Dulu-dulu, kalau bercuti ke Pulau Pinang, sudah tentu Nasi Kandar menjadi makanan pilihan. Buah pala pula menjadi buahtangan dibawa pulang. Itu dulu. Kini nasi kandar sudah berada di mana-mana. Tak payah ke Pulau Pinang untuk mencari nasi kandar.
Kalau di Seberang Perai, ramai yang biasa dengan mee udang Sg Dua. Kedainya biasa sahaja, di tepi parit tak jauh dari lebuhraya Utara Selatan. Yang istimewa, udangnya segar dan boleh dipilih dan dikira mengikut timbangan. Sediakan wang sahaja.
Ada satu lagi tempat makan yang menarik tetapi mungkin tak ramai yang tahu. Nasi Ketam di Kuala Juru. Ramai rakan di pejabat saya pun tak tahu, malah terkejut bagaimana tak sampai setahun, saya sudah tahu tempat makan di sekitar Seberang Perai.
Nasi Ketam di Kuala Juru memang sangat istimewa. Ketamnya segar dan saiznya pun agak besar. Harganya pula sederhana. Bila disebut nasi ketam, saya bayangkan nasi goreng bersama ketam rebus atau bakar. Rupanya ketam itu dimasak merah berkuah dan dimakan dengan nasi putih. Kuahnya pekat kerana diadun dengan isi ketam. Sedapnya, sehingga terbayang-bayang. Memang nikmat makan nasi putih dengan kuah ketam. Jangan malu-malu guna tangan. Tak cukup dengan ketam, boleh dipesan udang goreng tepung, ataupun ikan bakar.
Warung nasi ketam ini, sederhana sahaja. Jangan bayangkan restoran berhawadingin. tak perlu bertalileher. Sebenarnya, warung ini terletak di bawah sebuah rumah kampung sahaja. Warung kampung. Lokasinya juga jauh ke dalam kawasan kampung. Hampir saya berpatah balik kali pertama ke sana. Itulah yang istimewanya, dapat menikmati kawasan kampung. Ketam dan udangnya pula masih segar kerana mendapat bekalan terus dari nelayan di situ.
Kalau mahu mencuba nasi ketam Juru, carilah jalan ke Juru dari Auto City. Cari Kg Bayan Nyiur ataupun Kg Kuala Juru, sehingga berjumpa Warung Pak Su.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan