Khamis, Julai 13, 2006

Majalah Dian

.

Saya jumpa majalah ini ketika mencari akhbar di sebuah hotel berhampiran Perhentian Bas Jalan Pekeliling. Kedai kecil di lobi hotel ini menjual akhbar, majalah, cenderamata dan barang keperluan penghuni hotel. Ketika memeblek deretan majalah di itu, saya terpandang akan majalah yang namanya terasa pernah dilihat dulu. Lama dulu.

Ya, Majalah Dian adalah sebuah majalah yang sangat terkenal lebih 30 tahun lepas. Nama majalah ini membawa kenangan semasa saya masih kecil, semasa masih membaca majalah Bujal dan Dewan Pelajar. Abah adalah pembaca setia majalah Dian Daiges. Bentuknya yang kecil itu mungkin meniru bentuk Readers Digest, majalah yang popular sehingga ke hari ini. Majalah ini, Abah telah jilidkan dalam bentuk buku yang tebal. Ada buku berwarna merah dan ada yang berwarna kuning, yang masih elok disimpan di rumah di kampung.

Buku-buku inilah yang menjadi bahan selongkaran saya di rak buku Abah. Selain itu, buku-buku Hamka dan buku-buku Kaum Muda, menjadi santapan saya yang ketika itu baru mula belajar membaca. Macam baru berjumpa permainan baru. Saya baru berumur dalam 6 ke 8 tahun masa itu. Abah dan Mak juga mengenalkan saya kepada Encylopedia Brittania yang tersusun kemas di rak. Abah suka beli kamus. Ada hampir spuluh jenis kamus di rumah masa tu. Saya belajar menggunakan kamus semasa masih kecil.

Majalah Dian Daiges ini saya sudah ingat-ingat lupa isi kandungannya. Namun, bentuknya yang kecil itu masih dapat saya bayangkan. Sudah tentu, topik yang diulas di dalam majalah ini adalah topik orang dewasa, isu politik, perkembangan semasa tanahair dan dunia. Majalah ini telah terhenti penerbitannya 22 tahun lepas. Pengasanya juga, iaitu Allahyarham Yusoff Zaky Yacob telah pulang ke rahmatullah.

Naskhah yang saya beli hari tu adalah naskhah pengenalan Majalah Dian berharga RM3. Yang menariknya, majalah ini perlu dibuka lembarannya dari sebelah kanan, macam membaca buku tulisan Jawi. Kata Ketua Pengarangnya, `bukankah afdhal perkara yang baik dimulai dari yang kanan?'.

Isu yang yang disentuh di dalam naskhah pengenalan ini juga sangat menarik. Ada sorotan artikel tentang Bahasa Melayu, termasuk rumusan wawancara dengan Prof Dr Nik Safiah Karim. Ada juga artikel tulsian Azizi Abdullah yang mebicarakan tentang `pemabaziran' dalam ibadah umrah.

Saya suka membaca artikel oleh SN2020 yang tidak gemar sasaterawan menulis tentang karya mereka sendiri seperti tulisan Shahnon Ahmad dalam ruangan Pabila Hujan Turun dan Arenawati dalam ruangan Gema Harapan. Kedua-duanya kolum tetap dalam majalah Dewan Sastera. Penulis menegur sikap `kelampauan' sasterawan dalam menilai karya sendiri. Beliau lebih suka jika karya seorang penulis itu dinilai oleh orang lain, bukan oleh penulis itu sendiri.

Naskhah pengenalan ini berjaya menambat hati saya. Moga Majalah Dian ini akan mendapat sambutan dari pembaca dan mengembalikan kegemilangan Majalah Dian Daiges yang sungguh nostalgik bagi yang sebaya dengan saya.










Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails