Sabtu, Jun 30, 2007

Kisah Datuk Hamid Budak Kolej

.
.


Confessions of an Old Boy: The Dato' Hamid Adventures
Kam Raslan
272 halaman
Penerbit : Marshall Cavendish Editions;
Cetakan Pertama February 25, 2007
Harga : RM32.00


Tajuk dan ilustrasi buku ini hampir menipu saya. Sudah beberapa kali saya belek buku ini tetapi tidak sikit pun timbul keinginan untuk saya memilikinya. Pertamanya kerana saya menyangka buku ini adalah memoir seorang bernama Datuk Hamid, nama yang saya tidak kenal. Siapa pula Datuk Hamid ini, kata saya. Kalau ini adalah memoir Hamid Othman atau Hamid Zainal Abidin, saya tak minat nak baca. Saya sangkakan Datuk Hamid itu mungkin bapa atau saudara penulis dan mungkin buku ini mengisahkan sejarah hidup beliau yang juga bekas budak Kolej Melayu Kuala Kangsar. Pada saya, apa yang menarik sangat kisah seorang bekas budak Kolej?

Keduanya, kulit buku ini juga tidak langsung menarik minat saya. Macam buku kanak-kanak. Jika anda jenis yang suka mengadili buku dengan memandang kulit, buku ini sudah tentu awal-awal lagi tewas.

Namun, bagaimana mahu dikekang naluri ingin tahu, apabila membaca banyak komen tentang buku ini di media juga di blog. Ulasan yang menarik di blog Sharon Bakar telah memberikan gambaran sebenar tentang buku ini. Akhirnya saya capai dan beli buku ini di Kedai Buku Popular, Megamall Penang. Tambahan pula membeli buku ini di Popular, saya dapat diskaun yang bagus, juga kerana ingin mencukupkan bilangan buku yang ingin dibeli.

Seingat saya Kam Raslan tidak pernah menulis buku. Saya ingat memang pernah membaca buku tulisan abang beliau iaitu Karim Raslan yang telah menulis siri buku Ceritalah... yang memang menarik

Rupa-rupanya buku ini adalah sebuah karya fiksyen, dan fiksyen tempatan yang bagus. Ianya mengandung beberapa cerita pendek dan panjang yang berkisah pada watak Datuk Abdul Hamid bin Datuk Sidek. Datuk Hamid adalah seorang bekas pegawai tinggi kerajaan yang jika masih hidup, sudah di usia senja. Datuk Hamid lahir dan dibesarkan di zaman British. Dididik oleh British melalui Kolej Melayu dan bangga menjadi budak Kolej. Beliau bangga dan memuja British. Segala-gala tentang British adalah bagus. Pencapaian tertinggi dalam hidup bagi orang seperti Datuk Hamid ini ialah jika dapat berkahwin dengan perempuan Inggeris. Setiap tahun mereka akan berziarah ke London membeli-belah.

Ada 7 cerita pendek dalam buku ini. Yang pertama lebih berupa pengenalan diri Datuk Hamid tentang kisah pengembaraan yang akan diceritakan seterusnya dalam buku ini. Ianya diikuti dengan dua cerita pendek iaitu Bikers dan Datuk In Love. Cerita The Beat Generation lebih panjang sedikit, tetapi dua cerita seterusnya adalah yang paling panjang dan yang paling menarik. Keseluruhannya, saya sangat tertarik dengan cerita Ariff and Capitalism dan Murder in Chindai.

Kisah dalam buku ini penuh dengan humour dan kelucuan. Watak di dalamnya rasa seperti benar-benar wujud dan seperti biasa kita jumpa dalam negara. Cerita Ariff and Capitalism paling saya suka. Macam biasa dengar.

Cerita Murder in Chindai seperti membaca cerita Sherlock Holmes. Kisah penyiasatan sebuah pembunuhan misteri dalam sebuah keluarga yang juga penuh misteri. Buku ini diakhiri dengan kisah The Malayans, dialog watak yang lahir zaman Malaya bercerita tentang harapan dan idealisme mereka terhadap sebuah Negara yang sudah jadi Malaysia.

Saya terhibur baca buku ini.


Sabtu, Jun 23, 2007

Dah Tiga Dah

Mengikut rekod, entri pertama di blog ini ditulis pada 22 Jun 2004. Sedar tak sedar sudah genap tiga tahun saya menulis di sini. Saya bertuah kerana blog ini menemukan saya dengan ramai rakan baru yang kemudiannya menjadi sahabat di dunia maya. Kepada semua yang pernah singgah di sini, terima kasih banyak-banyak di atas perhatian, moga ada manfaat yang boleh kita kongsi bersama.

Mengapa saya menulis di blog? Susah nak jawab. Saya turunkan cebisan kertas kerja yang pernah dibentangkan dalam Seminar Pencinta Buku 2007.

Mengapa saya memblog.

Blog Dari Jiwa Rasa bermula secara tak sengaja. dari keasyikan membaca blog-blog orang lain. Kemudiannya timbul keinginan untuk mempunyai blog sendiri.

Blog Dari Jiwa Rasa sebenarnya bukan bermula sebagai blog buku. Pada awalnya catatan blog saya banyak berkisar kepada aktiviti harian, pengalaman, perjalanan dan hobi saya tentang muzik, buku dan filem.

Secara tidak sedar, blog ini lebih banyak memuatkan tulisan kontot saya tentang buku dan pengalaman mencari buku.

Ia bermula sebagai satu cara untuk mengingati buku yang sudah dibaca. Apabila ditulis, saya sekurang-kurangnya akan ingat apa yang telah dibaca. Komen-komen yang ditinggalkan oleh rakan-rakan di blog ini pula, menambahkan pengetahuan dan menjadi pendorong kepada saya untuk terus mencatat buku yang dibaca. Sehingga hari ini saya sudah mencatatkan lebih dari 100 tulisan kontot tentang buku di blog. Lebih menarik lagi, kini telah wujud komuniti blog buku yang sering bertukar-tukar maklumat tentang buku. Blog-blog buku ini kemudiannya saya linkkan di blog.

Minat membaca yang tinggi telah mendorong saya melayari internet untuk mendapatkan informasi dan ulasan buku. Antara laman web yang saya layari untuk mencari buku pada masa itu adalah Forum Buku di Geng Jurnal, Forum Buku di cari.com, blog Adib The Reader, Blog Bicara Buku dan Gedung Buku Hasyun Hashim.

Saya akan mencari maklumat yang boleh membantu saya membuat pilihan samada hendak membeli atau tidak sesebuah buku itu. Malangnya saya sering kecewa apabila melayari internet. Banyak kali saya hampa apabila memasukkan katakunci nama buku berbahasa Melayu atau buku tulisan orang Malaysia. Saya tidak berjumpa apa yang ingin dicari. Lebih mengecewakan bila saya juga sukar untuk mencari maklumat berkenaan karya–karya penulis mapan seperti karya Sasterawan Negara.

Kesukaran ini menimbulkan kesedaran kepada saya yang kita sangat kekurangan data dan maklumat mengenai buku dalam Bahasa Melayu di internet. Kekecewaan tersebut memberi dorongan kepada saya untuk menulis catatan pendek tentang buku di blog. Saya rasa bertanggungjawab untuk memulakan satu usaha kecil menulis dalam Bahasa Melayu. Perasaan ini saya rakamkan dalam salah satu posting saya seperti di sini.



Ahad, Jun 17, 2007

Malaysia : The Road to Independence

.
.


Malaysia: The Road To Independence
Tunku Abdul Rahman Putra
Pelanduk Publications (M) Sdn Bhd
Cetakan Kedua 2007
195 mukasurat
RM29.90 (Kedai Buku di KLIA)

Buku ini merupakan sebuah dokumen berharga yang memuatkan teks ucapan Tunku Abdul Rahman ketika detik-detik menuju kemerdekaan. Kesemua teks ucapan di dalam buku ini merupakan ucapan Tunku dari tahun 1955 sehingga ke tahun 1957. Banyak polisi-polisi sebuah kerajaan yang dalam proses ke arah pemerintahan sendiri termuat di dalam ucapan-ucapan tersebut.

Buku ini dibahagikan ke empat bahagian. Buku ini dimulakan dengan ucapan-ucapan mengenai pertumbuhan ekonomi negara, termasuk ucapan pembentangan kewangan pertama tahun 1955 juga Rancangan Malaysia Pertama tahun 1957.

Bahagian kedua pula mengenai pengganas komunis,termasuklah ucapan mengenai Perundingan Baling.

Bahagian ketiga memuatkan ucapan Tunku mengenai budaya Melayu, Hak Istimewa Melayu, tulisan Rumi dan juga Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Bahagian keempat memuatkan ucapan-ucapan Tunku sekitar perundingan ke arah kemerdekaan negara.

Bahagian kelima dan terakhir pula memuatkan ucapan-ucapan di saat–saat akhir menjelang Hari Kemerdekaan Tanah Melayu, termasuklah ucapan Tunku di detik 31 Ogos 1957.

Tahun 1955 hingga 1957 merupakan satu tempoh peralihan di mana kerajaan Perikatan telah beroleh kuasa memerintah walaupun dengan kuasa yang terhad. Tempoh ini menyaksikan Kerajaan Perikatan bergelut dengan berbagai masalah pembinaan bangsa sebuah negara yang masih baru menuju kemerdekaan.

Tanah Melayu ketika itu baru sahaja melalui tempoh Darurat yang diisytiharkan pada tahun 1948. Perisytiharan Darurat menyaksikan ramai tokoh politik dan pejuang kemerdekaan telah ditangkap dan dipenjarakan oleh British. Tokoh yang lantang menentang British seperti Dr Burhanudin Helmy, Ahmad Boestamam, Ust Abu Bakar Al Baqir dan tokoh seumpamanya telah ditangkap sehingga melemahkan seluruh pergerakan pejuang kemerdekaan. Lumpuhnya PKMM telah menyaksikan wujudnya satu vakum dalam politik tanah air. Kekosongan inilah yang kemudiannya diisi oleh UMNO dan rakan-rakan dalam Perikatan.

Awal 50-an menyaksikan British menghadapi tentangan yang hebat dari pihak Parti Komunis Malaya yang banyak membuat serangan gerila. Banyak masa dan sumber digunakan British untuk melawan pihak Komunis. Harta khazanah yang selama ini mereka rompak habis digunakan untuk melawan komunis.

Buku ini adalah satu khazanah berharga untuk generasi kini memahami dan menghargai detik-detik menjelang kemerdekaan.

Eloklah kiranya menjelang detik ulang tahun kemerdekaan Tanah Melayu yang ke 50 ini kita raikan dengan membaca semula sejarah. Biar kita benar-benar kenal dan faham sejarah. Saya berharap acara-acara ilmiah yang membincangkan buku-buku sejarah dijadikan acar utama dalam meraikan ulang tahun kemerdekaan.

Lupakanlah niat untuk menjemput pasukan bola sepak British berlawan dengan pasukan bola sepak negara sempena ulangtahun ke 50 kemerdekaan. Saya tidak tahu apa signifikannya mengadakan mengajak rakyat Malaysia beramai-ramai turun ke stadium melihat pasukan bola sepak negara dilanyak oleh pemain bola sepak British. Kita juga akan melihat episod pemain bola sepak negara mengejar tokoh pujaan yang baru memalukan mereka di padang. Mungkin acara sebegitu boleh mengingatkan kita akan detik Union Jack diturunkan yang juga diadakan di sebuah stadium. Itulah sahaja taraf patriotisme rakyat dan pemimpin kita.


Sabtu, Jun 09, 2007

Siddhartha

.
.
SIDDHARTHA
Hermann Hesse
ITNMB
RM25


Buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa KL 2007. Saya beli sebelum ianya dilancarkan. Buku ini adalah buku yang sudah lama ditulis. Ianya ditulis oleh Pemenang Hadiah Nobel Sastera dar Jerman iaitu Hermann Hesse Buku ini diterbitkan pada tahun 1922 dan Hermann Hesse telah memenangi anugerah Nobel pada tahun 1946. Buku ini diterjemahkan ke Bahasa Inggeris seawal tahun 1950. Sehingga kini ianya sudah diterjemahkan ke lebih dari 52 bahasa dan lebih 7 juta naskhah sudah terjual di seluruh dunia.

Buku yang berada di tangan saya ini adalah naskhah terjemahan dari Bahasa Jerman ke Bahasa Melayu dan pertama kali diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Buku ini adalah antara projek terjemahan terbesar tahun ini buat ITNM. Saya juga gembira bila tahu yang novel falsafah Sophies World tulisan Jostein Gaarder juga sudah diterjemahkan.

Sekilas melihat tajuk buku ini, saya menyangka buku ini adalah kisah tentang Buddha yang nama sebenarnya adalah Siddhartha Gautama Buddha. Rupanya Siddhartha ini adalah Siddhartha yang lain, walaupun perjalanan hidupnya ada persamaan dengan Gautama Buddha. Namanya sama dan perjalanan hidupnya juga hampir sama. Yang mungkin berbeza sedikit, Buddha berasal dari keluarga kesyatria dan watak Siddhartha kita ini pula dari keluarga Brahmin.

Siddhartha mengisahkan seorang pemuda yang mempunyai segala-segalanya dalam hidup, keluarga yang baik dan dihormati, harta kekayaan tetapi masih merasakan kekosongan dalam hidup. Siddhartha lalu mengambil keputusan keluar dari rumah meninggalkan keluarga lalu bermulalah satu kisah pencarian diri, makna diri, erti hidup dan bahagia. Dalam perjalanan keluar, Siddhartha belajar dari manusia dari berbagai golongan. Lebih menarik, Siddhartha juga berjumpa Buddha dalam perjalanan beliau. Dialog Siddhartha dengan Gautama Buddha, dengan pembantunya Govinda, perempuan bernama Kamala, juga pemilik sampan bernama Vesudeva, sangat-sangat menarik dan mempunyai makna dan falsafah yang mendalam.

Buku ini sarat dengan makna dan falsafah yang tinggi. Ianya perlu dibaca perlahan-lahan walaupun buku ini boleh dihabiskan sepetang sambil minum kopi.

Novel Siddhartha ini ditulis oleh Hermann Hesse di sekitar tahun 1920-an. Hermann Hesse pernah melawat India, Pulau Pinang, Singapura, Borneo dan Burma pada tahun 1911. Perjalanan itu telah memberikan ilham kepada beliau untuk menulis. Hermann Hesse banyak terpengaruh dengnya pemikiran Freud dan Jung yang dibacanya ketika menghadapi masalah kesulitan dalam hidup. Siddhartha lahir ketika dunia Eropah sedang mengalami krisis kehausan agama dan unsur kerohanian, dan novel ini lahir bagi tepat pada masanya dan terus menjadi terkenal.

Pada saya, membaca buku ini ada sedikit persamaan dangan buku Al Chemist tulisan Paoulo Coelho, mungkin juga bukau Candide tulisan Voltaire, buku Catcher in The Rhye tulisan JD Salinger ataupun buku Celestine Phrophecy tulisan James Redfield.



Selasa, Jun 05, 2007

Nota Terakhir - Loga

.

Bagai tak percaya bila saya dengar berita di radio semalam. Ahli kumpulan Alleycats, Loganathan Arumugam telah meninggal dunia akibat barah paru-paru.

Saya lahir dan membesar dengan lagu-lagu Alleycats. Saya sering terkenang zama dahulu bila mendengar lagu mereka, seperti yang pernah saya tulis di sini

Loganathan Arumugam meninggal dunia akibat barah paru-paru di Hospital Mount Miriam, Pulau Pinang, pada jam 10:50 pagi pada 4 Jun 2007 pada usia 54 tahun. Beliau meninggalkan isterinya serta seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Takziah kepada keluarga.

Terima kasih kerana menghiburkan kami selama ini. Terima kasih kerana gigih menyanyikan lagu Melayu sehingga ke akhir hayat. Terima kasih kerana tidak putus asa dengan lagu Melayu walaupun orang Melayu sendiri sudah ramai yang lupa berbahasa Melayu.

Walaupun kurang fasih berbahasa Melayu, Loga dan abangnya David tidak malu menyanyikan lagu Melayu. Loga dan David sudah menyanyi selama 38 tahun bersama dan melahirkan 29 album. Khabarnya, ketika detik-detik akhir beliau di hospital, mendiang Loga kelihatan tersenyum apabila lagu-lagu beliau dimainkan semula.

Loga dan David adalah pejuang yang telah menyumbang ke arah merapatkan jurang antara kaum dengan lagu-lagu mereka. Lagu mereka telah mendekatkan orang bukan Melayu kepada Bahasa Melayu. (Dalam berita yang sama saya dengar cerita istilah Bahasa Melayu mahu ditukar semula kepada Bahasa Malaysia; sebagai mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan..)







Nota Terakhir - Loga



Loga Alleycats meninggal dunia - Utusan

Pemimpin PAS ucap takziah


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails