Rabu, Mei 25, 2005

Hari-Hari Terakhir di Ipoh...

.




Saya tulis posting di bawah pada 14 April, 2005, tapi saya tangguhkan sebagaimana saya menangguhkan perpindahan ke tempat baru. Saya turunkan semula tulisan tersebut dengan sedikit pindaan.


25 Mei, 2005, merupakan hari terakhir saya di Ipoh. Mulai hari Khamis 26 Mei, 2005 saya akan mula bertugas di Bukit Mertajam. berpindah ke tempat baru, tapi masih dalam kumpulan syarikat yang sama.

Sudah 7 tahun lebih saya bertugas di sini. Satu tempoh yang agak lama jika dibandingkan dengan kerja sebelum ini. Bila kita sukakan sesuatu tempat, kita tak akan sedar masa berlalu begitu pantas. Kalau diikutkan hati, memang tidak mahu berpindah dari Ipoh, sebuah bandar yang cantik dan bersih, tanpa kesesakan trafik dan kos hidup yang rendah. Tapi lumrah hidup kita sebagai manusia perlu berhijrah. Berhijrah ke tempat baru akan memberikan kita perspektif baru kepada hidup. Melihat kehidupan dari sudut berbeza.

Saya pesan pada anggota pekerja yang akan saya tinggalkan, hidup ini mesti sentiasa menghadapi perubahan. Kita perlu bersedia menerima perubahan dari segi pengurus dan pengurusan, bersedia menerima bos baru dan cuba memahami dan bekerjasama dengan orang baru. Itu memang lumrah hidup.

Dalam hidup juga kita perlu menghargai apa yang kita ada. Kurangkan merengek dan bersungut dengan apa yang kita tak punya, kerana ramai yang tak dapat apa yang kita ada. Malangnya, kita selalunya hanya akan menghargai apa yang kita ada, setelah kita kehilangannya.

Hari ini akan saya tinggalkan bilik di sini yang banyak membawa kenangan dan pertemuan yang menarik. Mungkin juga saya akan tinggalkan sementara dunia blog sehingga dapat menyesuaikan diri di tempat baru. Dua minggu seterusnya mungkin saya sibuk dengan aktiviti serah tugas dan penyesuaian diri di tempat baru. Dah tentu saya akan merindui rakan-rakan di dunia blog dan di bilik sembang Pokku.

Saya tetap akan pulang ke Ipoh setiap hujung minggu, isteri masih bekerja di Ipoh juga untuk menghadiri kelas hujung minggu yang hanya akan selesai penghujung tahun ini. Mungkin akan singgah di tempat kerja lama, tetapi sudah tentu suasananya akan berbeza. Adakah suatu masa nanti saya akan pulang kembali ke Ipoh dalam kapasiti yang berbeza?

Isnin, Mei 23, 2005

India.. Syurga dunia bagi peminat buku

.


Kedai Buku di Janpath, Delhi



India adalah syurga peminat buku. Kita boleh jumpa koleksi buku yang banyak dan menarik di sini, dan yang lebih penting, buku-buku di sini harganya amat murah dibandingkan dengan harga buku di negara kita.

Satu perkara yang menarik, ialah mengenai pembantu di kedai buku. Budak lelaki yang bekerja di sebuah kedai buku di Delhi, kelihatan seperti seorang budak yang tak tahu apa-apa tentang buku. Saya terkejut bila dia boleh bercerita panjang lebar mengenai buku. Bila saya belek buku-buku VS Naipul, dia lalu mencadangkan beberapa buku VS Naipul yang sesuai untuk dibaca. Dia tahu mana buku best sellers dan mana buku yang pernah dapat award. Berlainan dengan sesetengah kedai buku di Malaysia (bukan semua), mereka yang diambil bekerja tidak sukakan buku, tidak menyayangi buku dan tidak gemar kalau pengunjung membelek buku di kedai itu.

Kalau ikutkan hati banyak buku yang saya nak borong di India, kerana harganya sangat murah tetapi saya beli hampir sedozen buku di Sardar Barzar, Agra dan di Janpath, Delhi.

Di Modern Book Depot, Sardar Bazar, Agra saya beli buku-buku ini;

1. Gitanjali (RM7) karya tersohor penyair Rabindranath Tagore yang telah memenangi Anugaerah Nobel pada tahun 1913.

2. Complete Great Works of Kahlil Gibran, (RM18) yang mengandungi karya lengkap puisi Kahlil Gibran.

3. Seeking the Taj by Elaine Williams (RM17) sebuah novel yang berkisar mengenai Taj Mahal.

4. The Man Who Divided India by Rafiq Zakaria (RM17) sebuah buku mengenai Mohd Ali Jinnah, tokoh yang megasaskn perpisahan Pakistan dari India.


Isteri saya membeli dua buah buku

5. The Notebook By Nicholas Spark (RM21) dan

6. Veronika Decides to die by Paul Celho (RM22)


Di Janpath Delhi saya beli buku berikut;

7. The Bookseller of Kabul(RM26) by Asne Seierstad . Ini antara buku yang banyak diceritakan kerana menceritakan tentang kesukaran seorang penjual buku di Kabul. Ditulis oleh seorang jurnalis yang duduk selama 4 bulan bersama keluarga penjual buku tersebut.


8. Poetry of Allama Iqbal (RM31) koleksi puisi Iqbal yang ditulis dalam bahasa Urdu bersama sebutannya sekali, dan terjemahan ke dalam Bahasa Inggeris.

Saya terjumpa sebuah kedai buku yang sangat menarik bentuknya di hujung Jalan Janpath, namanya New Book Land. Tuanpunya kedainya sangat ramah dan memberikan diskaun yang banyak kepada saya. Katanya dia ada ramai kawan dari Malaysia yang selalu membeli buku dari kedainya.

Saya beli 3 buah buku di sini;

9. The Motorcycle Diaries by Ernesto Che Guevara (RM26), sebuah catatan perjalan yang ditulis oleh pejuang revolusi Che Guevara 8 tahun sebelum berlakunya Revolusi Cuba . Buku ini telah pun difilemkan baru-baru ini.

10. Hegemony or Survival, America's Quest For Global Dominance (RM26) sebuah buku karya Noam Chomsky yang membicarakan tentang polisi luar negara Amerika Syarikat.

11. Orientalism (RM22) karya terbaik mendiang Edward W Said yang pernah saya belek di Kinokuniya tetapi tidak beli kerana harganya yang mahal, RM70 lebih.

Kalaulah harga buku di Malaysia semurah harga buku di India....

Jumaat, Mei 20, 2005

Delhi & Hari Terakhir di India




India Gate


Jumaat 6 Mei, 2005 Delhi



Perjalanan kami ke Delhi Japur dan Agra berakhir bila kami kembali ke ibunegeri India, Delhi. Delhi sebuah bandaraya yang besar dengan penduduk berjumlah 13.78 juta. Ianya terbahagi kepada Old Delhi dan New Delhi.

Hari terakhir di India, kami dibawa keliling Delhi menaiki bas. Kebanyakan tempat yang dilihat ialah bangunan kerajaan dan tidak dibenarkan untuk bas berhenti. Kami melalui Bangunan Rumah Presiden India, seorang saintis beragama Islam, juga melalui kawasan penginapan Manmohan Singh, Perdan Menteri India. Kami juga melalui hadapan rumah Sonia Gandhi, Pesiden Parti Kongress, India. Poster-poster pilihanraya masih terpampang di merata tempat walaupun pilihanraya sudah lama berlalu.

Kami juga dibawa melalui Lotus Temple, tempat ibadat agama Bahai yang besar dan menyerupai pokok teratai. Kami juga dibawa ke India Gate. Ternyata Delhi sebagai ibunegeri India lebih menarik dari bandar lain yang telah kami lawati. Bangunan besar kelihatan merata, walaupun jelas kelihatan kesusahan hidup masyarakat di sini.

Delhi asalnya tempat majoriti orang Islam, tetapi pemisahan Pakistan dari India telah mengakibatkan penghijrahan besar-besaran orang Islam ke Pakistan dan Delhi menjadi tempat yang diduduki oleh majoriti Punjabi. Di Old Delhi terdapat Jamaa Masjid yang dibina oleh Shah Jahan pada tahun 1650 dan merupakan masjid terbesar di India. Saya sempat berbual dengan seorang Muslim ketika solat di sebuah masjid kecil di Delhi. Katanya umat Islam hanya tinggal 30% di Delhi.

Petang itu kami menghabiskan masa tersisa di India dengan membeli-belah di Janpath, yang terkenal dengan barangn kraftangan dan tekstil. Semua barang yang sudah kami beli ad di jual di sini dengan harga yang lebih murah. Saya habiskan sisa duit rupee saya dengan membeli buku-buku dan CD, yang ternyata lebih murah dari di Malaysia. Di India tiada kompleks beli belah yang besar. Tak akan berjumpa megamall disini. Yang ada, kedai seperi bazaar yang menjual berbagai barangan dengan haraga yang menarik.

Rasa sedih juga untuk meninggalkan India. Walaupun India bukan tempat yang sesuai untuk didiami tetapi ianya sebuah tempat yang menarik untuk dikunjungi. Sebuah negara yang penuh dengan budaya dan cara hidup yang unik. Saya menjumpai cinta pada negara Malaysia bila berada di sini.

Macam tak percaya semasa di MAS Travel Fair bulan Februari tempoh hari, berjaya memujuk 9 orang sekeluarga untuk ke India hanya dengan melalui panggilan telefon. Masa kami memujuk yang lain untuk ikut India dulu, ada yang macam tak minat. Namun, di akhir perjalanan ini, walaupun semua nampak keletihan, saya pasti semua kami sembilan orang sekeluarga berpuas hati dengan perjalanan kali ini.

Pengalaman berada di India akan sentiasa menjadi kenangan. Kami dihantar oleh Veneet, pemandu pelancong kami dari Dhesu ke lapanganterbang Delhi untuk perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Kalau ada rezeki mungkin akan bertemu lagi dengan Dhesu. Manalah tau, kalau ada rezeki ke Kashmir pula lepas ni.

Kami sampai di Kuala Lumpur pukul 7 pagi keesokan harinya. Tiba-tiba je rasa teringin nak makan nasi lemak… :)

Selasa, Mei 17, 2005

Taj Mahal...kemegahan tiada tandingan

.


Khamis 5 Mei, 2005 - Agra

Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Hajat dan impian untuk melihat sendiri kemegahan Taj Mahal akan tertunai sebentar sahaja lagi.

Sebagai usaha untuk menghindari dari pencemaran, semua kenderaan bermotor tidak dibenarkan menghampiri kawasan Taj Mahal. Bas kami berhenti di perhentian yang diperuntukkan lebih kurang 1 km dari luar pintu ke Taj Mahal. Dari situ pengunjung diangkut menggunakan bas berkuasa bateri ke pintu Taj Mahal. Tiket masuk ke Taj Mahal agak mahal. 750 rupee atau lebih kurang RM66 bagi pengunjung luar India. Pengunjung tempatan hanya dikenakan 20 rupee ataupun RM1.80.

Pintu masuk ke Taj Mahal dikawal begitu rapi. Setiap yang masuk akan diperiksa seluruh badan untuk memastikan tidak membawa senjata berbahaya, pisau, asid atau sebarang benda yang boleh merosakkan keaslian Taj Mahal.

Kami terpukau melihat keindahan hiasan taman semasa melalui pintu masuk ke Taj Mahal. Taj Mahal mempunyai tiga pintu masuk yang semuanya akan melalui ke Pintu Gerbang utama sebelum dapat melihat Taj Mahal. Di depan pintu gerbang Utama kami didatangi jurugambar professional yang menawarkan perkhidmatan dengan kadar 100 rupee sekeping (lebih kurang RM9).

Tiada kata mampu diungkap bila mata terpaku di hadapan tugu ini. Degupan jantung bagaikan terhenti. Bagai tak percaya Taj Mahal sudah di hadapn mata. Ada mata yang bergenang melihatkan keindahan yang terhidang di hadapan.

Pengalaman berjalan perlahan-lahan ke arah Taj Mahal adalah saat paling romantis bagi yang datang berpasangan. Ianya makin lama makin besar dan hebat di pandangan mata. Tersentuh jiwa melihat tulisan ayat Al-Qur'an yang terpampang di pintu Taj Mahal yang diperbuat dari marmar hitam.

Menatap Taj Mahal akan lebih menarik jika dilihat dengan jiwa dan rasa. Cuba melihat dan menghayati sejarah pembinaannya, menghayati kisah cinta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal, juga mendalami sejarah kekuatan sebuah kerajaan Islam Mongul. Cuba bayangkan kita berada di zaman kegemilangan kerajaan Islam Mongul. Sudah tentu akan tambah rasa kagum kita pada keindahan dan kemegahan Taj Mahal.

Bagi mereka yang tidak mahu membaca, ianya hanya sebuah bangunan putih, tiada apa yang istimewa. Sebuah bangunan yang dibuat dari marmar putih dan di dalamnya terletak makam Shah Jahan dan Mumtaz Mahal.

Taj Mahal bukan sekadar sebuah lambang cinta. Taj Mahal adalah lambang kekuatan dan kemewahan seorang Raja yang beragama Islam. Selagi ada Taj Mahal, selagi itulah generasi akan datang akan terus diperingatkan bahawa India pernah menjadi jajahan takluk kerajaan Islam.

Taj Mahal mula dibina tahun 1631 dan mengambil masa 22 tahun untuk disiapkan oleh 20,000 orang pekerja. Ianya bersegi lapan dengan ketinggian 200 kaki.

Sayu rasa hati bila tiba masanya untuk meninggalkan Taj Mahal. Rasa tidak mahu melepaskan pandangan mata dari melihat dan merenung kemegahan Taj Mahal. Begitulah agaknya perasaan Shah Jahan yang menghabiskan hayatnya merenung Taj Mahal dari Agra Fort.

Kami ke Agra Fortkemudiannya, melihat tempat Shah Jahan menghabiskan hayat terakhir beliau. Melihat anjung bilik di mana beliau menghabiskan setiap detik waktu merenung Taj Mahal. Shah Jahan tidak dapat menunaikan janji beliau kepada Mumtaz Mahal untuk sentiasa menziarahi makamnya setelah beliau tiada. Shah Jahan telah digulingkan oleh anaknya sendiri, Aurangzeb, dan tidak dibenarkan keluar dari istana beliau di Agra Fort.

Dalam hati saya berkata…. satu hari nanti, jika diizinkan, kita akan bertemu lagi Taj Mahal!


Lihat gambar Taj Mahal dan Agra Fort di sini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails