Ahad, Jun 22, 2008

Empat





Empat bukanlah nombor yang diminati oleh ramai orang. Rakan-rakan bangsa tionghua kalau boleh mahu mengelak dari menggunakan nombor empat. Ada sesetengah hotel sebagai contoh secara sengaja telah menukar bilik nombor empat kepada nombor lain. Empat atau disebut `sei’ juga bermakna mati. Itu sebab, ramai yang mengelak dari nombor empat.

Saya tidak sedar yang blog ini juga sudah melangkaui nombor empat. Empat tahun maksud saya. Saya mulakan blog ini dengan menulis entri pertama pada 22 Jun, 2004. Saya juga tidak sedar yang blog ini akhirnya menulis tentang buku-buku yang saya beli dan baca juga tentang dunia perbukuan.

Setelah empat tahun juga, saya mendapat kepuasan dengan berkongsi pengalaman bersama buku dengan ramai pelayar di internet. Ramai juga akhirnya menjadi rakan akrab yang berkongsi minat yang sama. Melalui tulisan saya di blog juga saya diberi penghormatan dengan dijemput berkongsi pengalaman di berbagai majlis dan acara.

Setelah empat tahun nama jiwarasa yang mulanya hanya saya reka sewaktu mencipta alamat email, telah menjadi nama yang dikenali di dunia blog lebih dari nama sebenar saya yang memang sudah `terkenal’.

Saya bukan percaya kepada tahyul angka 4 tetapi saya rasa usia blog ini seolah mengekang minat saya untuk terus menulis di blog. Keseronokan menulis di blog sudah tidak seperti dahulu. Melihat statistik pengunjung ke blog ini pernah jadi motivasi untuk saya menulis. Saya jadi terangsang bila melihat pengunjung yang datang mencari berbagai sumber dan meletakkan pautan di blog masing-masing.

Mungkinkah kesibukan tugas hakiki menyebabkan saya rasa malas. Rasa bosan juga melanda bila membaca akhbar perdana. Membaca keletah dan gelagat tokoh politik negara menambah rasa `cemuih’ dan `getek’ saya. Sangat sukar mencari permata dalam ucapan para pemimpin. Yang ada hanya buih-buih yang akhirnya akan hilang begitu sahaja.

Saya tidak percaya kepada tahyul angka empat, tetapi saya perlukan bukti bahawa blog ini perlu melangkaui angka 4...

Selasa, Jun 17, 2008

Dewangga Sakti & Mabok Kepayang




Judul Album : Mabok Kepayang
Band: Dewangga Sakti
Genre: Tradisional/Etnik/Malay Folk/Eksperimental
Penerbit : Penerbitan Lewat Senja
Harga: RM15


Saya masih sibuk dengan urusan kerja bila Zul menghantar pesanan ringkas. Zul bertanya bila boleh bertemu. Dua hari sebelumnya Zul menghantar pesanan ringkas bertanyakan alamat. Mahu mengirim Cd baru, katanya. Saya sedang mesyuarat di Titiwangsa, KL tetapi tidak sempat untuk bertemu.

Jam sudah melangkau 6 petang, petang jumaat itu, ketika saya selesai tugas di PNB Sime Darby Park. Kami lalu berjanji untuk bertemu di Restoran Lotus yang terletak berdekatan.

Zulkifli Ramli adalah rakan akrab saya di blog. Kami berkongsi banyak kegemaran yang sama. Sama-sama minat buku, mengumpul dan membaca. Kami juga minat muzik yang sama. Saya meminati muzik tradisional dan suka membaca dan mengkaji susur galur alat muzik dan seni budaya bangsa. Jika ada kesempatan berbual, masa terasa berlalu terlalu cepat kerana begitu banyak yang ingin dikongsi. Selain minat, kami juga berkongsi universiti yang sama. Zaman saya dahulu di PJ dan sebelum berpindah ke Gombak, tempat Zul dan rakan-rakan Dewangga Sakti mula bertemu.

Kelibat Zul muncul akhirnya. Jauh juga beliau berjalan dari KLCC. Selepas memesan minuman, Zul menghulurkan CD yang sekian lama saya tunggu. Kulit depannya gambar grafik wajah seorang wanita. Macam Maya Karin, kata saya. Itulah album pertama Dewangga Sakti.

Zulkifli Ramli adalah pemain gambus kumpulan Dewangga Sakti. Zulkifli pernah mendapat pengalaman berharga menuntut ilmu bermain gambus dari arwah Fadzil Ahmad.

Dewangga Sakti sudah lama ditubuhkan. Mereka sudah mula bermain muzik seawal tahun 2000. Sebelum itu mereka ini adalah penuntut UIA yang pernah jadi penggiat kumpulan gamelan di kampus. Seingat saya, tidak ramai pemain gambus dalam negara kita, lebih-lebih lagi yang bermain muzik tradisional dengan nuansa kontemporari. Seorang lagi pemain gambus yang saya ingat ialah Farid Ali yang juga saya milik albumnya.

Itu yang buat saya hormat kepada Zul dan Dewangga Sakti. Anak-anak muda ini bermain muzik bukan sekadar untuk mencari makan. Mereka masing-masing punya kerjaya tetap. Mereka bermain muzik kerana minat dan keinginan untuk menghidupkan dan menyegarkan semula lagu irama tradisional. Zul boleh bercerita tentang sejarah alat muzik dan hubung kait dengan budaya Melayu dan Islam.

Sejarah telah membuktikan bahawa alat muzik kini sebenarnya telah diilhamkan oleh orang Islam. Sejarah perkembangan Islam di Nusantara terbukti turut diwarnai oleh penggiat seni yang berdakwah melalui lagu.

Sunan Bonang dan anak muridnya, Sunan Kalijaga tercatat dalam sejarah, menyebarkan Islam melalui wadah seni. Beliau giat berdakwah melalui gamelan dan pentas wayang. Masyarakat masa itu yang kuat dengan pengaruh Hindu telah beliau dakwahkan dengan memasukkan unsur Islam dalam persembahan seni.

Begitu juga irama Zapin Melayu yang dikatakan dibawa ke Tanah Melayu oleh pendakwah Arab dan Hadramaut sebagi wahana dakwah.

Album pertama Dewangga Sakti ini berbentuk EP atau mini album. Ada 5 trek lagu yang kesemuanya lebih kurang 20 minit. Oleh kerana ini hanyalah album pertama yang diusahakan sendiri oleh Zul dan rakan-rakan Dewangga Sakti saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, walaupun memang terpaut bila pertama kali melihat kulit album.

Saya pasang dan dengar lagu ini di dalam kereta sepanjang perjalanan pulang dari KL ke Ipoh. Saya benar-benar terkejut apabila mendengar kualiti lagu di dalam album ini. Album ini benar-benar bermutu tinggi! Kualiti rakamannya sangat bagus! Saya boleh mendengar dengan jelas setiap instrumen yang dimainkan. Sungguh asyik mendengar petikan gambus, gitar dan gesekan biola. Alatan perkusi juga dimainkan secukupnya dengan tidak mengambil-alih peranan alat muzik lain. Petikan gambus memang mengasyikkan.

Lagu-lagu dalam album ini terdengar segar, terasa mendengar album new age atau world music buatan Malaysia yang berteraskan irama tradisional.

Prelude dan Selembar Kaseh sudah menambat hati saya dan sesuai sebagai lagu pemula. Lagu yang dicipta Zulkifli dan senikata oleh Mohsen ini dinyanyikan oleh Mohsen, vokal kumpulan Dewangga Sakti. Liriknya puitis dan menyentuh.

Lagu Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta Rekod Dunia) memang sesuai dengan tajuknya. Lagu yang seakan menggambarkan suasana bergembira dan pesta-pestaan masyarakat Melayu. Budaya kenduri-kendara, sorak-sorai tetapi isinya kosong. Biar menang bersorak, tetapi kampung tergadai.

Lagu Kembali Menchari membuai perasaan saya dengan vokal Mohsen yang menyanyi dengan begitu santai. Sekali dengar seperti vokal kumpulan Dlyod, dua kali dengar macam Ebiet G Ade. Lagu ini diserikan dengan irama keroncong melalui petikan gitar. Liriknya perlu diamati yang membawa pesan berguna agar kembali ke asal. Asal yang mana?

Lagu Tertinggal Kapal Angkasa pula sarat dengan permainan instrumen yang diterajui oleh alat akordian dan biola. Lagu instrumental ini mengisahkan tentang Pak Abdul yang tertinggal kapal angkasa kerana tertidur pada hari pelancaran.

Kesimpulannya album ini patut dimiliki. Mutu album jauh lebih tinggi dari harga pasaran RM15. Saya letakkan album ini setanding dengan mutu album Mohar. Saya sangat berharap ada pihak yang dapat mengesan bakat anak-anak muda Dewangga Sakti ini supaya lekas terbit album penuh.

Album ini boleh dimiliki melalui Zulkifli Ramli di www.dewanggasakti.blogspot.com

Khamis, Mei 15, 2008

Buku Lagi

.

Sedar tak sedar kita sudah menghampiri pertengahan tahun 2008. Begitu cepat masa berlalu! Kesibukan tugas hingga tidak sedar masa berlalu terlalu pantas.

Saya sedang membaca buku di atas. Sudah selesai yang warna merah dan sedang baca yang dua lagi serentak. Membaca dua buku Rustam A Sani meninggalkan kesan yang berbagai. Buku yang bagus tetapi rasa sedih pilu kerana tidak akan dapat membaca tulisan beliau lagi selepas ini.

Saya juga baru sudah membaca Bedar Sukma Bisu karya Faisal Tehrani dan Biografi Usman Awang tulisan SN Muhammad Hj Salleh. Dua buah buku yang sangat bagus. Jika ada kesempatan akan saya kongsikan pengalaman membaca saya kemudian nanti. Tunggulah bila lapang sedikit nanti.

Buat masa ini, saya sibuk dengan tugas hakiki. :)

Jumaat, Mei 02, 2008

Kassim Ahmad Mencari Jalan Pulang...

.

Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam
Penulis: Kassim Ahmad
Penerbit: ZI Publications Sdn Bhd
Tahun: 2008
Halaman: 243
Harga: RM35.00



Saya beli buku ini kerana sudah agak lama tidak mengikuti perkembangan Kassim Ahmad. Tajuk bukunya yang mahu mencari jalan pulang sangat menarik saya untuk membeli bukunya. Benarkah Kassim mahu mencari jalan pulang? Sudah bertemukah beliau jalan pulang?

Semenjak kecil, nama Kassim Ahmad sudah saya kenali sebagai seorang tokoh ternama dalam negara. Kassim Ahmad adalah seorang tokoh pemikir, penulis, dan ahli politik yang terkenal negara.

Saya mula meminati politik semasa sekolah rendah. Saya membaca akhbar Bumi, Watan, majalah Sarina milik Abah. Kassim Ahmad adalah antara nama yang sering saya baca dalam akhbar dan majalah politk semasa itu. Kassim memimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Kassim Ahmad pernah menjadi pendokong Rashad Khalifa yang heboh dengan KOD 19 semasa itu.

Kassim Ahmad kemudiannya mengejutkan negara dengan kenyataannya yang mempertikaikan hadith. Buku beliau Hadith Satu Penilaian Semula telah menggemparkan negara. Polemik tentang anti hadith bercambah di dalam media. Saya masih ingat mengikuti dengan minat debat antara Kassim Ahmad dan A Ghani Ismail di dalam akhbar arus perdana.

Semenjak itu Kassim Ahmad mula dikenali sebagai pelopor gerakan anti hadith di Malaysia. Sebenarnya, untuk berlaku adil, Kassim bukanlah menolak hadith secara total. Kassim mempertikaikan sebilangan hadith yang beliau anggap bertentangan dengan Al Qur’an. Hadith yang beliau anggap selari dengan ruh Al-Qur’an tidak beliau pertikaikan.

Inilah sebenarnya kesalahan besar Kassim Ahmad. Beliau mungkin menafikan menolak hadith, tetapi kenyataan dan tulisan beliau telah menimbulkan keraguan dan was-was masyarakat umum terhadap institusi Hadith. Itulah sumbangan besar Kassim Ahmad. Tulisan Kassim Ahmad tidak secara langsung telah melahirkan tokoh-tokoh lain yang mula mempertikaikan keaslian hadith. Individu yang tidak punya latarbelakang pengajian Islam, apa lagi pengajian hadith mula bercakap mempertikaikan hadith dan hukum-hukum Islam seolah-olah ulamak besar.

Kassim kemudiannya mengasaskan Jamaah Al-Qur’an yang seperti ada persamaan dengan Sister In Islam. Amina Wadud yang mendorong penubuhan Sister In Islam pernah jadi pensyarah saya dan memeranjatkan kami dengan keberanian menafsirkan Al-Qur’an menggunakan akal semata-mata. Kami terkejut dengan kedangkalan ilmu-ilmu asas Islam beliau tetapi berani berlagak macam pandai.

Sayang sekali Kassim tidak mencari tokoh ulamak hadith, sebelum berhajat menilai semula hadith. Negara kita tidak kekurangan ulamak hadith yang boleh menerangkan bagimana menentukan keaslian hadith dan menentukan taraf hadith samada sahih, hassan, daif atau palsu. Sudah banyak kitab-kitab yang ditulis yang menghimpunkan hadith palsu. Pengajian hadith ada disiplinnya, bukan boleh diterjah mengikut logik akal semata-mata.

Benarkah Kassim Ahmad sudah berjumpa jalan pulang? Saya tidak bertemu jawapan kepada soalan itu di dalam buku ini. Saya hanya berharap Kassim Ahmad akan terus mencari jalan pulang. Moga berjumpa jalan pulang dan moga jalan itu nanti jalan yang diberkati dan mendapat rahmat keampunan Allah.

Sabtu, April 26, 2008

Rahsia Bisnes Mamak

.


Rahsia Bisnes Mamak
Pengarang : Mohammad Faisal Sharbudin, Zamri Mohamad
Penerbit : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Harga ; RM 23.00
ISBN : 978-983-3586-75-2;



Buku ini saya beli di gerai buku PTS di Pesta Buku KL 2008. Saya sebenarnya sudah memesan dari penulis buku Faisal Sharbudin yang juga dikenali sebagai elmaaniq. Beliau antara penulis blog yang sudah lama menulis dan sering berhubung di alam siber. Saya beli buku ini di Pesta Buku setelah terserempak dengan penulis Zamri Mohamad.

Tajuk buku ini sahaja sudah menarik perhatian pembaca. Rahsia Bisnes Mamak. Penulis menggunakan perkataan Mamak bukan India Muslim. Mamak memang perkataan yang sering kita guna dan rasanya sudah jadi mesra dengan budaya setempat.

Buku ini menjadi istimewa kerana rasa saya ini adalah usaha ulung untuk berkongsi resepi perniagaan golongan India Muslim di negara kita. Saya memang sudah lama tertarik dengan perniagaan India Muslim yang mempunyai ciri-ciri perniagaan yang menarik. Keramahan tauke kedai misalnya, perlu dicontohi. Pesanan pelanggan yang biasa datang ke kedai, sudah dihadam dan diingati.

Penulis mengambil pendekatan menulis bab-bab pendek . Ada 63 bab pendek yang menyentuh berbagai aspek tentang bisnes mamak. Ada bab yang menarik perhatian saya, ada yang tidak. Ada yang benar-benar unik tentang bisnes mamak, ada juga rahsia perniagaan yang rasanya asas-asas perniagaan yang sudah diterima semua. Walau apa jenis perniagaan, asas-asasnya tetap sama, mesti ada strategi pemasaran, mesti ada 4P (Product, Price, Place, Promotion).

Penulis telah menulis tentang perniagaan India Muslim di dalam negara. Sangka saya hanya perniagaan restoran, kerana istilah kedai mamak selalunya dikaitkan dengan restoran India Muslim. Penulis telah mendedahkan perniagaan India Muslim dalam bidang-bidang lain seperti perniagaan runcit, emas dan sebagainya.

Saya tertarik dengan bab-bab awal, tenatng sejarah perkataan `mamak’ juag sejarah kedatangan India Muslim ke Tanah Melayu dan bagaimana mereka memulakan perniagaan. Buku ini menjadi lebih menarik kerana penulisnya sendiri dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga India Muslim yang menjalankan perniagaan. Banyak cerita dalam buku ini berdasarkan pengalaman peribadi penulis menolong perniagaan milik keluarga.

Buku ini mungkin buku pertama tentang perniagaan India Muslim oleh penulis. Harapan saya penulis akan terus membuat kajian untuk memperbaiki dan memantapkan lagi kandungan buku ini dalam edisi berikutnya. Mungkin akan ada lagi buku-buku yang lain mengenai bisnes mamak dari penulisnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails