Rabu, Januari 30, 2008

Pergi Tak Kembali

Datuk Ishak Baharom
1928-2008


Rosli Khamis
(1957-2008)



Negara kehilangan dua orang tokoh berturut-turut.
Kedua-duanya telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada masyarakat.

Pergi takkan kembali.

Hilang takkan berganti.

“Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan 3 perkara ;
Sedekah Jariah, Ilmu yang memanfaatkan, atau Anak soleh yang mendo’akan keatasnya” [Hadith diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmudzi, al-Nasaa’i, dan al-Bukhari]


Isnin, Januari 21, 2008

Kenapa malas?

.

Mengapa orang Malaysia kurang membaca? Itu pertanyaan saya kepada Pak Jawahir, orang kuat Alam Raya, kedai buku di Jalan Pahang Barat, KL, yang banyak mengedarkan buku-buku dan majalah dari Indonesia.

Saya terkejut melihat macam-macam jenis buku dari Indonesia yang dijual di kedai Alam Raya milik beliau. Kami berbincang banyak tentang tabiat membaca kedua-dua di Indonesia dan di Malaysia. Di Indonesia, aktiviti terjemahan sangat rancak. Berbagai-bagai genre buku yang telah diterjemahkan dari berbagai bahasa ke Bahasa Melayu Indonesia. Perbincangan dan perdebatan khalayak di Indonesia juga bercabang banyak. Adakalanya terlalu kompleks sehingga boleh memeningkan kepala orang luar yang mahu membuat kajian. Pemikiran Islam di Indonesia sebagai contoh telah melahirkan bermacam-macam aliran pemikiran yang rencam.

Kata Pak Jawahir, di Indonseia, berkhutbah sewaktu Solat Jumaat adalah perkara biasa bagi semua orang. Saintis biasa berkhutbah di sana, dan isi khutbahnya bukan tentang isu-isu biasa seperti di sini. Khatib di sana berkhutbah tentang dunia sains, penemuan sains dan wahyu, mengkaji Sains dan hubungannya dnegan Al-Qur’an.

Khatib di Malaysia tidak berkhutbah, tetapi membaca teks khutbah. Tanpa teks tidak ramai yang boleh berdiri tegak tanpa lutut menggeletar dan berpeluh dingin di mimbar. Isu yang dibincangkan pun isu-isu ringan. Isu-isu yang selamat yang tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa walaupun orang yang memang sepatutnya disinggung. Teks khutbah di Malaysia menepati syarat resepi untuk mendodoi jemaah pendengar untuk tidur.

Bukan sahaja khutbah, perbicangan khalayak di Malaysia juga berkisar benda-benda ringan. Isu-isu yang dibincang adalah isu-isu pop dan ringan. Tengok sahaja kandungan perbincangan di internet. Tengoklah kandungan blog-blog penulis berbahasa Melayu di internet. Ya, memang bilangan blog berbahasa Melayu sudah meningkat. Namun berapa banyak yang punya kandungan yang bagus? Berapa banyak pula yang menulis menggunakan bahasa yang baik?

Berapa banyak blog yang menulis dengan bahasa yang hodoh, dan mereka ini bukan lulusan sekolah atap. Sekurang-kurangnya ada SPM. Lulusan universiti, ada ijazah malah ada yang punya doktor falsafah, tetapi blognya langsung tidak membawa manfaat kepada pembaca. Berapa banyak blog pemegang ijazah yang hanya menulis tentang berapa kali makan dan berak dalam satu hari.

Berapa banyak blog yang tuannya punya sarjana tetapi tidak boleh ditumpang kesarjanaannya. Tidak ada langsung tulisan yang boleh diambil manfaat. Tidak ada langsung hasrat mahu memandaikan bangsa. Bahasanya hodoh, sekerat bahasa ibunda sekerat bahasa asing, sekerat putih sekerat hitam macam panda. Bahasa utamanya bahasa pasar dan bahasa sms, dan mereka semua ada sijil!

Blog orang kita dalam bahasa Inggeris pun boleh dikira yang betul-betul bermanfaat. Lebih banyak mencarut dari yang bercerita menyampaikan ilmu.

Itulah realiti masyarakat kita. Masyarakat yang malas membaca. Malas berfikir. Zaman berfikir berhenti sejurus keluar dari dewan peperiksan di hari terakhir di universiti. Segulung ijazah jadi lesen untuk berhenti membaca.

Kenapa orang Malaysia malas membaca? Kenapa orang Malaysia malas berfikir?

` Mungkin kerana orang Maaysia sudah hidup senang, sudah hidup mewah. Kesenangan hidup sudah tidak memerlukan orang membaca lagi. Apa guna membaca dan berfikir yang berat-berat, kerana sudah ada segala-galanya. Ada rumah besar, kereta besar. Apa guna lagi pening kepala berfikir benda yang berat-berat?’ kata Pak Jawahir.

Tanpa sedar saya mengangguk setuju dengan Pak Jawahir. Perut yang kenyang rupanya membawa bencana kemusnahan buat peradaban manusia. Perut kenyang buat manusia berhenti berfikir. Ramai yang dulunya berjuang, berhenti berjuang kerana takutkan perut tak terisi. Ramai yang berhenti berjuang kerana mengejar makanan untuk disumbat ke dalam perut.

Orang besar malas membaca, apa lagi orang kecil. Pemimpin malas membaca, apa lagi yang dipimpin.

Orang dewasa malas membaca dan berfikir, bagaimana remaja dan kanak-kanak? Lebih teruk lagi, kita malas membaca bahan bacaan serius, kita paksa anak-anak kita membaca bahan bacaan ringan.

Mungkin mereka menyangka, jika otak tidak digunakan untuk berfikir, maka nilainya makin bertambah, boleh dijual mahal kerana urat-urat, saraf dan sel otak itu tidak digunakan. Kalau begitu fikir mereka, simpanlah otak itu baik-baik. Sesak-sesak nanti bolehlah dijual.



Selamat malam. Saya letih. Saya nak tidur.

Jumaat, Januari 18, 2008

Robin Cook - Doktor yang menulis

.



Marker
Robin Cook MD
G. P. Putnam's Sons
2005
598 mukasurat
ISBN 978-0-330-48307-0
(Dibeli murah di Popular Megamall Penang
RM10++ selepas diskaun 70% ! )


Dalam masyarakat kita, doktor adalah kerjaya yang dihormati ramai. Mereka dipandang tinggi kerana kerjaya yang dianggap mulia.

Doktor juga terkenal sebagai orang yang cerdik, mempunyai banyak bakat dan kepakaran. Ramai doktor yang mempunyai kepakaran yang lain selain dari merawat orang sakit. Ada yang punya bakat seni, sehingga ada juga yang punya bakat seni yang pelik-pelik. Ada yang jadi pelakon, samada pelakon layar perak atau layar biru. Berlakon filem atau berlakon DVD.

Begitu jugalah dalam bidang penulisan. Dalam sejarah, ramai doktor perubatan yang telah menceburi bidang penulisan. Siapa tidak kenal dengan watak Sherlock Holmes? Pencipta watak itu ialah penulis Sir Arthur Conan Doyle yang juga seorang doktor. Begitu juga penulis terkenal W Somerset Maugham yang lulus bidang perubatan. Peminat novel thriller tentu kenal benar dengan Michael Crichton yang berkelulusan perubatan.

Penulis-penulis ini sangat berjaya dalam bidang penulisan, walaupun tidak menulis tentang perubatan secara khusus. Namun, mereka telah memanfaatkan ilmu mereka dalam bidang sains dan perubatan untuk berkarya.


Robim Cook adalah seorang lagi doktor yang menulis novel. Lulusan perubatan dari Fakulti Perubatan, Universiti Columbia dan juga Universiti Harvard. Berlainan dengan tokoh doktor penulis yang lain, Robin Cook menulis tentang dunia perubatan secara khusus. Robin Cook dikenali sebagai pakar dalam bidang penulisan novel thriller perubatan. Beliau sudah menulis 28 buah novel medical thriller yang menyentuh berbagai isu dalam dunia perubatan. Kebanyakan novel beliau adalah bestseller. Novel Coma tulisan beliau sudah diadaptasi ke filem dan diarahkan oleh Michael Crichton.

Novel Marker yang sudah saya baca ini adalah novel ke 25 Robin Cook. Novel ini antara novel yang relative lebih tebal berbanding novel-novel beliau yang lain. Robin Cook cuba menulis dengan deskriptif watak dan plot dalam novel ini. Novel ini mungkin bukan yang terbaik dari Robin Cook, tetapi ia tetap menghidangkan isu perubatan yang sangat menarik. Seperti biasa, novel Robin Cook akan menelanjangkan kebobrokan pemain dalam industri penjagaan kesihatan.

Novel ini mendedahkan kelemahan sistem kemudahan kesihatan di Amerika Syarikat. Masalah pembiayaan kesihatan di Amerika Syarikat sudah lama diketahui tidak efisyen dan juga sering tidak berlaku adil kepada pesakit. Tidak seperti hospital kerajaan di Malaysia yang menyediakan kemudahan kepada semua, hospital di Amerika tidak memberikan servis melainkan pesakit mempunya pembiayaan kesihatan. Pesakit perlu dilindungi insuran ataupun dilindungi oleh syarikat pengurusan kesihatan (managed care organisation) seperti Medicare dan Mediaid.

Kegagalan system penyediaan kesihatan di Amerika tidak menjadi teladan kepada pemuja Amerika yang masih berusaha untuk meniru dan melaksanakan sistem yang sama di Malaysia. Malaysia sepatutnya mengambil contoh dan pengalaman dari negara-negara Scndinavia yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang terbaik di dunia.

Novel-novel tulisan Robin Cook mungkin tergolong dalam novel popular, tetapi ianya adalah contoh novel popular yang membawa manfaat. Saya banyak belajar terma-terma perubatan dari novel-novel Robin Cook. Saya akan syorkan novel karya Robin Cook kepada sesiapa yang mahu tahu tentang dunia perbuatan. Buku yang sangat sesuai buat adik-adik yang menyimpan hasrat untuk menjadi doktor atau mahu memasuki industri penjagaan kesihatan. Ianya sangat sesuai buat mereka yang bekerja di bidang penjagaan kesihatan tetapi bukan berlatarbelakangkan perubatan.

Bilakah agaknya saya boleh membaca novel tentang dunia perubatan oleh doktor-doktor di Malaysia? Membaca novel, maksud saya, bukan menonton menonton DVD lakonan doktor.


Ahad, Januari 13, 2008

Petua Buku Jiwa - Buku & Cinta

.

.

Kenapa anda membaca? Membaca untuk lulus peperiksaan? Membaca kerana suka atau terpaksa? Tentu ramai yang pernah mengalami membaca dengan rasa berat hati untuk lulus peperiksaan. Membaca bukan dengan jiwa tetapi membaca hanya kerana mahu lulus peperiksaan. Kita membaca dengan wajah yang berkerut, membaca tanpa rela. Kita seolah seorang gadis sunti yang dipaksa berkahwin bukan dengan jejaka pilihan. Lebih teruk lagi jejaka itu dilihat buruk dan hodoh pada pandangan si gadis. Lalu lahirlah cinta tanpa rela. Cinta yang dipaksa.

Walaupun membaca dengan terpaksa, buku tetap tidak mengecewakan pembacanya. Kita sering diselamatkan oleh buku dalam peperiksaan. Manusia mungkin sering dikecewakan oleh kekasih, tetapi, buku jarang sekali mengecewakan. Walaupun ianya sering dilupakan dan terbiar usang di rak, buku sentiasa setia menunggu unntuk diambil dan dibelai. Buku akan menunggu bagai kekasih menunggu dambaan kekasih yang dirindu dan.yang lama tidak bertemu

Shahrom TM Sulaiman menulis dalam Keanehan dan Keunggulan Buku dan memetik kata-kata Al-Jahiz, seorang penjual roti yang juga seorang pencinta buku yang hebat;


Buku itu diam apabila engkau menghendakinya diam, berbicara apabila engkau menghendakinya berbicara. Ia tidak akan mengganggu kalau engkau sedang bekerja, tetapi apabila engkau berasa kesepian ia akan menjadi teman yang baik. Engkau tidak perlu marah dan berkecil hati kepadanya. Ia merupakan teman yang tidak menipu atau bermuka dua.


Buku adalah kawan yang tidak pernah mengecewakan. Ia akan sentiasa bersama kita. Pilihan di tangan kita. Membaca secara paksa, atau memilih membaca sebagai hobi, dan memilih buku sebagi teman. Jika kita pilih membaca sebagai hobi, kita akan dapat manfaatnya. Kita dapat ilmu dan pengetahuan, juga mendapat kesronokan dan kepuasaan jiwa dari aktiviti pembacaan.

Aktiviti membaca akan membuka satu pintu ke dunia yang sangat luas. Dunia yang tak terjangkau dek deria penglihatan. Dengan membaca jiwa kita boleh meneroka ke dunia tanpa sempadan. Membaca boleh membawa kita ke benua lain, bahkan dunia yng lain. Membaca boleh menjadi santapan jiwa yang boleh mengubah diri dan masyarakat.

Membaca perlu dengan minat. Membaca perlu berserta jiwa dan rasa. Ianya satu aktiviti yang sangat menyeronokkan. Ianya perlu dilihat sebagai satu hobi bukan satu beban. Kita perlu jatuh cinta dengan buku untuk tenggelam dalam dunia keasyikan dunia buku.

Soalnya, bagaimana mahu jatuh cinta dengan buku?

Ahad, Januari 06, 2008

Salam Tahun Baru 2008 & Petua Buku Jiwa

.

.




Salam Tahun Baru 2008.

Seperti biasa setiap awal tahun, ramai yang memasang azam baru. Ada juga yang mahu meneruskan azam tahun lepas-lepas yang terbengkalai.

Tahun 2007 benar-benar menggembirakan saya sebagi penulis blog pencinta buku. Tahun 2007 menyaksikan lahirnya banyak blog pencinta buku yang baru. Banyak juga blog-blog yang sudah mula mesra buku dengan menyelitkan ulasan buku atau pengalaman bersama buku yang pernah dibaca. Walaupun hanya 2 atau 3 ulasan buku setahun itu sudah cukup baik untuk menimbulkan kecintaan terhadap buku dan dunia perbukuan.

Lebih menarik lagi, blog-blog bermutu dalam Bahasa Melayu juga sudah mula bercambah. Saya sudah tidak sempat untuk mengemaskinikan pautan kepada blog-blog baru di blog saya. Jika blog anda tidak saya pautkan bukan bermakna blog anda tidak baik atau saya tidak baca. Banyak blog-blog baru yang sering saya kunjungi.

Andai kata saya berhenti menulis ulasan buku di sini pun, saya yakin akan dapat tidur lena, kerana kita sudah ada ramai yang boleh menulis tentang buku dengan begitu baik di blog masing-masing.

Jika ditanya apa azam saya untuk tahun 2008, sudah tentu saya ingin meningkatkan pembacaan saya samada dari segi mutu, skop, dan juga bilangan buku. Saya harap saya boleh terus menulis ulasan buku, kerana tahun ini saya akan lebih sibuk dengan urusan kerja. Banyak projek baru yang akan saya uruskan tahun ini.

Saya sering ditanya bagaimana saya boleh membaca banyak buku? Apa petua yang saya gunakan sehingga boleh menghabiskan banyak buku dalam masa yang singkat?

Rasanya saya sudah menjawab di banyak tempat dalam blog ini. Tiada yang istimewa. Saya tidak menggunakan sebarang kuasa sakti. Saya juga manusia biasa seperti rakan-rakan yang lain. Saya bukan bekerja di perpustakaan ataupun tokeh kedai buku yang mungkin ada banyak masa untuk membelek buku. Saya sebut `belek’ bukan `baca’. 

Oleh kerana ramai rakan yang bertanya, tahun ini saya memasang azam untuk menulis petua-petua tentang buku dan dunia perbukuan. Saya berazam untuk menulis pendek-pendek petua-petua buku yang akan saya panggil Petua Buku Jiwa. Saya akan kongsikan bagaimana tabiat saya membaca buku. Saya tidak tahu samada saya punya masa untuk terus menulis ulasan buku dan menambah pula menulis petua buku. Doakan saya berjaya.

Selamat Tahun Baru 2008!



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails