Rabu, Februari 28, 2007

Istana Pagar Ruyung Terbakar!




Rakan sekerja saya baru telefon dari Padang. Berita yang menyedihkan. Istana Pagar Ruyung yang baru kami lawati awal bulan ini, sudah hangus dibakar api! Kebakaran bermula jama 8 malam semalam.

Khabarnya, semalam telah berlaku lintar pintas, mengakibatkan keseluruhan Istana itu terbakar. Yang tinggal hanya pondok kecil di tepi Istana, tempat menyimpan beras Istana.







Foto Media Indonesia




Lagi berita di sini..

Antara News
Media Indonesia
Blog Priyatna

Selasa, Februari 27, 2007

6 Keganjilan

.

Dalam banyak-banyak orang Prof Kamil memilih saya untuk menjawab Tag 6 keganjilan. Kalau orang lain mungkin juga saya fikir dua tiga kali. Bukan tidak sporting, tetapi saya sering bergelut dengan masa. Nak tulis tentang buku di blog pun terpaksa bergelut dengan beban kerja yang banyak. Saya sangat hormat pada Prof Kamil, seorang Professor Perakaunan yang pernah menghadiahkan buku tulisannya tentang CSR di Malaysia kepada saya. Atas rasa segan dan hormat pada Prof Kamil, saya cuba jawab.

1. Bila tiba waktu makan, saya akan sibuk mencari bahan bacaan untuk dibaca semasa makan. Saya tidak begitu berkira. Apa sahaja boleh saya saya jadikan bahan bacaan. Suratkhabar, buku, majalah, brosur. Apa sahaja, asalkan ada benda untuk dibaca. Suratkhabar lama pun OK. Kalau tiada bahan bacaan, saya akan rasa gelisah. Kalau di pejabat, saya sengaja keluar makan di tempat yang tidak ramai orang, supaya saya boleh makan seorang sambil membaca.

2. Bila perut mula memulas, saya juga akan berbuat perkara yang sama. Sanggup menahan sakit perut, bahan bacaan akan dicari dahulu sebelum ke kamar mandi. Di dalam kamar mandi juga ada rak majalah yang jadi tempat saya letak majalah, buku dan suratkhabar. Kalau saya sudah masuk ke kamar kecil, jangan ditunggu!

3. Saya suka beli dan baca buku, tapi bila saya tengok semula koleksi buku saya, kebanyakan buku yang saya beli tidak ada kaitan dengan bidang kerja atau kelayakan akademik saya. Saya boleh kira buku perakaunan atau buku pengurusan di rak buku saya, yang kebanyakannya adalah buku-buku lama.

4. Saya ada tabiat yang ganjil iaitu mengigit jari apabila saya marah atau geram. Ini tabiat saya dari kecil. Sampai kematu jari-jari tangan saya. Tapi yang bagusnya, saya akan kelihatan cool dan jarang marah, mungkin kerana kemarahan sudah hilang selepas menggigit jari. Mungkin ini tips yang bagus untuk dicuba oleh mereka yang baran. Saya juga suka menggigit kuku apabila rasa excited atau teruja, terutama ketika membaca buku.

5.Nama saya juga bol;eh dikira ganjil untuk seorang Melayu. Ganjil tetapi glamor. Nama itu sebenarnya membawa tuah dan boleh buat orang tersenyum bila says suakan kad nama saya.Itu sebab saya tidak mahu guna nama sebenar di blog. Saya tak mahu orang bicara tentang nama, bukan tulisan saya.

6. Ada satu lagi keganjilan semasa kecil. Kata Abah masa kecil saya kuat menangis. Setiap malam. Sehingga diceritakan bahwa pusat saya tersembul keluar kerana kuat menangis. Orang-orang tua di kampung akan mengingati saya sebagai budak yang kuat menangis di tengah malam dahulu. Ada yang teringin nak tengok pusat tersembul saya yang dianggap ganjil dahulu. Untuk pengetahuan, pusat saya sudah normal sekarang, jadi tak payahlah gatal-gatal nak intai tengok pusat saya.


Saya masih berhutang satu Tag dari mamanaim . Akan menyusul. :)

Sabtu, Februari 24, 2007

Fajar Ilmu Baru lebih luas



Hari Jumaat saya ke KL, menghadiri kes di Mahkamah Perusahaan. Selesai urusan, saya berjalan kaki ke Wisma Yakin, ke Fajar Ilmu Baru. Sudah lain toko buku ini. Tuanpunya toko buku ini sedang dalam proses memperbesarkan toko. Baru seminggu diperbesarkan, tetapi masih belum selesai. Memang patut diperbesarkan, kerana koleksi buku-buku di sini memang sudah banyak. Sebelum ini banyak buku yang tersusun di lantai kerana kekurangan tempat. Kini terasa luas dan boleh bergerak dengan lebih selesa.

Saya beli beberapa buku yang memang pernah saya tengok dan simpan keinginan mahu beli dahulu.



1. Wacana Islam Liberal- editor Charles Kurzman, sebuah buku yang dianggap memulakan wacana dan debat tentang Islam liberal secara serius di Indonesia.

2.Al Milal wa Al-Nihal - buku terkenal karya Sharastani tentang sejarah agama dan falsafah.

3. Kitab Salahuddin - novel sejarah terkenal tulisan Tariq Ali, terjemahan buku Book of Saladin. Novel ini adalah fiksyen berasaskan kisah Salahudin Al Ayubi. Tariq Ali telah menulis novel tetralogi berasaskan sejarah Islam. Saya masih mencari buku Bayang-Bayang Pohon Delima tulisan beliau.

4. Soal Jawab A Hasan

5. Menyambut Sang Juru Selamat - Ali Syariati

6. Al-Huda - Jurnal Kajian Ilmu-Ilmu Islam



Kalau mahu mencari buku agama, buku pemikiran dan politik, falsafah dan sufi yang bermutu tinggi, carilah di Fajar Ilmu Baru.

Sekadar nota, mungkin ada yang bertanya. Saya tiada sebarang kepentingan dalam kedai buku ini. Tiada kaitan persaudaraan atau bisnes dengan pemilik kedai buku ini. Saya tidak dapat komisyen kerana bercerita tentang kedai buku di blog ini. Begitu juga dengan kedai buku lain yang pernah saya tulis di sini. Sesetengah dari mereka langsung tidak mengenali saya. Kalau ada kaitan pun mungkin minat yang sama menghargai dan menghormati buku bermutu tinggi.

Saya tulis di sini sekadar untuk berkongsi pengalaman dengan semua yang mencintai buku dan ilmu. Marilah kita jadikan kedai buku salah satu tempat yang wajib kita lawati.

Khamis, Februari 22, 2007

Pram dari Dekat Sekali - Koesalah S Toer

.



Judul : Pramoedya Ananta Toer dari Dekat Sekali
(Catatan Pribadi Koesalah Seobagyo Toer)
Penulis : Koesalah Soebagyo Toer
Penerbit : Kepustakaan Populer Gramedia (KPG)
Cetakan : I, Julai 2006
Tebal : xvi + 266 hlm




Pramoedya Ananta Toer, tokoh sasterawan Indonesia telah meninggal dunia pada 30 April, 2006. Karya peninggalan beliau telah banyak membawa kesan kepada pembaca. Buku beliau dilarang pengedarannya kerana dianggap berbahaya kepada rakyat Indonesia. Beliau dituduh cuba menyebarkan faham komunis dalam novelnya. Namun ianya dibaca secara sembunyi oleh rakyat Indonesia dan ianya diterjemahkan ke lebih dari 30 bahasa di seluruh dunia.

Sudah banyak buku dan tulisan yang menulis tentang karya Pramoedya. Kisah hidup beliau ketika dipenjara di Pulau Buru juga sudah beliau tulis dengan begitu bagus sekali. Namun peminat Pramoedya sudah tentu ingin tahu juga kisah peribadi Pramoedya sebagai seorang insan. Buku ini merupakan catatan peribadi seorang yang sangat dekat dengan kehidupan Pramoedya iaitu adik kandungnya sendiri.

Koesalah Soebagyo Toer adalah adik bongsu Pramoedya. Beliau juga menjadi pembantu Pramoedya dalam mengumpulkan dokumen berkaitan sejarah Indonesia. Pramoedya memnag berhasarayt untuk menulis sebuah ensiklopedia sejarah Indonesia. Buku ini mengumpulkan catatan peribadi Koesalah tentang abangnya, yang beliau tulis dari tahun 1981 hingga 20 April 2006, iaitu sepuluh hari sebelum Pram meninggal dunia.

Koesalah telah menulis 75 catatan pendek dan ringkas. Ianya dibahagikan kepada tiga bahagian besar mengikut urutan waktu iaitu Bahagian Pertama (1981-1986), Bahagian Kedua (1987-1992), dan Bahagian Ketiga (1992-2006)

Koesalah telah berjaya menulis buku ini dengan begitu baik sekali. Beliau telah berjaya merakamkan kisah peribadi Pramoedya yang belum diketahui peminatnya. Koesalah merasa bahwa dialah keranjang sampah Pram untuk hal-hal yang tidak dapat, tidak tepat, atau tidak patut dikemukakannya kepada orang lain. Kata Koesalah, catatan ini adalah semata-mata merupakan pernyataan tanggung jawabnya terhadap pembaca karya-karya Pram di Indonesia khususnya, dan dunia umumnya. Dengan demikian, orang dapat memahami Pram sebagai sosok yang nyata, bukan manusia di angan-angan atau lamunan.

Buku ini memuatkan kisah–kisah Pramoedya semasa kecil, bagaimana hubungan beliau dengan sanak saudara dan kasih beliau pada tanah kelahiran iaitu Blora.

Koesalah juga menulis tentang kegemaran Pramoedya iaitu membakar sampah. Pram suka mengumpul barang-barang pelik yang dijumpai semasa membakar sampah. Pernah suatu ketika beliau bertemu buku yang sudah langka iaitu buku Peristiwa coup Berdarah P.K.I. September 1948 di Madiun, tulisan Pinardi, terbitan 1967. Ini sangat menggembirakan Pram.

Banyak catatan yang menyentuh perasaan pembaca di dalam buku ini. Di saat-saat akhir hidupnya, ingatan Pramoedya sudah tidak kuat lagi. Beliau sendiri mengaku sudah menjadi pelupa. Banyak perkara yang beliau lupa dan ramai juga rakan yang beliau sudah tidak ingat.

Ada satu kisah yang menarik perhatian saya tentang hubungan akrab beliau dengan seorang tokoh ekonomi Malaysia, Dr Jomo K Sundaram. Baru saya tahu rupanya Dr Jomo dan Pramoedya adalah rakan baik. Bahkan Dr Jomolah orangnya yang mencalonkan Pramoedya untuk Anugerah Magsaysay yang telah beliau menangi. Buku ini mencatat lawatan Dr Jomo dan isteri ke rumah Pramoedya, juga dialog mereka yang menarik. Pramoedya hampir tidak mengenali Dr Jomo kerana sudah lama tidak bertemu.

Buku ini berjaya menarik perhatian saya dengan kisah-kisah sedih dan hiba, lucu dan kelakar juga menyakitkan hati. Ianya berjaya digarap oleh Koesalah dengan penuh jujur dan menarik.

Saya harap buku ini bukan yang pertama buat Koesalah. Kisah dalam buku ini boleh dijadikan asas untuk menulis biografi yang lengkap buat Pramoedya Ananta Toer. Mungkinkah Koesalah sudah menyiapkannya?

Rabu, Februari 14, 2007

Buku di Gramedia Padang

.



Sebelum ke Bukit Tinggi, pada hari pertama di Kota Padang, kami sempat singgah di Toko Buku Gramedia Padang. Rakan saya dari RS Selasih pesan, di sini sukar mahu cari buku berbahasa Inggeris. Saya hanya tersenyum. Rakan sekerja ramai yang tidak tahu saya gemar membaca buku termasuk buku berbahasa Melayu.

Toko Buku Gramedia di Padang, kecil sahaja berbanding di Jakarta, kata Pak Bambang. Ada tiga tingkat. Tingkat bawah menjual alatulis.

Banyak sungguh saya jumpa buku yang bagus di sini. Kalau boleh banyak buku yang sya mahu beli, tetapi saya hanya beli buku berikut;


1. Matsnawi- Jalaluddin Rumi, terjemahan Indonesia (RM20)
Saya sudah ada Matsnawi dalam bentuk ebook dalam PDA saya. Saya ada banyak buku mengenai Rumi dalam Bahasa Inggeris antaranya Essentials of Rumi tulisan Coleman. Namun saya belum mempunyai Matsnawi dalam Bahasa Melayu. Terlihat sahaja buku ini di rak terus tidak saya lepaskan.


2. Trilogi Cinta Abadi- Kahlil Gibran (RM26)
Saya juga sudah ada Complete Works of Kahlil Gibran yang saya beli di Agra, India. Sekali lagi, saya beli buku ini kerana ianya dalam Bahasa Melayu Indonesia. Buku ini memuatkan tiga karya terbaik Kahlil Gibran, iaitu Sang Nabi, Rahsia Hati, dan Sayap-Sayap Patah. Tertarik saya dengan kulit bukunya yang lucu( di sini` lucu' bermakna `comel' ! ).


3. Islam Progresif - Farish A Noor (RM14)
Buku ini rasanya saya pernah lihat di Malaysia dalam Bahasa Inggeris. Kalau tak salah harganya dalam lingkungan RM30. Buku terjemahan ke Bahasa Indonesia ini sangat murah. Tak sampai RM20. Itu antara sebab saya beli buku terjemahan Bahasa Indonesia, Harganya jauh lebih murah dari yang asal, walaupun kita perlu berhati-hati membaca kerana adakalanya terjemahannya tidak sebagus yang asli.


4. Pramoedya Ananta Toer dari Dekat Sekali - Koesalah Soebagyo Toer (RM18)
Buku ini adalah catatan pendek tentang sosok peribadi Pramoedya Ananta Toer dilihat dari sudut pandang adik bongsu beliau iaitu Koesalah Soebagyo Toer. Saya sudah habis baca. Nanti akan saya ceritakan di posting yang lain.


5. Tiga Madzhab Utama Filsafat Islam - Seyyed Hossein Nasr (RM13)
Selain dari saya memang meminati karya Seyyed Hossein Nasr, saya beli buku ini kerana murah.


6. Syariah Marketing - Hermawan Kartajaya & M Syakir Sula (RM24)
Saya tertarik dengan tajuk buku ini. Hermawan Kartajaya pula adalah seorang pakar marketing yang diakui antara 50 terbaik di dunia. Saya berkesempatan mendengar ceramah beliau sewaktu beliau berucap di National Accountants Conference di Kuala Lumpur, beberapa tahun lepas. Hermawan telah menulis 3 buah buku bersama marketing guru Philip Kotler.




Kalau ikutkan hati memang banyak buku lain yang ingin saya beli. Saya jumpa Catatan Pinggir, kumpulan tulisan pojok Goenawan Mohamad di majalah Tempo. Catatan Pinnggir 1 hingga 6. Saya sudah pegang tetapi letak semula kerana harganya 80 ribu rupiah sebuah. Terasa mahal. Sebenarnya jika ditukar ke matawang Malaysia hanya dalam lingkungan RM35. Menyesal pula saya tak beli.

Saya berbelanja sebanyak 220 ribu rupiah di Gramedia. Sebenarnya hanya RM100 untuk 6 buku di atas!

Di lapanganterbang, sewaktu mahu berlepas pulang, saya terjumpa buku Max Havelaar karya Multatuli, di sebuah toko kecil. Max Havelaar sering disebut dalam karya Pramoedya dan pernah beliau anggap sebagai novel yang banyak mempengaruhi beliau dalam penulisan. Saya juga terjumpa beberapa buku tentang Tan Melaka.

Malangnya saya sudah kehabisan rupiah! Saya hanya beli senaskhah Tempo.

Ahad, Februari 04, 2007

Selamat Tinggal Teluk Bayur

.


Selamat tinggal Teluk Bayur permai
Daku pergi jauh ke negeri seberang
Ku kan mencari ilmu di negeri orang
Bekal hidup kelak di hari tua



Begitulah secebis lirik lagu Teluk Bayur nyanyian Ernie Djohan. Orang lama sudah tentu tahu lagu ini yang agak popular di tahun 60-an.

Senja terakhir di bumi Padang kami habiskan di Teluk Bayur yang tidak jauh dari Kota Padang. Teluk Bayur kini merupakan sebuah pelabuhan terbesar di Sumatera Barat. Pemandangan waktu senja di Teluk Bayur sungguh mengasyikkan. Laut lepas menghadap lautan Hindi yang seakan tak bertepi.

Kenangan melihat matahari terbenam di Teluk Bayur seakan penutup tirai kisah kembara kami di Tanah Minang. Terbenamnya matahari senja itu, menandakan berakhirnya kenangan manis di Padang yang akan kami simpan kemas di dalam memori.

Esoknya kami pulang ke tanahair.

Selamat tinggal Teluk Bayur. Selamat Tinggal Tanah Minang. Ada umur, murah rezeki, kita bersua lagi.



Lambaian tanganmu kurasakan pilu didada
Kasih sayangku bertambah padamu
Air mata berlinang...
Tak terasakan olehku
Nantikanlah aku di Teluk Bayur

Nantikanlah aku di Teluk Bayur...

Sabtu, Februari 03, 2007

Danau Maninjau & Buya Hamka

.

Pagi itu saya bangun awal. Jam 5 pagi sudah terdengar bacaan Al-Qur'an berkumandang dari masjid yang berdekatan. Bersahut-sahutan sebenarnya, kerana ada banyak masjid yang berdekatan. Saya kejutkan Mak dan Abah di bilik bersebelahan lalu kami bergegas ke masjid di hadapan hotel untuk solat Subuh. Ramai juga jammah pagi itu. Jamaah perempuan agak ramai, lebih dari sepuluh orang. Jamaah lelaki juga dalam jumalah yang hampir sama. Imam pagi itu muda belia. Khabarnya beliau seorang mualaf yang asalnya bukan Islam. Imam membaca Surah Ar-Rahman pagi itu.

Sungguh sayu rasanya dapat solat subuh di Bukit Tinggi dalam kesejukan pagi. Solat di sini terasa macam solat di kampung masa saya kecil dahulu. Tak tahu mengapa, tetapi kembara di Tanah Minangkabau ini membuatkan saya rasa rindu pada kenangan masa dahulu di kampung, 20 ke 30 tahun dulu. Saya terasa bagai bertemu semula dengan jiwa `Melayu' saya yang hampir hilang.

Pagi itu kami daftar keluar dari Hotel Malindo, hotel yang kabarnya hasil usahsama pengusaha Malaysia dan Indonesia. Kami akan pulang dan bermalam di Padang, kerana perlu bergegas awal pagi untuk penerbangan balik keesokan harinya.

Hotel kami ini sebenarnya berhadapan dengan satu lagi tempat menarik di Buki Tinggi iaitu, Ngarai Sianok dan Lubang Jepang. Oleh kerana sudah dekat, kami singgah dahulu di situ.


Lobang Jepang adalah kubu bawah tanah yang dibina oleh Jepun semasa perang dunia kedua. Ramai buruh paksa yang telah menjadi korban di sini. Buruh paksa yang dikurung di sini dibawa dari tempat yang berjauhan supaya mereka tidak tahu jalan pulang, jika terlepas keluar. Di dalam lubang ini ada banyak bilik-bilik dan terowong yang panjang keseluruhannya adalah 7 kilometer.

Sehingga hari ini, masih ada terowong yang tidak dibuka untuk pengunjung. Oleh kerana terowong yang banyak di bawah Kota Bukit Tinggi, bangunan di sini juga disyaratkan tidak melebihi ketinggian tertentu. Saya dan Suri menuruni 132 anak tangga yang curam untuk ke Lobang Jepang. Lelah juga bila mahu kembali ke atas.

Berhampiran dengan Lobang Jepang itu adalh Ngarai Sianok, Grand Canyon versi Bukit Tinggi. Pemandangannya sangat indah dari atas, berlatarbelakangkan Gunung Singgalang.

Kami meninggalkan Kota Bukit Tinggi untuk ke Danau Maninjau yang jarakanya 33 km tetapi memakan masa hampir dua jam perjalanan kerana jalannya kecil dan banyak selekoh tajam. Danau Maninjau adalah sebuah tasik yang terhasil dari letusan Gunung Merapi. Danau Maninjau ini luasnya 99.5 km persegi dan mempunyai kedalaman maksima 495 meter. Jika kita mengelilingi danau ini, kita akan melalui jalan kampung sejauh 70 km.


Untuk sampai ke Danau Maninjau, kita terpaksa melalui 44 kelok atau selekoh tajam. Yang menariknya di setiap selekoh akan tertulis papantanda nombor selekoh dari 44 hingga 1. Kami berhenti sebentar di Kelok 42 untuk menyaksikan pemandangan indah Danau Maninjau dari puncak bukit.



Rumah Kelahiran Buya Hamka

Danau Maninjau juga adalah tempat kelahiran Haji Abdul Malik Karim Amrullah, ulamak dan sasterawan terulung yang juga dikenali sebagai Buya Hamka. Buya Hamka lahir di Kampung Tanah Sirah, Nagari Batang Maninjau pada 16 Februari 1908.

Rumah kelahiran Buya Hamka sudah dibaik pulih dan dijadikan sebuah muzium. Bangga saya bila diberitahu bahawa sebahagian besar kos pembaikpulihan telah ditanggung oleh ABIM, sebuah pertubuhan Islam dari Malaysia.

Ketibaan Kami telah dizambut mesra oleh Bapak Hanif, seorang anak saudara Hamka yang diamanahkan untuk menjaga rumah itu. Bapak Hanif mempersilakan kami duduk lalu mula bercerita tentang kisah hidup Buya Hamka. Walaupun saya rasa saya kenal Buya Hamka daripada tulisan dan ceramah beliau, rupanya banyak perkara yang saya tidak tahu, yang telah diceritakan oleh Pak Hanif.

Cerita Pak Hanif, Buya Hamka semasa kecil, seorang yang nakal dan mempunyai jiwa yang suka memberontak. Ini ditambah bila ibu dan ayah beliau berpisah semasa kecil. Dua perkara inilah, kata Pak Hanif yang menyebabkan Buya Hamka menjadi seperti yang kita kenal.

Oleh kerana nakal, Buya Hamka tidak diharap untuk menyambung tugas bapanya yang juga seorang Ulamak terkenal. Buya Hamka telah membawa diri ke Medan dan mula menulis. Di situ beliau mula menulis 4 buah novel serentak yang ditulis secara bersiri di dalam majalah Pedoman Masyarakat. Novel itu akhirnya kita kenali sebagai Di Bawah Lindungan Ka'bah (1936), Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (1937), Di Dalam Lembah Kehidupan (1939), dan Merantau ke Deli (1940).


Jiwa saya rasa sungguh sayu bila meninggalkan Rumah Buya Hamka. Tergenang airmata saya bila Pak Hanif menghabiskan kisah hidup Hamka yang pulang ke rahmatullah pada 24 Julai 1981. Saya rasa seperti baru sahaja berkenal dengan Buya Hamka sudah terasa rindukan seorang ulamak seperti beliau. Jasa dan budi beliau kepada dunia Islam khususnya di Nusantara ini, tiada ternilai.

Hamka semasa hidupnya telah berjaya dalam 8 bidang, kata Pak Hanif. Buya Hamka adalah seorang sasterawan, pujangga, ahli politik, pemikir Islam, wartawan, pengarang, pemimpin dan ulamak. Sehingga hari ini, belum ada lagi tokoh seumpama beliau. Entah berapa tahun lagi kita akan dapat ganti seperti beliau.


Perjalanan pulang menyusuri tepian Danau Maninjau, saya seakan terbayang-bayang kelibat Buya Hamka sewaktu muda, ketika meninggalkan Danau Maninjau, berjalan kaki melalui Kelok 44 untuk menuntuk ilmu ke Pasir Panjang. Saya terkenang watak Zainuddin dan Hayati dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk karangan Buya Hamka. Ternyata, Danau Maninjau adalah antara sumber inspirasi Buya Hamka dalam berkarya.

Pulang nanti akan saya selongkar semula rak mencari novel Buya Hamka. Akan saya buka Tafsir Al-Azahar yang beliau tulis semasa dalam penjara.


Jumaat, Februari 02, 2007

Istana Pagar Ruyung

.


Pagi ini kami berkira-kira mahu ke Danau Malinjau, tetapi cuaca tidak berapa menyebelahi kami. Gunung Merapi pun tidak kelihatan kerana diselaputi kabus tebal. Kalau diteruskan juga, kami mungkin tidak akan dapat menikmati keindahan pemandangan Danau Maninjau, kata Pak Bambang.

Lalu kami mengubah destinasi ke Batusankar untuk melihat Istana Pagar Ruyung. Istana Pagar Ruyung ini adalah binaan semula di tahun 1976, menggantikan bagunan asal yang telah dimusnahkan Belanda. Istana terakhir dimusnahkan oleh Belanda dalam tahun 1804. Istana yang dibina semula ini pernah didiami istana Raja Alam Minangkabu, Sultan Muning Alam.

Pagar Ruyung dikatakan sebagai tempat bermulanya keturunan raja-raja Melayu. Kerajaan Pagar Ruyung adalah sebuah kerajaan yang dulunya terletak di Kecamatan Tanjung Emas, Kota Batusangkar, Kabupaten Tanah Datar. Kerajaan ini didirikan oleh Pangeran Adityawarman dari Majapahit pada tahun 1347. Parameswara yang membuka Melaka juga dikatakan mempunyai pertalian dengan Pangeran Adityawarman.



Perjalanan menuju ke Istana Pagar Ruyung sangat menarik hati saya. Keheningan pagi dan keindahan sawah padi yang menghijau. Sawah padi di sini ditanam secara berteres di lereng-lereng bukit. Yang menghairankan saya, tanah yang kecil juga ditanam dengan padi. Kata Pak Bambang, masyarakat Minang memang sudah diajar untuk bercucuk menanam padi dan membela ikan di halaman rumah. Di setiap rumah akan ada sepetak sawah padi, walaupun kecil, juga kolam ikan.

Asyik sungguh saya melihat pemandangan di sepanjang jalan, tidak sedar akhirnya kami sudah pun sampai ke Istana Pagar Ruyung yang terletak megah di atas bukit. Kedatangan kami disambut oleh petugas yang menceritakan sejarah Istana Pagar Ruyung tersebut. Ada banyak bilik di sini. Bilik Sultan beradu dipisahkan dengan balairungseri dengan banyak lapis tirai. Khabarnya, Sultan akan berbincang perkara rahsia di balik tirai tersebut, bergantung kepada darjah kerahsiaannya. Ada banyak lagi bilik lain kepunyaan puteri raja. Putera raja Minagkabau tidak mempunyai bilik. Sebelum Maghrib anak lelaki Minang akan ke surau mengaji dan terus bermalam di sana.



Sebelum pulang kami sempat bergaya memperagakan pakaian diraja Istana Pagar Ruyung. Dengan membayar sejumlah wang, pengunjung boleh menyewa baju yang disediakan untuk bergambar kenangan.

Kami meninggalkan Istana Pagar Ruyung denagn kenangan yang terpahat. Kami melalui makam Raja Pagar Ruyung, yang mangkat di tempat lain, tetapi tanahnya dibawa ke sini. Kami juga melalui Istana Hinggap Yam Tuan Besar Negeri Sembilan, yang terletak tidak jauh dari Istana Pagar Ruyung. Menurut cerita istana itu dibina di tapak asal tempat lahirnya Raja Melewar di tanah Minang.




Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah rumah yang menepatkan sebuah batu yang aneh, Batu Angkek-Angkek namanya. Batu yang tertulis kalimah Allah & Muhammad ini dikatakan boleh memberi petanda samada niat dan keinginan seseorang itu akan termakbul atau tidak. Kalau termakbul batu itu boleh diangkat, jika tidak ianya akan melekat di tempatnya. Batu ini sudah dijaga 9 keturunan. Lelaki yang kami temui hari itu adalah dari keturunan yang kesembilan. Yang menarik, beliau memberi penerangan terlebih dahulu, agar tidak tergelincir aqidah, batu angkek-angkek hanya sebagai petanda, bukan memakbulkan. Yang memakbulkan doa adalah Allah, katanya.

Kami tinggalkan keanehan Batu Angkek-Angkek. Perjalanan pulang ke Bukit Tinggi masih jauh. Kami singgah makan di Sebuah Rumah Makan yang terletak di tepi sawah. Perut yang lapar menambah selera bila melihat hidangan ayam pop, ayam goreng, daging dendeng, ikan bilih, otak, dan lain-lain.

Perjalanan diteruskan selepas menjamu selera. Kami melalui jalan yang berselekoh untuk pulang ke Bukit Tinggi. Kami singgah sebentar di sebuah perusahaan membuat kopi. Pengunjung dihidangkan kopi dan teh secara percuma. Kopinya diminum secara tradisional, di dalam tempurung kelapa dan dikacau dengan kayu manis untuk menambah lagi kelazatan rasa dan aromanya. Memang enak rasanya minum kopi di kawasan sejuk sebegitu.

Sesudah selesai membeli kopi dan baranhgan lain, kami meneruskan perjalanan kami pulang ke Bukit Tinggi. Kami terus ke Pasar Atas untuk `menambah pelaburan' dan menghabiskan rupiah. :)



Kami pulang ke hotel keletihan setelah berbelanja besar. Antara tarikan Kota Bukit Tinggi adalah Jam Gadang, ataupun jam besar tinggalan Belanda. Itulah juga pusat Kota Bukit Tinggi yang berhampiran dengan pusat beli-belah di Pasar Atas. Berhampiran Jam Gadang sudah menunggu bendi atau kereta kuda yang menunggu pengunjung. Petang itu kami mencuba menaiki bendi pulang ke hotel. Kasihan kuda itu mengangkut kami berempat.



Malam itu kami makan malam di Rumah Makan Sederhana. Namanya sahaja yang sederhana, tetapi hidangannya cermerlang kelas pertama. Saya cuba pesan Teh Telur, teh susu yang dibancuh dengan telur mentah dan diperah sedikit limau nipis. Enaknya!

Itu malam terakhir kami di Bukit Tinggi. Esoknya kami perlu daftar keluar untuk pulang ke kota Padang.

Khamis, Februari 01, 2007

Kembara ke Ranah Minang

Catatan perjalanan ke Padang 1 Feb - 4 Feb, 2007

Penerbangan kami hari itu awal pagi. Pukul 7.50 pagi. Maknanya kami terpaksa bangun awal pagi untuk ke KLIA. Sebenarnya tidur kami pun tidak berapa nyenyak malam itu, mungkin kerana sudah tidak sabar lagi mahu menjejak kaki ke Tanah Minang. Sebelum subuh, kami sudah sampai ke Terminal LCC, KLIA.



Pemandangan dari atas pesawat sungguh cantik dan menawan. Kedudukan Bandar Udara Padang yang terletak hampir dengan pantai, membolehkan kami menikmati pemandangan Padang yang menghadap ke Lautan Hindi. Jam 9.30 pagi atau 8.30 pagi waktu Padang, pesawat yang kami naiki mendarat dengan selamat di Bandar Udara Antarabangsa Minangkabau, Padang. Khabarnya lapangan terbang ini baru dibina menggantikan lapanganterbang yang lama. Bangunan terminalnya mmenag unik, berbentuk minangkabau.

Rakan kerja saya dari RS Selasih sudah sedia menunggu bersama Pak Bambang yang akan jadi pemandu dan penunjuk jalan. Di sini, susah jika mahu dicari kereta kecil, kebanyakannya kereta besar-besar yang memudahkan perjalanan di tempat yang bentuk mukabuminya bergunung-ganang. Kami lalu dibawa menaiki Kijang Innova ke destinasi seterusnya.

Kami dibawa ke Kota Padang. Sempat singgah di Rumah Sakit Selasih dan berjumpa anggota pekerja, di sini dipanggil karyawan. Banyak bezanya keadaan rumah sakit ini berbanding hospital di negara kita. Susun letak, sistem dan kemudahan kelengkapan mungkin tidak setanding, namun keramahan, kesungguhan dan komitmen kerja memang terserlah.



Tengahari itu kami menikmati hidangan Nasi Padang kami yang pertama di Rumah Makan Simpang Raya. Saya pernah makan Nasi Padang di Restoran Natrabu di Jakarta, dan pada saya Nasi Padang hanyalah makanan biasa yang boleh dicari dimana-mana. Namun pengalaman menikmati hidangan Nasi Padang di bumi minang ini telah mengubah pandangan saya. Saya terpukau dan terpikat dengan keenakan Nasi Padang.Keenakannya yang tersendiri yang tidak serupa dnegan Nasi Padang di tempat kita. Masih teringat-ingat keenakannya.

Mungkin juga kerana hidangan pertama, kesemuanya terasa enak. Lebih menarik, berpuluh jenis lauk dihidangkan tanpa perlu dipesan. Setelah selesai makan baru dikira, jika tidak dimakan lauk tersebut tidak dikira. Caranya membawanya juga unik. Berbelas piring lauk pauk dibawa di atas lengan tanpa menggunakan dulang.



Sesudah makan tengahari kami terus ke Bukit Tinggi yang perjalannnya memakan masa dua jam lebih. Bukit Tinggi adalah tempat peranginan berudara dingin. Pemandangan di sepanjang jalan memang mengasyikkan. Rumah bentuk minangkabau kelihatan di sepanjang perjalanan. Asyik sungguh saya melihat begitu banyaknya masjid dan surau di sini. Rasa saya beratus buah masjid dan surau boleh dilihat di sepanjang jalan. Tak hairanlah, Padang juga diberi gelaran Tanah Seribu Surau.



Saya sempat solat Jumaat di sebuah masjid di Batu Sangkar, hormat saya pada imam kampung yang begitu fasih berkhutbah di mimbar masjid. Khatib membawa isu yang sangat sesuai dengan kariahnya. Khatib berkhutbah(bukan membaca khutbah)tentang Gunung Merapi. Katanya Gunung Merapi itu kalau dilihat dari jauh terasa begitu gagah dan menakutkan, tetapi jika kita usahakan untuk didaki sehingga ke puncak, akhirnya Gunung Merapi akan berada di bawah telapak kaki kita.

Suhu menjadi semakin dingin bila kami menghampiri Bukit Tinggi. Kami dibawa singgah sebentar di Pandai Sikek di Padang Panjang. Bukit Tinggi memang terkenal dnegan barangan sulamnya. Di sini kami dapat melihat kerajinan tangan penduduk yang membuat kerja sulam menyulam. Kaum Hawa memang boleh rambang mata melihat kain telekung dan kain dibuat kebaya.



Suri berjaya menyabarkan diri dari membeli di sini. Kami terus ke kota Bukit Tinggi. Tujuan kami ialah Pasar Atas, seperti Pasar Buluh Kubu atau Pasar Payang, tetapi lebih besar dan menarik. Kesabaran tadi terungkai jua di sini. Siapa yang boleh sabar melihat kain tenunan dan sulam tangan bemutu tinggi dan dijual dengan harga yang murah!

Bukan Suri sahaja yang hilang sabar. Saya juga berbelanja beratus ribu rupiah bila berjumpa kedai menjual CD dan kaset yang ternyata lebih murah dari di Malaysia. Saya beli setengah dozen CD lagu-lagu minang yang setiap satunya berharga tak sampai RM10.



Rasa tak cukup masa dan tak sempat untuk melihat keseluruhan Pasar Atas. Sebelum pulang ke hotel penginapan, kami makan malam di sebuah Rumah Makan Minang dan meikmati sekali lagi keenakan Nasi Padang. Sedapnya!

Hari pertama kami berakhir dengan melabuhkan diri di Hotel Gran Malindo. Esoknya kami akan ke Istana Pagar Ruyung.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails