Jumaat, Disember 31, 2004

Selamat Tinggal 2004

.


25/12/2004 Pantai Cherating, Pahang - Bendera merah dipacak tanda laut bergelora & tidak sesuai untuk aktiviti di pantai


Tahun 2004 bakal melabuhkan tirainya hari ini. Hari ini akan dikenang sebagai memori lalu. Banyak kenangan pahit dan manis yang telah kita lalui sepanjang tahun untuk kita jadikan panduan dan pedoman meneruskan hidup di dunia ini.

Tahun 2004 telah ditutup dengan peristiwa tragis tsunami yang meragut ribuan nyawa. Di kala ribuan manusia sedang bergembira merayakan Hari Natal dan menghabiskan cuti akhir tahun, di kala itu juga musibah yang besar melanda kita. Takziah kita ucapkan kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Tiada siapa menyangka daerah yang makmur tanpa sebarang malapetaka boleh ditimpa musibah sebegini besar. Kita terperangkap kerana kita tidak pernah menyangka ianya akan berlaku di rantau sebelah sini dan tidak pernah membuat persiapan bagaimana menangani musibah sedemikian rupa.

Tragedi tsunami harus mengajar kita akan kekuasaan Allah. Allah boleh melakukan apa saja untuk menguji hambanya. Hamba yang beriman akan melihat tragedi ini sebagai satu ujian yang memperlihatkan bagaimana kerdilnya manusia dibandingkan Yang Maha Pencipta. Tidak ada yang mustahil bagi Allah.

Tsunami juga memberi peringatan kepada yang hidup, bahawa nyawa kita bukan milik kita. Ianya hanya pinjaman supaya kita gunakan hayat kita untuk memakmurkan dunia. Jika kita gunakan nikmat kurniaan Allah untuk memusnahkan dunia, menindas menginjak-injak yang kerdil dan tidak berdosa, mendewakan maksiat dan noda, jangan pula kita bersungut jika Allah meragut nikmat keamanan dan kesejahteraan yang dipinjamkan itu.

Bencana akan menimpa bukan sahaja kepada yang durjana, malah kepada yang mulia tetapi memilih untuk tidak mahu ambil peduli akan kedurjanaan yang menimpa manusia.

Tahun 2004 ditutup dengan kita dikejutkan pula dengan peristiwa salji melanda UAE, sebuah negara Arab yang terkenal dengan panas dan padang pasir. Kejadian ini akan jadi peringatan dan pedoman kepada mereka yang beriman. Lihat sini untuk berita dan gambar.


Selamat tinggal 2004. Semoga 2005 memberi kesejahteraan kepada kita semua.



Grafik dan Simulasi Tragedi Tsunami dari akhbar New York Times.


Khamis, Disember 30, 2004

Tasik Raban, Tasik Banding & Kota Bharu

.



Tasik Raban, Lenggong, Perak
22/12/2004
Ipoh - Kuala Kangsar - Gerik – Jeli - Kota Bharu


Kami mulakan perjalanan pada pagi hari Rabu pukul 6.45 pagi dari Ipoh, melalui Lebuhraya PLUS ke Kuala Kangsar sebelum meneruskan perjalanan ke pekan Gerik. Perjalanan ini akan melalui sekumpulan tasik-tasik yang membentuk Tasik Raban. Tasik Raban terkenal sebagai tempat rekreasi juga tempat memancing atau membeli ikan air tawar. Melalui kawasan ini di awal pagi menimbulkan rasa tenang. Kalau ke Lenggong, bolehlah bersiar-siar ke Tasik Raban juga ke pusat perkelahan Lata Kekabu juga pertemuan pra-sejarah Kota Tampan yang terletak berhampiran.

Kami berhenti minum pagi di pekan Gerik setelah memandu sejauh lebih 100km. Kami meneruskan perjalanan melalui Jalanraya Timur Barat dan melalui sebuah lagi tasik yang cantik iaitu Tasik Banding. Ada sebuah resort di situ untuk mereka yang meminati keindahan alam semulajadi sambil melakukan aktiviti memancing.

Perjalanan sepanjang Jalanraya Timur Barat juga sangat menarik walaupun agak sunyi. Kenderaan boleh dibilang dengan jari. Jalanraya ini banyak sejarahnya. Mula dibina pada tahun 1970 dan terhenti beberapa kali apabila pekerja-pekerja pernah diserang komunis. Banyak kemusnahan sehingga ianya dibuka dengan rasmi pada tahun 1982. Itupun,pada mulanya ianya ditutup pada waktu malam. Ada sebuah tugu peringatan didirikan untuk mengenang jerih payah membina jalanraya ini.

Kami sampai ke Jeli pukul 11 pagi, sempat singgah di Jeli dan di Bukit Bunga, tempat membeli belah barangan Siam.

Kami sampai di Kota Bahru jam 1 tengah hari. Jalan di sini penuh sesak dengan kenderaan, mungkin kerana waktu makan tengahari atau mungkin kerana penjawat awam telah mendapat gaji awal pada hari itu. Hampir sejam kami berpusing-pusing di Bandar Kota Bahru, mencari tempat makan. Mulanya nak cuba Nasi Ulam Cikgu di Muzium Kraftangan, tapi, kerana tak biasa, juga jalan yang sesak, kami tukar pelan dan mencari Ayam Percik Yati, juga tak jumpa. Tak sangka, negeri yang selalu dianggap mundur tapi penuh sesak dengan kenderaan. Bandar ini hidup dengan aktiviti harian. Kompleks membeli-belah penuh sesak dengan pengunjung mungkin membeli persiapan sekolah.

Akhirnya kami teruskan perjalanan ke Pengkalan Kubur. Biasalah, syurga beli-belah. Banyak barangan murah boleh didapati di zon bebas cukai ini. Kami sempat beli pinggan mangkuk Corelle yang jauh lebih murah jika dibanding di tempat lain.

Selepas check-in di hotel pada petangnya, kami keluar makan di bandar. Dah lama mengidam Nasi kerabu yang sedap di Pasar Malam berdekatan Stesyen Bas. Rupanya telah berpindah ke belakang pusat beli belah Pantai Timur. Pasar Malam ini digelar Pasar Malam Buluh Kubu. Walaupun susah jugak mencarinya, tapi puas hati betul, bila dapat makan Nasi Kerabu yang murah dan sedap, makan dengan daging bakar dan tomyam. Kami juga beli ayam panggang yang sedap hingga menjilat jari.


Lagi gambar menarik di sini.

Isnin, Disember 27, 2004

Jalan - Jalan ke Pantai Timur - 1

.
Posted by Hello




Jam saya menunjukkan pukul 7.45 malam bila kami sampai di pintu pagar rumah di Ipoh. Meter batuan di kereta menunjukkan yang kereta kami telah bergerak sejauh 1569km, jarak yang telah kami lalui sepanjang 5 hari percutian. Satu jarak yang agak jauh yang bermula dari Ipoh melalui Lebuhraya Utara Selatan ke Kuala Kangsar lalu terus ke pekan Gerik. Dari Gerik kami melalui Lebuhraya Timur Barat hingga ke Jeli, terus ke Kota Bharu.

Selepas bermalam di Kota Bharu kami terus ke Merang, Terengganu, bermalam di resort yang cantik di situ, kemudian singgah sebentar di Kuala Trengganu sebelum bermalam di Cherating. Kami teruskan perjalanan esoknya ke Kuantan dan melalui Lebuhraya Pantai Timur ke Kuala Lumpur, bermalam di Serendah sebelum meneruskan perjalanan pulang melalui Lebuhraya Utara Selatan ke Ipoh.

Perjalanan selama 5 hari yang sangat menarik. Sungguh banyak cerita, tempat menarik, makanan yang enak dan gambar pemandangan yang ingin saya kongsi. Tengoklah nanti. Bila senang akan saya ceritakan di sini. Hari ini sibuk sikit, maklumlah lama juga tinggalkan pejabat.


Selasa, Disember 21, 2004

Jalan-Jalan ke Pantai Timur

.





Dah lama betul rasanya kami tak bercuti dan berjalan jauh. Rancangan untuk bercuti panjang sering terbantut kerana saya tak sanggup untuk tidak menghadiri kelas di hujung minggu. Kebetulan saya tidak ada kelas selama dua minggu. Kebetulan juga isteri saya dijemput menyampaikan ceramah di Kota Bharu pada pagi hari Khamis. Kesempatan ini kami ambil untuk bercuti panjang. Esok selepas subuh, kami akan bertolak ke Kota Bharu untuk bercuti hingga hari Ahad.

Rasanya, sudah lebih 10 tahun saya tidak ke pantai timur dengan memandu sendiri. Kali terakhir ke Kota Bahru tahun lepas pun atas urusan kerja dan sudah tentu tidak memandu sendiri kerana faktor masa.

Mengikut cadangan saya dan isteri, kami akan bermalam di Kota Bharu, bermalam di Merang Terengganu, kemudian di Cherating atau Kuantan sebelum ke Kuala Lumpur. Kali terakhir ke Terengganu pun rasanya dah lebih dua tahun lepas, sewaktu ke Pulau Redang.

Tak sabar rasanya hendak memandu dengan perlahan-lahan sambil melihat keindahan pemandangan sepanjang perjalanan. Tiada deadline, tiada tujuan, tiada apa yang perlu dikejar, hanya berjalan-jalan melihat tempat orang.

Esok dan lusa juga auditor dari SIRIM datang untuk surveillance audit MS ISO 9001 : 2000. Mujur saya ada pembantu dan pekerja yang dedikasi dan boleh diharap. Mereka sudah diberitahu apa yang patut dibuat. Kalau ikut pengalaman yang lepas, department kami tidak diaudit secara khusus, tumpuan diberikan hanya pada core business sahaja. Kalau diaudit pun mungkin pekerja kami di kaunter depan. Lagipun ini bukan kali pertama diaudit, dah lapan tahun,

Yang pasti, esok pagi, semasa auditor sedang menyampaikan ucapan pendahuluan, saya dan isteri sudah sampai ke pekan Gerik, sedang menikmati sarapan pagi kami, sambil membaca akhbar, sebelum meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Timur Barat ke destinasi seterusnya.





Isnin, Disember 20, 2004

Khoo Swee Chiow - Kembara Ke Penghujung Dunia




Khoo Swee Chiow
Journeys to the Ends of the Earth

Flame of the Forest Publishing Pte Ltd 2003
ISBN 981-3056-66-5
224 ms


Saya pernah melihat buku ini di kedai buku, tapi tidak menarik minat saya untuk membelinya, mungkin kerana tidak mengenali penulisnya. Fikir saya, apa yang menariknya jika rakyat Malaysia telah lebih dahulu berjaya mendaki Gunung Everest.

Namun, kesempatan menghadiri sesi ceramah pengalaman beliau telah mengubah tanggapan saya terhadap penulis buku ini.

Khoo Swee Chiow lahir di Port Dickson, dan kini warganegara Singapura. Orang pertama dari ASEAN dan keempat di dunia yang berjaya melengkapkan `Adventure Grand Slam' iaitu berjaya mendaki 7 Summits, juga telah sampai ke North Pole dan South Pole . 7 Summit adalah tujuh kemuncak tertinggi dunia dari tujuh benua. Buku ini merakamkan pengalaman beliau mendaki kemuncak dunia juga menjelajah seluruh pelusuk dunia. Kesungguhan beliau terbukti dengan mengambil keputusan berhenti dari kerjaya yang selesa di SIA lalu melibatkan diri secara sepenuh masa dengan kerjaya mendaki. Gaya tulisan yang bersahaja ditambah pula foto eksklusif yang termuat di dalam buku ini membuatkan buku ini sangat menarik untuk dimiliki.

Timbul rasa kagum bila mendengar beliau bercerita tentang pengalaman beliau menempuh berbagai halangan ketika meneruskan ekspedisi beliau. Banyak kali beliau mengalami peristiwa cemas dan berhadapan dengan maut. Banyak inspirasi dan pengajaran yang boleh diambil dari pengalaman beliau.

Kehidupan kita juga satu perjalanan, satu kembara yang panjang. Ada masa kita akan berhadapan dugaan dan halangan. Kita boleh mengambil jalan mudah untuk berhenti dari meneruskan perjuangan, atau menempuh segala rintangan itu dan meneruskan perjalanan. Khoo Swee Chiow telah membuktikan, jika ada keinginan, kesungguhan, keberanian dan keyakinan, puncak yang tertinggi boleh didaki.

Bertuah rasa hati bila dapat berjabat tangan dan memiliki buku yang bertandatangan oleh Khoo Siew Chiow, seorang pendaki puncak dunia, pengembara ke penghujung dunia.


Some plan their entire life and achieve nothing. Others achieve amazing things without a plan -Khoo Siew Chiow

Jumaat, Disember 17, 2004

Kacamata - Patah Sayap Terbang Jua

.



Pagi tadi berakhirlah riwayat bingkai kacamata ini. Hayatnya tak sampai setahun. Rasanya, sudah dua minggu kaki sebelah kanannya tercabut tapi masih boleh digunakan. Pagi tadi, kaki sebelah kiri pula terkolap. Agaknya tertindih semasa tidur. Hari ini terpaksalah saya gunakan kacamata lama yang kuasanya lebih rendah. Sungguh tak selesa. Penglihatan nampak berbalam-balam kerana lapisan multicoated nya juga telah hilang.

Kacamata saya ini agak istimewa kerana astigmatism nya sangat tinggi. Selalunya perlu ditempah kerana kedai optik biasa jarang menyimpan stok. Harganya pun boleh tahan! Kata optometrist, bola mata yang sepatutnya bulat dah jadi macam bola ragbi, membuatkan titik fokusnya dah lari. Punca utama astigmatism kerana selalu membaca semasa baring atau dalam cahaya yang suram.

Bila terjadi begini baru terasa betapa besarnya nikmat penglihatan! Rasa cemburu pada mereka yang tidak perlu berkacamata. Apakan daya, patah sayap terbang jua...


Rabu, Disember 15, 2004

Teater Di Mana Bumi Dipijak

.




Teater Di Mana Bumi Dipijak - Memoir Mustapha Hussain
3 & 4 Disember, 2004
Taman Budaya Negeri
Ipoh Perak


Saya dan isteri rasa begitu bertuah kerana telah menonton Teater Perdana Memoir Mustapha Hussain yang berlangsung di Auditorium Taman Budaya Negeri Perak, Ipoh, pada 3 Disember lepas. Teater arahan Seri Bayan ini adalah adaptasi dari buku Memoir Mustapha Hussain: Kebangkitan Nasionalisme Melayu Sebelum Umno.

Mujur, saya ada memiliki buku ini. Pernah membacanya tapi terhenti separuh jalan, bukan kerana tidak menarik, tetapi kerana tebalnya 655 muka surat, memerlukan kesabaran untuk menghabiskan hingga ke mukasurat terakhir. Mustapha Hussain adalah seorang lagi tokoh yang dilupakan. Beliau adalah Naib Presiden Kesatuan Melayu Muda KMM, sewaktu Ibrahim Yaacob menjadi Presiden.

Mustapha yang dilahirkan di Matang, Perak, pada 21 Ogos 1910, pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Sekolah Pertanian Malaya, Serdang, Selangor dari 1933 sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Mustapha telah berjasa menyelamatkan nyawa ratusan askar Melayu dan keluarga mereka, polis, sukarelawan dan orang awam yang diancam peperangan.

Pada zaman pendudukan Jepun, Mustapha telah turut aktif dalam Malai Giyu Gun, Hodosho, Kris, penggubalan Perlembagaan Malaya Merdeka dan pembabitannya dengan Jepun mengakibatkan beliau menerima padah daripada British.

Sekembalinya British ke Malaya, Mustapha dipenjarakan dari 1945 hingga 1946 dan hanya dibebaskan selepas ratusan askar Melayu yang diselamatkan dalam Perang Dunia Kedua menghantar petisyen kepada Pentadbiran Tentera British (BMA).

Ramai yang tidak tahu, Mustapha hampir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama apabila beliau dicalonkan bertanding kerusi Presiden Umno sewaktu Dato Onn Jaafar, meninggalkan UMNO, pada tahun 1951. Mustapha telah ditewaskan oleh Tengku Abdul Rahman dengan kekurangan hanya satu undi. Dia kemudiannya dicalonkan pula untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO dan beliau mendapat undi yang sama banyak dengan Tun Abdul Razak. Tun Abdul Razak diisytiharkan pemenang hanya setelah Pengerusi Tetap memberi undi pemutus.

Namun, ramai ahli UMNO sendiri tidak mengenal beliau, apatah lagi generasi baru yang sepanjang hayat mereka hanya mengenal Dr M sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

Memang bukan suatu kerja yang mudah untuk menterjemahkan naskhah sebuah memoir ke pentas teater. Teater ini mengambil format penceritaan oleh anak Mustapha, Insun Sony Mustapha tentang sejarah hidup ayahnya. Teater yang memakan masa dua jam setengah ini mungkin agak membosankan kepada yang tidak mengenali tokoh ini. Namun, pujian harus diberikan kepada semua para pelakon yang telah menunjukkan mutu lakonan yang sangat baik. Hiasan prop untuk pentas sangat menarik walaupun perlu banyak kali menukar setting. Selingan lagu oleh penggubah lagu Azmeer juga begitu menyentuh perasaan.

Teater ini antara lain dibintangi oleh Jalaludin Hassan sebagai Mustapha Hussain semasa tua dan Rebecca Nur Islam sebagai Insun. Tidak ketinggalan Prof Madya Dr Abdul Samad Salleh, Prof Mohammad Ghouse Nasaruddin dan Dr Jamaludin Osman. Teater ini dianjurkan bersama DBP Wilayah Utara, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perak serta Pusat Pengajian Seni USM.


Isnin, Disember 13, 2004

Islam : Agama, Sejarah dan Peradaban

.



Islam ; Agama, Sejarah dan Peradaban
Seyyed Hossein Nasr
Professor Islamic Studies, George Washington University
Penerbit Risalah Gusti. September 2003
237 ms
RM27.80

Terjemahan dari teks asal
Islam : Religion, History, and Civilization 2003
HarperCollins Publishers Inc.



Buku ini adalah salah sebuah buku yang telah saya beli dari Pustaka Indonesia beberapa bulan yang lepas. Saya beli buku ini kerana memang sudah lama mengkagumi tulisan Seyyed Hossein Nasr, seorang intelektual Islam yang banyak menulis buku mengenai falsafah Islam dan sains, juga mengenai sufism.

Walaupun telah lama dibeli, saya hanya tergerak untuk membaca buku ini apabila terjumpa teks asal buku ini di dalam bahasa inggeris yang bertajuk Islam : Religion, History and Civilization yang diterbitkan pada tahun 2003 oleh Harper Collins Publishers Inc. Di belakang buku itu ditulis, bahawa buku ini adalah respons penulis terhadap peristiwa 11 September 2001. Saya menyangkakan buku ini adalah tulisan lama beliau yang mungkin baru diterjemah ke Bahasa Indonesia. Rupanya ianya adalah buku baru yang sangat relevan dengan keadaan dunia semasa. Buku ini juga telah diterjemah ke bahasa Indonesia pada tahun yang sama buku asalnya diterbitkan iaitu 2003. Lihat, bagaimana hebatnya industri penterjemahan di Indonesia.

Buku ini memberi gambaran dan penerangan sepintas lalu mengenai Islam dan ajarannya. Penulis menerangkan dengan begitu menarik, sejarah kewujudan Islam dari zaman Nabi hingga ke hari ini. Turut disentuh mengenai faktor kewujudan mazhab yang berlainan di dalam Islam. Kehebatan peradaban Islam juga dibincang dengan menceritakan tentang zaman kegemilangan empayar Islam di seluruh dunia.

Membaca buku ini bagaikan mengambil `crash course' mengenai Islam. Sebagai seorang penganut Islam, kita akan merasa bagaikan dibawa mengulang kembali pemahaman kita terhadap Islam dan melihatnya dari perspektif yang lebih segar dan semasa.

Buku ini juga amat sesuai jika dihadiahkan kepada rakan-rakan non-Muslim yang ingin tahu mengenai Islam pasca 11 September 2001.



Selasa, Disember 07, 2004

Hutang Sejarah - Marsli N.O.

.
Sejarah mengajar kita mengenal rupa diri. Sejarah mengingatkan kita akan jerih perih orang terdahulu, moga jadi pedoman dan panduan menghadapi hari muka. Memahami sejarah akan membuatkan kita berpijak di bumi nyata. Tahu asal-usul, kenal tanah yang dipijak, dan tahu arah mana yang hendak dituju.

Namun, sejarah siapakah yang kita hadam? Sejarah kitakah yang kita baca atau sejarah orang lain yang dikatakan sejarah kita? Siapakah yang menulis sejarah kita dan mungkinkah ada sejarah kita yang telah terpinggir?

Kita juga akan mengukir sejarah. Bagaimanakah akan kita jawab, kiranya anak cucu kita menuntut semula hutang sejarah itu?


HUTANG SEJARAH

Akan kita berikan jawapan apa
kepada anak yang bertanya
mengenai moyang atau keturunannya
ketika bahasa yang mereka tuturkan
kini telah berubah menjadi angin
dan pada malam yang teramat sunyi
selalu kita dengar gumam dan keluh
dari rongga hatinya yang kosong
terbata-bata mencari jejaknya yang semakin samar
di tengah sebuah peta
atau setiap kali mimpinya tersepit
di antara huruf dan aksara ganjil
yang semakin tidak mereka fahami

siapa akan melunasi lelah dan duka para moyang
setelah jutaan abad memanggul beban yang sarat
demi keturunannya
ketika kita saling berteriak
dan sesekali menghunuskan cakar
untuk sebaris ucap atau kata baru

sehingga akhirnya mulut
kita yang ternganga dan berbau
menjadi rumah untuk segala unggas

dan kita menangis
di depan pusara bernama sejarah

sebuah sejarah
yang belum kita langsaikan segala piutangnya
dan segala anak serta turunan
akan melontarkan ludahnya
ke wajah dan jasad kita
yang pucat dan pikun
tidak bermaya
di dalam akuarium
di sebuah muzium


Marsli NO
Kuantan, Jun, 2002


Jumaat, Disember 03, 2004

Pasar Minggu Changkat Jering

.


Pasar Minggu Changkat Jering


Petang Sabtu itu hujan lebat. Selesai buat root canal therapy di klinik gigi di pekan Kuala Kangsar. Ke mana nak cuba gigi baru ni. Fikir saya. Lama juga rasanya saya tak ke Pasar Minggu Changkat Jering, lalu saya mengajak isteri ke sana.

Apa istimewanya Pasar Minggu Changkat Jering? Kini tiada ada apa yang istimewanya. Hanya sebuah pasar kecil yang merupakan tempat orang kampong menjual produk kampong. Yang istimewa hanyalah imbauan kenangan lama sewaktu kecil. Di tahun 70 an Pasar Minggu setiap Sabtu ini sangat terkenal di Perak, kerana waktu itu belum wujud lagi kebanjiran pasar malam seperti sekarang. Budaya makan di luar masih janggal. Ketika itu, pasar minggu ini bagaikan tapak pesta di mana ramai orang berkunjung dari jauh dan dekat. Ada banyak gerai makanan, gerai menjual buah-buahan dan sayuran kampung, juga gerai menjual parang dan golok.

Saya masih ingat sewaktu kecil, Pasar Malam Changkat Jering ini antara tempat makan popular kami di hujung bulan, selain makan sate Endut di Ipoh. Selalunya kami akan singgah di sini sewaktu balik dari bersiar-siar di pekan Taiping. Mak dan Abah suka sangat sate dan sotong yang dijual di sini. Mak dan Abah akan bawa saya dan adik ke Taiping, selalunya, setiap hujung bulan dan kami selalunya akan berhenti makan di situ. Di situlah tempat berkumpul rakan dan taulan.

Petang itu kami makan sate dan pechal. Walaupun bermejakan meja kayu dan bangku kayu usang, tapi sedapnya makanan itu tiada tandingan. Pechal asli dengan jantung pisang, pucuk ubi, pucuk paku dan lain-lain ulaman kampung digaul dengan ramuan kuah kacang yang istimewa. Nikmatnya…

Pasar Minggu Changkat Jering terletak di antara Kuala Kangsar dan Taiping, hanya 1 km dari Tol Changkat Jering.


Rabu, Disember 01, 2004

Memoir Khatijah Sidek



Memoir Khatijah Sidek
Puteri Kesatria Bangsa
Penerbit UKM 2004
RM17.50 Kinokuniya


Saya membeli buku ini di Kinokuniya kerana ingin tahu lebih lanjut tentang wanita yang pernah menjadi Ahli Parlimen PAS dari tahun 1959 hingga 1964. Saya rasa hairan kerana PAS sering dilabel sebagai parti yang membelakangkan wanita, tetapi bagaimana boleh memberi penghormatan yang tinggi kepada seorang wanita seawal tahun 1959.

Buku ini adalah memoir tulisan Khatijah Sidek sendiri yang banyak menceritakan tentang susah hidup beliau memperjuangkan kemerdekaan dan juga hak dan kedudukan wanita, terutama semasa memimpin Kaum Ibu UMNO.

Khatijah Sidek dilahirkan di Sumatera begitu aktif memperjuangkan kemerdekaan daripada Belanda serta membela hak dan kedudukan wanita di Indonesia. Atas dasar ini juga beliau telah berhijrah ke Tanah Melayu untuk menggerakkan perjuangan kaum wanita menentang penjajah. Beliau pernah meringkuk dalam penjara Singapura selama dua tahun. Lebih menyedihkan, beliau telah hamil dan melahirkan anak sulung beliau di dalam penjara.

Beliau menyertai UMNO pada tahun 1953 dan telah menjawat jawatan Setiausaha Kaum Ibu dan Ketua Kaum Ibu. Sepanjang tempoh tiga tahun (1953-1956) memimpin Kaum Ibu, Khatijah telah berjaya memujuk hampir 10,000 orang wanita untuk menyertai UMNO.

Kehadiran beliau di dalam UMNO tidak disenangi oleh ahli dan pemimpin UMNO yang sederhana. Khatijah dari awal lagi mengkritik secara terbuka, pendirian sederhana pemimpin UMNO, yang menurut beliau, takut untuk berjuang ke arah kemerdekaan, malah sangat takut untuk meneriakkan slogan Merdeka (Slogan UMNO ketika itu adalah Hidup Melayu).

Khatijah Sidek adalah pemimpin wanita UMNO pertama yang begitu lantang menyuarakan hak wanita secara terbuka. Dalam Persidangan Agung UMNO 1953, beliau dengan lantang telah menuntut supaya bilangan perwakilan dari ahli wanita ditambah. Kelantangan beliau menimbulkan rasa resah di kalangan pemimpin dan ahli UMNO lalu membawa kepada pemecatan beliau dari UMNO pada tahun 1956.

Tarikh kemerdekaan merupakan saat yang mengharukan bila beliau hadir sebagi rakyat biasa, hanya menyaksikan dari jauh, rakan-rakan beliau di dalam UMNO sudah menjadi menteri di pentas utama. Jasa beliau memperkukuhkan UMNO dan menambah sokongan dari kaum wanita tidak dikenang. Wanita UMNO mengerumuni, memeluk dan menangis bila melihat beliau. Ada yang berkata`Ibu, kau yang mencurahkan titik peluh, tapi orang lain yang menuai hasil daripada benih yang ibu tanam. Sungguh tak adil...'

Sepanjang hayatnya, beliau merupakan seorang pemimpin yang melalui kehidupan yang sangat susah. Sebagai isteri kedua, beliau disisihkan oleh keluarga, dan hanya menumpang tinggal di bilik kecil di klinik milik suaminya, bersama dengan empat orang anaknya.

Khatijah Sidek diterima kembali ke dalam UMNO pada tahun 1972 ketika sudah semakin uzur. Beliau meninggal pada tahun 1982 di Kuala Lumpur ketika berusia 64 tahun, dalam keadaan miskin tanpa harta dan juga tanpa sebarang pengiktirafan dan penghargaan negara.



"Sewaktu menulis memoir ini(1963) saya sudah berumur 45 tahun. Selama 30 tahun, saya berjuang untuk rakyat, untuk hak wanita, mementang penjajahan dan imperialisme. Saya tak akan berhenti. Saya tahu, setidak-tidaknya dua kali dalam hidup saya, sekiranya saya berhenti berjuang, saya akan menjadi orang berada dan lebih terjamin daripada segi material, tapi ini bukan jiwa saya.'

`Saya tahu beberapa tahun mendatang keadaannya sukar, mungkin lebih sulit dari sebelumnya. Saya tahu mungkin saya terpaksa masuk penjara semula, mungkin lebih lama dari dahulu. Saya mempunyai empat orang anak; umur saya juga sudah tidak muda. saya mudah letih dan badan saya tidak sekuat dulu. tapi, saya tak boleh berhenti. Saya mesti meneruskan perjuangan.' - Khatijah Sidek 1918-1982

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails