Jumaat, Oktober 15, 2004

Gua Tempurung menjadi Iktibar

.





Hari itu, kami sepatutnya bertolak lebih awal ke Kuala Lumpur, tetapi saya terpaksa menghadiri satu mesyuarat penting yang tamat agak lewat. Dah agak lama juga kami tak ke Kuala Lumpur. Kali ini saya akan menghadiri MIA Conference yang akan berlangsung di PWTC pada hari Selasa dan Rabu.

Sejurus kami bertolak pukul 6.45 petang dari rumah kami di Rapat Setia, hujan mulai turun. Hujan bertambah lebat bila melalui kawasan Simpang Pulai dan Gopeng. Saya rasa tak berapa selesa memandu petang itu kerana cuaca yang agak buruk dan penglihatan juga agak terganggu. Tiba-tiba apabila sampai di Gua Tempurung saya lihat kereta di hadapan berhenti dengan mengejut. Mujur saya dapat mengawal kenderaan dari terbabas. Rupa-rupanya ada dahan besar yang telah jatuh melintang di tengah jalan dan menghalang lalulintas. Ada dua buah kereta tersadai di tepi jalan, mungkin terkena hempapan dahan tersebut.

Baru lagi jadi ni, fikir saya. Saya meminta isteri menelefon PLUS untuk menghantar bantuan, kerana saya tahu, jika bantuan lambat sampai, sudah tentu boleh mengakibatkan kemalangan ataupun kesesakan jalanraya. Memang benar, pekerja PLUS pun masih belum menerima sebarang laporan. Lega rasa hati kerana sekurang-kurangnya telah melaksanakan tanggungjawab sosial yang jarang-jarang dilakukan.

Tidak jauh dari situ, saya agak risau bila melihat air keruh dan berwarna kemerah-merahan yang turun mencurah-curah dari bahagian atas bukit di sisi jalan. Tak pernah saya tengok kejadian begitu sepanjang memandu di lebuhraya PLUS.

Waktu sudah melewati jam 7.10 petang. Hajat hati untuk berhenti di Kawasan Rehat Tapah terpaksa dibatalkan kerana hujan yang masih turun mencurah-curah. Mungkin jamak takhir di hotel sahaja, kata hati saya.

Apabila sampai di Slim River, handset isteri saya berbunyi. Aida rupanya. Aida bertanya di mana kami berada. Katanya ada kejadian tanah runtuh di Gua Tempurung. Kami berpandangan sesama sendiri. Terus terbayang di fikiran akan kejadian tadi. Berita di Radio melaporkan yang kejadian itu berlaku pukul 7.20 petang.

Maknanya, kami terlepas dari kejadian itu hanya dalam tempoh 10 minit. Andai kata kami keluar dari rumah lewat sedikit sahaja, tak tahulah apa yang telah berlaku. Membaca akhbar keesokan harinya menimbulkan rasa gerun di hati bila melihatkan imej tanah runtuh yang telah menutupi sebahagian besar jalan.

Timbul rasa keinsafan bila membaca tentang kecederaan parah yang dihadapi oleh mangsa kejadian. Rasa begitu hampir dengan kematian. Saya dan isteri bersyukur kerana telah diplih oleh Allah untuk tidak terlibat dalam kejadian itu.. Rasa insaf bahawa itu semua kehendak tuhan. Kita tidak boleh lari dari ketentuan Nya. Jika Allah mahu menguji kami, sudah tentu kami juga telah menjadi mangsa kemalangan. Soalnya, apakah kita bersedia menghadapi ujian seberat itu?

Kejadian tanah runtuh itu juga mengajar kita banyak perkara. Ia mengajar kita agar sentiasa rasa tawadhuk dan rendah diri terhadap kebesaran Ilahi. Sebijak manapun kita menguasai teknologi, membina bangunan menongkat langit dan memasak bumi, jangan kita bongkak dan angkuh dengan pencapaian kita. Kita sering meneriak bahawa kitalah juara pembangunan yang tiada taranya. Kita jarang bersyukur dengan nikmat Allah. Malah kadang kala tanpa kita sedar kita menghina hukum Ilahi dengan perkataan dan tingkahlaku kita. Syukur bukan sekadar di bibir. Ianya harus dimahkotakan dengan amalan dan tindakan yang membuktikan kepatuhan kita kepada Allah.

Iktibar juga kepada kontraktor dan mereka yang terlibat dalam bidang pembinaan. Kerja kita adalah ibadah jika ianya dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab, tiada unsur penipuan, dan tidak meletakkan keuntungan sebagai matlamat mutlak. Kekukuhan binaan, keselamatan pengguna, pemeliharaan alam ciptaan Ilahi harus juga menjadi keutamaan.




Mangsa Tanah Runtuh Hanya Lihat Tanah Dan Pokok Menghempapnya
Samy Vellu Minta PLUS Bina Terowong Di Kawasan Runtuhan

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails