Ahad, Januari 28, 2007

Bumi Manusia - Pramoedya Ananta Toer

.



Bumi Manusia
Pramoedya Ananta Toer
Cetakan Kesembilan Oktober 2002
Hasta Mitra


Buku ini saya beli di Pustaka Antara. Buku yang memang dianggap antara karya terbaik Pramoedya Ananta Toer. Saya sudah baca beberapa karya Pramoedya, bermula dengan Mute Soliloquy, sebuah memoir yang beliau tulis semasa di Pulau Buru. Saya juga sudah baca Cerita Dari Blora dan Perburuan. Keluarga Gerilya merupakan antara novel terbaik yang pernah saya baca.

Karya Pramoedya tidak pernah menghampakan saya. Tulisan beliau penuh dengan mesej dan kemanusiaan. Beliau sentiasa membawa isu keperitan hidup, penindasan dan kezaliman ke atas rakyat biasa.

Bumi Manusia adalah buku pertama dari empat novel yang berdiri sendiri yang lebih dikenali sebagai kuartet Buru. Buku Bumi Manusia diikuti oleh Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca. Keempat-empat novel ini dihasilkan oleh Pramoedya sewaktu beliau ditahan dalam buangan di Pulau Buru

Bumi Manusia ini mula ditulis Pramoedya pada tahun 1975 semasa di dalam tahanan lagi, secara sembunyi-sembunyi dan diterbitkan pada tahun 1980 apabila beliau dibebaskan dari Pulau Buru. Karya beliau mendapat sambutan hangat sehingga diulang terbit lebih dari 10 kali dalam masa hanya setahun. Bumi Manusia ini juga telah diterjemahkan ke lebih dari 30 bahasa.

Namun hayat buku ini tidak lama di Indonesia apabila ianya diharamkan pada tahun 1981. Pramoedya dituduh cuba membawa fahaman Marxisme-Lenisme dan Komunisme melalui karya beliau. Pelik juga saya kerana tidak pula saya berjumpa dengan dakyah komunisme di dalam buku ini. Saya hanya berjumpa dengan kemarahan Pramoedya terhadap sistem,individu,organisasi dan pihak yang menindas dan menzalimi, walaupun berlindung di balik sistem yang dikatakan adil. Pengharaman ini tidak pernah ditarik balik secara rasmi sehinggalah beliau meninggal dunia.

Bumi Manusia adalah kisah perjalanan hidup seorang anak pribumi berrnama Minke. Kisah berlatarbelakangkan zaman Indoesia masih dijajah Belanda. Zaman di mana seorang anak pribumi dipandang rendah dan tidak setaraf dengan orang belanda dan Eropah. Kisah Minke ini berlaku antara tahun 1898 hingga 1918 ketika pengaruh modernisme dan pemikiran rasionalisme mula masuk ke Hindia Belanda.

Minke adalah seorang pribumi yang cerdik, berfikiran terbuka, yang mendapat pengajian di sekolah elit HBS. Fahaman modern yang beliau pelajari telah membawa pengaruh yang besar kepada Minke dalam pencarian beliau kepada masalah kehidupan. Watak Minke bermula sebagai seoarang pengkagum Eropah tapi berakhir dengan tragedi yang diakibatkan oleh sistem Eropah yang beliau puja selama ini.

Sikap dan pemikiran Minke terhadap kehidupan diwarnakan dengan watak Nyai Ontosoroh, seorang wanita simpanan seorang Belanda. Seorang nyai dipandang rendah oleh masyarakat dan tidak punya hak di sisi undang-undang. Watak Nyai Ontosoroh adalah sumber penting yang mencorakkan perkembangan pemikiran Minke.

Bumi Manusia berakhir dengan kisah yang menyayat hati. Saya tiba-tiba terasa bagai membaca kisah Natrah. Bumi Manusia menggambarkan kehidupan sebuah bangsa terjajah dan bagaimana pentingnya menuntut ilmu agar nasib bangsa boleh berubah. Ilmu secara formal dari pusat pengajian, juga dari pengalaman manusia di bumi ini.

Buku ini memberi kesan mendalam kepada saya. Dialog dan monolog di dalam buku ini membekas lama. Falsafah kehidupan yang cuba dibawa di dalam buku ini menjadikan buku ini sebagi buku terbaik saya baca di awal tahun ini.

Ahad, Januari 21, 2007

Tahun Hijrah 1428 & Azam Buku

.


Cepat betul masa berlalu. Bagai tak sedar kita sudah melangkah ke tahun baru Masihi 2007 dan Tahun Hijrah 1428.

Rasanya tahun lepas, saya banyak berbelanja membeli, walaupun banyak juga yang belum saya baca. Kadang-kadang apabila bertemu dengan buku, seorang peminat buku tidak dapat berfikir rasional, lalu membeli buku kerana emosi. Membeli kerana takut tidak berjumpa lagi buku itu di masa lain. Kadangkala membeli buku kerana semua orang lain sebut dan baca buku itu, walaupun kita tak semestinya meminati buku tersebut.

Lalu terjadilah keadaan di mana kadar membeli lebih laju dari kadar membaca buku!

Saya beli banyak buku. Ada buku yang sangat bagus, tetapi tidak dibaca. Setiap hari saya berazam untuk baca tetapi akhirnya tidak dibaca atau tidak habis dibaca. Banyak buku yang saya sudah mula baca, tetapi terhenti kerana banyak sebab. Di atas rak buku saya ada beberapa buku yang, kalau tak silap sudah lebih setahun saya beli. Buku Muqadimah Ibn Khaldun rasanya sudah lebih dua tahun saya beli. Semua buku itu saya sudah mula baca, tetapi terhenti baca atas banyak sebab dan alasan.

Ini Azam Buku saya untuk tahun 1428 Hijrah. Saya berazam untuk baca buku berikut;

1. Muqadimah Ibnu Khaldun
2. Guns, Germs & Steel - Jarod Diamond
3. Orientalism - Edward Said
4. Love in The Time of Cholera- Gabriel Garcia Marquez
5. The General in His Labyrinth - Gabriel Garcia Marquez

Di bawah ini pula senarai buku yang saya beli baru-baru ini, sebahagian besarnya sudah selesai saya baca.

Pustaka Antara, Kompleks Wilayah, KL 26 Disember 2006
1.Telegram - Putu Wijaya (RM5.00)
2.The Blind Owl - Sadeq Hedayat (RM18.00)
3.AKU Asrar-I Khuldi - Muhammad Iqbal (RM19.00)
4.Islam Liberal - Adian Husaini (RM29.50)
5.Khotbah Di Atas Bukit - Kuntowijaya (RM24.00)
6.Bumi Manusia - Pramoedya Ananta Toer (RM47.00)
7.Gami - Arenawati (RM15.00)



Dawama Bukit Mertajam 28 Disember, 2006
1.Dan Malam Apabila Ia Berlalu - Abdullah Husssain (RM42.50)
2.Merinci Ufuk - Darma Muhammad (RM1.00)
3.Penjelasan Budaya Ilmu - Wan Mohd Nor Wan Daud(RM2.40)
4.Pura Bujangga - Affandi Hassan(RM1.00)


Fajar Ilmu Baru, Wisma Yakin, KL 4 Januari, 2007
1.Hermeunatika Tafsir - Hasan Hanafi
2.Buku Saku Filsafat Islam -Haider Bagir
3.Islamia


Sempena kedatangan tahun Hijrah 1428 ini, saya berazam untuk menghabiskan buku yang sudah dibeli tetapi belum selesai dibaca.

Itu Azam Buku saya untuk tahun 1428. Bagaimana dengan anda?

Ahad, Januari 14, 2007

Masyarakat Islam Hadhari

.

Masyarakat Islam Hadhari
Suatu Tinjauan Epistemologi dan Kependidikan ke Arah Penyatuan Pemikiran Bangsa

Wan Mohd Nor Wan Daud
DBP 2006

Istilah Islam Hadhari sudah jadi satu perkataan yang cliché. Disebut ramai orang walaupun ramai yang tidak tahu makna sebenar. Tak ramai yang boleh menyebut 10 prinsip utama Islam Hadhari. Kalau ada yang tahu pun mungkin sengaja tidak ambil tahu. Ada yang bantah, kerana kata mereka Islam itu sudah sedia hadhari sifatnya, tidak perlu ditambah imbuhan lain.

Kepada yang menyokong parti pemerintah, Islam Hadhari disokong kerana ianya senjata yang bagus untuk melawan pembangkang. Sokonglah sahaja, walaupun tak faham, asal ada bunyi Islam, tentu bagus isinya.

Ramai juga yang ragu-ragu tentang kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan tindakan selaras dengan slogan Islam Hadhari. Tidak ada program baru yang boleh dikatakan program Islam Hadhari, kata mereka. Tidak ada perubahan struktur, hanya penerusan program sedia ada.

Selain golongan tersebut, ada juga yang memandang Islam Hadhari dengan pandangan terbuka dan sangka baik. Sangka baik bahwa Islam Hadhari ini boleh dimanfaatkan oleh sesiapa termasuk mereka yang ikhlas mahu memperjuangkan Islam. Islam Hadhari dilihat sebagai sehelai kertas putih yang boleh dicorakkan oleh sesiapa. Ia bagai memberi ruang kepada mereka yang mahu Islam dilaksana. Ianya perlu didokong dengan mengisi ruang-ruang yang kosong.

Penulis buku ini salah seorang dari mereka yang saya anggap bersangka baik dengan slogan Islam Hadhari. Penulis berpendapat istilah Islam Hadhari hanyalah satu penekanan kepada usaha membangun peradaban masyarakat di Negara kita. Menurut penulis, istilah itu lebih sesuai jika ditukar kepada Masyarakat Islam Hadhari. Yang perlu dihadharikan bukannya Islam tetapi masyarakat. Lalu, Masyarakat Islam Hadhari dijadikan judul buku ini.

Buku ini sebenarnya bukan menceritakan tentang Islam Hadhari secara langsung. Tidak membincang tentang 10 prinsip utama Islam Hadhari. Ianya bukan juga buku propaganda mengajak pembaca mempercayai Islam Hadhari lalu ramai-ramai menyokong kerajaan dan parti pemerintah. Buku ini adalah angan-angan atau impian penulis buku kepada sebuah negara Islam Hadhari. Konsep Islam Hadhari yang kabur dan longgar diharap oleh penulis dapat diisi dengan idea-idea beliau. Penulis bersangka baik yang Islam Hadhari adalah satu konsep yang boleh digubah dan diolah mengikut acuan masing-masing.

Prof Wan Mohd Nor Wan Daud pernah menulis buku Filsafat dan Praktis Pendidikan Islam Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Lalu, kandungan buku ini banyak mengulangi idea-idea yang tertulis dalam buku tersebut.

Penulis menulis tentang Epistemologi Islam dan Institusi Ketamadunan. Epistimologi adalah teori tentang pengetahuan, terutamanya yang berkaitan dengan kajian kritis tentang kesahihan, kaedah, dan skop pengetahuan. Penulsi berpendapat epitemologi Islam perlu diperbetulkan sebelum berbicara tentang hadharah atau tamadun. Tamadun Islam tidak akan terdiri di atas sudut pandnag barat. Ilmu itu sendiri tidak bebas nilai. Ilmu tyang diambil dari Barat perlu disaring kerana ianya membawa bersama nilai-nilai Barat yang mungkin sesuai, mungkin tidak dengan Islam.

Penulis juga menulis tentang Tafsir Bukanlah Hermeneutik. Hermeneutik merujuk kepada kaedah agama Kristian memahami Bible. Kaedah Tafsir dalam memahami Al-Qur’an adalah berbeza dari Hermeneutika dan perlu difahami oleh masyarakat.

Konsep Ta’dib juga diulas dengan panjang lebar.Dari Ta’dib akan lahirnya adab seterusnya peradaban.

Kalaulah pendokong Islam Hadhari membaca buku ini. Baca dan faham lalu praktik, saya akan jadi orang pertama menyokong Islam Hadhari. Kalaulah, kata saya. Bukan pesimis, tetapi saya tidak yakin ramai yang membaca buku ini, apa lagi pendokong dan pelaksana Islam Hadhari. Kalau ada yang bacapun, berapa ramai yang faham dan bersetuju.

Kalaulah ada yang bersetuju pun, berapa ramai yang ada komitmen dan iltizam yang kuat, ada political will untuk melaksanakannya?

Buku ini saya beli di DBP Bukit Mertajam bersama buku Naratif Ogonshoto. Terima ksih Sdr Lutfi Ishak di atas saranan membaca buku ini.

Ahad, Januari 07, 2007

Naratif Ogonshoto

.


Naratif Ogonshoto
Anwar Ridhwan
Penerbit Arsalia 2006
256 mukasurat

Sekian lama mencari, akhirnya saya berjumpa juga dengan buku ini di Kedai DBP Bukit Mertajam. Sudah lama juga saya tak ke sana, sebenarnya.

Buku ini agak sukar dicari kerana ianya bukan diterbitkan oleh DBP. Cetakan pertama pada tahun 2001 diusahakan oleh Penerbitan Matahari. Cetakan kedua pada tahun 2006 ini pula, oleh Penerbit Arsalia, tetapi dicetak oleh Dawama, lalu boleh dijual di Kedai DBP. Kedai DBP bagi saya, macam kedai orang sombong, tidak mahu menjual buku penerbitan syarikat lain, hanya menjual buku-buku DBP dan Dawama sahaja.

Buku ini juga telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh DBP dengan tajuk Tales of Ogonshoto. Buku versi bahasa inggeris itu terbitan DBP dan memang boleh dijumpai di rak di kedai buku DBP.

Terima kasih Sdr Lutfi Ishak yang pernah mencadangkan saya membaca buku ini dahulu. Memang berbaloi. Ini memang buku yang hebat. Sebuah karya yang akan jadi klasik. Novel ini adalah satu karya hebat .

Anwar Ridhwan telah bercerita bagai seorang penglipurlara dengan begitu teratur dan mengasyikkan. Sebuah negara bernama Ogonhoto adalah sekumpulan pulau di Lautan Pasifik telah dicipta oleh Anwar Ridhwan dengan begitu sempurna. Naratif Ogonshoto telah membuktikan kehebatan Anwar Ridhwan bercerita. Tidak hairanlah bila buku ini dikatakan sebagai sebuah karya Malaysia yang terbaik dan mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk dipertimbangkan bagi Hadiah Nobel.

Membaca Naratif Ogonsghoto pasti mengingatkan pembaca akan teknik penceritaan realism magis Gabriel Garcia Marquez. Negara khayalan ini dicipta lengkap dengan ibunegara bernama Tatamanu dan pulau-pualu besar bernama Rai Rapa, Gora-Gora, dan Futu Ata. Negara Ogonshoto ini juga lengkap dengan budaya dan adat setempat. Diceritakan tentang Presiden dan Jeneral yang memerintah Ogonshoto. Ada 12 bab di dalam buku ini termasuk epilog dan prolog. Yang menariknya setiap bab boleh dibaca bersaingan sepeti sebuah cerpen. Namun ianya juga layak dipanggil sebuah novel dengan cerita yang saling berkait di sebuah Negara bernama Ogonshoto.

Setiap satu bab atau naratif dalam buku ini menceritakan tentang bagaimana korupnya sebuah negara bernama Ogonshoto. Bermula dengan kisah tuan presiden yang mempunyai latarbelakang keluarga yang kabur dan latar pendidikan yang laih, Namun propaganda dijalankan dengan memberi gambaran yang luarbiasa bagus kepada seorang Presiden yang juga seorang kolonialis, penjajah baru Ogonshoto.

Kesemua bab di dalam buku ini menarik hati saya. Kesemua ceritanya sangat unik, sangat kreatif dan imaginatif, diselit unsur humor, serta padat dengan unsur sindiran sosial dan politik. Cerita dalam buku ini mempunyai makna yang berlapis-lapis untuk di fahami oleh pembaca.

Saya secara peribadi tertarik dengan bab Jari; yang mengisahkan tentang kebodohan seorang manusia yang bertaruh akan memotong jari jika beliau tidak dikenakan tindakan apabila mengkrtitik kerjaan Nogoshoto Tersenyum saya baca cerita ini. Macam biasa dengar sahaja orang kampong kita bermain sumpah seperti itu.

Bab Mainan juga menarik tentang seorang pemiuda yang dijadikan `mainan’ oleh pemimpin Negara Ogonshoto. Dia tidak sedar yang dia dijadikan binatang buruan dalam satu pertandingan memburu.

Bab Hering juga tidak kurang hebatnya, bila kejahatan seorang politikus muda yang mahu naik dengan cara memijak orang lain dan membunuh, telah mendapat pembalasan dengan cara yang hina, mati dan anunya dimakan burung hering.

Buku ini diterbitkan pada tahun 2001 selepas era reforamsi. Namun saya percaya ianya mula terilham sebelum itu ketika penulisnya bertugas sebagai Professor Pelawat di Tokyo University of Foreign Studies dari tahun 1997 hingga 2000. Jika buku ini dibaca semasa itu, sudah tentu ramai yang akan mengaitkan naratif di dalm buku ini dengan isu-isu yang timbul di era reformasi tersebut.

Namun begitu, Naratif Ogonshoto boleh sahaja dikaitkan deegan mana-mana Negara lain di alam ini. Kisah nepotisme, kronisme, salahlaku politik dan kepimpinan akan berlaku di mana sahaja ruang di muka bumi ini, jika tidak adanya kesedaran politik yang tinggi di kalangan rakyat sesebuah Negara. Salahlaku politik dan penindasan terhadap rakyat tetap berlaku jika rakyat Negara itu tidak menggunakan kuasa demokrasi untuk memilih pemimpin yang baik.

Naratif Ogonshoto telah diiktiraf sebagai sebuah karya sastera yang bagus dan bermutu tinggi apabila dianugerahkan Hadiah Sastera Perdana 2001, Hadiah Sastera Mastera 2002 dan juga SEA Write Award 2002

Kata Mohamad Salleh Rahmad di belakang buku ini,
`Naratif Ogonshoto muncul sebagai sebuah teks sastera rakyat moden yang dapat berdiri sebagai sebuah teks pascamoden multiwacana – pascakolonial, tekstualisme baru, dan realisme magis… Kedudukannya dapat dibariskan dalam jejeran sastera antarabangsa.

Naratif Ogonshoto adalah antara novel terbaik yang pernah saya baca, dan akan saya ulang baca. Saya yakin ianya akan jadi sebuah karya klasik yang akan dikenang sepanjang zaman.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails