Kalau ikut rancangan awal, saya tidak sempat ke Pesta Buku KL tahun ini. Tetapi takdir menentukan penerbangan kami yang sepatutnya 28 Mac ditangguhkan ke 24 April. Lalu sempatlah saya mencuri masa ke Pesta Buku semasa menghadiri mesyuarat penting di KL.
Ada beberapa buku yang sudah selesai saya baca tapi belum sempat saya tuliskan pengalaman saya membacanya. Antara yang menarik ialah buku memoir tokoh PKMM, Addul Majid Salleh, buku Crosscurrents tulisan Farish A Noor dan juga buku Patah Balek, himpunan artikel tulisan Fathi Aris Omar. Saya juga sedang membaca dua buah buku yang juga sangat menarik iaitu buku Mengembara Mencari Tuhan karangan Sheikh Nadim Al-Jisri juga buku Akulah Angin, Engkaulah Api tulisan Annemarie Schimmel. Buku Philip Kotler on Marketing pula saya jinjing setiap hari di dalm beg kerja untuk dibaca jika berkesempatan.
Saya sebenarnya terpaksa mengenepikan dahulu buku-buku di atas, kerana sedang menekuni beberapa buah buku lain. Buku-buku itu ialah Rahsia Mekah, Rahsia Madinah, Teman Tetamu Allah dan juga Falsafah Umrah. Membaca buku ini sudah tentu caranya berbeza dengan membaca buku-buku lain yang lebih santai sifatnya. Di masa yang sama saya juga mula membaca buku Prof Ahmad Shalaby Sejarah dan Kebudayaan Islam 1 & 2, mengulang baca sejarah kedatangan Islam ke dunia.
Buku-buku ini dibaca sebagai persiapan ke tanah kelahiran Nabi. Tak sabar rasanya ingin ziarahi makam Nabi tercinta, buat kali pertama. Kebetulan pula kita baru sahaja menyambut Maulidur Rasul. Kita sambut Maulidur Rasul tak lama selepas insiden karikatur menghina Nabi. Kesian sungguh mereka yang menghina insan yang sangat mulia. Lebih kesian, bila mereka yang menghina tidak kenal pun tokoh yang mereka hina. Kesian juga kepada mereka yang lebih hina kerana mengenepikan dan memperlekehkan ajaran Nabi, walaupun mereka mengaku umat Nabi.
Tak sabar juga melangkah kaki ke Tanah Suci dan menatap Rumah Allah buat kali pertama. Tak dapat saya bayangkan bagaimana agaknya pengalaman memandang kiblat yang kita hadapi setiap lima kali sehari!
Jiwa dan Suri akan bercuti mulai tanggal 24. Hari Jumaat dan Sabtu saya akan ke KL atas urusan kerja. Blog ini juga akan bercuti mulai Jumaat sehingga pertengahan bulan Mei. Doakan kami selamat dan sihat di sepanjang perjalanan pergi dan balik.
Kita berpisah seketika untuk bertemu semula, jika diizinkan oleh Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan