.
Salam Tahun Baru 2008.
Seperti biasa setiap awal tahun, ramai yang memasang azam baru. Ada juga yang mahu meneruskan azam tahun lepas-lepas yang terbengkalai.
Tahun 2007 benar-benar menggembirakan saya sebagi penulis blog pencinta buku. Tahun 2007 menyaksikan lahirnya banyak blog pencinta buku yang baru. Banyak juga blog-blog yang sudah mula mesra buku dengan menyelitkan ulasan buku atau pengalaman bersama buku yang pernah dibaca. Walaupun hanya 2 atau 3 ulasan buku setahun itu sudah cukup baik untuk menimbulkan kecintaan terhadap buku dan dunia perbukuan.
Lebih menarik lagi, blog-blog bermutu dalam Bahasa Melayu juga sudah mula bercambah. Saya sudah tidak sempat untuk mengemaskinikan pautan kepada blog-blog baru di blog saya. Jika blog anda tidak saya pautkan bukan bermakna blog anda tidak baik atau saya tidak baca. Banyak blog-blog baru yang sering saya kunjungi.
Andai kata saya berhenti menulis ulasan buku di sini pun, saya yakin akan dapat tidur lena, kerana kita sudah ada ramai yang boleh menulis tentang buku dengan begitu baik di blog masing-masing.
Jika ditanya apa azam saya untuk tahun 2008, sudah tentu saya ingin meningkatkan pembacaan saya samada dari segi mutu, skop, dan juga bilangan buku. Saya harap saya boleh terus menulis ulasan buku, kerana tahun ini saya akan lebih sibuk dengan urusan kerja. Banyak projek baru yang akan saya uruskan tahun ini.
Saya sering ditanya bagaimana saya boleh membaca banyak buku? Apa petua yang saya gunakan sehingga boleh menghabiskan banyak buku dalam masa yang singkat?
Rasanya saya sudah menjawab di banyak tempat dalam blog ini. Tiada yang istimewa. Saya tidak menggunakan sebarang kuasa sakti. Saya juga manusia biasa seperti rakan-rakan yang lain. Saya bukan bekerja di perpustakaan ataupun tokeh kedai buku yang mungkin ada banyak masa untuk membelek buku. Saya sebut `belek’ bukan `baca’.
Oleh kerana ramai rakan yang bertanya, tahun ini saya memasang azam untuk menulis petua-petua tentang buku dan dunia perbukuan. Saya berazam untuk menulis pendek-pendek petua-petua buku yang akan saya panggil Petua Buku Jiwa. Saya akan kongsikan bagaimana tabiat saya membaca buku. Saya tidak tahu samada saya punya masa untuk terus menulis ulasan buku dan menambah pula menulis petua buku. Doakan saya berjaya.
Selamat Tahun Baru 2008!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan