Mengapa orang Malaysia kurang membaca? Itu pertanyaan saya kepada Pak Jawahir, orang kuat Alam Raya, kedai buku di Jalan Pahang Barat, KL, yang banyak mengedarkan buku-buku dan majalah dari Indonesia.
Saya terkejut melihat macam-macam jenis buku dari Indonesia yang dijual di kedai Alam Raya milik beliau. Kami berbincang banyak tentang tabiat membaca kedua-dua di Indonesia dan di Malaysia. Di Indonesia, aktiviti terjemahan sangat rancak. Berbagai-bagai genre buku yang telah diterjemahkan dari berbagai bahasa ke Bahasa Melayu Indonesia. Perbincangan dan perdebatan khalayak di Indonesia juga bercabang banyak. Adakalanya terlalu kompleks sehingga boleh memeningkan kepala orang luar yang mahu membuat kajian. Pemikiran Islam di Indonesia sebagai contoh telah melahirkan bermacam-macam aliran pemikiran yang rencam.
Kata Pak Jawahir, di Indonseia, berkhutbah sewaktu Solat Jumaat adalah perkara biasa bagi semua orang. Saintis biasa berkhutbah di sana, dan isi khutbahnya bukan tentang isu-isu biasa seperti di sini. Khatib di sana berkhutbah tentang dunia sains, penemuan sains dan wahyu, mengkaji Sains dan hubungannya dnegan Al-Qur’an.
Khatib di Malaysia tidak berkhutbah, tetapi membaca teks khutbah. Tanpa teks tidak ramai yang boleh berdiri tegak tanpa lutut menggeletar dan berpeluh dingin di mimbar. Isu yang dibincangkan pun isu-isu ringan. Isu-isu yang selamat yang tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa walaupun orang yang memang sepatutnya disinggung. Teks khutbah di Malaysia menepati syarat resepi untuk mendodoi jemaah pendengar untuk tidur.
Bukan sahaja khutbah, perbicangan khalayak di Malaysia juga berkisar benda-benda ringan. Isu-isu yang dibincang adalah isu-isu pop dan ringan. Tengok sahaja kandungan perbincangan di internet. Tengoklah kandungan blog-blog penulis berbahasa Melayu di internet. Ya, memang bilangan blog berbahasa Melayu sudah meningkat. Namun berapa banyak yang punya kandungan yang bagus? Berapa banyak pula yang menulis menggunakan bahasa yang baik?
Berapa banyak blog yang menulis dengan bahasa yang hodoh, dan mereka ini bukan lulusan sekolah atap. Sekurang-kurangnya ada SPM. Lulusan universiti, ada ijazah malah ada yang punya doktor falsafah, tetapi blognya langsung tidak membawa manfaat kepada pembaca. Berapa banyak blog pemegang ijazah yang hanya menulis tentang berapa kali makan dan berak dalam satu hari.
Berapa banyak blog yang tuannya punya sarjana tetapi tidak boleh ditumpang kesarjanaannya. Tidak ada langsung tulisan yang boleh diambil manfaat. Tidak ada langsung hasrat mahu memandaikan bangsa. Bahasanya hodoh, sekerat bahasa ibunda sekerat bahasa asing, sekerat putih sekerat hitam macam panda. Bahasa utamanya bahasa pasar dan bahasa sms, dan mereka semua ada sijil!
Blog orang kita dalam bahasa Inggeris pun boleh dikira yang betul-betul bermanfaat. Lebih banyak mencarut dari yang bercerita menyampaikan ilmu.
Itulah realiti masyarakat kita. Masyarakat yang malas membaca. Malas berfikir. Zaman berfikir berhenti sejurus keluar dari dewan peperiksan di hari terakhir di universiti. Segulung ijazah jadi lesen untuk berhenti membaca.
Kenapa orang Malaysia malas membaca? Kenapa orang Malaysia malas berfikir?
` Mungkin kerana orang Maaysia sudah hidup senang, sudah hidup mewah. Kesenangan hidup sudah tidak memerlukan orang membaca lagi. Apa guna membaca dan berfikir yang berat-berat, kerana sudah ada segala-galanya. Ada rumah besar, kereta besar. Apa guna lagi pening kepala berfikir benda yang berat-berat?’ kata Pak Jawahir.
Tanpa sedar saya mengangguk setuju dengan Pak Jawahir. Perut yang kenyang rupanya membawa bencana kemusnahan buat peradaban manusia. Perut kenyang buat manusia berhenti berfikir. Ramai yang dulunya berjuang, berhenti berjuang kerana takutkan perut tak terisi. Ramai yang berhenti berjuang kerana mengejar makanan untuk disumbat ke dalam perut.
Orang besar malas membaca, apa lagi orang kecil. Pemimpin malas membaca, apa lagi yang dipimpin.
Orang dewasa malas membaca dan berfikir, bagaimana remaja dan kanak-kanak? Lebih teruk lagi, kita malas membaca bahan bacaan serius, kita paksa anak-anak kita membaca bahan bacaan ringan.
Mungkin mereka menyangka, jika otak tidak digunakan untuk berfikir, maka nilainya makin bertambah, boleh dijual mahal kerana urat-urat, saraf dan sel otak itu tidak digunakan. Kalau begitu fikir mereka, simpanlah otak itu baik-baik. Sesak-sesak nanti bolehlah dijual.
Selamat malam. Saya letih. Saya nak tidur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan