Sabtu, Januari 31, 2009

Keranda 152 - Usman Awang

.

KERANDA 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu


Usman Awang (1967)



Puisi tulisan Usman Awang ini akan diabadikan di atas kemeja T oleh rakan kita, lanterajiwa. Saya syorkan semua pengunjung blog ini supaya memesan kemeja T ini dari blog lanterajiwa.

3 Mac ini genaplah 42 tahun peristiwa mengusung Keranda 152 oleh pejuang bahasa Melayu di tahun 1967.

Saya ada menulis tentang peristiwa Keranda 152 ini di sini. Catatan itu boleh dibaca di banyak laman web dan blog walaupun tidak disebut sumber asalnya.

3 Mac 1967, Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 diluluskan oleh Dewan Rakyat. Peristiwa itu akan dikenang dalam sejarah sebagai saat pengkhianatan kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama. Pengkhianatan kepada sumpah dan janji menjelang kemerdekaan Tanah Melyu 10 tahun sebelumnya itu, dilakukan oleh ahli parlimen kerajaan Perikatan dari UMNO, MCA dan MIC. Bangkangan hebat dari PAS di dalam Dewan Rakyat telah tidak dilayan. Datuk Asri Muda, Yang DiPertua PAS telah memberi pidato bersejarah di Dewan Rakayat yang kemudiannya dikenali sebagai Rakyat Menggugat.

Saat rang undang-undang itu diluluskan di parlimen, saat itulah juga pejuang bahasa dari berbagai golongan, termasuk juga ahli UMNO yang tidak bersetuju, berhimpun di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai usaha terakhir menyuarakan penentangan terhadap pindaan itu. Peristiwa penuh emosi itu berakhir dengan kehampaan apabila suara orang Melayu telah diketepikan begitu sahaja dan dikecewakan oleh pemimpin Melayu sendiri.

Tahun 2001 menyaksikan apa yang disuarakan dan ditentang oleh pejuang bahasa di tahun 1967 menjadi kenyataan. Keranda 152 bagai sudah dipaku rapat dan sedia untuk dikambus apabila bahasa Melayu diketepikan sebagi bahasa ilmu dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah.

Penghujung tahun 2008 mula kelihatan riak-riak pejuang bahasa sudah mula bersuara. Selama ini ramai tokoh bahasa Melayu yang tenggelam dalam dunia sendiri. Seronok sendiri berhimpun membaca puisi yang tidak didengar orang. Sibuk mencari Melayu di Afrika hingga lupakan nasib Melayu di tanah sendiri. Tambah seronok bila ada yang diberi gelar pendita, lalu khusyuk membilang biji tasbih dan lupa untuk mengambil peranan dalam masyarakat. Saat menjelang pilihanraya 2008 yang sepatutnya menjadi medan dan peluang paling penting untuk melobi sokongan kepada perjuangan mengangkat bahasa Melayu telah berlalu begitu sahaja.

Adakah tahun 2009 akan memahat sejarah sebagai titik perubahan ke arah usaha mengembalikan bahasa Melayu ke tempat asalnya?


Samad Said: Jika demo gagal, undi protes PPSMI

Himpunan bantah PPSMI di Sogo esok

Ahad, Januari 25, 2009

SN Arena Wati (1925 - 2009)

.



SN Arena Wati pergi meninggalkan kita pada 25 Januari, 2009. Kita hilang seorang lagi Sasterawan Negara mengikut SN S Othman Kelantan yang pergi lebih dahulu Julai tahun 2008. Hilang beliau takkan berganti. Salam Takziah untuk keluarga Pak Arena Wati.

Saya pernah mencatat pengalaman membaca buku Sakura Mengorak Kelopak tulisan Pak Arena di blog ini pada tahun 2004. Novel tersebut seperti yang saya tulis menjadi satu titik tolak untuk saya terus kembali meneroka karya-karya penulis Melayu, setelah sekian lama memilih buku berbahasa Inggeris. Catatan itu juga antara catatan saya paling awal mengenai buku, khasnya buku berbahasa Melayu.

Kesukaran mencari buku-buku berbahasa Melayu ketika itu menjadi pendorong kuat untuk saya menulis catatan di blog dalam bahasa Melayu. Saya masih ingat bagaimana Sakura Mengorak Kelopak telah mengubah tanggapan saya terhadap novel berbahasa Melayu. Novel itu meninggalkan kesan yang kuat, mendalam dan berbekas lama. Saya terus jadi penggila buku terutamanya karya-karya Sasterawan Negara.

Karya SN Arena Wati jadi penggerak kepada kembara saya mencari buku dan mencari semula jati diri sendiri. Saya tenggelam kekusyukan dalam dunia buku. Ke serata ceruk kedai buku saya selongkar mencari buku-buku yang langka tulisan sasterawan Melayu. Ada kalanya melompat girang bagai bertemu harta karun dan selalunya kecewa dan gagal dalam pencarian saya.

Bak kata Pak Arena Wati di dalam Panrita,
“Suatu pengembaraan dianggap gagal kalau kita tidak mendapat apa-apa yang kita cari. Tetapi itu tanggapan yang salah. Tidak ada pengembaraan yang sia-sia. Cuma kau tidak faham, bahawa sesuatu yang kaujumpa dalam perjalananmu. Ada kalanya lebih baik daripada apa yang kaucari.”


Begitulah pencarian buku yang saya anggap gagal sebenarnya menemukan buku-buku lain yang tidak kurang bagusnya. Pencarian buku menemukan saya dengan antara lain kedai buku Pustaka Antara yang pernah menjadi tempat Pak Arena Wati bertugas dari tahun 1962 hingga tahun !974. Sewaktu Pak Arena bertugas sebagai editor di Pustaka Antara telah bercambahnya buku-buku dari Indonesia.

Kini, jika anda ke Pustaka Antara, yang sudah berpindah dari kedai asal di Jalan TAR ke Kompleks Wilayah, Kuala Lumpur, masih boleh bertemu buku-buku yang diusahakan oleh Pak Arena. Karya-karya Pak Arena sendiri juga karya-karya penulis Indonesia, seperti Pramoedya Ananta Toer, Iwan Simatupang, Sutan Takdir Alisjahbana, Putu Wijaya; sekadar menyebut beberapa nama.

Terima kasih Pak Arena kerana membantu saya mencari semula diri sendiri. Saya akan teruskan pengembaraan dan pencarian saya. Moga bertemu yang lebih baik dari yang dicari.

Terimakasih kerana meninggalkan karya-karya besar untuk kami baca dan ulang baca. Benarlah kata orang; harimau mati meninggalkan belang, penulis mati meninggalkan karya yang terus hidup selagi ada yang membaca.

Jumaat, Januari 16, 2009

Rentak Galur - Sarimah Othman

`

Rentak Galur
Penulis: Sarimah Othman
Penerbit: DBP
No. KK: 899 206286101
No. ISBN: 9789836296832
Tahun Terbitan: 2007
Halaman : 298
Harga Buku: RM20.00


Buku ini datang ke pangkuan saya dengan cara yang tersendiri. Penulisnya menulis email kepada saya bertanyakan di mana saya tinggal, kerana katanya kami mungkin berjiran. Saya mengirim alamat di email. Selang beberapa hari saya terkejut melihat sebuah bungkusan di dalam peti surat saya.

Sehingga saat saya menulis ini, saya belum kenal siapa penulisnya, tidak tahu latarbelakang penulisnya. Carian saya di internet juga tidak banyak membantu. Saya hanya tahu yang penulis buku ini Sarimah Othman adalah penulis buku Rentak Galur yang telah memenangi Hadiah Saguhati dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP, kategori Novel Remaja.

Terus terang, sekilas pandang, saya tidak akan membaca novel ini. Wajah depan buku ini memaparkan wajah seorang perempuan bertudung. Saya memang sedikit alergi dengan kulit buku sebegini. Orang kata jangan mengadili buku dari kulitnya, tetapi kulit sebegitu memberi gambaran, kepada saya, bahawa ceritanya tentu penuh dengan melankolia. Kisah cinta remaja, sedih dan kecewa. Maaf cerita sebegini, saya kurang minat. Saya tidak kata ceritanya tak bagus, tetapi saya secara peribadi kurang minat membaca kisah cinta semata-mata. Mungkin faktor usia.

Begitulah perasaan saya apabila melihat buku ini kali pertama. Saya perasan yang buku ini saya pernah lihat di rak buku Kedai Buku Dawama. Itu bermakna, buku ini sudah tentu mencapai tahap tertentu, jika tidak belum tentu dapat diterbitkan oleh DBP. Terpilih menang hadiah saguhati dari 59 novel lain yang mengambil bahagian, bukan satu pencpaian yang kecil.

Buku ini saya mula baca malam itu juga dan berjaya dihabiskan malam berikutnya. Novel Rentak Galur ini secara ringkas mengisahkan seorang gadis bernama Nilam Atiqah yang mahu mencari semula susur galur keluarganya. Setelah dibesarkan di rumah anak yatim, beliau pulang semula ke rumah peninggalan arwah ibu dan bapanya. Pencarian beliau bermula apabila dengan tak sengaja bertemu dengan buku harian ibunya. Bermulalah tersingkapnya satu demi satu rahsia yang memberi kejutan.

Penceritaan melalui buku harian itulah yang memberikan keistimewaan kepada novel ini. Pembaca menjadi terpaut dengan kisah yang diceritakan dan mahu tahu apa yang berlaku seterusnya. Bahasa yang digunakan tersusun dan mengalir mudah. Perbendaharaan kata juga digunakan sebaiknya. Penulis bijak bermain dengan plot dan sub-plot. Kisah satu keluarga besar yang sering dirundung malang dan berlaku kematian misteri bagai mencuba menyuntik unsur realism magis dalam novel ini. Ini ditambah pula dengan kisah sumpah dan kisah duyung. Ya, duyung, bukan dugong.

Novel ini saya sifatkan datang pada masa yang sesuai. Saya baru habis membaca buku Kee Thuan Chye – March 8 –The Day Malaysia Woke Upp dan sedang bergelut menghabiskan buku Khaled Abou El Fadl, Hanya Tuhan Mengenal Tentera-Nya. Kehadiran buku ini bagai memberi kekuatan baru untuk saya terus istiqamah membaca buku. Membaca buku di celah-celah kesibukan kerja bukannya mudah. Banyak kali kita hilang momentum sewaktu membaca sesebuah buku. Silap haribulan bacaan tidak habis dan buku itu akan tersadai di penjuru rumah. Membaca semula buku yang sudah `tersadai’ sangatlah susah!

Buku ini berjaya memujuk saya untuk mula dibaca setelah pulang dari kerja jam sepuluh malam di hari yang sama menerimanya. Buku ini juga diterima dengan nota kecil di dalam buku ini oleh penulisnya Sarimah Othman. Buku ini merupakan karya pertama beliau, dan sebagai novel pertama, saya berpendapat ianya tidak mengecewakan dan boleh dianggap sebagai satu kejayaan peribadi buat penulisnya. Moga jadi pendorong untuk beliau lebih giat menulis lagi.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails