Jumaat, April 27, 2007

Pesta Buku Antarabangsa KL 2007

.




Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007

27 April hingga 6 Mei 2007
Isnin hingga Khamis
(10.00 am- 7.00 pm)
Jumaat hingga Ahad; Cuti Umum
(10.00 am- 10.00 pm)
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)



Pesta Buku Antarabangsa KL datang lagi! Sedar tak sedar tahun ini sudah 26 tahun pesta buku ini diadakan.

Saya masih ingat lagi kenangan semasa Pesta Buku ini mula-mula diadakan di Changkat Pavilion, berhampiran Stadium Merdeka, KL. Saya masih pelajar masa itu. Kami berjalan kaki dari Bus Stand Klang ke sana. Berjalan pulang lebih meletihkan, dengan buku penuh di tangan. Mengunjungi Pesta Buku semasa masih bergelar siswa, sudah tentulah banyak halangannya, terutama wang. Apa lagi jika biasiswa belum masuk. Beli buku pun berjimat-jimat, takut lari budget. Buku yang saya cari ketika itu pun rasanya berlainan dengan sekarang. Buku rujukan perniagaan dan perakaunan dan mungkin buku self development dan politik semasa.

Tahun ini Pesta Buku KL sudah kali ke 26, dan sudah lama ada gelaran antarabangsa. Harapan saya gelaran antarabangsa itu dijaga baik, dengan mempamerkan buku yang bermutu tinggi. Saya agak rimas, bila Pesta Buku yang lepas dipenuhi jurujual program belajar bahasa.

Tahun ini dijangka lebih meriah. Ada 183 syarikat mengambil bahagian, 160 syrikat tempatan dan 23 syarikat lura negara seperti UK, US dan Australia. Ada 600 gerai berbanding 530 tahun lepas. Jika tahun lepas PBAKL 2006 menyaksikan kehadiran sekitar 700, 00 pengunjung, tahun ini mungkinkah boleh mencapai jumlah sejuta? Tentu ramai yang ingin mengambil peluang dari cuti Hari Pekerja dan Hari Wesak.

PBKL 2007 juga akan menghidangkan pengunjung dengan 63 aktiviti sampingan.

Saya akan ke sana hari Isnin. Bertolak pagi dari Ipoh dan terus ke PWTC. Rasanya hari Isnin mungkin tidak sesesak hari minggu, kerana ianya hari bekerja. Jangan pula yang lain juga berfikiran sama lalu mengambil cuti hari Isnin seperti saya!

Kepada rakan-rakan pencinta buku, kalau ada rezeki mungkin kita boleh berjumpa. Alangkah menariknya jika kita boleh berjumpa selepas selesai membeli-belah buku. Duduk sambil minum teh dan bertukar maklumat tentang buku yang dibeli!

Selasa, April 24, 2007

Bertemu Pencinta Buku

.



Saya menulis posting ini di rumah kami di Ipoh. Petang tadi saya pulang setelah dua hari mesyuarat di Port Dickson.

Hari Ahad, saya di Seminar Pencinta Buku 2007. Satu pengalaman yang akan segar lama dalam ingatan. Bagaimana akan saya lupakan kenangan bertemu kali pertama dengan rakan-rakan pencinta buku.

Saya bertemu kali pertama dengan masali, orang kuat bukuonline. Saya dan isteri tidak akan lupakan budi baik dan layan mesra beliau. Masali bertungkus-lumus mahu menjayakan Seminar kali ini bersama rakan-rakan lain dari bukuonline.. Saya juga berjumpa Khairusy Syakirin, setelah hampir 20 tahun tidak bertemu. Tahniah dan terima kasih untuk mereka yang bertungkus-lumus, walaupun kurang sokongan dari pengusah toko buku.

Seminar ini juga menemukan saya dengan sdr Nisah Haron, penulis novel terkenal. Bertemu pertama kali bagai sudah kenal lama. Begitu juga dengan suami beliau Sdr Shukri, pengendali Ujanilmu.com




Saya bertemu Pak Samad dan Sdr Helmy. Ucapan Pak Samad pagi itu sangat menarik. Saya harap saya boleh dapat teks ucapan beliau untuk dibaca sekali lagi. Ucapan beliau disusun dengan begitu teliti, Pemilihan kata seakan petikan dari karya beliau. Saya rasa seperti dibawa oleh Pak Samad menyusuri kedai-kedai buku di Singapura yang pernah beliau selongkar.

Saya telah diminta membentangkan kertas kerja tentang pengalaman blog dalam meneroka dunia buku. Saya sebenarnya hanya menceritakan pengalaman peribadi saya yang dikongsi di blog, dengan harapan akan lebih ramai pencinta buku memulakan blog untuk berkongsi minat dan pengalaman dunia buku. Kalau ada kekurangan dan tidak tercapai apa yang dihajatkan, harap dimaafkan.

Saya juga bertuah dapat bertemu tokoh akademik Prof Dr Bukhari Lubis, tokoh penyair dan penulis Raja Ahmad Aminullah.

Rakan blogger Shima datang jauh dari Johor. Abdullah dari Kelang. Norziati juga datang, walau sekejap. Jika ada rakan lain yang tidak saya sebut dan tegur, saya minta maaf.

Kita akan berjumpa semula di ketika yang lain. Mungkin di Pesta Buku, minggu depan.

Rabu, April 18, 2007

Baca 558 buku dalam 15 bulan

.
.



558 buku dalam masa 15 bulan!

Itulah jumlah buku yang dibaca oleh Chang Wei Han, pelajar tingkatan lima SMJK Chung Ling di Pulau Pinang, seperti dilapor The Star. Dia meluangkan tiga jam sehari untuk membaca sekurang-kurangnya 200 mukasurat berbagai judul buku.

Kalau dicongak beliau membaca sebanyak 37 buku sebulan, ataupun 9 buku seminggu. Maknanya, beliau membaca sekurang-kurangnya 1 buku sehari! Kalau ditakdirkan beliau meneruskan tabiat itu dan hidup 50 tahun lagi, dia akan berjaya membaca 25,000 judul buku.

Tak kiralah genre apa yang beliau baca, tetapi jumlah buku yang dibaca itu sudah cukup besar.

Saya sendiri secara peribadi hanya mampu membaca 1 atau 2 buku sahaja dalam masa seminggu. Kalau didarab dengan 52 minggu setahun, saya jangkakan hanya akan membaca 50 buku dalam masa setahun. Tak sampai 10% dari 558!

Andai kata saya dimurahkan rezeki dan dilanjutkan umur untuk hidup 30 tahun lagi, saya hanya boleh membaca sebanyak 1,500 buku sahaja lagi!

United Kingdom menerbitkan 206,000 judul baru dalam tahun 2005 dan US pula 172,000 judul baru. Kalau saya hidup seribu tahun lagi pun saya hanya dapat membaca 50,000 buku atau 13% dari judul buku yang diterbitkan di US dan UK pada tahun 2005.

Negara kita, Malaysia menerbitkan lebih dari 6,000 judul buku baru setiap tahun. Jangan risau, 90% daripadanya buku teks dan buku kerja sekolah. Hanya lebih kurang 500 sahaja judul bacaan umum.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah menerbitkan lebih 10,000 judul buku. Kalau mahu baca semuanya saya perlukan 200 tahun hayat!

Itu kalau saya baca 50 buku setahun. Kajian UNESCO pada tahun 1999 menunjukkan rakyat Malaysia membaca hanya 2 judul buku setahun.

Bayangkan betapa bosannya hidup mereka yang hanya membaca 2 buku setahun. Klau hayat mereka 50 tahun, seumur hidup mereka akan baca hanya 100 buah buku! Hanya 1% dari judul buku DBP!


Betulkah rakyat Malaysia membaca 2 buku setahun?


Berapa buku yang anda baca dalam setahun?



Isnin, April 16, 2007

Seminar Pencinta Buku Malaysia 2007

.




Saya tidak dapat hadir ke Seminar Pencinta Buku Malaysia 2006 tahun lepas. Teringin sangat nak hadir, tetapi kempunan juga akhirnya.

Tahun ini Seminar Pencinta Buku akan berlangsung lagi. Masali telah menulis di blognya Kaki Buku makluman awal tentang Seminar Pencinta Buku Malaysia 2007.

Saya berjanji untuk hadir. Saya telah diminta untuk berkongsi rasa dan pengalaman tentang blog buku dan penerokaan dunia buku.

Tentu meriah jika dapat berjumpa rakan-rakan pencinta buku. Rakan-rakan blogger dan pencinta buku, marilah kita hadir beramai-ramai ke Perpustakaan Shah Alam.

Kita jumpa di sana!



Seminar Pencinta Buku Malaysia Kedua (2007)

Tarikh: 22 april 2007 (Ahad)
Masa: 8:00am - 5:30pm
Tempat: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor,
Shah Alam

Masuk : RM20



Pembentang
  • Ucap utama – Kembara di Toko Buku (SN Dato’ A. Samad Said)
  • Membangun toko buku yang mempersona: Perspektif Bukuonline.org (Shaharom TM Sulaiman dan Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim - Bukuonline)
  • Membumikan budaya membaca: menyelusuri hubungan perpustakaan dan toko buku (Mohdi Darim - Pemangku Pengarah PPAS)
  • Kecemerlangan toko-toko buku dalam peradaban Islam (Prof. Dr. Muhamad Bukhari Lubis - Ketua Penerbit UPSI)
  • Berlibur ke toko buku (Ali Dina - Bukuonline)
  • Toko buku nadir di Timur Tengah (Rahimi Md Saad - UM)
  • Toko buku maya: Pengalaman Ujana Ilmu (Nisah Hj. Haron)
  • Penerokaan dunia buku melalui blog buku (JiwaRasa)


Maklumat lanjut sila hubungi Norelmin Sapuan (PPAS) –el_mien@yahoo.com, Tel: 03-55197667 samb. 126 Faks: 03-55196045.

Anda juga boleh melawati laman Bukuonline.org

Khamis, April 12, 2007

Sangeetha - Azizi Hj Abdullah

.


Sangeetha
Penulis: Azizi Haji Abdullah
Penerbit: DBP
ISBN: 9836293299
Tahun Terbitan: 2006
Halaman : 561
Harga Buku: RM35.00




Azizi Abdullah adalah antara penulis yang saya minati sejak dari sekolah rendah lagi. Seingat saya tahun 70-an Azizi Abdullah adalah antara penulis yang rajin berkarya. Saya masih ingat pernah menyukai cerpen tulisan beliau.

Saya juga masih ingat Abah pernah belikan saya sebuah novel tulisan Azizi Abdullah. Novel itu berjudul Dari Kolam Mulhammah. Masa itu rasanya saya masih di darjah tiga atau empat. Bagi seorang budak berumur 10 tahun, novel itu adalah novel yang paling pelik pernah saya baca. Saya baca tapi tak faham. Saya cari cerita tetapi tidak ada cerita di dalamnya. Saya mengadu pada Abah. Buku ini macam kuliah agama pun ada, kata saya. Abah gelak besar.

Semalam saya baru habiskan novel terbaru Azizi Abdullah. Novel hebat berjudul Sangeetha. Saya beli di Kedai Buku DBP Bukit Mertajam. Novel ini hebat kerana ceritanya juga hebat. Sangeetha adalah watak utama dalam novel ini. Sangeetha seorang perempuan tua berbangsa India. Janda kaya berumur 85 tahun. Lebih hebat lagi bila seorang perempuan tua berkasih dengan seorang lelaki berumur 75 tahun. Kasihnya tertumpah pada seorang lelaki tua Melayu bernama Derus.

Pada mulanya, saya rasa geli-geleman mahu baca kisah cinta orang tua. Bukan tu lagi, sudah kerepot. Cukup susah mahu mula membaca novel ini. Saya seperti membaca sebuah kisah yang kosong, sepi dan sunyi. Lama-lama saya rasa tenggelam dalam kisah kesepian orang tua. Sungguh bijak penulis bercerita. Saya terasa seperti berkongsi kesepian mereka. Derus dan Sangeetha adalah dua watak utama dalam novel ini. Watak sampingannya pula adalah seekor kucing dan seekor burung merbuk. Bayangkan bagaimana sepinya hidup mereka.

Kisah kasih dua jiwa ini bukanlah seperti kisah Rumi dan Juli. Ini kisah antara kasih dan kasihan. Kasih dilukis dengan bahasa jiwa, gerak laku dan gerak badan. Tambah menarik bila kasih berbeza budaya ini diikat dengan alatan muzik tradisonal, gambus dan tabla.

Penulis ternyata membuat kajian yang teliti sebelum menulis novel ini. Setiap watak dan lokasi dalam novel ini ditulis dengan begitu teliti, terperinci dan halus. Penulis seperti seorang mahaguru muzik bila bicara tentang gambus dan tabla. (Bila baca tentang gambus, saya mesti teringat Sdr Zulkifli, pemain gambus kumpulan Dewangga Sakti. Terima kasih bersusah payah menghantar CD Kiai Kanjeng!)

Saya suka novel ini. Saya suka pantun yang diselit di setiap peghujung atau awal bab. Pantun penulis dan juga dari Hikayat Malim Deman atau Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Sangat puitis.

Ada permata di dalam tangan,
Dibungkus dengan kain baldu;
Jika bercinta menyesal jangan,
Ada rang tua sembunyi rindu.

Novel ini juga ditamatkan dengan penuh suspens, tidak disangka, mengejutkan dan sungguh berkesan.

Saya masih teringat-ingat novel ini. Saya tak sabar nak hadir program Bicara Novel Sangeetha hari Sabtu ini.



BICARA NOVEL SANGEETHA

Tarikh: Sabtu, 14 April 2007
Jam : 8.30 pagi - 12.30 tgh.
Tempat : Dewan Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar

Panel :
Dr.Siti Hajar Che man USM
Dr.Ratna Roshida Abdul Razak USM

Peminat sastera dijemput. Percuma.
Hubungi 04-5377241 Pn Khairiyah





Selasa, April 10, 2007

Dari Salina Ke Langit Petang

.
.


Judul : Dari Salina ke Langit Petang
Pengarang : A. Samad Said
Penerbit : Wira Bukit Sdn Bhd
Genre : Esei / Autobiografi
Mukasurat : 112 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9834119669
Kulit Tebal



Membaca judulnya sahaja sudah dapat diteka apakah isi kandungan buku ini. Salina dan Langit Petang adalah antara judul buku tulisan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said. Salina merupakan masterpiece Pak Samad yang diterbitkan sewaktu beliau berumur 23 tahun. Langit Petang pula terbit agak kemudian. Sekali teka, sudah tentu buku ini tentang proses penulisan buku dari novel Salina hingga ke novel Langit Petang. Sudah tentu buku ini sesuai untuk para penulis, atau sesiapa yang bercita-cita mahu jadi penulis.

Sebenarnya buku ini tidak sekadar sesuai untuk penulis. Ianya juga patut dibaca oleh peminat buku. Pak Samad bercerita dengan penuh mesra tentang kisah hidup beliau. Saya asyik sungguh membaca kisah Pak Samad dan ibunya. Kata Pak Samad, keinginan beliau untuk menulis terdorong dari keinginan untuk bercerita yang diwaris dari ibunya. Ibu Pak Samadlah yang berjasa melahirkan seorang Sasaterwan Negara. Cerita Batu Belah Batu Bertangkup, Bawang Putih Merah adalah kisah yang diceritakan oleh Ibu kepada anaknya. Cerita sebegitulah yang telah menimbulkan daya imaginasi dan kreativiti yang kuat pada Pak Samad untuk menjadi seorang tukang cerita.

Buku ini diceritakan dengan penuh ikhlas dan mesra sehingga bagaikan menceritakan segala-gala yang peribadi buat penulisnya.

Bak kata Pak samad sendiri,

`Hampir tidak ada yang disembunyikan di sini sehingga jika seseorang rajin dan tekun menelitinya, ia akan sekali lalu dapat menyerapi dunia seorang sasterawan yang seniman dengan segala rahsia kehidupan dan seninya.'

Buku ini sangat patut dibaca oleh peminat buku. Ada satu bab khusus tentang buku bertajuk Jalan Awal Ke Buku. Pak Samad bercerita tentang buku-buku yang memberi kesan kepada diri dan penulisan beliau. Pak Samad bercerita tentang betapa minatnya beliau pada penulis Harun Aminurrashid dan Ahmad Lutfi. Beliau mengaku menangis apabila membaca Balik Dari Medan Perjuangan karya Ahmad Lutfi.

Saya tersenyum bila Pak Samad bercerita tentang betapa susahnya beliau mahu menghabiskan buku Atheis tulisan Akhdiat K Mihardja.

Pak Samad juga begitu terkesan dengan Di Bawah Lindungan Kaabah tulisan Buya Hamka. Tidak pernah ada buku yang memilukan dan mengharukan hati beliau seperti buku itu.

Pak Samad juga meminati karya penulis Inggeris. Buku The Astures of Heaven tulisan John Steinbeck beliau telaah sehingga koyak. John Steinbeck, Pearl S Buck dan Ernest Hemingway adalah antara pengarang yang beliau minati.

Buku-buku inilah kemudiannya yang mempengaruhi beliau untuk menulis plot dan watak dan teknik penceritaan dalam novel-novel beliau. Terasa begitu dekat dan mesra kita dengan karya-karya beliau. Baru saya tahu latar belakang yang membezakan corak penulisan novel Salina dan Langit Petang juga Sungai Mengalir Lesu.

Membaca buku ini akan mendekatkan pembaca dengan karya A Samad Said. Ianya terisi dengan begitu banyak pengalaman dan pengetahuan yang berguna buat pembaca. Buku yang pernah terbit dua puluh tahun dahulu ini, telah diberi nyawa semula oleh Wira Bukit Sdn Bhd. Buku ini kembali dengan persembahan yang lebih indah. Kulit buku yang segar dan cantik pasti menawan hati para peminat buku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails