Penyeberang Sempadan
oleh SN Anwar Ridhwan- Paperback, 451 halamanPenerbit Utusan Publications & DistributorsISBN139789676125460Tahun 2012dibeli di Popular City Square Johor Bharu.
- Novel ini datang ke dakapan pembaca dengan harapan yang tinggi. Ditulis oleh seorang penulis yang baru diangkat sebagai seorang Sasterawan Negara. Lalu, novel ini perlulah memenuhi hasrat pembaca yang mahu membaca novel yang berkualiti dan bermutu tinggi.Secara keseluruhan, novel ini ditulis dengan baik. Jika tidak, mana mungkin ianya memenangi tempat pertama Hadiah Sako bagi Novel Nasional 2011. Ia mengambil latar masa dan tempat yang menarik. Zaman rusuh ketika melawan penjajah kolonial memang dekad yang penuh warna-warna. Hatta, karya sastera nasional, sepanjang sejarahnya, banyak yang berjaya merakamkan dekad tersebut dengan begitu berjaya sekali.Walaupun tidak sehebat Naratif Ogonshoto, novel ini masih juga menarik dibaca. Seperti membaca sebuah travelog. Jika pernah membaca memoir tokoh Indonesia,Tan Malaka, Dari Penjara Ke Penjara, ada banyak persamaan. Tan Malaka melalui perjalanan yang hampir sama dan melewati zaman yang sama. Yang membezakannya, Tan Malaka tetap dengan prinsip perjuangan menentang kapitalisme dan kolonialisme barat hingga ke akhir hayat. Watak utama novel ini pula bagai seorang pejuang yang kebingungan mengikut arus. Pertengahan novel ini ada juga seakan-akan kisah perjalanan seperti travelog Enrique Mengundang jauh tulisan HM Tuah Iskandar yang mencari jati diri Melayu di benua Eropah.
Novel ini mungkin sesuai untuk mereka yang lahir di zaman pasca komunis. Satu pengenalan yang baik buat anak muda yang tidak faham dengan bahaya komunis dan tidak biasa dengan perintah darurat. Buat yang mereka yang sudah akrab dengan tulisan golongan kiri, terutama tulisan para pejuang API dan Rejimen 10 PKM, data-data yang dikutip dan diceritakan di dalam novel ini mungkin tidak begitu memikat. Bagai tidak terlihat jiwa pejuangnya kerana senang benar bertukar pegangan. Penulis pula mencari jalan selamat dengan kelihatan cuba untuk tidak memihak atau menghukum ideologi yang bertentangan di zaman itu.
Novel ini akan jadi lebih menarik jika lukisan gejolak jiwa seorang pejuang diberi warna yang lebih. Kenapa pejuang kiri dahulu memilih jalan gerila dan berganding dengan PKM sebenarnya sangat menarik untuk diceritakan, dicerekakan bahkan boleh dijadikan skrip filem yang menarik. Memoir golongan kiri seperti Memoir Ahmad Boestamam Merdeka dengan Darah dalam Api, Memoir Shamsiah Fakeh, Dari Awas ke Rejimen ke-10, Memoir Ibrahim Chik dan sebagainya boleh dirujuk.
Wacana tentang ideologi yang bertentangan juga tidak dihuraikan secara mendalam di dalam novel ini. Alangkah bagusnya jika penulis dapat mengembangkan wacana antara ideologi seperti yang telah digarap dengan baik oleh Faisal Tehrani dalam Tuhan Manusia. Alangkah bagus jika penulis dapat menjawab soalan mengapa kebanyakan Melayu yang menyertai perjuangan komunis di zaman itu dari latarbelakang agama yang kuat. Saya tidak fikir golongan kiri di zaman itu memilih komunisme kerana tertarik dengan ideologinya, sebagaimana kita melihat fahaman komunisme sekarang. Konteks dan latar politik dunia perlu dilihat untuk memberi gambaran adil dan saksama.
Konflik diri dan sindrom yang menghantui watak utama mengingatkan saya pada watak utama novel Hujan Pagi karya SN A Samad Said. Cubaan yang baik tetapi tidak boleh menandingi kehebatan Hujan Pagi dengan watak pengarang Lokman dan halusinasinya.
Perjalanan watak utama di hujung novel bagai membaca memoir Kassim Ahmad dalam Mencari Jalan Pulang. Watak utama novel ini mungkin lebih berjaya berbanding Kassim Ahmad yang masih mencari-cari jalan pulang, tapi masih belum berjumpa, kerana mencari di tempat yang salah.
Jika tidak kerana penghabisan novel ini yang melengkapkan pencarian watak utama, saya mungkin memberi tiga bintang sahaja untuk novel ini. Saya masih belum tertarik dengan buku ini sehinggalah di pertengahan novel. Di tengah-tengah novel saya sudah mula berprasangka mungkinkah novel ini akan mengikut jalur-jalur seperti yang sering dipaparkan dalam akhbar Utusan, yang kebetulan adalah penganjur sayembara ini. Kisah cereka di muka hadapan, yang kita tahu ke mana arah penamatnya, kerana skripnya sudah lama ditentukan di belakang tabir.
Mujur, penulis menamatkan novel ini dengan cara selamat dan saya beri 4 suku bintang untuk novel ini.
menghimpun cetusan rasa, tulus dari jiwa. Jiwa hidup dengan deria rasa. Dari Jiwa Rasa.
Khamis, Januari 26, 2012
Penyeberang Sempadan - SN Anwar Ridhwan
Sabtu, Februari 26, 2011
Dah lagu tu. Nak lagu mana lagi!!
Sampul album Phoenix Bangkit M Nasir. Lirik lagu Dah Lagu Tu! dan Lukisan Bayu Uomo Radjikin
Dah Lagu Tu !
(lagu dan lirik M Nasir)
Istanamu telah lama didakap debu
Serinya pula telah hilang
Aku datang tepat waktu
Tapi kau masih ragu kesan luka lalu
Raja-raja dulu telah fana dimakan zaman
Kini tinggal kau tanpa pilihan
Kecuali mahu membiarkan
Hidup di awang-awangan
Mengharapkan yang tak mungkin menjelma
Dah lagu tu nak lagu mana lagi
Biar bagaimanapun kau cuba menghindari
Aku berikan padamu kembang penawar luka
Tiada lagi hari sedihmu
Raja-raja dulu telah fana di makan zaman
Kini tinggal kau tanpa pilihan
Kecuali mahu membiarkan
Hidup di awang-awangan
Mengharapkan yang tak mungkin menjelma
Sanggupkah kau melepaskan cinta
Dan menantikannya untuk selamanya
Aku berikan padamu kuntum penawar luka
Tiada yang lebih dari itu
Dah lagu tu nak lagu mana lagi
Biar bagaimanapun kau cuba menghindari
Aku berikan padamu kembang penawar luka
Tiada hari seindah ini
Lama rasanya saya tak mendengar semula lagu-lagu M Nasir dan menghayati lirik-liriknya. Dahulu, lagu-lagu M Nasir menjadi antara sumber inspirasi saya untuk meneroka mencari maklumat dan ilmu. Lirik-lirik lagu nyanyian M Nasir, khasnya lagu-lagu dalam album Phoenix Bangkit membawa pendengar meneroka ke merata dunia dan merentas zaman. Kisah Jalaludin Rumi dan Mathnawi dilahirkan dalam lirik lagu Bila Rumi Menari. Kisah Pandawa dan Kurawa yang diangkat dari epik Mahabrata digubah dengan begitu indah dalam lagu Langgam Pak Dogo. Lagu Raikan Cinta menggali semula sejarah Siti Hajar dan Nabi Ismail. Lagu Masirah pula mengimbau kisah Muhammad ad Durrah, kanak-kanak berumur 12 tahun yang dibunuh Isarael.
Lagu Dah lagu tu! adalah antara lagu yang saya minati. Mendengar lagunya membuahkan rasa rindu pada leluhur. Rindu pada zaman dahulu. Zaman raja-raja dahulukala. Lagu ini sarat dengan pengaruh muzik Sunda. Tiupan seruling oleh Mohar bisa membuai rasa. Ditambah pula getar petikan kecapi Sunda oleh Zarul Al-Bakri yang berselang seli oleh ketukan gendang Sunda oleh Ramli Jawa.
Iramanya mendayu-dayu diperkemaskan lagi dengan lirik yang mempunyai kisah dan makna yang sangat menarik. Lagu ini terbit di awal tahun 2000 ketika suasana politik dalam negara masih panas bahangnya. Ia mengisahkan kisah seorang Maharaja yang sudah lama duduk di puncak kekuasaan. Lamanya di tampuk sehingga sukar mahu melepaskan takhta. Lebih menarik lagi, tajuk lagu itu `Dah Lagu tu' adalah dialek dari negeri sebelah utara. Mujurlah orang Melayu sudah ramai yang tidak memahami bahasa Melayu dan tidak memahami maksud yang tersirat di sebalik lirik lagu ini. Jika tidak, sudah tentu ada kelompok yang mahu menjerit mahu membakar album Phoenix Bangkit karya M Nasir ini.
Kini, putaran hidup bermula lagi. Pemimpin-pemimpin dunia di negara Arab sudah diminta turun dari puncak kuasa. Siapa sangka pemimpin yang pernah dijulang sebagai hero dan penyelamat bangsa boleh diturunkan dengan hina dan paksa. Bukan sedikit jasa dan budi mereka dahulu, lalu dijulang oleh rakyat ke tampuk kuasa. Namun, begitulah adat, bila sudah lama duduk di kerusi empuk, kadang-kadang lupa nasib rakyat yang hidup berlantaikan tanah berbumikan langit. Lama sangat di tampuk, tidak sedar rupanya orang sudah tidak berkenan lagi.
Jangan cepat sangat bersorak melihat mereka diseret ke bawah oleh rakyat, tanpa mahu mengambil iktibar. Ini pesan untuk semua. Pemimpin besar dan kecil. Bukan raja-raja sahaja boleh jatuh. Pemimpin kecil juga boleh jatuh jika tidak menjunjung amanah. Memimpin itu amanah yang akan ditanya nanti. Harus diingat, yang menjawab nanti bukannya mulut kita, tetapi mulut mereka yang kita pimpin.
Sabtu, Oktober 02, 2010
Bertamu ke Rumah Allah 10/10/10
Tahun 2006 kami bertuah dapat menunaikan umrah ke Tanah Suci bersama Mak dan Abah. Pengalaman tersebut benar-benar menawan hati kami untuk kembali lagi dan segera menunaikan fardu haji. Kami sudah berdaftar dengan Tabung Haji seawal tahun 2000.
Dengan keizinan Allah, kami mendapat khabar baik yang nama kami telah tersenarai untuk menunaikan haji awal tahun ini setelah kami berhijrah ke Kuching, Sarawak. Rasa bersyukur kerana semenjak pindah ke Kuching, banyak benar rahmat dan rezeki Allah yang kami terima. Ketenangan hidup di Kuching menjadi penawar hati yang berjauhan dengan keluarga dan teman di semenanjung.
Sepertimana bakal haji yang lain, kami mengikuti kursus haji di Kuching. Setiap pagi minggu kami berdua ke Masjid Bahagian, Kuching untuk mengambil bekal ilmu dan pengetahuan untuk dibawa ke Mekah. Ustaz Jogi Hj Suhaili, Imam Besar Masjid Jamik Kuching menjadi pembimbing utama dan dibantu oleh Ustaz Fauzi dan Ustaz Ibrahim Hailee. Pengalaman yang sangat menarik kerana kursus haji juga menjadi kursus belajar bahasa Melayu Sarawak buat kami berdua. Ramai bertemu kenalan baru, walaupun ramai dari mereka sebenarnya belum dapat pengesahan untuk pergi haji tahun ini. Namun kami mungkin tidak bersama dengan rakan semasa kursus haji kerana kami memilih untuk berangkat dari Kelana Jaya.
Alhamdulillah seminggu selepas Hari Raya Aidil Fitri kami mendapat pengesahan tarikh untuk berangkat ke Tanah Suci. Alangkah gembiranya hati saya kerana impian untuk ke Tanah Suci sebelum usia mencecah 40 tercapai. Lebih gembira kerana akan menyambut hari ulangtahun kelahiran di Tanah Suci. Bolehlah kami sambut dengan nasi Arab di sana. :)
Insya Allah kami akan pulang ke Semanjung pada 6/10/10. Ingin pulang ke kampung meminta doa restu orang tua di Sg Siput dan di Padang Rengas juga untuk menitip Ayshah.
Berat hati untuk meninggalkan Ayshah bersama Atuk dan Opah di kampung. Mujur, pembantu rumah kami yang baru sempat datang sebelum kami berangkat. Bolehlah tengok-tengokkan si kecil. Moga rindu Ayshah terubat juga dengan kehadiran sepupunya di kampung, Abang Imran, Kak Nyah dan Yob Am. Kelmarin Ayshah demam dan ponteng sekolah tadika. Bibik Ayshah beritahu kami, Ayshah ada sebut yang dia nak ikut Mama dan Dedi pergi Mekah.
Moga Allah permudahkan perjalanan kami dan urusan kami pergi dan pulang. Mohon teman-teman juga doakan keselamatan kami yang pergi dan mereka yang tinggal. Doakan kami mendapat haji mabrur dan pulang sebagai insan yang lebih baik. Kami berdua ingin menyusun jari memohon kemaafan di atas segala kekurangan dan kesilapan sepanjang perkenalan dan persahabatan. Mohon doa dari teman-teman supaya perjalanan kami pergi dan pulang sentiasa di bawah lembayung rahmat dan keselamatan Allah. Doakan kami mendapat haji mabrur dan pulang sebagai insan yang lebih baik dari hari ini.
Kami akan mendaftar diri di Kelana Jaya tengah malam 9/10/10 untuk berangkat pada 10/10/10 awal pagi. Penerbangan KT05 antara penerbangan awal ke Jeddah dan kami akan mengerjakan haji Tamatuk. Kami akan pulang ke tanahair pada 25/11/10. Insya Allah jika ada jodoh kita bertemu kembali.
Selasa, Jun 22, 2010
Enam
Waktu berlalu begitu pantas sehingga kita sering tidak sedar kita sudah ketinggalan jauh. Seringkali masa dan peluang yang ada tidak kita gunakan sepenuhnya. Kehidupan ini bagaikan menatap indahnya pemandangan matahari terbenam di waktu petang. Kita asyik dengan indahnya kejadian alam sehingga kita tidak sedar sebenarnya matahari sudah pun terbenam. Masa terus beredar dan kita masih asyik merenung langit. Masa yang lalu tidak mungkin akan kembali. Renunglah ke hadapan dan hadapi hari-hari seterusnya.
Kita sering mengeluh tidak buat apa yang perlu diperbuat. Kita beri berbagai alasan buat mengurangkan rasa bersalah dalam diri. Apapun alasan, semalam tetap semalam. Tinggal hari ini dan hari esok untuk dihadapi sebelum ia menjadi semalam.
Semoga kita diberi kekuatan untuk mencorakkan hari ini yang akan dikenang sebagai semalam yang indah.
Khamis, Februari 11, 2010
Keledang
Judul : Keledang
Pengarang : A Samad Said
Penerbit : Wira Bukit Sdn Bhd
Genre : Novel
Mukasurat : 171 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9833922055
Kulit Keras
Membaca buku bagaikan kita memasuki satu dunia yang penuh keajaiban. Membaca boleh membawa kita ke zaman yang mustahil kita boleh pergi secara fizikal, tetapi berjaya dilakukan dengan imaginasi dan khayalan pembacaan.
Buku yang ditulis oleh penulis yang hebat akan membawa kita menjiwai dunia yang dicipta sehingga terasa benar-benar berada di dalamnya. Itulah perasan saya bila membaca karya tulisan Sasterawan Negara A Samad Said bertajuk Keledang.
Novel Keledang ini sudah agak lama saya beli. Sudah dua tahun. Saya beli sewaktu Pesta Buku Antarabangsa KL tahun 2008. Saya masih ingat bergambar bersama SN A Samad Said dan membeli sejumlah buku dari Helmy Samad di gerai Wira Bukit. Sudah nasib buku ini lambat bertemu jodoh dengan pembacanya setelah `bertunang' begitu lama.
Keledang meneruskan penceritaan SN A Samad Said tentang hidup pada zaman Jepun. Latarbelakang yang sama boleh dibaca dalam novel Sungai Mengalir Lesu dan Adik Datang. Novel ini bercerita tentang keadaan hidup di sebuah kampong yang menghadapi kekejaman penjajah Jepun.
Keledang melahirkan keresahan hidup orang-orang biasa yang kebebasannya diragut. SN A Samad Said begitu bijak sekali membina watak yang berbagai di dalam novel ini. Watak seorang isteri kehilangan suami dan anak-anak kehilangan bapa berjaya menimbulkan perasaan belas dan simpati pada pembaca. Kasihan anak-anak kecil yang tidak faham apa yang telah berlaku di zaman yang serba resah itu. Begitu juga watak seorang lelaki yang ditinggalkan isteri dan anak-anak betul-betul memberi pengajaran kepada diri yang hidup senang lenang di zaman ini.
Watak pengkhianat bangsa yang mengambil kesempatan di atas kesusahan umat juga amat berbekas kepada diri saya. Rupanya golongan pengkhianat ini wujud di setiap zaman. Sesetengah manusia memilih untuk mengejar kepentingan diri dengan bergayut di pinggang penjajah. Mereka ini sanggup menjadi pembohong, pemeras dan menjadi talibarut penjajah yang menindas bangsa sendiri. Golongan ini suka mengambil kesempatan di atas kelemahan, kesusahan dan kekurangan pengetahuan orang kampung untuk menambun harta .
Zaman penjajahan Jepun memang zaman yang memeritkan. Keperitan hidup dan keresahan untuk meneruskan hidup. Saya tidak sempat merasa zaman Jepun, kerana saya lahir di awal era Dasar Ekonomi Baru, namun cerita susah payah zaman Jepun sering diceritakan oleh orang-orang tua dahulu. Hidup saya semas kecil juga dihabiskan dengan membaca buku cerita dan novel berlatarbelakangkan zaman penjajah Inggeris dan Jepun.
Membaca novel Keledang ini membawa semula kenangan saya semasa kecil. Satu demi satu novel-novel yang pernah saya baca lebih dari 30 tahun dahulu muncul semula dalam ingatan. Karya penulis ASAS 50. Saya tiba-tiba rasa rindu pada kampung juga kenangan bersama orang-orang tua yang kebanyakan sudah lama pergi meninggalkan saya. Arwah Tok Daud dan Tok Kulup, Opah dan Tok Enda. Hiburan kami dahulu, di waktu malam ialah mendengar Tok bercerita tenatang kisah hidup mereka di zaman Jepun. Zaman yang belum ada TV dan masih bertemankan pelita minyak tanah.
Wajah-wajah lain juga datang satu persatu. Wajah Mak dan Abah yang menjadi inspirasi dan pendorong untuk saya menjadi pembaca tegar sejak dari sekolah rendah lagi. Terbayang bagaimana resahnya saya menunggu Mak dan Abah pulang dari mengajar di sekolah dan membawa pulang buku-buku dari perpustakaan. Anak Abah ini sering merungut bila kehendaknya tidak dipenuhi. Menunggu Abah pulang dari pekan Sungai Siput membawa komik, majalah Bujal atau Beano, Utusan Pelajar dan Mingguan Kanak-Kanak. Masih saya ingat juga kenangan membaca buku-buku novel, politik dan agama dari almari buku Abah. Habis buku Kaum Muda saya hadam ketika sekolah rendah.
Aduh! Jauh benar diri ini dibawa mengembara. Begitulah hebatnya sebuah novel yang boleh membawa kita mengembara begitu jauh sekali melampaui zaman dan kembali mengundur diri ke zaman dahulu.
Sesekali, elok juga kita kembali membaca karya-karya sebegini di sebalik membaca buku-buku semasa yang bercerita tentang kisah-kisah yang molek di zaman ini.
© www.jiwarasa.blogspot.com (2004-2010)
Langgan:
Catatan (Atom)
