruang yang terluang
aku terkenang kasihnya orang

Selasa, Julai 17, 2007

Teater Keris bukan di Istana Budaya

Sabtu lepas saya ke Kuala Lumpur. Hajat hati mahu ke Alam Raya, kedai buku yang banyak menjual karya dari Indonesia. Kecewa kerana setelah beberapa kali putar, masih tidak dibuka.

Jiwa dan Suri ke Istana Budaya mahu membeli tiket Teater Keris. Malangnya TeaterKeris milik produksi Istana Budaya tidak dipentaskan di Istana Budaya. Ia tersingkir jauh ke Auditorium DBP. Saya mahu beli tiket di Istana Budaya juga tidak boleh. Perlu beli di DBP. Bukankah Teater Keris juga produksi Istana Budaya. Betul, tetapi pekerjanya sudah ke sana, kata yang menjaga kaunter.

Rupanya di Istana Budaya ada muzikal besar, The King and I. Sempat lagi kalau, nak masuk, jam tiga mula, kata yang menjaga. Saya nak tengok Teater keris, kata saya. Teater Keris tiada di sini, di Auditorium DBP. Pergi sahaja, tak payah tempah tiket. Tiket banyak. Kata yang menjaga.

Jiwa dan Suri tak tengok The King and I. Memang teringin. Bukan tak mampu kerana tiketnya harga beratus. Kami datang dari Ipoh kerana mahu menonton teater Keris, teater milik Istana Budaya tetapi tiada di Istana Budaya. Buntingnya ada di Istana Budaya, tetapi teaternya tiada. Tiketnya juga tiada di Istana Budaya. Keris sudah tak berguna, kerana Raja Siam sudah bertakhta di `Istana'.

Teater Keris mungkin tak cukup `budayanya' mahu dipentaskan di Istana Budaya. Mungkin Keris juga sudah hilang keramatnya hingga sudah tidak layak menghuni sebuah `Istana'.

Biar tidak menonton Raja Siam. Kami tetap mahu tengok Keris dan keramatnya. Selepas melabuh diri sebentar di Jalan Raja Laut, kami terus ke Jalan Syed Putra. Sempat melapik perut di Tupai-Tupai. Hilang selera apabila ditontonkan Malaysia dibuli Uzbekistan di TV.

Kami ke Panggung DBP. Memang betul, tiket masih banyak.


Teater Keris adalah produksi yang bagus. Karya Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan. Teater moden dengan ciri bangsawan. Ada penglipurlara. Adunan muzik yang merdu oleh James Boyle. Irama joget, keroncong, zapin, gurindam dan syair silih berganti. Adegan silat dibimbing oleh guru silat Ku Ahmad Ku Mustaffa. Seni pentas dihias oleh seorang lagi Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal.

Teater Keris adalah sebuah teater yang berkonsepkan teater campur muzikal campur bangsawan. Keris adalah senjata, simbol, azimat dan keramat.

Teater Keris berkisah tentang orang Melayu yang yang mempertahankan budayanya, toleransi dan keterbukaan menerima tetamu juga bagaimana mudahnya kita digula-gula dengan kesenangan sementara. Teater Keris berbicara tentang globalisasi dengan cara yang mudah dan menghibur.

Teater Keris dijayakan dengan barisan pelakon seperti Omar Abdullah, Nam Ron, Zulkifli Zain, Normala Omar, Zuhairi Ibrahim dan Edwin Sumun. Ada penglipurlara pelawak lakonan Sabri Yunus, Zaibo, P Jeganathan dan Angeline Tan.

Saya terhibur menonton Teter Keris seperti Teater Alang Rentak Seribu. Saya sempat bersalam dengan Datuk Syed Alwi dan ucap tahniah.

Jangan cari Teater Keris di DBP. Sudah Selesai 15 Julai lalu.

Keris keramat sudah disimpan. Untuk tontonan cucu-cicit akan datang. Biar mereka tahu Keris pernah jadi simbol identiti orang Melayu, suatu waktu dahulu.

Festival Teater Pulau Pinang

Terima kasih Pegawai Khalwat yang mewar-warkan tentang Festival Teater Pulau Pinang di blog beliau. Saya terlepas beberapa teater. Kebetulan terdengar iklan di radio Sinar tengahari tadi. Kepada rakan-rakan di daerah utara yang meminati teater, bolehlah berkunjung ke Auditorium P.Ramlee, Kompleks Pustaka Warisan Seni Pulau Pinang (Rumah P.Ramlee)



17 Julai 2007 (Selasa)
Persatuan Teater Resdong
Titik Mula Titik Akhir karya A.B. Noor

19 Julai 2007 (Khamis)
Pusat Seni Mutiara – Anak Seni
‘Salah Siapa’ karya Rohani Ahmad

21 Julai 2007 (Sabtu)
Persatuan Sukan dan Kebajikan Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang
‘Telefon’ karya Siti Nur Abdul Rahim

23 Julai 2007 (Isnin)
Persatuan KERSANI (Tenaga Kreatif Seni)
‘Kerana Cinta’ karya Razali Ridzuan adaptasi Bisikan Mustika karya Razali Ridzuan

25 Julai 2007 (Rabu)
ABAD (Angkatan Budaya Balik Pulau)
‘Ayu Si Putih’ karya Seni Bayan

27 Julai 2007 (Jumaat)
S.I.C.K. (Persatuan Kebudayaan Ilham Cetusan Kreatif)
Waktu Sesudah Itu karya Othman Zainuddin

29 Julai 2007 (Ahad)
Kumpulan Teater Penang Free School
‘Sayang Sri Tanjung’ karya Razali Ridzuan

31 Julai 2007 (Selasa)
Majlis Persembahan Bersama dan Penyampaian Anugerah

Semua pementasan akan dilaksanakan di Auditorium P.Ramlee, Kompleks Pustaka Warisan Seni Pulau Pinang (Rumah P.Ramlee). Masuk adalah Percuma.

Ahad, Julai 08, 2007

Bila Tuhan Berbicara

.

Judul : Bila Tuhan Berbicara
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Al-Ameen Serve Sdn. Bhd.
Genre : Novel Drama
Mukasurat : 374 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9833991235

Merata saya mencari buku ini. Akhirnya bertemu di Kinokuniya KLCC. Judul bukunya sahaja sudah menggugah jiwa untuk memiliki dan membacanya. Berbagai telahan saya buat tentang isi kandungan buku ini. Saya mula bertanya apa yang dimaksudkan dengan Tuhan Berbicara. Saya mula terbayang Al-Hallaj. Adakah penulisnya akan membawa pembaca ke arah itu? Mulanya saya menyangka buku ini tentang kisah sufi. Apa lagi bila nama Shams Tabriz dan Jalaludin Rumi disebut di awal buku. Mungkinkah ini buku pengembaraan mencari Tuhan? Mungkinkah pencarian itu digambarkan melalui keakraban guru dan sahabat seperti Shams Tabriz kepada Rumi?

Rupanya buku ini adalah sebuah kisah yang mengambil premis Ashabul Kahfi. Ianya kisah tiga orang berlainan latarbelakang yang terperangkap dalam sebuah gua…eh..bunker. Dunia ketika itu dibayangkan penulisnya telah dilanda gempa bumi, taufan dan letupan gunung berapi yang dahsyat. Seperti dalam kisah Ashabul Kahfi, mereka bertiga telah ditidurkan dan hidup semula beribu tahun kemudian di sebuah dunia baru.

Cubalah bayangkan apa akan berlaku bila tiga orang berlainan latarbelakag, pemikiran dan fahaman dikurung dalam sebuah tempat tanpa boleh keluar. Apakah yang akan mereka lakukan?

Itulah yang terjadi kepada tiga orang pemuda berlainan latarbelakang. Razlan,seorang ekstrimis agama yang yakin pengeboma berani mati adaalh satu kerja mulia. Sahlan seorang saintis yang mahu menukar jantina juga Mazlan seorang doktor yang lupa akhirat ditemukan dikurung dalam sebuah gua…eh…bunker.

Saya cuba bayangkan apa akan berlaku bila tokoh politik berlainan parti dalam Negara kita ini dikurung dalam sebuah gua…eh…bunker. Dalam waktu aman, mati hidup balik pun mereka tidak mahu duduk berbincang di meja untuk kepentingan agama, bangsa dan Negara. Apa yang akan mereka lakukan jika mereka tiada pilihan, terkurung bersama musuh politik yang selama ini dimusuhi?

Buku ini menjadi unik kerana ianya dipersembahkan dalam bentuk novel-drama. Ianya disusun berbentuk dialog dan monolog yang boleh dipersembahkan dalam bentuk drama pentas, walaupun saya rasa ada dialog dan monolog yang terlalu panjang untuk dihafal skripnya.

Ianya juga boleh dibaca seperti novel yang penuh dengan dialog dan monolog. Dialognya ada unsur falsafah yang dihidang dalam bentuk ringan dan diselit dengan kelucuan. Setiap kali membaca buku Faisal Tehrani, saya akan mendapat juga pengetahuan baru. Sesekali terasa seperti membaca sebuah buku ilmiah tentang gunung berapi. Saya juga mendapat pengetahuan baru tentang pengebom berani mati dan justifikasi mengapa mereka bersikap sedemikian. Mereka yang sering melabel Faisal Tehrani sebagai Syiah patut membaca bahagian ini, di mana Faisal Tehrani mencipta watak seorang ekstrimis agama bernama Razlan. Hujah panjang lebar diberikan oleh watak Razlan yang juga pakar pembuat bom, mengapa dia menjadi seorang teroris yang mengebom dan meletupkan diri.

Buku ini juga memuatkan tentang sastera Islam dan teater berunsur Islam melalui watak Tuan Pengarah yang sering muncul menyebok di tengah-tengah babak. Saya bayangkan jika novel ini dipentaskan, watak ini akan dipegang oleh Faisal Tehrani.

Buku ini patut dibaca semua. Ahli politik perlu baca, tokoh budayawan juga tokoh bahasa juga perlu baca. Mereka yang sering bergaduh di blog dan laman web dengan meninggalkan komen yang menyinggung dan mencemuh agama dan mengetepikan toleransi juga patut membaca buku ini. Moga mereka ini dipertemukan dlam gua..eh...bunker seperti dalam buku ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails